Categories
AGENDA PILIHAN MINGGUAN SUKANKINI

PKNS, MBI salur peruntukan untuk Selangor FC

SHAH ALAM, 28 NOV: Peruntukan untuk Selangor FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan adalah menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah yang bakal diperuntukkan itu masih di peringkat perbincangan.

“Peruntukan untuk bola sepak pada 2022 adalah melalui PKNS dan MBI. Perbincangan masih berlangsung berkenaan jumlah muktamad, oleh itu tidak diumum lagi.

“Sumbangan itu akan disalur ke tabung amanah bola sepak yang telah sedia ada. Kerajaan turut salur dana tambah baik infra bola sepak,” katanya menerusi Twitter.

Beliau berkata demikian bagi memberi maklum balas pengguna Twitter, @RimauXI berhubung Belanjawan #Selangor2022 yang hanya memperuntuk RM1 juta bagi Liga Akar Umbi.

@RimauXI memberi perbandingan pada belanjawan 2020 sebanyak RM10 juta diperuntuk untuk bola sepak Selangor dan jumlah itu meningkat pada belanjawan tahun ini kepada RM20 juta.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Michael Feichtenbeiner bukan nama asing dalam Liga M

SHAH ALAM, 21 NOV: Michael Feichtenbeiner yang diumum sebagai ketua jurulatih Selangor FC bukan nama asing dalam Liga Malaysia (Liga M).

Pengendali berusia 61 tahun dari Stuttgart, Jerman ini pernah menjadi ketua jurulatih pasukan MPPJ FC pada 2005 hingga 2006.

Semakan SelangorKini di sesawang transfermarkt.com mendapati Feichtenbeiner memulakan karier sebagai jurulatih remaja VfB Stuttgart pada 1983 sebelum menyertai kelab Switzerland BSC Old Boys Basel sebagai ketua jurulatih pada 1989.

Beliau kemudian berhijrah ke beberapa kelab lain di Jerman seperti Stuttgarter Kickers (1992), TSF Ditzingen (1993), KFC Uerdingen 05 (1997), SC Pfullendorf (1998), SV Darmstadt 98 (2000), Rot-Weiß Erfurt (2002) dan Sportfreunde Siegen (2003).

Antara pencapaian terbaik beliau termasuklah mara ke separuh akhir Piala DFB pada saingan 1999/2000 di mana kelab divisyen dua, Stuttgarter Kickers mengalahkan tiga kelab Bundesliga iaitu Borrusia Dortmund, Arminia Bielefeld dan SC Freiburg.

Feichtenbeiner juga pernah menjadi ketua jurulatih untuk pasukan bawah 15, 16 dan 17 tahun kebangsaan Jerman dari 20015 hingga 2019.

Beliau kemudian berhijrah ke Selangor FC dilantik sebagai pengarah sukan pada 2019 serta menggalas jawatan ketua jurulatih Selangor FC II.

Pada musim lalu Feichtenbeiner dilantik sebagai ketua jurulatih sementara Selangor FC selepas B Sathianathan dipecat.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Michael Feichtenbeiner ketua jurulatih baharu Selangor FC

SHAH ALAM, 20 NOV: Pengendali pasukan Selangor FC II Michael Feichtenbeiner hari ini diumum sebagai ketua jurulatih baharu Selangor FC.

Pengerusi jawatankuasa teknikalnya berkata pelantikan itu bagi menghadapi saingan 2022 selepas menilai kemampuannya sebagai ketua jurulatih sementara musim lepas.

Menurut Dato’ Seri Shahril Mokhtar, jurulatih dari Jerman itu menampilkan kerjasama pemain muda dan senior selain peralihan pantas antara menyerang dan bertahan.

“Ia selari dengan visi kami untuk melahirkan pasukan yang mampu menjuarai saingan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook pasukan itu.

Selangor FC juga mengesahkan Feichtenbeiner yang dilantik sebagai pengarah sukan sejak 2019 akan terus menjawat jawatan berkenaan.

Sebelum ini, jawatan ketua jurulatih disandang Karsten Nitzel bagi saingan Liga Malaysia 2021.

