Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FA-PKNS FC bergabung bawah Red Giant FC

SHAH ALAM, 6 NOV: Pasukan bola sepak Selangor FA dan PKNS FC akan digabungkan di bawah pentadbiran satu bumbung yang dikendalikan syarikat Red Giant FC Sdn Bhd.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, syarikat Red Giant Sdn Bhd itu pula diterajui Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor.

“Ia bagi memastikan dana yang diperuntuk difokuskan kepada pembangunan sukan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri turut menyuntik sumbangan sebanyak RM10 juta sebagai modal permulaan syarikat terbabit.

Categories
SUKANKINI

Piala FA: Selangor, Terengganu FC mara ke pusingan ketiga

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Selangor meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan Kelantan 3-0 di gelanggang keramat skuad The Red Warriors dalam aksi pusingan kedua Piala FA 2019 di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bahru, malam ini.

Segar dengan kemenangan kedua Liga Super musim ini menewaskan Terengganu FC, Jumaat lepas, Selangor hampir mendahului pada minit ke-18, namun rembatan kencang ketua pasukan Mohd Amri Yahyah dalam kawasan kotak penalti sedikit tersasar.

Skuad Gergasi Merah terus mengasak kubu pertahanan Kelantan, memaksa penjaga gol tuan rumah Lim Chien Khai terpaksa bekerja keras menyelamatkan beberapa gerakan berbahaya termasuk percubaan Sandro Da Silva pada minit ke-28.

Gol pembukaan perlawanan akhirnya berjaya dihasilkan Selangor menerusi Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-61, sebelum pemain sensasi Mohd Faiz Mohd Nasir menambah derita Kelantan dengan meledak dua gol pada minit ke-61 dan ke-85 untuk mengesahkan kemenangan Selangor.

Terengganu FC turut melakar kemenangan selesa apabila membelasah pasukan Liga M3, Ultimate FC 5-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Aksi hambar kedua-dua pasukan menyaksikan babak pertama perlawanan berakhir dengan kedudukan 1-0 berpihak kepada pasukan tuan rumah, hasil jaringan Mohamad Ashari Samsudin seawal minit pertama.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim kemudian memperkemaskan permainan pada babak kedua perlawanan untuk meledak empat gol, masing-masing menerusi Igor Zonjic pada minit ke-73, Sanjar Shaakhmedov (minit ke-78), Nasrullah Haniff Johan (minit ke-86) dan Mohd Khairul Izuan Rosli pada minit ke-90.

Di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, pula menyaksikan Jerantut FA mengesahkan slot ke pusingan ketiga setelah menewaskan JBFA 3-0.

Gol Jerantut FA dijaringkan Muhammad Nor Hafiz Sulaiman pada minit ke-30, diikuti jaringan Muhammad Hariz Irffan Mohd Nazrin (minit ke-71) dan Shazlan Zaidin pada penghujung perlawanan.

Sementara itu, hatrik pemain import dari Crotia, Mateo Roskam dan dua gol Milad Zanidpour memastikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC melangkah penuh bergaya ke pusingan seterusnya selepas melakar kemenangan 5-1 ke atas Protap FC di Stadium UKM, Bangi.

Pada masa sama, di Stadium Negeri, Kuching menyaksikan bekas pemain kebangsaan S. Chanthuru muncul wira Felda United apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk membantu skuad The Fighters melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuching FA.

Dalam pada itu, perlawanan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak yang dijadual berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang tadi, terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh baharu berikutan cuaca buruk. -BERNAMA

Categories
SELANGOR SUKANKINI

MSL: PKNS FC tewaskan Selangor 0-4

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 FEB: PKNS FC melakar kemenangan pertama dalam saingan Unifi Liga Super bagi musim 2019 dengan menewaskan Selangor 0-4 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Turun sebagai pasukan pelawat, PKNS FC terlebih dahulu menguji gawang Selangor menerusi percubaan Muhamad Faizat Mohamad Ghazali pada minit ke-10 tetapi Mohd Khairulazhan Mohd Khalid lebih bersedia menepis bola keluar.

Mohd Syazwan Zainon turut menguji gawang pelawat menerusi satu rembatan kencang bagaimanapun gagal menepati sasaran.

