Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Wan & Mary ungguli anugerah Selangor Modest Fashion 2019

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Wan & Mary, label dimiliki Hazzerwan Lee dan Mariam Musa berjaya menambat hati juri sekali gus dinobatkan sebagai Pereka `Aspiring’ Selangor Modest Fashion 2019, malam tadi.

Kedua-dua sahabat pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara Rembau itu tidak sangka mereka terpilih pada majlis itu sekali gus berjaya mengalahkan pesaing lain yang turut dianggap hebat.

Hazzerwan berkata, pilihan tema lautan pada busana santun yang digayakan pada Malam Gala Selangor Modest Fashion 2019, kali ini benar-benar membawa tuah buat mereka.

Model memperagakan busana direka Hazzerwan Lee & Mariam Musa iaitu pemilik label Wan & Mary yang memenangi Pereka `Aspiring’ Selangor Modest Fashion 2019 pada Majlis Selangor Modest Fashion Gala di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur pada 3 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
6 Attachments

“Kami menggabungkan warna laut manakala bentuk potongan busana ini pula digayakan mengikut alunan ombak,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada Selangor Modest Fashion 2019 bertempat di Hotel Four Season, di sini, malam tadi.

Hadiah disampaikan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut berangkat pada majlis itu Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Selangor Modest Fashion 2019 dianjurkan Invest Selangor dan mendapat kerjasama Selangor Youth Community.

Majlis itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk melahirkan pengkarya fesyen bertaraf dunia seterusnya menempatkan Selangor sebagai hab fesyen busana santun.

Selain Hazzerwan dan Mariam, lapan Pereka `Aspiring’ lain iaitu Ghaania, Emin Madrosa, Nadd Hassan, Arun Sayfull, Nicole Teoh, Shafirul Riza, Shawn Lee dan Fyrose turut mempersembahkan busana masing-masing pada malam berkenaan.

Sementara itu, Mariam berkata, beliau yakin misi utama Selangor membawa busana santun seiring dengan perkembangan dunia fesyen waktu ini.

“Busana santun atau dikenali sebagai ‘modest fashion’ mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar negara khususnya dari negara timur tengah.

“Saya juga melihat busana ini kaya dengan budaya sekali gus mampu menjadi pilihan masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Martabat busana santun melalui Selangor Modest Fashion 

PETALING JAYA, 7 NOV: Fesyen busana santun melalui penganjuran Selangor Modest Fashion dilihat mampu mendukung industri pakaian kreatif yang tumbuh pesat pada kadar 12 peratus setahun.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata industri fesyen turut menyumbang kepada pendapatan negeri dan dijangka meningkat dari RM3.5 bilion kepada 5.5 bilion menjelang 2023.

“Setiap tahun bakat baru dalam industri fesyen dicungkil dan Selangor khususnya Bangi dan Shah Alam sentiasa dikaitkan dengan busana santun, oleh itu kita seharusnya pantas merebut peluang bagi mengetengahkan segmen ini dalam industri fesyen.

“Untuk makluman pada 2015, wanita di seluruh dunia membelanjakan sejumlah USD44 bilion bagi busana santun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media ‘prelude’ Selangor Modest Fashion bertempat di Sunway Resort Hotel and Spa, di sini, malam tadi.

Berangkat merasmikan acara itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan wakil Selangor Modest Fashion, Dr Zulikhwan Ayub.

Turut hadir ialah pereka terkenal, Tom Abang Saufi, perunding fesyen terkenal, Zaihani Mohd Zain dan Pengasas KL Fashion Week, Andrew Tan.

Amirudin berkata secara peribadi beliau gembira program berkenan berjaya dilaksana setelah idea asalnya diangkat sewaktu beliau memegang portfolio  EXCO usahawan.

“Saya melihat trend busana santun ini tidak wajar ditinggalkan, sewaktu menemani isteri membeli-belah, saya melihat busana santun ini menjadi pilihan wanita.

“Kini program berkenaan sudah menjadi realiti dan membanggakan apabila ia mampu mewujudkan perintis baru dalam industri sama,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tengku Amir Shah berkenan rasmi ‘prelude’ Selangor Modest Fashion

PETALING JAYA, 7 NOV: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan merasmikan permulaan (prelude) Selangor Modest Fashion, malam tadi.

Keberangkatan baginda ke Sunway Resort Hotel and Spa itu diiringi Dato’ Menteri Besar Amirudin Shari, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris dan wakil Selangor Modest Fashion Dr Zulikhwan Ayub.

Turut hadir ialah pereka terkenal, Tom Abang Saufi, perunding fesyen terkenal, Zaihani Mohd Zain dan Pengasas KL Fashion Week, Andrew Tan.

Raja Muda Selangor sebelum itu turut dipersembahkan dengan rekaan pakaian hasil pereka muda antaranya Ghaania, Emin Madrosa, Nadd Hassan, Nicole Teoh dan Fyrose.

Model memperagakan busana sempena Selangor Modest Fashion Prelude 2019 di Sunway Resort Hotel & Spa pada 6 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tambah menarik apabila Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri turut memperkenalkan kembali rekaan tinggalan turun-temurun Selangor iaitu Kain Telepuk, Kebaya Selangor dan Baju Sikap.

Pada acara sama, Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang perintis iaitu Solehin Usman, Zabir Arfan dan Halimatun Saadiah.

Acara kemuncak Gala Fesyen Selangor Modest Fashion dijangka akan berlangsung pada 3 Disember ini.

Selangor Modest Fashion diwujud bagi merancakkan lagi industri fesyen tanah air khususnya busana santun yang membawa maksud fesyen sopan serta tidak mendedahkan dan menampakkan susuk tubuh badan.

Program inisiatif Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor yang mendapat kerjasama Selangor Youth Community (SAY), Yayasan Raja Muda Selangor, ‘Entrepreneurship Selangor’ dan Royale Demure ini diwujudkan untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk memberdayakan serta melahirkan pengkarya bertaraf dunia.

Beberapa program juga dilaksanakan melalui inisiatif ini iaitu Program Perantis dan Inkubator ‘Aspiring’.