Kedudukannya dikatakan tidak selamat selepas Selangor FC tersingkir dalam saingan Piala Malaysia, baru-baru ini selepas kalah kepada Kuala Lumpur City 3-0 secara agregat pada suku akhir.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: KL City atasi Selangor FC 2-0

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Jaringan cantik masing-masing pada babak pertama dan kedua memastikan Kuala Lumpur (KL) City FC merakam kemenangan bergaya 2-0 ke atas Selangor FC pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Kejayaan pada pertembungan ‘derby’ Lembah Klang itu menyaksikan skuad ‘The City Boys’ akhirnya mencatat kemenangan pertama di tempat lawan berdepan Selangor FC dalam mana-mana pertandingan selepas lebih dua dekad.

Pada aksi tersebut, Romel Morales mengejutkan Selangor FC menerusi tandukan padu pada minit ke-14 sekali gus mengubati kehampaan apabila jaringannya pada minit ke-10 dibatalkan pengadil perlawanan Mohd Nafeez Abd Wahab susulan kekasaran yang berlaku dalam kotak penalti pasukan lawan.

Kedudukan itu kekal hingga menghampiri masa penuh permainan sebelum Muhammad Hadin Azman mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-82 untuk memberikan bekalan selesa kepada KL City FC menjelang pertembungan suku akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, Khamis ini.

Turut melakar kejayaan adalah Terengganu FC (TFC) yang memanfaatkan aksi di laman sendiri selepas mengatasi Sarawak United FC 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, sekali gus selangkah untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

TFC terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi pemain kebangsaan, Muhammad Faisal Abdul Halim yang melakukan larian pantas sebelum merembat bola dari jarak jauh menewaskan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Namun, kesilapan pertahanan TFC, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni yang tertanduk gol ke gawang sendiri pada minit ke-21 menghadiahkan gol penyamaan buat pasukan pelawat, sekali gus ‘membunuh’ kegembiraan 8,700 penyokong yang hadir.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu yang turun dengan misi mencari bekalan selesa untuk dibawa ke aksi kedua tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol kemenangan apabila Mohd Faiz Nasir melepaskan rembatan deras dari dalam kotak penalti pada minit ke-51.

Baki babak kedua menyaksikan TFC terus mendominasi permainan dan memperoleh beberapa peluang keemasan untuk menambah gol, tetapi gagal disempurnakan sekali gus kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, tonggak import Melaka United FC Sony Norde memastikan rentak cemerlang skuad ‘Sang Kancil’ dalam kempen Piala Malaysia beterusan selepas menjaringkan gol kemenangan untuk membantu pasukan mengatasi Sabah FC 1-0.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada 45 minit pertama permainan yang berlangsung sengit sebelum satu serangan balas di awal babak kedua bijak disudahkan Norde pada minit ke-52 menerusi rembatan kencang menewaskan penjaga gol tuan rumah Rozaimie Rohim.

Kemenangan itu menyaksikan Melaka United FC bimbingan Ketua Jurulatih Zainal Abidin Hassan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen pertandingan itu musim ini.

Dalam pada itu, aksi tumpuan antara juara 2016 Kedah Darul Aman (KDA) FC dan penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga juara Liga Super musim ini berakhir dengan keputusan 0-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Kesemua perlawanan suku akhir kedua akan berlangsung pada Khamis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor FC ajak penyokong ke stadium esok

SHAH ALAM, 13 NOV: Selangor FC (SFC) menagih sokongan peminat bagi meniupkan semangat pasukan yang berdepan KL City FC dalam aksi suku akhir Piala Malaysia esok.

Pemain import posisi penyerang Alexander Agyarkwa Ameyaw meminta para penyokong membeli tiket menyaksikan perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Saya mahu peminat datang dan menyokong kami. Beli tiket secara dalam talian,” katanya menerusi video dimuat naik Facebook Selangor FC.

Tiket boleh dibeli menerusi pautan https://bit.ly/BuyTicketSELKLC atau laman sesawang SelangorFC.com.

Pasukan Gergasi Merah layak ke pusingan itu selepas menewaskan Kuching City FC 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin minggu lalu.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC miliki kelebihan, Bojan anggap KL City pasukan bukan pilihan

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Status sebagai Juara Kumpulan A selain rekod tanpa kalah dalam saingan Piala Malaysia 2021 setakat ini bukan jaminan bagi Kuala Lumpur (KL) City FC untuk muncul sebagai pasukan pilihan dalam pertembungan suku akhir dengan Selangor FC.

