Oleh : NORHAYATI UMOR
PETALING JAYA, 11 NOV: Selangor Strongest Man 2015 menyasarkan penyertaan seramai 600 peserta dengan kehadiran 5,000 pengunjung ke program julung kali diadakan itu.
Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Mohd Zubir Idrus, berkata program terbabit bertujuan memberi pendedahan kepada ahli bina badan dan anak muda berbakat melangkah ke tahap lebih tinggi.
“Kita mahu mewujudkan anak muda setiakawan, cergas dan sihat seterusnya mampu mewakili Selangor dan Malaysia ke kejohanan dunia,” katanya dalam Majlis Perasmian pertandingan itu, di Citta Mall, di sini.
Selangor Strongest Man 2015 membabitkan tujuh jenis acara membabitkan ‘strongest man’, ‘arm wrestling’, badan cantik, ‘bench press’, zumba, piloxing dan 5KM Fun Run.
Zubir berkata pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu atas 90 kilogram dan bawah 90 kilogram.
Turut diadakan perlumbaan menterbalikkan tayar, perlumbaan sambil mengangkat batang paip, perlumbaan menarik kereta dan perlumbaan menyusun barang.
“Masa terpantas akan dikira sebagai pemenang,” katanya.
Selangor Strongest Man dijangka menjadi tumpuan kerana menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 beserta trofi bagi tempat pertama setiap kategori.
Manakala bagi Arm Wrestling dan Bench Press pula masing-masing menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM500 beserta trofi bagi setiap pemenang.
Bagi acara badan cantik, pemenang akan membawa pulang wang tunai RM3,000 dan trofi.
Selangor Strongest Man turut menganjurkan klinik dan program kesihatan yang memberi tips pemakanan dan senaman yang sihat.
Pertandingan itu akan bermula 7 pagi hingga 7 malam di Citta Mall pada 21 November depan.
-nR-