Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Dana jawatankuasa perubahan iklim manfaat untuk aktiviti kajian

SHAH ALAM, 28 FEB: Dana tambahan disalurkan Kerajaan Selangor kepada jawatankuasa khas perubahan iklim bakal digunakan untuk menjalankan aktiviti kajian dan penyelidikan.

Hee Loy Sian yang dipertanggungjawab memegang portfolio baharu itu berkata pihaknya akan menjalin kerjasama dengan saintis dan pakar dari universiti untuk membuat kajian menyeluruh berhubung perubahan iklim.

Beliau menjelaskan kajian itu termasuk faktor Selangor dilanda hujan lebat luar biasa pada akhir Disember tahun lepas meskipun moratorium pembalakan sudah berkuat kuasa sejak 2010 untuk tempoh 25 tahun.

“Sekarang tiada pembalakan, jadi mengapa perubahan iklim kita (Selangor) luar biasa? Kemungkinan disebabkan pertambahan kenderaan berat dan pembebasan karbon dari kilang serta bangunan.

“Jadi, kajian-kajian seperti ini akan dibuat kerana dengan penjenamaan (portfolio), kita ada pertambahan peruntukan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Selangor Journal baru-baru ini.

Sementara itu, Loy Sian mengakui perubahan iklim bukan isu mudah untuk ditangani selain memerlukan perancangan jangka panjang sehingga hingga 30 tahun.

“Memang perlukan masa kerana ia merupakan perbincangan polisi jangka panjang. Kita kena kaji kenaikan paras laut setiap tahun dan (kajian) ini sangat penting.

“Biasanya kadar taburan hujan lebih kurang 70 hingga 90 milimeter(mm), tetapi kali ini (Disember 2021) mencecah sehingga 200mm. Keadaan ini agak aneh kerana tidak pernah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini,” katanya lagi.

Dua minggu lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan tambahan portfolio baharu perubahan iklim yang diketuai Loy Sian.

Penambahbaikan portfolio itu menjadikan jawatan disandangnya kini adalah EXCO pelancongan, alam sekitar, perubahan iklim, teknologi hijau dan hal ehwal orang asli.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB gembira perkembangan positif e-sukan di Selangor, penyertaan hingga peringkat antarabangsa

GOMBAK, 19 FEB: Dato’ Menteri Besar gembira melihat perkembangan positif e-sukan di Selangor berbanding ketika beliau memperkenalkannya tujuh tahun lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika itu terdapat segelintir pihak menganggap ia program sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat kepada generasi muda.

“Saya gembira kerana saya yang memulakan inisiatif ini ketika bergelar EXCO di peringkat negeri…pada waktu itu ramai sinikal, anggap mungkin sia-sia, kenapa ceburi perkara yang tak pasti.

“Tetapi pada waktu itu saya yakin bahawa ia boleh berkembang dan hari ini terbukti ia sampai ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pengurusan e-Sukan di Dewan Kampung Melayu Batu Caves di sini hari ini.

Amirudin berkata perkembangan itu bukan sekadar permainan video malah memberi kemahiran lain serta menjana pendapatan kepada mereka yang menceburinya.

“Team Selangor terlibat memperkenal permainan ini daripada konteks lebih baik dan terurus.

“Saya percaya dengan cara ini mereka bukan hanya bermain ‘game’ malah mengenal pasti peluang yang boleh diperoleh,” katanya.

Pembangunan e-sukan di Selangor tahun ini menumpukan tiga cabang utama bagi melahirkan lebih ramai penggiat industri bertaraf global.

Teras itu merangkumi pemain, pengulas dan jurulatih bagi melengkapkan ekosistem sukan selain membina kerjaya dengan gaji lumayan, kata presiden Persatuan e-Sukan Selangor pada Disember lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor diramal catat jumlah hujan tinggi pada April

SHAH ALAM, 4 FEB: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Selangor mencatat jumlah hujan tinggi pada April ini iaitu pada paras purata 230 hingga 350 millimeter (mm).

Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan negeri itu diramal mengalami taburan hujan sederhana pada Mac iaitu antara 200 hingga 300mm.

