Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Jersi Selangor FC abadi nama penyokong korban Covid-19

SHAH ALAM, 8 MAC: Pasukan Selangor FC mengabadikan nama penyokong yang terkorban akibat Covid-19 pada jersi keluaran istimewa pasukan itu, semalam.

Menerusi Facebook, Selangor FC memaklumkan jersi itu hanya dijual kepada pemegang pas bermusim 2020 dengan harga RM139.

“Jersi khas ini dihasilkan bagi memperingati dan mengabadikan nama penyokong setia Selangor FC yang telah pergi meninggalkan kita akibat Covid-19.

“Semoga semangat dan memori mereka terus menjadi sumber kekuatan kelab ini,” katanya.

Pasukan itu berkata pembelian jersi secara fizikal hanya boleh dibuat menerusi FASTC Pop Up Store bermula Jumaat ini.

“Bagi pembelian secara atas talian, peminat boleh menghubungi bahagian khidmat pelanggan di talian 016-3012778.

“Ia adalah eksklusif untuk pemegang pas bermusim 2020,” katanya.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC ajak penyokong bersatu, tolak sikap ganas segelintir individu

SHAH ALAM, 6 MAC: Selangor FC menentang sekeras-kerasnya insiden pergaduhan antara penyokong pasukan itu dengan Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

Pasukan Gergasi Merah menerusi kenyataan di Facebook menegaskan keganasan itu mengancam keamanan dan keselamatan penyokong lain yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

“Bola sepak merupakan sukan menyatukan dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikannya terpelihara daripada kelakuan tidak berakhlak segelintir individu yang hanya mementingkan diri sendiri.

“Kita semua perlu menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan penyokong terutama dalam kalangan warga emas, kanak-kanak dan wanita supaya bola sepak boleh dinikmati bersama tanpa sebarang keresahan serta rasa ketakutan pada masa akan datang,” katanya.

Tambah kenyataan itu, tiada penyokong yang menjadi mangsa mana-mana kumpulan yang ganas, ekstrem dan berkelakuan membahayakan orang lain.

“Kami berdiri bersama mesej keamanan dalam bola sepak kerana sukan ini adalah untuk semua,” katanya.

Pergaduhan antara penyokong berlaku di luar stadium selepas tamat perlawanan pertama Liga Super. Selangor FC dan KL City berkongsi satu mata selepas terikat jaringan 3-3.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC dapat tajaan bas dua tingkat berwajah baharu

SHAH ALAM, 13 FEB: Selangor FC semalam menerima tajaan sebuah bas dua tingkat berwajah baharu hasil perjanjian bersama Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) sejak 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Johan Kamal Hamidon berkata tajaan itu isyarat buat semua pihak dalam apa juga bidang untuk kekal bekerjasama dengan kelab bola sepak tempatan.

Beliau turut gembira dan berterima kasih atas sokongan berterusan syarikat E-Mutiara yang membantu pengangkutan pasukan itu sepanjang liga berlangsung.

“Selangor FC akan melakukan sedaya upaya untuk membalas kepercayaan yang diberikan.

“Kerjasama ini jelas membuktikan bola sepak masih relevan sebagai platform untuk syarikat melabur dan berkongsi kepakaran antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan di laman web Selangor FC.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif E-Mutiara Che Ibrahim Che Ismail berbesar hati dapat menaja Selangor FC selama empat musim dan komited menaikkan semula nama pasukan itu.

”E-Mutiara juga menjadi salah satu penaja jersi latihan pasukan Selangor FC musim ini selain mendapat penjenamaan di stadium, laman web dan media sosial mereka,” katanya.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Team Selangor, Selangor FC pelawa kanak-kanak sertai Klinik Asas Bola Sepak Sabtu ini

SHAH ALAM, 9 FEB: Team Selangor dengan kerjasama Selangor FC mempelawa kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun untuk menyertai Klinik Asas Percuma Bola Sepak pada 12 Januari ini.

Ketua Sekretariat Team Selangor Syahaizel Keman berkata program akan diadakan di Padang Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan penyertaan terhad kepada 200 orang sahaja.

“Program ini disertai oleh jurulatih pasukan Selangor FC yang akan mengendalikan sesi latihan pada hari tersebut.

“Kita mengalu-alukan penyertaan kanak-kanak dalam usaha mencari pelapis bakat baharu, sekali gus memberi peluang pemain cilik itu beraksi Sabtu ini,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, Team Selangor mengingatkan keutamaan diberi kepada ibu bapa dan kanak-kanak berusia 13 tahun ke atas yang lengkap menerima dua dos pelalian vaksin Covid-19 sahaja.

Bagi ibu bapa yang berminat, pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://bit.ly/KlinikBolaSepakHuluLangat dan sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-5303 578.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC uji Kelantan FC malam ini

SHAH ALAM, 6 FEB: Malam ini akan berlangsungnya perlawanan persahabatan pra musim pertama antara pasukan Selangor FC dan Kelantan FC.

