Categories
AGENSI SELANGOR

Usahawan yakin Seldec mampu bantu tingkat pendapatan

SHAH ALAM, 25 JUN: Program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) diyakini mampu meningkatkan pendapatan usahawan dan meluaskan capaian pengguna ke seluruh negeri dengan bantuan pemasaran Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah).

Usahawan makanan, Mohammad Munir Lukman Hakim, 53, berkata ia landasan yang baik untuk mengetengahkan produk dan peniaga perlu mempelajari aliran pemasaran berbeza bermula dari kedai runcit, pasar raya dan kini di laman sosial.

“Walaupun permintaan pengguna berubah mengikut keadaan semasa tetapi usahawan perlu bijak meneroka peluang baharu. Malah ia bagus apabila Kohijrah sendiri banyak membantu dari segi promosi,” katanya pengarah eksekutif Reza yang menceburi perniagaan sejak 12 tahun lalu kepada SelangorKIni.

Pandangan sama dilontarkan Pegawai Pengurus Cik Tipah, Emiliyana Kasbolah, 37, dengan menjelaskan suasana perniagaannya kian memberangsangkan terutama dari segi pendapatan namun perlu terus bekerja keras bagi memenuhi permintaan pasaran.

“Saya menyertai Seldec selepas ditawar Hijrah Selangor untuk meletak produk di Kedai Serbaneka Kohijrah awal tahun ini dan ia satu insiatif bagus kerana jualan secara dalam talian selain ada khidmat penghantaran ke rumah.

“Potensi perniagaan berkembang juga mudah dengan bantuan pemasaran secara percuma daripada Kohijrah,” katanya yang mengusahakan produk kerepek dan makanan sejuk beku sejak 15 tahun lalu.

Seldec diterajui Selangor Industrial Corporation (SIC) merupakan medium terbaharu pemasaran produk secara dalam talian diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak Ogos tahun lalu.

Dengan sasaran pembukaan 7,800 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun, inisiatif ini turut menyediakan perkhidmatan melalui Seldec Rider ke seluruh negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Seldec sasar wujud 7,800 peluang kerja menjelang 2025

SHAH ALAM, 24 JUN: Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) menyasarkan 7,800 peluang pekerjaan pelbagai sektor diwujudkan dalam tempoh lima tahun, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata platform perniagaan dalam talian itu kini memiliki 395 usahawan dan menerima sambutan menggalakkan terutama belia yang hilang pekerjaan.

“Program ini membantu usahawan khususnya di luar bandar untuk meningkatkan sosioekonomi dan mereka diberi latihan bagi memahami sistem pasaran digital.

“Dalam tempoh tiga tahun, kita sasarkan sekurang-kurangnya 1,000 usahawan berdaftar,” katanya pada sidang media pelancaran portal Seldec dan aplikasi Seldec Rider di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Amirudin berkata platform tersebut turut menyediakan khidmat penghantaran barang ke seluruh negeri melalui Seldec Rider yang berkhidmat secara sambilan atau sepenuh masa.

“Seramai 100 orang sudah mendaftar dan akan bertambah kerana kita berhasrat mewujudkan lebih banyak hab pengumpulan dan penghantaran barang di seluruh negeri,” katanya lagi.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en

Antara dijual ialah barangan basah segar, makanan proses, suplemen dan pakaian.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jom sertai Usahawan Seldec, tingkat ekonomi

SHAH ALAM, 6 JUN: Selangor Industrial Corporation (SIC) menyasarkan 1,000 peserta menyertai Usahawan Selangor Digital E-Supply Chain (Seldec), kata ketua pemasarannya.