Jangkaan taburan hujan yang sama turut berlaku pada Februari, Mei, Jun dan Julai pada paras purata 110 hingga 250mm.

Berdasarkan tinjauan cuaca jangka panjang bagi Februari hingga Julai, MetMalaysia memaklumkan kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka menerima hujan antara tiada hujan hingga 250 mm, Mac (100 hingga 350 mm) manakala April (50 hingga 400 mm).

Agensi turut memaklumkan keadaan cuaca dijangka dipengaruhi oleh fasa Monsun Barat Daya pada Mei yang mana kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 hingga 350mm kecuali di Melaka, Pahang (Pekan dan Rompin) dan Johor antara 50 hingga 200mm.

Pada Jun dan Julai, kebanyakan negeri di Semenanjung akan menerima hujan pada paras purata antara 100 hingga 300 mm.

Mengikut skala mm, paras rendah taburan hujan antara 0-100, sederhana (100-300), tinggi (300-500) dan sangat tinggi (lebih 500).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelaburan di Selangor dijangka bertambah baik tahun depan

PETALING JAYA, 28 JAN: Selangor optimis pelaburan langsung asing negeri ini kembali bertambah baik tahun depan, kata EXCO pelaburan dan perdagangan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata pintu sempadan antarabangsa yang masih ditutup mungkin sedikit menjejaskan misi pelaburan di luar negara tahun ini.

“Walaupun berusaha melakukan program promosi dalam talian tetapi terhad memandangkan pelaburan tertentu memerlukan mereka (pelabur) melawat secara fizikal.

“Apabila adanya penutupan pintu sempadan antarabangsa memang kita tidak dapat elakkan dan perlu berhati-hati. Jadi, kita harap tahun depan ia (pelaburan) lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi pendengaran awam penerbangan perniagaan dan penerbangaan am di Hotel Hilton dekat sini semalam.

Bagaimanapun, Chang Khim berharap sasaran RM8 bilion pelaburan tahun ini mampu dicapai, lebih tinggi berbanding RM5.9 bilion yang diperoleh pada 2021 berdasarkan rekod setakat September.

Pada 21 Januari, beliau berkata pihaknya masih menumpukan lima kluster dalam menarik pelabur asing ke Selangor iaitu elektronik dan elektrikal, mesin dan peralatan, peralatan pengangkutan, makanan dan minuman serta sains hayat.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya, promosi lebih kreatif dan mengikut perkembangan semasa masih dilaksanakan seperti penganjuran ekspo dalam talian selain Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) secara hibrid.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Selangor sedia pelan tangani perubahan iklim, pemanasan dunia

Berikut teks ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Shah Alam pada 24 Januari 2022.

Bahagian pertama: MB: Perlu cepat sesuaikan dengan perubahan, kuasa tidak lagi berpusat

Bahagian kedua: MB: Bukan masa tunjuk kuasa, yakinkan rakyat perkara betul kita lakukan

Kalau semua orang memerhati kita, saya sebutkan, tidak ada lagi perkara yang boleh kita sembunyikan. Tidak ada lagi perkara yang kita boleh sapu ke bawah karpet, sapu di bawah tikar, yang kita mahu sembunyikan sebab inilah realiti yang kita hadapi: Dunia makin terbuka, kehidupan terbuka dan perjalanan pentadbiran juga terbuka.

Untuk barisan pemimpin, ketua-ketua jabatan sudah pasti keadaan ini lebih terdedah. Dalam realitinya, semua kehidupan individu sudah terdedah. Adakah kita hendak berpatah balik ke dunia dahulu yang tidak ada media sosial? Terpulanglah kalau ada yang memilih begitu. Namun kita juga ada pilihan, pilihan untuk beradaptasi dan berubah dengan realiti baharu.