Justeru, pasukan Gergasi Merah menerusi Facebooknya mengajak peminat setia pasukan itu hadir memberi sokongan pada perlawanan bertempat di Stadium UiTM di sini, pada jam 8.45 malam ini.

“Jom turun stadium. Tiket boleh dibeli melalui pautan https://ticket.tickethotline.com.my/club/selangor/4/home ,” kata pasukan itu.

Namun, Selangor FC mengingatkan hanya penyokong berusia 13 tahun keatas yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke dalam stadium berkenaan.

“Sekiranya didapati gagal dalam mematuhi terma dan syarat, anda tidak akan dibenarkan masuk dan tiada bayaran balik untuk pembelian anda.

“Jaga keselamatan dan kesihatan, patuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jersi Selangor FC miliki tema bermakna, moga tempa kejayaan musim baharu

SHAH ALAM, 4 FEB: Dato’ Menteri Besar menyifatkan jersi Selangor FC (SFC) di tempat lawan musim ini memiliki tema bermakna.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengakui rata-rata peminat teruja dengan reka bentuk jersi pasukan berkenaan.

“Syabas pengurusan SFC ! Semoga musim ini berjaya menempa kejayaan,” tulisnya di Twitter malam ini.

Petang tadi, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor melancarkan jersi SFC di tempat lawan yang menampilkan reben penyakit barah sebagai simbol rasmi.

Tengku Amir Shah yang juga pengerusi SFC bertitah pemilihan reben diletakkan di belakang jersi itu sebagai sokongan kepada pesakit yang berjuang melawan penyakit kronik berkenaan.

Program itu turut menampilkan ketua pasukan SFC Brendan Gan yang berkongsi pengalamannya untuk sembuh barah testis dihidapinya pada Julai tahun lalu

Ketua Pasukan Selangor FC Brendan Gan merupakan bekas pesakit barah yang berjuang melawan penyakit itu sehingga sembuh. Foto Twitter Selangor FC

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jersi ‘away’ Selangor FC tampil mesej sokong pejuang lawan barah

PETALING JAYA, 4 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor hari ini melancarkan jersi Selangor FC (SFC) di tempat lawan yang menampilkan reben penyakit barah sebagai simbol rasmi.

Tengku Amir Shah yang juga pengerusi SFC bertitah pemilihan reben yang diletakkan di belakang jersi itu sebagai sokongan kepada pesakit yang berjuang melawan penyakit kronik berkenaan.

“Ini juga menghargai sokongan keluarga dan rakan kepada pesakit barah yang bersama mengharungi saat sukar sepanjang rawatan.

“Diharap kempen ini meningkatkan kesedaran masyarakat untuk membuat saringan bagi mencegah sebarang penyakit dengan lebih awal,” titah Baginda pada majlis di Sunway Pyramid Convention Centre di sini.

Raja Muda turut berkenan merasmikan kempen ‘Lets Cope with A Neon Hope” sempena Hari Barah Sedunia yang disambut pada 4 Februari setiap tahun.

Baginda juga menyerahkan sumbangan RM15,000 daripada SFC kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kanser Negara.

Program itu turut menampilkan ketua pasukan SFC Brendan Gan yang berkongsi pengalamannya untuk sembuh barah testis dihidapinya pada Julai tahun lalu.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC adakan kempen kesedaran barah 4 Februari

SHAH ALAM, 31 JAN: Selangor FC (SFC) akan mengadakan kempen kesedaran sempena Hari Kanser Sedunia di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid pada 4 Februari ini.

Gergasi Merah memaklumkan kempen diadakan bersama TDC Holdings Sdn Bhd (TDC) itu dinamakan “Lets Cope with A Neon Hope” akan berlangsung pada jam 2 petang hingga 4 petang.

“Diinspirasikan semangat juang yang tinggi oleh kapten pasukan, Brendan Gan, SFC ingin memberi harapan dan meningkatkan kesedaran orang ramai akan penyakit barah secara menyeluruh.

“Kempen ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran bahawa barah boleh disembuhkan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting untuk mengesan awal dan menyembuhkan penyakit itu,” katanya menerusi Facebook.

SFC berkata mereka yang berminat boleh mendaftar di pautan https://www.neonhope.my/

“Pelbagai aktiviti menarik menanti anda pada hari tersebut termasuk pelancaran jersi ‘away kit’ SFC yang terbaru, bertemu semua pemain SFC, pemeriksaan kanser secara percuma dan banyak lagi.

“Ayuh penyokong #GergasiMerah, tandakan kalendar anda. Hanya penyokong telah lengkap menerima dua dos vaksin sahaja dibenarkan hadir ke program ini,” katanya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC lancar jersi ‘home’ di Stadium MBPJ Ahad ini, anjur pelbagai aktiviti menarik

SHAH ALAM, 13 JAN: Selangor FC melancarkan jersi ‘home’ bagi saingan Liga Super Malaysia musim baharu pada program Hari Jersi Selangor 2022 Ahad ini.