Ketua Jurulatihnya, Bojan Hodak mengakui enggan terus lena dibuai mimpi susulan pencapaian cemerlang dilakar KL City dalam saingan kumpulan pertandingan bola sepak berprestij tempatan itu.

Pengendali dari Croatia itu berpendapat Selangor selaku juara 33 kali Piala Malaysia mempunyai kelebihan dalam aksi suku akhir itu kerana skuadnya masih sebuah pasukan yang baharu bangkit dalam kancah Liga Malaysia dan tidak mahu memberikan tekanan kepada anak buahnya selepas mara ke peringkat lapan terakhir itu.

“Kami bukan pasukan pilihan untuk menang dengan Selangor biarpun ramai melihat prestasi KL City cukup baik setakat ini di saingan Piala Malaysia.

Selangor ada kelebihan dari segi pilihan pemain kerana mempunyai barisan simpanan berbanding dengan KL City yang punyai sebuah skuad yang kecil,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan aksi sengit dijangka berlaku dalam perlawanan suku akhir yang dijalankan secara timbal balik itu selepas rekod kesemua pertemuan antara kedua-dua pasukan sepanjang musim ini termasuk satu perlawanan persahabatan, berakhir dengan keputusan seri.

Selangor akan menjadi tuan rumah bagi aksi pertama suku akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 14 Nov ini manakala KL City pula akan menjadi hos aksi kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 18 Nov.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor FC masih bayar gaji Brendan Gan

SHAH ALAM, 4 NOV: Selangor FC masih membayar gaji kapten pasukan, Brendan Gan yang sedang melawan kanser.

Jelas pasukan Gergasi Merah itu, pihaknya masih memenuhi kewajipan seperti yang dipersetujui di dalam kontrak pemain berdarah campuran Malaysia-Australia itu.

“Hari ini Selangor FC banyak menerima pertanyaan berkenaan status pemain kami yang sedang melawan kanser.

“Kami ingin menjelaskan kelab sudah memenuhi semua kewajipan yang dipersetujui di dalam kontrak dari awal hingga hari ini dan kami akan terus melakukannya sehingga tamat mana-mana kontrak sedia ada,” katanya di Facebook.

Tambah Selangor FC, untuk kontrak masa hadapan pengaturan baharu akan dibuat atas persetujuan bersama.

Sementara itu, Brendan menerusi akaun Twitter menafikan dakwaan di media sosial dan menegaskan majikannya itu sentiasa mematuhi kontrak yang sudah ditandatangani.

“Saya sudah melihat dan membaca mengenai apa yang diperkatakan di media sosial dan saya lihat perkara ini boleh ditakrifkan dalam pelbagai cara.

“Saya mahu menjelaskan bahawa Selangor FC mematuhi kontrak 2021 saya sepenuhnya,” katanya.

Pada 26 Julai, ketua pasukan Selangor FC yang juga pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan disahkan menghidap barah testis.

Perkara itu dimaklum beliau menerusi Facebook yang mendapat perhatian lebih 3,000 warga media sosial yang mendoakannya selain meninggalkan tanda suka.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor FC lepasi halangan saingan kumpulan

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Finalis 2018, Terengganu FC (TFC) mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia dengan bergaya selepas membelasah Perak FC 4-0 pada aksi keempat Kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Umpama pertembungan ulangan final kejohanan berprestij itu pada edisi 2018, namun perlawanan malam ini membuktikan Perak FC yang mengalami kemerosotan prestasi musim ini jelas bukan tandingan skuad tuan rumah yang mendominasi 90 minit perlawanan.

Skuad bimbingan Mohd Nafuzi Zain berjaya mendahului 3-0 dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan apabila hanya memerlukan 13 minit untuk membuka akaun gol menerusi rembatan kencang Makan Konate dari jarak jauh diikuti jaringan kedua pasukan oleh David Da Silva berselang enam minit.

Dechi Marcel menceriakan kira-kira 4,200 penyokong tuan rumah di stadium dengan gol ketiga pasukan pada minit ke-26 sebelum skuad Bos Gaurus terlepas peluang keemasan untuk merapatkan jurang apabila percubaan Royizzat Daud pada minit ke-29 berjaya diselamatkan penjaga gol.