Saudara dan sahabat sekalian,

Sebab itu kita semua tidak boleh bergerak bersendirian dan kena ajak seramai mungkin, rakyat dan masyarakat, walau tugas ini mengambil masa panjang dan ruang yang rumit.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari membantu membersihkan kawasan perumahan yang dipenuhi lumpur akibat banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kalau dulu arahan Yang Berhormat, EXCO atau pegawai daerah semuanya akan ikut, akan patuh, akan buat. Hari ini, arahan daripada siapa pun ada suara yang akan bercakap (melalui media sosial). Suara itu mungkin seorang sahaja tetapi ia boleh mempengaruh lapan orang yang lagi. Itulah yang kita kena hadapi dan kena lakukan.

Kalau kita boleh lakukan seperti itu, kitalah yang disebutkan leadership (kepemimpinan), barisan pemimpin dan ketua jabatan yang tahan uji, berkemampuan dengan segala ujian, sebagai kepemimpinan yang responsif.

Pada hari ini, sewajarnya kita menangani dan menanggapi global warming (kepanasan dunia) dan climate change (perubahan iklim); pengajaran penting setelah kita ditimpa beberapa musibah walau tanda-tandanya bukan baharu. Sebelum itu, ada kejadian tanah runtuh atau ribut di sana sini.

Sepanjang pentadbiran saya sebagai Menteri Besar sahaja, dalam beberapa waktu seperti malam tahun baharu atau malam sambutan Aidiladha, kadang-kadang kita harus menangani bencana ribut, banjir atau tanah runtuh yang berlaku mendadak.

Bagi berdepan perubahan iklim dan kepanasan dunia, kita akan melaksanakan dasar dengan menubuhkan Jawatankuasa Tetap di bawah Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dengan memasukkan elemen Perubahan Iklim yang telah memberikan kesan kepada kehidupan kita.

Kesan iklim ini bukan hanya akan menekan kita untuk berdepan soal tanah runtuh dan banjir tetapi aspek kehidupan yang lain. Harga barangan, contohnya, akan terjejas sebab ladang musnah akibat banjir, ladang rosak akibat tanah runtuh. Dalam masa sama, perubahan iklim mendadak ini mengubah struktur tanah dan suasana persekitaran. Mungkin kita akan berdepan krisis lain, contohnya tadi bekalan makanan.

Sebab itu dalam Pakej Kita Selangor 1.0 dan Belanjawan, kita titikberatkan jaminan bekalan makanan untuk memastikan kelangsungan hidup kita dapat dipertahankan. Bukan hanya pertahanan emosi, bukan hanya mental, bukan hanya mampu bertahan dengan kecekalan, tetapi kita kena bersedia dari sudut fizikal.

Maknanya makanan, struktur kerja dan bangunan. Kerajaan Negeri baru-baru ini mengumumkan skim perumahan pekerja. Alhamdulillah, tidak lama lagi kita buat di Kajang. Tahniah! Kita cepat lakukan. Bulan Januari kita sudah buat skim perumahan pekerja pertama di Selangor. Itu kedudukan yang perlu kita lakukan pada hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi amanat kepada penjawat awam sempena Tahun Baharu 2022 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz pada 24 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebab itu perubahan-perubahan yang saya sebut ini bukan hanya satu lapis tetapi ia memberi kesan panjang pada kehidupan kita. Untuk itu, kita akan pastikan perubahan iklim atau kepanasan dunia ini sebagai satu agenda di semua peringkat, daripada barisan kepemimpinan negeri sampai ke bawah supaya perkara ini diambil kira dalam perancangan kita.

Sebelum ini, kita ada Kerangka Kerja Rendah Karbon di Bandar (LCCF) di peringkat pihak berkuasa tempatan. Kita juga ada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Sekarang kita kena melihat aspek kepanasan dunia ini — bukan hanya bercakap di luar sana tetapi realiti yang kita kena hadapi dan, yang paling jelas, kejadian banjir besar yang melanda kita.

Dan sebab itu Kerajaan Negeri juga dalam segenap aspek perubahan ini, dalam 2022 kita siapkan dan sediakan dengan SIAP (Selangor Implementation and Performance Monitoring Unit). SIAP adalah sebuah institusi yang akan melihat kepada integriti, pencapaian, pelaksanaan program dilakukan, projek supaya aspek persediaan yang saya sebut tadi, mental fizikal kita bersiap siaga termasuk bagaimana kita mampu menyedut dan menyerap setiap rintangan dan cabaran yang berlaku di 2022.

