Categories
SELANGOR

#Selangor18: Pembangunan luar bandar terus diberikan fokus

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 5 NOV: Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembangunan kawasan luar bandar supaya kemajuan Selangor dinikmati bersama oleh seluruh rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2018, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM25 juta bagi tujuan berkenaan.

“Seperti diumumkan dalam belanjawan untuk tahun depan, kita memberi tumpuan besar kepada pembangunan desa.

“Saya tidak masuk kekayaan Selangor hanya dilimpahkan ke kawasan bandar sahaja maka peruntukan besar dibawa masuk ke kampung dan desa supaya orang di kawasan ini juga menikmati pembangunannya,” katanya dalam Majlis Ramah Mesra dan Pemyampaian Sumbangan di Arena Pasir Tuntong di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Mohamed Azmin menyampaikan sumbangan kepada 54 nelayan di kawasan itu.

Belau berkata, Kerajaan Negeri telah menggerakkan pelbagai program dan inisiatif demi manfaat warga nelayan di Selangor.

“Kita telah memberikan banyak bantuan sama ada dalam bentuk sokongan moral, kewangan dan peralatan kepada warga nelayan di Selangor.

“Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan terhadap perkara ini demi kebaikan dan masa depan golongan ini,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Bantu rakyat hadapi impak GST

OLEH SABIRAH AZIZ

GOMBAK, 5 NOV: Belanjawan Selangor 2018 dilihat memberi tumpuan sepenuhnya bagi membantu pelbagai masyarakat di negeri itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, perancangan belanjawan itu berbeza dengan belanjawan Persekutuan yang masih mengekalkan GST sebagai salah satu sumber bagi menampung perbelanjaan negara.

“Bagi saya, pembentangan Belanjawan Selangor ini telah mencakupi keseluruhan segmen masyrakat di Selangor.

“Belanjawan Selangor turut menumpukan pemerhatian lebih bagi membantu rakyat yang menghadapi kesukaran hidup yang terus meningkat pada masa kini.

Hasbullah berkata, belanjawan pada kali ini dibentangkan atas kekuatan yang ada pada kerajaan hari ini tanpa menekan dan menyusahkan rakyat berbanding Kerajaan Persekutuan.

“Syabas dan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu ADN Selat Kelang, Dr Halimah Ali berkata, belanjawan Selangor itu dilihat bagus dan menyeluruh.

“Diharap bas Smart Selangor diperluaskan ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terutamanya di pangsapuri kos rendah supaya pelbagai lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan itu,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Belanjawan membela nasib rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SUNGAI BESAR, 5 NOV: Komitmen Kerajaan Negeri membela nasib rakyat terus menjadi keutamaan menerusi Belanjawan 2018, Jumaat lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, belanjawan itu meneruskan tradisi Kerajaan Negeri diterajui PAKATAN setiap tahun untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Beliau menjelaskan, ia juga bukan belanjawan pilihan raya dan berbeza dengan apa ditawarkan Kerajaan Persekutuan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sudah bertahun-tahun bila kita bentangkan belanjawan memang untuk rakyat, bukan untuk kroni dan tauke besar.

“Inilah kekuatan di dalam Selangor, walaupun kita sebuah negeri yang maju dan banyak industri tetapi kita tidak lupa akan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam Program Dialog Pemberdayaan Wanita dan Pro Rakyat, di Dataran Niaga Bagan Terap, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam belanjawan itu, Kerajaan Negeri tidak sekadar mengutamakan pembangunan di bandar tetapi turut mengambil kira kawasan luar bandar yang mendapat keutamaan berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, melalui pelbagai skim dalam program IPR diharap hasil kekayaan negeri akan dinikmati rakyat dan beroleh manfaatnya.

“Saya percaya belanjawan dibentangkan ini tiada golongan tertinggal dan terpinggir sama ada di bandar, luar bandar dan lainya dengan semua mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Turut hadir, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta pimpinan Kerajaan Negeri dan parti yang lain.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor Jumaat lalu, Mohamed Azmin membentangkan Belanjawan 2018 berjumlah RM3.12 bilion.