Gol keempat TFC dijaringkan pemain kebangsaan Faisal Abdul Halim pada minit ke-62 yang tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan pasukan sekali gus menyaksikan TFC berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

Turut mengikut jejak TFC adalah Selangor FC selepas terpaksa bekerja keras sehingga ke penghujung perlawanan sebelum melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City FC dalam satu lagi aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Pemain gantian Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim muncul wira skuad Gergasi Merah apabila meledak gol kemenangan pasukan pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas kedua-dua pasukan buntu dan perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri.

Pada aksi itu, Selangor FC terlebih dahulu di hadapan menerusi Ahmad Danial Asri yang menanduk bola hantaran Alexander Ameyaw untuk gol ketiga peribadinya dalam kempen Piala Malaysia, namun Kuching City FC bangkit mengikat kedudukan hasil jaringan Michael Ijezie pada minit ke-67.

TFC dan Selangor FC mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati dengan masing-masing mengumpul 12 dan sembilan mata setakat ini manakala peluang tertutup buat Kuching City FC dan Perak FC selepas kedua-dua pasukan itu hanya mengutip satu mata dalam empat aksi.

Dalam pada itu, saingan Kumpulan A menyaksikan perebutan slot ke pusingan suku akhir semakin sengit antara tiga pasukan teratas iaitu pendahulu Kuala Lumpur (KL) City FC, Sarawak United FC dan Sri Pahang FC.

Ia selepas Sarawak United dan KL City FC terikat 2-2 di Stadium UiTM Shah Alam sementara Sri Pahang FC meneruskan “amukan” mereka dengan berpesta gol menewaskan Penang FC 5-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Di Shah Alam, penyerang prolifik Sarawak United FC Uche Agba dan tonggak serangan pasukan pelawat Romel Morales masing-masing meledak dua gol untuk memaksa kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati mengutip satu mata.

Sementara itu, Sri Pahang FC tidak menunjukkan belas kasihan kepada pasukan pelawat dengan Kenny Athiu mencipta ‘hatrik’ menerusi gol pada minit ke-10, minit ke-35 dan minit ke-81 manakala dua gol lagi masing-masing disumbangkan Abubakar Yakubu (minit ke-21) dan Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-57.

Walaupun seri, KL City FC kekal sebagai pendahulu mengumpul lapan mata diikuti Sarawak United FC (tujuh mata), Sri Pahang FC di tempat ketiga mengumpul enam mata dan Penang FC tercorot mengutip satu mata.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor FC belasah Kuching City 5-1

SHAH ALAM, 31 OKT: Pasukan Selangor FC berpesta gol menundukkan Kuching City FC 5-1 pada aksi peringkat Kumpulan B saingan Piala Malaysia malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Petaling Jaya, Gergasi Merah membuka tirai jaringan seawal minit pertama melalui Hein Htet Aung.

Begitupun pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-10 apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan sempurna oleh Michael Ijezie.

Selangor FC bangkit pada separuh masa kedua dan kembali mendahului pada minit ke-56 menerusi Ahmad Danial Asri dan terus mengukuhkan kedudukan sembilan minit selepas itu apabila Safuwan Baharudin menjaringkan gol ketiga hasil sepakan penalti.

Ahmad Danial kembali mengambil giliran untuk gol kedua peribadi serta gol keempat buat tuan rumah pada minit ke-79.

Skuad Gergasi Merah terus mengasak lawan dan melengkapkan kemenangan dengan 5-1 dengan tandukan Sean Selvaraj.

Keputusan itu menyaksikan Selangor FC mengutip enam mata di kedudukan kedua Kumpulan B di belakang Terengganu FC dan mencerahkan peluang ke suku akhir.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC garis empat panduan buat penyokong sebelum ke stadium

SHAH ALAM, 27 OKT: Selangor FC menggariskan empat panduan kepada penyokong Gergasi Merah yang ingin kembali menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium, Sabtu ini.

Empat perkara itu membabitkan kriteria penyokong, pembelian tiket, kemasukan penyokong dan kemudahan di stadium, menurut pasukan itu di Facebook rasminya.

Berdasarkan infografik yang dikongsi, hanya individu 18 tahun ke atas yang lengkap vaksinasi dan tidak bergejala dibenarkan masuk manakala warga emas tidak digalakkan.

Pembelian tiket hanya secara maya di https://bit.ly/3BnTSaJ, terhad dua tiket setiap orang yang tidak boleh ditukar milik kerana ia didaftarkan dengan mengemukakan kad pengenalan.