Pemain import PKNS FC, Vathanaka Chan turut menguji gawang Selangor pada minit ke-18, namun berjaya ditepis keluar Mohd Khairulazhan

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-27 apabila Nicholas Ryan Swirad berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Vathanaka bagi kedudukan 0-1.

Red Ants berpeluang menambah jaringan menerusi sepakan percuma Ganriel Miguel Guerra pada minit ke-38 tetapi gagal menepati sasaran.

Menuju minit akhir babak pertama, Muhammad Syahmi Safari hampir menyamakan kedudukan buat Selangor tetapi percubaanya gagal menerjah jaring walaupun terkena pertahanan PKNS FC.

PKNS FC terus garang pada babak kedua dengan jaringan kedua pada minit ke-49 apabila Kpah Sean Sherman berjaya memperdaya pertahanan dan penjaga gol Selangor dengan lambungan tinggi yang terus menerjah gawang tuan rumah bagi kedudukan 0-2.

Mohd Syazwan hampir merapatkan jurang buat Selangor pada minit ke-55 tetapi percubaannya sekadar singgah di palang gol.

Selangor terus mengasak mencari gol pertama menerusi rembatan Rufino Segovia pada minit ke-61 tetapi berjaya ditangkap kemas Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Rufino sekali lagi hampa pada minit ke-67 apabila rembatannya terus ke dakapan penjaga gol selepas menyambut sepakan percuma, Endrick Dos Santos.

 

Disaat Selangor terus mengasak, PKNS FC menambah jaringan ketiga pada minit ke-79 menerusi Vathanaka yang berjaya menolak masuk lorongan rakan sepasukan bagi kedudukan semasa 0-3.

Ketika menuju babak akhir permainan, Romel Morales memastikan derita buat Selangor dengan gol keempat pada minit ke-90 selepas berjaya melepaskan rembatan kencang di tepi gawang tuan rumah bagi tiga mata penuh pertama buat PKNS FC musim ini.

 

Categories
SUKANKINI

Liga Super: PKNS FC hampakan Selangor 2 – 1

OLEH HAFIZAN TAIB

SELAYANG, 21 SEPT: Jaringan Patrick Ronaldinho Wleh memastikan kemenangan 2 – 1 PKNS FC ke atas Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini, malam tadi.

Gol kedua Semut Merah dihasilkan penyerang import itu pada minit ke 64 selepas mengatasi pertahanan lawan dan membuat percubaan tepat ke dalam jaring.

Perlawanan ke-20 Liga Super itu sebelumnya yang agak perlahan bertukar rancak dengan The Red Giants menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun PKNS FC yang kembali diperkuatkan dengan kehadiran ketua pasukan, Safee Sali, turut mengancam dengan serangan balas bagi mengugat Selangor.

PKNS FC menangSemut Merah terlebih dahulu mengatasi lawan dengan gol jaringan Shahril Azhar Ture (m25) pada separuh masa pertama.

Namun jaringan yang menggamatkan penyokong pasukan pelawat tidak kekal lama apabila sebelas minit selepas itu Rufino Segovia Del Burgo berjaya mendapatkan gol untuk Selangor menyamakan kedudukan 1 – 1.

Bersambung babak kedua, kedua- dua pasukan memulakan perlawanan dengan berhati-hati tetapi kian rancak dengan gerakan berterusan ke kubu lawan.

Safee Sali memperoleh peluang pada minit ke-48 namun percubaannya tersasar melepasi pintu gol Selangor.

Begitu juga barisan serangan Selangor yang terlepas beberapa peluang terhilang antaranya menerusi Andik Vermanshah (m46).

Jaringan Patrick untuk kelebihan kepada PKNS FC dan kekal hingga ke akhir perlawanan memberikan tiga mata buat pasukan.

Keputusan itu menyaksikan PKNS FC kekal di tangga ke tujuh dengan 24 mata manakala Selangor kelima (30).

KEPUTUSAN LAIN:

JDT 3 – 0 Kelantan
Kedah 1 – 3 Felda United
Melaka United 3 – 1 Perak
Pahang 3 – 0 Sarawak
PPinang 0 – 2 T-Team