Daripada jumlah itu, RM1.66 bilion atau 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan manakala RM1.46 bilion (46.8 peratus) bagi pengurusan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

#Selangor18: Masa terbaik menggandakan pembangunan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 NOV: Barisan Exco Kerajaan Negeri menyambut baik Belanjawan 2018 dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang terus memberikan tumpuan kepada aspek pembangunan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menyifatkan ia belanjawan bertanggungjawab dan menyeluruh termasuk semua aspek persediaan sukan kita.

“Kita mengharapkan belia dan kebudayaan ada peningkatan. Sekarang apa yang kita harapkan dari semua agensi untuk melaksanakan.

“Dengan pertambahan belanjawan itu mungkin akan menambah sedikit lagi intensiti kerja,” katanya.

Menurutnya, semua rancangan yang dirangka untuk 2017 hampir 80 peratus dapat dilaksanakan.

Bagi Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib beliau melihat Belanjawan 2018 lengkap merangkumi kebaikan dan kebajikan seluruh segmen masyarakat.

“Dengan penambahan peratusan pembelanjaan pembangunan menunjukkan Kerajaan Negeri begitu komited untuk mempertingkatkan pembangunan di Negeri Selangor.

“Yang lebih menarik, lebih 70 peratus daripada belanjawan itu untuk infrastruktur. Untuk pertanian juga bagus dengan pengenalan skim insurans,” katanya.

Menyentuh aspek pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi gembira dengan pertambahan peruntukkan yang diberikan.

Ini termasuk penekankan kepentingan pendidikan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).

“Alhamdulillah, satu komitmen besar Kerajaan Negeri kepada pendidikan dari semua peringkat ini kerana kita menyedari ia amat penting termasuk sumbangan untuk sekolah yang dinaikkan kepada RM22 juta berbanding RM16 juta sebelum ini.

“Kenaikan kepada RM24 juta untuk tahun akan datang khusus buat Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan SJKC. Kita juga menyediakan peruntukkan untuk pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

“Ini menunjukkan komitmen kita bahawa ia sektor penting kepada pembangunan rakyat Negeri Selangor,” katanya.

Di samping itu, program Peduli Siswa Timur Tengah yang diperkenalkan bagi membantu anak Selangor yang belajar di luar negara bakal menerima sambutan baik.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Kerajaan Negeri memandang pelaburan modal insan jangka panjang khususnya dalam memberikan keprihatinan terhadap nasib pelajar maahad tahfiz di Selangor.

“Belanjwan yang menyeluruh dan untuk jawatankuasa saya ia belanjawan yang baik terutamanya melibatkan pendidikan Islam.

“Saya rasa ia menjurus kepada soal jangka masa panjang. Apabila ada peruntukkan untuk sekolah tahfiz kita dinaiktaraf berdasarkan senario semasa.

“Mengenai inisiatif Peduli Siswa Timur Tengah yang diperkenalkan, ia merupakan satu talian hayat buat pelajar kita di sana. Apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuat keputusan untuk tidak menaggung pelajaran mereka maka kita mngambil tanggungjawb itu,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Gan Pei Nei memuji beberapa inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan melibatkan teknologi hijau.

“Dalam pembangunan Selangor ini kita tidak boleh lupakan alam sekitar juga perlu dikawal secara mampan.

“Dalam kita fokus kepada pembangunan kita juga perlu kekalkan aspek hijau sebab kita nampak peruntukkan juga bertambah.

“Kita juga integrasikan teknologi hijau dalam aspek pembangunan negeri termasuk pengangkutan. Kita nampak ia satu dasar yang lebih menyeluruh,” katanya.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Selangor RM52 juta ‘vs’ Persekutuan RM4.5 juta untuk TVET

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Peruntukan RM4.5 juta bagi melonjakkan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti diumumkan dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini mencerminkan sikap tidak serius dalam menyediakan tenaga kerja mahir di kalangan belia dan sekaligus menangani isu pengangguran.

Dato’ Menteri Besar , Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini berbeza dengan Kerajaan Negeri yang menyedari kepentingan menyediakan belia berkemahiran tinggi bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0 dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM52 juta menerusi program terbarunya Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS).

“Kita bertindak berdasarkan fakta dikemukakan banyak laporan di mana isu pengangguran di Malaysia melepasi satu angka membimbangkan dan sebab itu Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk melihat bagaimana penyelesaiannya.