Saudara saudari dikasihi sekalian.

Bagi tahun 2022, bukannya semuanya yang saya sebut tadi susah atau perubahan mendadak tetapi hal ini yang perlu kita hadapi. Kalau kita hadapi dengan baik, kita akan dapat lahirkan sesuatu yang baik untuk negeri kita.

Alhamdulillah sudah dua tahun berturut-turut, pada 2020 dan juga 2021. Semua orang fikir sukarnya PKP, PKPD. Ekonomi tidak berjalan, perniagaan tidak berlangsung, pelaburan sukar mendarat. Alhamdulillah dalam dua tahun berturut-turut kita mampu melebihi sasaran pungutan hasil kita. Dua tahun berturut-turut.

Tahun 2021 saat paling sukar itupun kita berjaya capai sesuatu yang lebih daripada kita sasarkan. Maknanya kadang kala kita berada dalam tekanan dan sedikit terdesak, kita akan mempunyai keupayan dan kemampuan yang lebih. Momentum kerja itu harus kita kekalkan. Suasana berubah, bersedia beradaptasi dan bersedia anjal, tangkas, tahan uji, bersabar.

Inilah ciri-ciri baharu yang harus kita pertahankan, kekalkan, di samping mempertahankan integriti, profesionalisme penjawat awam dan juga yang terakhir bagaimana kita melayan dan mendekati pemegang taruh — yakni rakyat — yang selalu bertanya dan menimbulkan pelbagai persoalan kepada kita.

Kereta terkandas akibat banjir di stesen minyak ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Justeru, untuk menjadi sebuah negeri yang terbuka, kita kena yakin untuk mengakui kesilapan, yakin mengakui kita akan perbetulkan, yakin mengakui kita berdepan masalah ini. Keyakinan ini perlu ditanamkan dari peringkat kepemimpinan tertinggi dan pegawai bawah.

Dengan keyakinan kita ini, kita tidak cuba sembunyikan atau menyorok. Kalau kita menyorok, kita tutup, amalan ini tidak boleh lagi berlaku waktu ini. Insya-Allah dengan doa dan kecekalan dan kesabaran semua kita, inilah perkara yang kita patut lakukan pada 2022.

Kita fokus, kita laksanakan. Insya-Allah kita boleh berdepan cabaran dan perubahan yang berlaku. Belajar daripada kesilapan. Kenali kelemahan. Kuatkan dan pertahankan pentadbiran ini. Kerajaan Negeri ini mampu berdepan krisis apa yang datang, krisis politik, krisis pentadbiran, krisis pandemik, tragedi banjir — semua ini menjdi satu platform yang harus menunjukkan kita kena bangkit, bukan melemahkan kita.

Ketika krisis, ketika keadan mendesak, saya selalu sebutkan kerajaan menjadi nadi penting. Kalau kita tumbang, “koyak”, tidak mampu bertahan dan amarah, tuding pula pada orang lain, semua orang akan melakukan lebih ekstrem daripada kita lakukan.

So waktu krisis seperti ini, kerajaan, pimpinan dan ketua jabatan akan menjadi nadi penting untuk memandu komuniti, masyarakat dan negara; untuk memandu rakyat apakah jalan dan laluan yang betul.

Kalau tidak, istilah “kita jaga kita” itu akan dibengkokkan kepada perkara lain, akan menimbulkan suasana pertempuran macam di Hong Kong, peristiwa yang berlaku di Ukraine atau Kazakhstan ketika ini di mana ada perubahan dalam pimpinan negara disebabkan rakyat tidak teratur dan gagal diatur. Kerana pada waktu-waktu tertentu pentadbiran dan kepimpinan sudah “koyak” dan tidak mampu bertahan dan berdiri walaupun berdepan kritikan dan pelbagai perkara.

