Categories
SELANGOR

MB Jumpa Sultan 10 Okt Mohon Perkenan Sidang Khas DNS

BESTARI JAYA, 6 OKT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadap DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Oktober ini bagi memperolehi perkenan untuk mengadakan Sidang Khas Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sidang khas DNS itu bagi membincangkan tiga kertas putih iaitu kutipan hutang Talam Corporation Berhad, laporan kempen Selangorku Bersih dan isu penyusunan semula industri air Selangor.

Abdul Khalid berkata, Sidang DNS pada 19 November pula akan memberikan tumpuan kepada pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2013 Selangor.

“Sidang Dewan Negeri yang dipersetujui adalah pada 19 November dan Tuanku Sultan telah mempersetujui untuk sidang itu yang perlu dilakukan setiap enam bulan,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas perasmian Dataran Anak Muda DUN Ijok di sini.

Abdul Khalid berkata sidang khas berkenaan membolehkan Kerajaan Negeri membentangkan kertas putih tentang ketiga-tiga isu itu secara terperinci di samping memberi peluang kepada rakyat Selangor mendapat maklumat dengan jelas dan tepat.

Sebelum ini, kempen Selangorku Bersih telah menjumpai 110,000 nama yang diragui di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Categories
NASIONAL SELANGOR

“Tingkat Hantu” Di Pangsapuri Kuala Langat

 

KUALA LANGAT, 22 JUN 2012 : Mengikut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), terdapat sebuah pangsapuri enam tingkat di daerah ini yang didiami sejumlah pengundi. Tetapi, apabila diperiksa, bangunan tersebut hanya ada empat tingkat.

Terdapat juga rumah di sekitar daerah ini yang mempunyai sampai 30 pemilih, kata ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi.

Dr Ahmad Yunus, yang juga Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, mendedahkan bahawa pemantauan daftar pemilih juga mendapati terdapat pertumbuhan pengundi baru yang mendadak di daerah itu sebanyak 17,000 orang.

Di kawasan DUN Sijangkang sahaja kata Dr Yunus, terdapat 8,000 pengundi baru, satu fenomena yang mencurigakan.

Pendedahan mengenai pengundi yang meragukan ini dibuat oleh Dr Yunus dan beberapa pemimpin Pas Selangor di ceramah ?Awas Pengundi Hantu Di Rumah Anda? di Teluk Panglima Garang di sini semalam.

Turut serta di dalam ceramah tersebut Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman. 

“Apa yang kita lihat daftar pengundi baru ini boleh dipertikaikan kerana siasatan dibuat kita dapati maklumatnya berbeza,? kata Dr Yunus.

Sebelum ini, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pernah mendedahkan bahawa terdapat 400,000 ribu pengundi baru di dalam daftar pemilih di Selangor yang mana status mereka mencurigakan.

Ini termasuk berpuluh-puluh pemilih yang didaftar di satu alamat, mereka yang di daftar sebagai pengundi di Selangor tetapi bermastautin di luar negeri dan pengundi pos yang dipindahkan ke dalam Selangor.

Pada 13, Jun beberapa kampung di Ampang membuat laporan polis dengan mendakwa, alamat rumah di kawasan mereka digunakan untuk mendaftar sampai 40 lebih pengundi.

Bagi mengenalpasti dan menjejaki pemilih yang meragukan di Selangor, Kerajaan Negeri telah melancarkan program ?Selangorku Bersih?.

“‘Kita jalankan audit ini di setiap DUN bagi mengenal pasti pengundi yang sah di dalam senarai dikeluarkan.

?Kita ingin melihat hak mengundi ini hanya diberikan kepada mereka iaitu rakyat Selangor dan Malaysia untuk menentukan kerajaan dan bukannya orang luar,” Dr Yunus berkata di dalam ucapannya.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pilihanraya Selangor Hanya Selepas Daftar Pemilih Dibersihkan

SHAH ALAM: Kerajaan negeri hanya akan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) selepas daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibersihkan dari unsur-unsur yang meragukan.

Dianggarkan, proses semak semula daftar pemilih melalui program ‘Selangorku Bersih’ hanya akan selesai pada pertengahan Julai, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ini bermaksud, masih ada kemungkinan pilihan raya bagi kerusi DNS tidak akan diadakan serentak dengan pilihanraya bagi kerusi parlimen.

Spekulasi bahawa pilihan raya umum (PRU) bagi parlimen akan diadakan pada bulan Jun ini.

Selain itu, pilihanraya selepas pertengahan tahun ini akan memberikan peluang kepada Kerajaan Selangor untuk mengagihkan wang di dalam bajet 2012 dan Geran Selangorku.