“Penyelesaian terbaik adalah beri kemahiran kepada anak muda dan tak mungkin masalah ini dapat diselesaikan kalau peruntukan hanya RM4.5 juta di mana jumlah belia yang terlibat adalah besar.

“Walaupun ada antara mereka memiliki pendidikan asas seperti diploma atau ijazah tetapi dalam mencapai sebuah negara maju dan melalui satu proses transformasi ke arah revolusi industri 4.0 kita kena bersedia dengan tenaga kerja yang terlatih dan mempunyai kemahiran,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas beliau membentangkan Belanjawan Negeri Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Jelasnya, walaupun Selangor hanyalah merupakan sebuah negeri yang kecil, namun peruntukan RM52 juta dianggap sebagai satu jumlah besar berbanding RM4.5 juta peruntukan untuk belia seluruh negara.

Justeru katanya, langkah Kerajaan Persekutuan itu jelas merupakan keputusan salah dan merugikan golongan belia itu sendiri.

Katanya lagi, beliau percaya usahasama dengan beberapa agensi bertauliah bagi memberikan latihan kemahiran mampu melahirkan anak muda berkemahiran dan akhirnya menembusi pasaran kerja dalam industri memerlukan tenaga kerja mahir.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

#Selangor18: Belanjawan bermanfaat hasil pencapaian ekonomi mampan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri berjaya membentangkan belanjawan bermanfaat demi kemudahan rakyat di Selangor pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembentangan Belanjawan 2018 membuktikan kemampuan Kerajaan Negeri ekoran hasil pencapaian ekonomi mampan.

“Prinsip yang kita pegang adalah fastabiqul khairat iaitu dengan mengajak semua berlumba-lumba bagi membuat kebaikan di mana ia memang prinsip yang universal.

“Ahli Majlis Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Kerajaan Negeri sentiasa bekerja kuat serta berlumba untuk melakukan yang terbaik bagi rakyat Selangor,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), Mohamed Azmin membentangkan Belanjawan 2018 berjumlah RM3.12 bilion.

Daripada jumlah itu, RM1.66 bilion atau 53.2 peratus diperuntukkan bagi belanja pembangunan manakala RM1.46 bilion (46.8 peratus) bagi pengurusan.

Hasil pengurusan ekonomi yang baik, katanya, Kerajaan Negeri mencapai kemajuan membanggakan serta berupaya mengembalikan hasil kekayaan negeri kepada rakyat.

“Ini satu kejayaan besar walau pada peringkat awal iaitu pada tiga tahun lalu kita menghadapi kesukaran tetapi selepas tempoh itu kita membuktikan dengna belanja pembangunan yang besar dapat menjana aktiviti ekonomi dalam Selangor.

“Sejak 2015, kita juga melaksanakan dasar penilaian perolehan secara ‘cut off’ di mana semua kerja perolehan dibuat secara terbuka dan sehingga hujung tahun ini kita berjaya membuat penjimatan sebanyak RM432 juta.

“Dengan penjimatan sebegini besar maka kita dapat mengemukakan satu belanjawan pembangunan yang besar pada 2018,” katanya.

=EZY=

Categories
EKONOMI SELANGOR

RM9 juta diperuntukkan teruskan penganjuran SIBS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan Selangor International Business Summit (SIBS) yang berjaya dianjurkan Invest Selangor diteruskan pada 2018 dengan peruntukan RM9 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, konvensyen yang berlangsung September lalu itu berjaya menarik minat lebih 3,000 peserta dan 5,000 pengunjung pameran.

“SIBS 2017 merangkumi tiga acara utama iaitu Selangor Smart City & Future Commerce Convention, SelangorASEAN Business Conference dan Selangor International Expo 2017.

“Persidangan pula mencatat kejayaan untuk mengangkat Selangor sebagai ‘launching pad’ bagi memajukan keusahawanan ASEAN manakala Expo Antarabangsa berjaya menarik seramai 16,694 pengunjung dan menjana potensi nilai transaksi RM204.2 juta,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM25 juta dalam 2018 untuk aktiviti dan program dirancang Invest Selangor termasuk misi pelaburan.

Selain itu, Kerajaan Negeri bercadang membangunkan Cyber Valley sebagai ibu kota perdagangan Selangor bagi mengembangkan potensi perdagangan.