Kepada saya, kepada semua yang ada di sini, ahli majlis PBT, Ahli Dewan Negeri, EXCO dan ketua jabatan: Kita kena beringat-ingat hal ini kerana ia sentiasa datang, tidak boleh kita elakkan. Yang boleh kita lakukan, kita kena bertahan dan bersabar serta kukuhkan dengan kecekalan untuk menjadi dan membangun sebuah Negeri Tahan Uji.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan badminton Asia berlangsung di Selangor mulai 15 Feb

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Badminton Asia hari ini mengesahkan Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 akan berlangsung di Pusat Konvention Setia City di Selangor dari 15 hingga 20 Feb.

Badminton Asia dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan edisi keempat BATC yang juga menjadi kejohanan kelayakan untuk Piala Thomas dan Uber 2022 di Bangkok akan dianjurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kerajaan negeri Selangor.

“BAM akan menggunakan protokol kesihatan yang ketat mengikut standard Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan peraturan ditetapkan kerajaan Malaysia. Pemain dan pegawai dari seluruh Asia akan menyertainya dan bertanding untuk gelaran pasukan terbaik di Asia,” menurut kenyataan Badminton Asia.

Badminton Asia yakin dengan kejayaan penganjuran kejohanan itu, daripada pengalaman yang didapati daripada dua siri kejohanan pada 2021 dalam keadaan pandemik Covid-19, iaitu tiga kejohanan di Thailand pada awal tahun dan Festival Badminton Indonesia pada hujung tahun, kedua-duanya dilangsungkan dalam sistem gelembung.

Persatuan Badminton Thailand (BAT) menganjurkan Terbuka Thailand Yonex, Terbuka Thailand Toyota dan Jelajah Akhir BWF pada Januari, manakala Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) menjadi tuan rumah kepada Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan Jelajah Akhir BWF, pada hujung tahun lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor catat eksport tertinggi November 2021, sumbang RM6.3 bilion

SHAH ALAM, 15 JAN: Selangor mencatatkan peningkatan eksport tertinggi pada November 2021 sekali gus menjadi penyumbang besar kepada pertumbuhan eksport negara.

Perkara itu dikongsi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter, hari ini.

“Selangor mencatatkan peningkatan eksport tertinggi pada November 2021, menyumbang RM6.3 bilion daripada jumlah pertumbuhan eksport negara sebanyak 32.4 peratus kepada RM27.5 bilion pada bulan tersebut,” katanya.

Beliau juga turut berkongsi pautan berita yang dilaporkan Sinar Harian mengenai kejayaan itu berdasarkan laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri bagi November 2021.

Laporan itu juga menyebut jumlah dagangan Malaysia pada November 2021 bernilai RM205.5 bilion, meningkat 34.9 peratus tahun ke tahun, dengan nilai eksport RM112.2 bilion (32.4 peratus tahun ke tahun) dan import bernilai RM93.3 bilion (38.0 peratus tahun ke tahun).

 

Categories
SELANGOR

Majlis agama setiap Jumaat di kediaman MB Selangor bermula hari ini

SHAH ALAM, 14 JAN: Sebuah majlis agama akan dianjurkan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor pada Jumaat setiap minggu bermula hari ini.

Menurut isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhamad majlis bermula jam 9 pagi itu diadakan bagi mengeratkan lagi ikatan silaturahim.

Hari ini, majlis dimulakan dengan bacaan zikir Wirdul Latif, surah Al-Kahfi dan solat sunat tasbih berjemaah pimpinan Sheikh Abdullah Jahaf.

“Semoga Allah SWT rahmati negeri yang kita cintai ini dengan limpahan kasih dan baginda Nabi Muhammad SAW dan menjadi asbab umat sentiasa berkasih sayang, tiada lagi sifat sombong, keakuan diri dan perasaan benci.

“Semoga ikatan silaturrahim ini sentiasa berada di dalam kerahmatan dan keredhaan Allah SWT sehingga kita semua disatukan bersama baginda nabi di syurga,”katanya menerusi Facebook.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

EXCO: Pelaburan negeri dijangka lebih baik tahun ini

SHAH ALAM, 10 JAN: Pelaburan di Selangor tahun ini dijangka menjadi lebih baik dari 2021 ekoran banjir yang telah surut dan pandemik Covid-19 semakin bertambah baik, kata EXCO Industri dan Perdagangan Negeri Selangor Dato’ Teng Chang Khim.