“Lebih 400 ribu pengundi baru dan yang seratus ribu itu adalah pengundi yang dipindahkan kawasan dan projek ini dalam perlaksanaan.

“Kita rasa kita hanya dapat selesaikan pada pertengahan bulan Julai dan  barulah kita buat keputusan samada kita berjumpa semula SPR tentang kesahihan daftar pengundi itu.

“Saya rasa dengan sebab-sebab ini, kalaulah pilihan raya diumumkan berlaku dalam bulan Jun sudah tentulah saya akan memberikan cadangan kepada DYMM Sultan Selangor supaya Kerajaan Negeri Selangor tidak terlibat dalam pilihan raya yang diumumkan dan kita akan adakan pilihan raya yang berasingan,” kata Abdul Khalid kepada Selangor Kini.

Kempen ‘Selangorku Bersih’ yang dilancarkan bulan lepas akan menggunakan tenaga kerja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menyemak nama di dalam daftar pengundi.

Usaha ini bagi menentukan pengundi sahih dan membersihkan daftar pemilih daripada pengundi yang meragukan.

Kajian yang dilakukan oleh penganalisis politik dan aktivis Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini mengenal pasti antara 40,000 hingga 300,000 pemilih yang statusnya diragui.

Antaranya termasuk pemilih yang berumur lebih dari 100 tahun dan mereka yang kad pengenalannya menunjukkan tempat lahir luar dari Malaysia.

Ada juga pemilih yang didaftar sebagai pengundi pos tetapi tidak layak untuk klasifikasi tersebut.

?Kita juga meminta ketua-ketua masyarakat mengenal pasti mereka sebab biasanya dalam penentuan tempat-tempat mengundi adalah orang yang tinggal di tempat-tempat tersebut yang diberikan kemudahan mengundi di tempat tersebut.

?Kita memang berharap rakyat Selangor diberi peluang untuk mengundi dan kita juga mahukan demokrasi ini berasaskan keadaan bertanding yang adil atau pun ‘level playing field’ supaya semua dapat kesempatan membuat pilihan yang baik,? Abdul Khalid berkata.

Selain itu Abdul Khalid berkata, kurang daripada 40 peratus daripada dana belanjawan untuk tahun ini telah diagihkan untuk projek dan program di seluruh Selangor.

?Jadi oleh sebab itu kita memerlukan masa lagi untuk melaksanakan perancangan atau penggunaan dalam belanjawan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Ucap Tahniah Sedia Khidmat Guaman Bantu Peserta BERSIH

SHAH ALAM 30 APR: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat Selangor yang menyertai perhimpunan aman BERSIH 3.0 demi menuntut sistem pilihan raya yang bersih dan adil.

Dalam satu kenytaan akhbar hari ini, beliau berkata, kehadiran lebih 200,000 orang di perhimpunan tersebut menggambarkan ketidakpuashatian rakyat terhadap sistem sedia ada yang jelas membelakangkan sistem demokrasi jitu di Malaysia.

“Kerajaan Negeri kesal dengan tindakan kasar dan tidak profesional anggota polis terhadap peserta serta petugas  media dan berpendirian bahawa Perdana Menteri perlu pastikan perkara ini disiasat secara adil.

“Bagi memastikan hak perlembagaan rakyat dijaga, Kerajaan Selangor akan menyediakan dana khidmat bantuan guaman kepada peserta perhimpunan yang menghadapi tindakan undang-undang,”katanya.

Jelas Abdul Khalid, bagi memastikan pilihanraya yang adil, kerajaan negeri menyokong penuh semua yang diperjuangkan dan dituntut oleh BERSIH.

Oleh itu, kerajaan negeri melancarkan program ‘Selangorku Bersih’ demi membersihkan senarai daftar pengundi secara besar-besaran dengan penglibatan masyarakat setempat.

Di bawah Program Selangorku Bersih ini, ketua kampung, penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan turun padang untuk membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi memastikan senarai daftar pengundi di kawasan mereka adalah tepat dan bebas dari sebarang keraguan.

“Kita akan huraikan strategi program ini secara terperinci kepada penghulu, ketua kampung dan JKKK dalam satu pertemuan pada 8 Mei ini,” jelasnya.

Kerajaan Selangor berusaha membersihkan daftar pengundi apabila mendapati pertambahan mendadak jumlah pengundi baharu di seluruh negeri Selangor.

Sebelum ini, Menteri Besar dan sejumlah pengundi di Selangor dipindahkan tanpa pengetahuan pengundi itu sendiri.