Katanya, pusat bertaraf antarabangsa dilengkapi dengan pusat pameran dan persidangan canggih akan mengangkat imej Selangor sebagai gerbang ke ASEAN melalui inisiatif awam dan swasta (public private initiative).

Secara keseluruhan, jumlah keseluruhan potensi pelaburan sedang dalam proses rundingan dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat mencecah nilai RM404.5 juta melibatkan industri aeroangkasa, automotif serta sektor elektrik dan elektronik.

=EZY=

Categories
SELANGOR

#Selangor18: Kerajaan Negeri bantu generasi kedua Felda miliki rumah

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri akan membantu generasi kedua Felda memiliki rumah melalui pembinaan perumahan bagi golongan itu pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata melalui Belanjawan 2018, Kerajaan Negeri akan menyediakan kemudahan itu bagi merealisasikannya.

“Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membangunkan 136 unit rumah berkembar setingkat dengan keluasan 850 kaki persgi di atas tapak seluas 17 ekar berhampiran Felda Sungai Tengi untuk perumahan generasi kedua Felda.

“Kerja tanah telah dimulakan dan kerja pembinaan akan bermula pada akhir bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan itu adalah keprihatinan Kerajaan Negeri dengan masa depan peneroka Felda yang berulang kali dieksploitasi sang penguasa.

Katanya, ketidaktentuan masa depan peneroka Felda memberi kesan kepada masa depan anak dan cucu mereka.

“Maka Kerajaan Negeri tampil untuk membantu generasi kedua Felda untuk memiliki rumah yang selesa dan ‘affordable’ berhampiran dengan keluarga mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: RM33 juta upaya CERIA untuk kemudahan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM33 juta untuk skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (CERIA), pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata daripada jumlah itu RM13 juta diperuntukan untuk kerja sivil sahaja manakala pembaikan dan penggantian lif akan dipindahkan kepada skim Smart Life.

Manakala, baki RM20 juta pula, Mohamed Azmin berkata, ia diperuntukan bagi mengecat 46 kawasan dengan 138 blok pangsapuri kos rendah.

“Skim bantuan ini adalah insentif Kerajaan Negeri menghargai Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) dan komuniti yang bekerja kuat membangunkan pangsapuri masing-masing sebagai model pangsapuri terbaik di Selangor,” katanya.

Sejak skim CERIA dilaksanakan pada Disember 2010 sehingga Ogos ini, beliau berkata, sejumlah 281 kawasan dengan 843 blok pangsapuri yang meliputi 168,600 unit petak kediaman dan membabitkan 843,000 penduduk di pangsapuri berkenaan telah menerima manfaatnya dengan kos keseluruhan RM92.2 juta.

Atas keprihatinan terhadap rakyat, katanya, mulai tahun depan Kerajaan Negeri memaklumkan syarat perkongsian kos oleh penduduk dilupsukan serta merta di mana penduduk pengsapuri kos rendah dan sederhana tidak lagi perlu menyumbang.

“Kerajaan Negeri bersedia menanggung RM8.7 juta untuk melupuskan tunggakan yang sepatutnya dibayar penduduk semenjak 2011,” katanya.

CERIA adalah skim bantuan baik pulih kerosakan harta bersama pangsapuri kos remdah dan sederhana melalui perkongsian kos antara Kerajaan Negeri dan penduduk di mana penduduk kos rendah perlu menyumbang 20 peratus manakala penduduk kos sederhana memanggung 40 peratus.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Belanjawan Selangor 2018 komprehensif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merumuskan secara menyeluruh Belanjawan Selangor 2018 yang disifatkannya lebih bersifat komprehensif kepada seluruh rakyat.

Mohamed Azmin berkata, rakyat Selangor wajar menerima hasil daripada kekayaan negeri menerusi pelaksanaan dasar berkebajikan kepada golongan sasar.

“Belanjawan yang sarat dengan Inisiatif Peduli Rakyat demi membangunkan bangsa dan memakmurkan negeri telah memberikan kebaikan kepada rakyat di setiap pelusuk negeri.