Penyokong yang hadir wajib membawa kad pengenalan untuk pengesahan dan sijil vaksinasi. Pintu stadium akan dibuka jam 6 petang dan ditutup pada separuh masa pertama.

Kemudahan stadium iaitu tandas dan surau dibuka sebelum dan selepas perlawanan, namun ditutup pada rehat separuh masa pertama dan masa tambahan.

Selain itu, tiada aktiviti makan dan minum sepanjang masa di stadium dan kedai cenderahati dibuka kepada orang ramai di luar stadium.

Sabtu ini, Selangor FC dijadual menentang Kuching City FC bagi saingan peringkat kumpulan B Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya jam 9 malam.

Selangor FC berada pada kedudukan kedua dengan mengumpul tiga mata selepas dua perlawanan.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Lapan pemain Selangor FC tersenarai skuad B23, hadapi kelayakan Piala Asia

SHAH ALAM, 20 OKT: Lapan pemain Selangor FC tersenarai dalam barisan pemain skuad bawah 23 (B23) kebangsaan bagi pusingan kelayakan Piala Asia B23 yang berlangsung di Mongolia, hujung bulan ini.

Pemain tengah Gergasi Merah, Mukhairi Ajmal turut diberi kepercayaan menjadi kapten skuad B23 kebangsaan selain dua rakan sepasukan, Ahmad Zikri Khalili dan Harith Haiqal pula dipilih sebagai pemangku kapten.

Lima lagi pemain ialah Sikh Izhan, Azrin Afiq, Faiz Amer, Fahmi Daniel dan Saravanan Thirumurugan.

“Brad Maloney, pengendali skuad bawah 23 tahun negara telah memberikan minit permainan kepada kesemua pemain termasuk lapan pemain muda Selangor FC yang tersenarai menyertai kem latihan dalam perlawanan persahabatan.

“Beberapa pemain muda Selangor FC dilihat menjadi taruhan utama Brad Maloney dalam perlawanan persahabatan yang dijalankan antaranya Zikri Khalili, pemain bek kiri pasukan utama Selangor FC,” kata Selangor FC menerusi kenyataan.

Skuad kendalian Brad Maloney dijadual berlepas ke Ulaanbaatar hari ini bagi menghadapi saingan Kumpulan J pusingan Kelayakan Piala Asia B23.

Malaysia dijadual menentang Laos pada 25 Oktober diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Solidariti terhadap Brendan Gan, pemain Selangor FC botakkan kepala (VIDEO)

SHAH ALAM, 25 SEPT: Beberapa pemain Selangor FC mengambil tindakan membotakkan kepala sebagai tanda solidariti terhadap ketua pasukan mereka, Brendan Gan yang menghidap kanser testis.

Menerusi video dimuat naik Selangor FC di Instagram, Khairulazhan Khalid, Ashmawi Yakin, Wan Zack Haikal Wan Noor, Mohammad Nor Hakim Hassan dan Taufiq Ar Rasyid turut mendoakan pemain tengah berusia 33 tahun itu segera sembuh.

Video seminit turut memaparkan Wan Zack Haikal yang juga pemain tengah Selangor FC menyuarakan kerinduan terhadap pemain kacukan Malaysia-Australia itu.

“Kepada kapten kami, @brendangan, ini (botak kepala) khas untuk anda,” memetik keterangan pada video dikongsikan kelab itu yang disertakan tanda pagar #HereWithBrendan dan #KitaAdalahSatu.

Hantaran tersebut turut mendapat maklum balas daripada Brendan Gan yang menganggap tindakan rakan sepasukannya itu mendorongnya untuk lebih bersemangat.

“Ia membuatkan saya mahu berjuang lebih lagi! Terima kasih rakan-rakan,” tulisnya.

Setakat berita ini ditulis, video berkenaan meraih 48,024 tontonan dan 15,735 tanda suka.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata penyokong terharu dengan penghormatan dan penghargaan diberikan pemain terbabit kepada Brendan Gan.

Pada 26 Julai lalu, Selangor FC mengesahkan kapten pasukan itu menghidap kanser testis dan berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan, namun kini dalam pemantauan pakar perubatan.

Kekangan itu menyebabkan pemain terbabit diketepikan untuk tempoh yang panjang pada Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Brendan mula menyertai Selangor musim lalu selepas mewakili beberapa pasukan Liga M sebelum ini termasuk Perak dan Kelantan.