Categories
AGENDA GLOBAL

Rundingan damai selatan Thailand tergendala akibat Covid-19

PATTANI, 26 JULAI: Thailand komited mencari penyelesaian secara damai dan berkekalan untuk menamatkan konflik selama beberapa dekad di wilayah bergolak di selatan walaupun rundingan damai tergendala akibat pandemik Covid-19.

Rundingan antara wakil kerajaan Thailand – ketua perunding, Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN), menyaksikan bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator tergendala apabila sempadan di Thailand dan Malaysia, ditutup akibat pandemik.

“Namun begitu, Wanlop berkata pihaknya masih berhubung dengan fasilitator (Rahim) dan kumpulan BRN secara dalam talian.

“Proses rundingan damai mesti diteruskan kerana ia adalah agenda kebangsaan untuk menamatkan keganasan di wilayah bergolak Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla di meja rundingan,” katanya kepada Bernama.

Wanlop berkata pihaknya sedang mencari alternatif untuk meneruskan rundingan sekiranya pandemik Covid-19 berpanjangan dan pertemuan secara fizikal tidak dapat diadakan.

Sebelum ini, BRN telah mengumumkan tindakan gencatan senjata, khusus bagi menyediakan akses bantuan perubatan dan kemanusiaan buat penduduk di wilayah yang terjejas akibat Covid-19, pada 3 April.

BRN berkata “langkah menghentikan semua aktivitinya”selagi “BRN tidak diserang oleh petugas kerajaan Thailand”.

Sejak penularan wabak Covid-19 di Thailand pada Januari lalu, Wanlop berkata insiden keganasan di wilayah bergolak telah berkurangan.

“Dalam tempoh pandemik, kami menerima mesej positif BRN yang mengumumkan gencatan senjata dan menumpukan usaha bagi memerangi Covid-19, selaras dengan gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Namun, kami sedang menilai punca insiden keganasan berkurangan… Adakah ia berikutan pandemik COVID-19 atau hasil pengumuman pihak BRN (menyertai rundingan damai),” katanya.

Pada 23 hingga 25 Julai, Wanlop telah turun padang ke selatan Thailand mendengar maklum balas dan cadangan dari pihak berkepentingan seperti pemimpin agama tempatan dan Jawatankuasa Penyelaras Tempatan untuk dibawa ke meja rundingan akan datang.

Rundingan damai antara BRN dan Thailand telah diadakan di Kuala Lumpur pada Januari dan Mac lalu telah membawa harapan baharu untuk menamatkan keganasan di selatan Thailand. Delegasi BRN diketuai Anas Abdulrahman.

Kedua-dua pihak akhirnya mencapai kesepakatan bahawa rundingan ialah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik bersenjata di wilayah majoriti Islam di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla di selatan Thailand.

Pemberontakan di selatan Thailand bermula pada 2004 di empat wilayah iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla, yang mengorbankan 7,000 nyawa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Insiden berbalas tembakan di Selatan Thailand, dua terbunuh

NARATHIWAT, 13 JAN: Dua maut, termasuk seorang anggota militan dan 11 lagi anggota sukarelawan cedera dalam insiden berbalas tembakan di Rom Sai, Daerah Sukhirin, Narathiwat, selatan Thailand semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengahari (waktu tempatan) hari ini, Pos Kawalan Mukim Rom Sai telah diserang sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai anggota militan.

Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah Wilayah Sukhirin Kpt. Pol. Athit Makmuang berkata kumpulan itu telah melepaskan tembakan dan melontar bom paip ke arah pos kawalan mukim dan menyebabkan dua anggota sukarelawan cedera.

Beliau berkata sebutir bom buatan sendiri telah diletupkan di tepi jalan apabila pasukan tentera, polis dan anggota sukarelawan yang dalam perjalanan menjejaki anggota kumpulan itu.

“Insiden berbalas tembakan telah berlaku antara kumpulan militan dan pasukan keselamatan kira-kira 20 minit di tempat kejadian.

“Seorang anggota militan dan seorang anggota sukarelawan ditemui maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Athit berkata usaha dipergiat untuk menjejaki suspek yang terlibat dalam inisiden berbalas tembakan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Lebih 5,000 durian habis dimakan dalam 30 Minit di Bentong

YALA, 25 OGOS: Lebih 5,000 biji durian habis dimakan dalam masa kurang 30 minit di pesta makan durian dan buah-buahan tempatan di Betong,Yala, selatan Thailand, semalam.