“Maka rakyat datang berbondong-bondong untuk merayakan kemenangan dan menikmati hasil mahsul negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Beliau turut memetik hikayat lama merujuk kepada komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan agenda peduli rakyat di negeri ini.

“Yang capek datang bertongkat,
yang buta datang berpimpin,
yang pekak leka bertanya,
yang kecil terambin lintang,
yang jarak tolak tolakkan,
yang pendek tinjau meninjau ;

dan kini,

yang muda datang berselfie,
demam diberi kad peduli,
musafir naik bas free,
untuk berniaga modal diberi,
ibu-ibu tetap dikasihi”

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, kejayaan pembentangan Belanjawan 2018 terhasil susulan keupayaan pentadbiran negeri untuk kukuh mengangkat prinsip permuafakatan negeri.

Beliau berkata, kejayaan Selangor kini sedang dicemburui oleh banyak pihak, namun ia tidak mematahkan semangat Kerajaan Negeri untuk terus menggalas amanah dengan penuh sabar dan bijaksana.

“Sebagai sebuah negeri kosmopolitan, perpaduan perlu berlandaskan semangat toleransi, kesederhanaan dan saling hormat menghormati.

“Kerajaan Negeri amat prihatin tentang meningkatkanya insiden ‘intolerance’ dalam negara – toleransi semakin pudar dalam masyarakat. Situasi ini telah mengundang Majlis Raja-Raja Melayu untuk memberikan pedoman

“Dengan tekad dan semangat untuk berjaya, InsyaAllah, Selangor kekal makmur dan rakyat kekal sejahtera,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Smart Tahfiz & B Faz peluang huffaz sertai pendidikan arus perdana

 

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dicadang memperluas Program Smart Tahfiz dan Program Bimbingan Huffaz (B-Faz).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia bertujuan menyediakan pelajar-pelajar tahfiz mengikuti kurikulum bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, ia membolehkan graduan tahfiz menyambung pendidikan mereka dalam arus perdana pendidikan negara.

“Saya menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyemak semula dasar pendidikan institusi Islam khususnya maahad tahfiz persendirian yang semakin bercambah tanpa kawalan.

“Saya amat bimbang dengan keadaan semasa di mana hampir keseluruhan 17,440 anak-anak kita yang sedang mengaji di maahad tahfiz persendirian tidak dilengkapkan dengan peluang menduduki SPM.

“Anak-anak muda huffaz juga berhak mendapat pendidikan yang holistik seperti pengajian bahasa, sains, matematik, teknologi dan kemahiran hidup untuk menjamin masa depan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, nazir masjid bakal menerima insentif RM500 sementara pengerusi surau dan siak menerima RM300 masing-masing, pada 2018.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memberikan sumbangan ‘Kasih Ramadhan’ sempena Program Menyemarak Ramadan kepada nazir masjid dan pengerusi surau seluruh Selangor dengan masing-masing menerima RM500 dan RM300.

Categories
SELANGOR

Peruntukan usahawan India naik tiga kali ganda!

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri komited membangunkan golongan upaya golongan B4 dalam kalangan masyarakat India, melalui latihan kemahiran keusahawanan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia melibatkan tumpuan meliputi bidang ‘digital marketing, graphic desing, e-commerce’, kemahiran menjahit, bakeri, fotografi dan rekabentuk bunga.

“Menjadi tanggungjawab saya mendakap masyarakat India untuk maju bersama. Justeru, pada 2018, peruntukan untuk Program Usahawan India Selangor dinaikkan sebanyak tiga kali ganda daripada RM1 juta kepada RM3 juta.

“Perserta program keusahawanan India diberikan peluang mendapat pembiayaan mikrokredit daripada Yayayasan Hijrah setelah tamat menjaalani latihan di bawah program pembangunan upaya usahawan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika membentangkan cadangan Belanjawan Selangor 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS), petang tadi.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut berkongsi pengalamam beliau bertemu dengan peserta program keusahawanan membabitkan golongan India yang telah berjaya mengecapi kejayaan dalam program itu.

“Saya sendiri bertemu dengan peserta program keusahawan ini dan terpegun dengan kejayaan yang telah dicapai golongan itu.

“Keberkesanan program pembangunan keusahawanan India telah mampu meningkatkan jaringan kemahiran keusahawanan yang menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi mereka,” katanya.