Teng berkata varian Omicron masih tidak dapat diramalkan dan sehubungan itu beliau menggesa semua pihak supaya berhati-hati, terutamanya semasa perayaan kerana rentas sempadan masih dibenarkan.

Katanya, tanpa sebarang sekatan perjalanan misalnya, ia akan memberi kesan kepada ekonomi domestik dan oleh itu pelaburan dijangka lebih baik tahun ini.

“Ia (pelaburan) akan bergantung kepada perkembangan pandemik dan berharap tiada bencana alam yang akan berlaku lagi dalam beberapa bulan akan datang,” katanya kepada pemberita pada sidang media Program Tahun Baharu Cina Dalam Talian Peringkat Negeri Selangor 2022 di sini hari ini.

Pada tahun ini, beliau berkata kerajaan Selangor memutuskan untuk meneruskan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina secara dalam talian melalui Program Kebudayaan Istimewa Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022.

Ekoran dari pandemik tahun lepas, katanya kerajaan Selangor telah mengambil keputusan mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina 2021 secara dalam talian dan mencatatkan 218,000 tontonan dari seluruh negara antaranya Singapura, Taiwan, Macau dan United Kingdom.

Dalam kenyataan hari ini, Invest Selangor berkata program tersebut akan ditayangkan melalui saluran media dalam talian dan media sosial, dan dihoskan di laman Facebook Mandarin Dato’ Menteri Besar  @ami.mbselangor dan Facebook EXCO Selangor Teng Chang Khim pada pukul 9 malam 1 Februari ini.

Menurut kenyataan itu Program Kebudayaan Istimewa Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini bakal menyaksikan penampilan seniman dari tiga generasi dengan tiga acara berlatarkan zaman masing-masing, iaitu pada 70-an sehingga 80-an, pada tahun 90-an dan awal 2000 serta zaman 2000.

“Tiga acara ini akan berlangsung selama sejam dan dipengerusikan oleh hos televisyen Yoke Chen dan YouTuber popular Jym Chong. Aturcara program perayaan ini bertujuan untuk menarik penonton pelbagai umur dan seterusnya menyatukan semua lapisan masyarakat untuk bersama meraikan Tahun Baharu Cina,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN bawa isu kelewatan bantuan banjir Selangor ke Parlimen

SHAH ALAM, 8 JAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan membawa isu kelewatan pemberian bantuan kepada mangsa banjir di Selangor pada sidang khas Parlimen pada 20 Januari depan.

Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata langkah itu dibuat kerana kerajaan pusat dilihat seakan-akan membiarkan Selangor terkapai-kapai dalam menguruskan bencana yang berlaku pada 18 Disember lalu.

“Seharusnya kerajaan pusat apabila sudah nampak keadaan perit dan bermasalah segera mengisytihar darurat banjir di kawasan terlibat bagi membolehkan aset-aset bantuan turun.

“Negeri lain ada pengalaman berbeza dengan Selangor dan saya kesal kerana masih terdapat agensi yang lambat diaktifkan. Selangor merupakan negeri berkuasa ekonomi dan apabila tidak dibantu memberi kesan kepada produktiviti serta kehidupan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Fahmi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai berkata isu lain yang turut dibangkitkan adalah berkaitan permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir.

“Permohonan bantuan ini sepatutnya lebih mudah supaya mangsa banjir dapat dibantu bukannya perlu berdaftar sana sini,” katanya.

Taburan hujan luar biasa di antara 100 hingga 400 milimeter secara berterusan mengakibatkan kejadian banjir di 186 kawasan di sembilan daerah di Selangor.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam yang mana seramai 4,276 mangsa banjir berjaya diselamatkan dengan 4,080 mangsa dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS).

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba kenal pasti 272 lokasi berpotensi berlaku banjir

PUTRAJAYA, 31 DIS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti sejumlah 272 lokasi dengan paras air yang mudah meningkat dan berpotensi menyumbang kepada banjir di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata 272 lokasi berkenaan melibatkan sungai, persisiran pantai, air terjun dan tali air.