Kira-kira 3,000 pengunjung dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang berkunjung ke Kg Piyamit di Mukim Tanah Merah untuk menikmati keenakan raja buah secara percuma.

Bufet durian dan buah-buahan tempatan anjuran Majlis Pentadbiran Mukim Tanah Merah, Betong itu mendapat sambutan hangat kalangan penduduk tempatan serta pelancong Malaysia dan Singapura.

Presiden Majlis Pentadbiran Mukim Tanah Merah, Wirat Saethan berkata, pesta makan durian secara percuma yang masuk tahun kelapan itu mendapat sambutan ramai.

“Pesta ini bertujuan untuk mempromosikan durian dan buah-buahan tempatan selain memperkenalkan produk pelancongan di Betong,” katanya kepada Bernama.

Selain menikmati durian, pihak penganjur turut mengadakan pertandingan makan buah-buahan tempatan dan makanan seperti makan ayam Betong dan mee goreng Betong.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jerebu : Thailand hantar surat bantahan kepada Indonesia

SHAH ALAM, 7 OKT: Penduduk Songkhla di Selatan Thailand yang mula terjejas dengan jerebu menghantar surat bantahan kepada Indonesia, semalam.

Banchorn Vichiangsri yang mengetuai 20 wakil jaringan badan pembangunan swasta negara itu menyerahkan surat tersebut kepada Konsul Bahagian Masyarakat dan Budaya di Konsulat Indonesia di Songkhla, Wanney Fabiomata.

Kumpulan yang mengelarkan diri mereka sebagai ‘Warga Kota Hatyai-Songkhla yang terjejas dengan jerebu dari Indonesia’ itu turut berhimpun selama setengah jam di hadapan konsulat itu.

Antara kandungan surat yang ditulis dalam Bahasa Thai tersebut menyatakan masalah jerebu akibat pembakaran hutan di Sumatera menjejaskan kesihatan penduduk.

JEREBU THAILAND“Kanak-kanak, warga emas dan tidak terkecuali anak muda mengalami masalah pernafasan dan alahan asap.

“Mereka tidak tahu nasib mereka dan adakah masalah jerebu ini akan ada kesudahannya,” katanya.

Memetik laporan Bernama, surat tersebut juga merayu Indonesia bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah tersebut dengan penuh komitmen.

“Hanya kerajaan Indonesia sahaja yang mengetahui punca dan cara penyelesaian masalah tersebut.” jelas surat itu lagi.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha mahukan perbincangan dua hala dan serantau mengenai jerebu diadakan selepas jerebu dari Indonesia bukan sahaja menjejaskan beberapa wilayah, bahkan menjejaskan kawasan pelancongan Phuket dan Hatyai.

“Berikutan masalah kali ini lebih serius berbanding sebelumnya, saya sudah mengarahkan pegawai di Kementerian Luar berbincang dengan negara punca masalah ini dan bagaimana mereka boleh menanganinya,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.

Bacaan Indek Udara di tujuh wilayah selatan pada jam 9 pagi semalam adalah Satun (210), Songkhla (163) dan Phuket (136) berada pada tahap bahaya manakala Pattani (102), Yala (97), Narathiwat (72) dan Surat Thani (59) mencatat bacaan sederhana.

-NR-

Categories
NASIONAL

Kerajaan Perlu Proaktif Bantu Umat Islam Di Myanmar

KUALA LUMPUR, 16 OKT : Kerajaan Pusat digesa mengambil pendekatan proaktif dalam menangani masalah kemanusian yang berlaku kepada umat Islam di Myanmar.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dalam masa yang sama Pakatan Rakyat (PR) mengalu-alukan perjanjian damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina.

Sebelum ini, Kerajaan Filipina dan MILF menandatangani kerangka perjanjian damai secara rasmi di Istana Malacanang di Manila bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.

“Semoga segala perjanjian yang ditandatangani itu akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama pimpinan tertinggi PR di Parlimen.

Beliau berkata, jika kerajaan boleh berperanan dalam membantu masalah di Filipina maka ia bukan masalah untuk mengambil pendekatan sama terhadap penyelesaian umat Islam di Myanmar yang terlibat dalam persengketaan konflik untuk diselesaikan secara aman.

“Kita mahu juga diberi perhatian masalah di Selatan Thailand untuk diadakan perdamaian,” katanya.

Abdul Hadi juga mendesak agar kerajaan memainkan peranan dan fungsinya dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi membela nasib umat Islam di sana.