Pasukan Gergasi Merah itu menerusi Facebook memaklumkan pelancaran itu berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Sertai kami pada hari Ahad ini untuk pelancaran jersi di Hari Jersi Selangor 2022.

“Pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan pada hari itu untuk semua penyokong #GergasiMerah yang akan bersama memeriahkan suasana di stadium nanti,” maklumnya.

Pada pelancaran itu juga Selangor FC dengan kerjasama Team Selangor menganjurkan Klinik Bola Sepak Akar Umbi yang dibuka penyertaan kepada peserta berusia tujuh hingga 12 tahun.

“Program ini akan disertai oleh jurulatih pasukan Selangor FC yang akan mengendalikan sesi latihan pada hari tersebut.

“Slot penyertaan hanya dibuka untuk 240 orang sahaja dengan tiga slot berbeza iaitu 80 peserta untuk satu slot,” katanya.

Selangor FC mengingatkan hanya individu dan ibu bapa yang lengkap menerima dua dos pelalian sahaja dibenarkan hadir pada Hari Jersi Selangor 2022 yang bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiga pemain Selangor kembali sertai latihan pramusim

SHAH ALAM, 8 JAN: Tiga pemain kebangsaan Selangor FC kelmarin kembali menyertai sesi latihan bersama kem Red Giants di Pusat Latihan FAS di sini.

Mereka ialah penjaga gol utama Khairulazhan Khalid, pemain kanan Quentin Cheng dan pemain tengah Mukhairi Ajmal, yang direhatkan selepas saingan Piala AFF Suzuki tahun lalu.

Dalam kenyataan pasukan itu, Khairulazhan berkongsi keterujaannya menjalani latihan dan nekad untuk meneruskan perjuangan dalam saingan tahun ini.

“Saya dan rakan sepasukan akan bekerja keras untuk mencapai sesuatu musim ini, insya-Allah,” katanya.

Pemain muda yang meningkat naik Mukhairi turut gembira bertemu rakan sepasukan baharu selain berharap memberikan yang terbaik buat Selangor FC.

“Barisan kejurulatihan musim 2022 adalah motivasi baharu kepada pasukan. Kita perlu mengikut strategi dan taktik yang dirancang. Bersama-sama kita memberikan yang terbaik,” katanya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC ikat Samuel, perkuat posisi penjaga gol

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Selangor FC hari ini secara rasmi mendapat penjaga gol baharu, Samuel Somerville yang berhijrah dari Penang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

Samuel atau lebih mesra dipanggil Sam berkata status Selangor FC sebagai sebuah pasukan yang besar dalam saingan liga tempatan menjadi faktor utama beliau memilih untuk menyertai skuad Gergasi Merah itu.

“Apabila anda bercakap tentang bola sepak di Malaysia, saya rasa Selangor FC merupakan antara pasukan pertama yang akan disebut.

“Jadi, saya faham betapa besarnya makna bermain untuk kelab ini. Saya tahu Selangor FC mempunyai cita-cita tinggi untuk mencapai kejayaan musim hadapan dan ia sama seperti apa yang saya mahukan. Kami mahu mencapai kemenangan bersama,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Selangor FC hari ini.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-England berusia 27 tahun itu juga menyeru penyokong Selangor FC agar terus kekal menyokong dan bersama pasukan berkenaan tidak kira pada saat suka atau duka pada musim depan.

Pasukan baharunya itu turut mendoakan kejayaannya bersama mereka selain berharap Samuel mampu menjelmakan prestasti terbaik dalam Liga-M musim depan.

Berasal dari Farnborough, England, beliau mula melakar nama dalam Liga-M pada 2016 sewaktu berusia 21 tahun.

Nama Samuel mula meniti di bibir peminat bola sepak tempatan apabila menjadi salah seorang tonggak utama yang membantu Penang FC menjuarai Liga Premier 2020 sekali gus melayakkan mereka ke Liga Super musim 2021.

Beliau kemudian berjaya mendapatkan panggilan kebangsaan pertamanya bersama Harimau Malaya pada Mei 2021 susulan aksi yang mengagumkan bersama kelabnya dalam saingan Liga Super 2021.

— BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC tawar bahan koleksi digital kepada peminat

SHAH ALAM, 12 DIS: Selangor FC menjadi pasukan bola sepak tempatan kedua menawarkan bahan koleksi berbentuk digital kepada peminatnya hari ini.

Kelab itu menerusi Twitter memaklumkan penyokong boleh mendapatkan bahan berkenaan menerusi @opensea.

Aset tersebut adalah koleksi berbentuk digital dan memorabilia yang disimpan dan didaftarkan di atas platform ‘blockchain’.

Untuk maklumat lanjut, penyokong Selangor FC boleh melayari http://opensea.io/selangorfc atau http://SelangorFC.com/nft

Pada 22 Julai lalu, Pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan koleksi digital berkenaan sebagai kaedah baharu menghubungkan penyokong dengan kelab tersebut.