Beliau berkata kesemua lokasi itu dipantau JBPM sejak September lepas namun disebabkan taburan hujan di luar jangkaan pada 18 hingga 20 Dis lepas di sembilan daerah di Selangor, menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terbatas.

Sememangnya di Selangor ini pada peringkat awalnya, kami respons tetapi dengan keluasan daerah dan kepantasan paras air yang naik di negeri itu maka logistik dan keanggotaan pada ketika itu tidak boleh menampung keperluan keadaan (banjir) yang berlaku,” katanya kepada Bernama di pejabatnya semalam.

Mohammad Hamdan berkata pihaknya pergi ke Hulu Langat, Shah Alam dan Klang dan mendapati kawasan itu terjejas banjir serta memerlukan banyak bantuan.

Sementara itu, mengulas mengenai SAR dalam menyelamatkan mangsa banjir, beliau berkata ia memberi cabaran kepada JBPM kerana JBPM mengambil masa yang lama untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir kerana di Selangor terdapat banyak daerah dan puluhan ribu mangsa terjejas ketika itu.

Mengulas mengenai sama ada anggota JBPM mencukupi atau sebaliknya semasa operasi SAR mangsa banjir, Mohammad Hamdan mengakui terdapat kekangan dari segi jumlah anggotanya dan berterima kasih kepada komuniti setempat, sukarelawan, badan bukan kerajaan yang turut membantu dalam aspek menyelamatkan nyawa, pengurusan dan pemindahan mangsa banjir.

Dalam perkembangan lain, JBPM dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi dan Agensi Pengurusan Bencana Negara akan mempergiatkan pemantauan berterusan khususnya fenomena alam yang kerap berubah.

“Kami bukan sahaja melihat ‘hotspot’ sahaja tetapi juga aliran sungai lain yang bertembung di antara satu sama lain yang menjadikan kawasan persekitaran lebih berbahaya.

Apabila kami mengenal pasti ‘hotspot’ ini, kami akan membuat penilaian risiko dan mengambil tindakan bagi mengawal risiko ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Selangor turun kepada 7,503 orang

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri iaitu Selangor, Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan berkurangan pada tengah hari ini manakala di Melaka tidak berubah.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah keseluruhan mangsa banjir di kelima-lima negeri pada tengah hari ini ialah 19,099 orang daripada 5,882 keluarga yang berlindung di 122 PPS di seluruh negara.

Jumlah itu menurun berbanding 20,026 orang daripada 6,136 keluarga melibatkan 130 PPS, pada pagi tadi.

Di Selangor, aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 7,503 orang di 36 PPS tengah hari ini berbanding 7,751 orang di 39 PPS pagi tadi.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat dan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam berada pada tahap waspada, masing-masing mencatatkan paras 3.38 meter dan 1.89 meter setakat 10.45 pagi tadi.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan 11,776 orang masih berada di 83 PPS tengah hari ini berbanding 12,692 orang di 90 PPS.

Enam daerah yang masih terjejas banjir di Pahang ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Kundang di Maran masih mencatatkan tahap melebihi amaran iaitu paras 21.06 meter tengah hari ini.

Kelantan turut mencatatkan penurunan mangsa banjir tengah hari ini apabila seramai 78 orang daripada 23 keluarga berada di PPS Sekolah (SK) Tok Deh, Pasir Mas tengah hari ini berbanding 152 orang daripada 46 keluarga di PPS itu dan SK Gual Periok, pagi tadi.

Di Negeri Sembilan, aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir setakat tengah hari ini menurun sedikit kepada 54 orang daripada 18 keluarga berbanding 58 orang daripada 19 keluarga, pagi tadi.

Kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Triang Hilir dan Dewan Orang Ramai Kampung Puom di Jelebu.

Sementara itu, di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata jumlah mangsa banjir pada tengah hari ini tidak berubah dengan 26 orang daripada lapan keluarga masih berada di PPS SK Penghulu Benteng di Jasin.

-BERNAMA