OLEH : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 29 MAC: Kerajaan Negeri kini giat membincangkan pelaksanaan program Selangor Homemaker sebelum ia dilaksanakan tahun ini.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata pihaknya masih menerima maklum balas daripada jabatan dan agensi Kerajaan serta anak syarikat Kerajaan Negeri berkenaan mekanisme dan kaedah pelaksanaan program terbabit.
“Program ini bertujuan menggalakkan hidup seimbang (work life balance) dalam kalangan ibu bekerja supaya mereka dapat menyumbang dalam pembangunan ekonomi di samping memenuhi keperluan keluarga.
“Kerajaan Negeri memulakan program perintis Selangor Homemaker Programme yang menyediakan pilihan memohon waktu kerja secara anjal.
“Walaubagaimanapun, program ini berada pada peringkat perbincangan,” katanya bagi menjawab pertanyaan ADN Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pada masa sama, Daroyah berkata, seramai 2,800 ibu tunggal menikmati Skim Pengembangan Usahawan bermula Disember 2015.
Katanya, ia membabitkan peruntukan pinjaman sebanyak RM15.4 juta bagi berpendapatan kurang daripada RM1,500 dan berminat menjadi usahawan meningkatkan taraf kehidupan keluarga.
“Kerajaan Negeri menginsafi kesulitan dan cabaran terpaksa dihadapi ibu tunggal bagi menyara kehidupan keluarga dalam keadaan ekonomi lemah.
“Usaha ini diharapkan dapat membantu golongan ibu tunggal dalam menjana pendapatan lebih baik sekaligus memperbaiki ekonomi keluarga,” katanya.
Antara bidang pengkhususan ditawarkan adalah masakan, bakeri, sejuk beku, perkhidmatan (spa,kesihatan, kecantikan) dan jahitan.
-AA-