Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

16 Klinik Selcare tawar dos penggalak, daftar guna SELangkah

SHAH ALAM, 8 DIS: Semua 16 Klinik Selcare termasuk di Kuala Lumpur menawarkan dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster mulai hari ini.

Ketua pegawai kewangan Selgate Healthcare Sdn Bhd berkata khidmat itu bakal diperluas ke klinik panel Selcare dalam masa terdekat bagi memudahkan orang ramai mendapatkannya.

Muhammad Azfizam Hamzah turut menggalakkan orang ramai untuk mendaftar awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi mengelak kesesakan.

“Kita mahu seramai mungkin individu mendapatkan suntikan penggalak. Ini sebagai langkah mengekang penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Maklumat berhubung program itu dan klinik terlibat boleh dicapai melalui pautan https://selcareclinic.com/our-clinics/.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tawaran 157,000 dos penggalak kepada rakyat negeri ini melalui Selvax Booster.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkap dan mempercepatkan proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.