Nora Abdullah berkata objektif utama pihaknya mewujudkan Usahawan Seldec untuk membantu meningkatkan ekonomi peniaga terutama di luar bandar yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Permohonan ini terbuka kepada semua peniaga sama ada penternak, petani, peladang dan industri kecil dan sederhana. Sehingga kini lebih 250 permohonan diterima dan sambutan memberangsangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Nora berkata banyak manfaat bakal peserta perolehi antaranya mereka berpeluang mendapat sijil penyertaan (e-sijil), perkongsian ilmu perniagaan dan peluang berniaga di portal Seldec.

“E-sijil dengan sokongan Kerajaan Negeri diberikan bagi yang berdaftar dan menghadiri seminar. Malah, sijil ini juga boleh diguna untuk pemohonan dana disediakan Kerajaan Selangor,” kata beliau.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Nora Abdullah di talian 019-207 7729 atau layari Facebook dan Instagram Seldec. Difahamkan, sehingga kini belum ada tarikh tutup dan masih dibuka.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri lancar SELDEC, bantu usahawan IKS

SHAH ALAM, 3 OKT: Kerajaan Negeri melancarkan Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (SELDEC) bagi membantu meningkatkan pendapatan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pengusaha luar bandar di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, SELDEC bertujuan menangani isu berkaitan ekosistem rantaian pengurusan perniagaan dengan memanfaatkan sumber sedia ada, mengurangkan kos kitaran hayat pegangan produk dan mengurangkan isu orang tengah.

Katanya, sistem itu menjadi lebih mudah sekali gus menjana keuntungan yang lebih baik bukan sahaja kepada pengusaha dan usahawan luar bandar tetapi memberikan pendapatan sampingan kepada kurier yang menghantar barangan terbabit.

“SELDEC akan dikuasakan dengaan aplikasi digital bagi membantu usahawan dan pengguna menempah barangan yang diingini secara terus.

“Bagi fasa awal pembangunan SELDEC, fokus kita adalah untuk meningkatkan kefahaman melalui beberapa sesi taklimat dan latihan yang dihadiri golongan usahawan IKS dari serata Selangor.

“SELDEC juga akan dibangunkan secara berperingkat pada fasa kedua dengan penumpuan kepada semua jenis perniagaan IKS antaranya makanan tempatan, perkhidmatan, pakaian manakala fasa ketiga baru kita memberi fokus terhadap produk segar seperti ikan, sayur serta buah-buahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan Pelancaran Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (SELDEC) di Bangunan Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, SELDEC mungkin tidak wujud jika tiada kerjasama dari PKNS, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Koperasi Warga Hijrah Selangor (KOHIJRAH) bersama Kerajaan Negeri bagi mencungkil usahawan yang berpotensi untuk menyertai program ini.

“Untuk fasa pertama seramai 33 usahawan terdiri daripada 17 usahawan bernaung di bawah PKNS, sembilan usahawan KOHIJRAH, tujuh usahawan PKPS sudah mendaftar untuk menyertai SELDEC.

“Kami yakin untuk fasa seterusnya lebih ramai lagi usahawan akan mendaftarkan diri untuk menyertai program ini,” katanya.

SELDEC adalah hasil usahasama dengan syarikat logistik tempatan iaitu Line Clear milik penuh MMAG Holding Bhd yang tersenarai dalam Bursa Saham Malaysia.

Manakala, SELDEC juga bekerjasama dengan SSDU Innovations Sdn Bhd yang juga dikenali sebagai Smart Selangor Delivery Unit untuk membangunkan aplikasi telefon pintar dan tablet bagi memudahkan transaksi pembelian dan meluaskan capaian ke serata Selangor.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rantaian E-Bekalan Digital Selangor dilancar esok

SHAH ALAM, 2 OKT: Peluang untuk usahawan tempatan melebarkan sayap perniagaan ke peringkat lebih tinggi terbuka luas melalui pelaksanaan Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (SELDEC) yang bakal dilancarkan, esok.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, rantaian bekalan produk perniagaan secara elektronik itu akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, inisiatif berkenaan dijalankan melalui Pemerbadanan Menteri Besar dengan kerjasama erat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, KOHIJRAH, Smart Selangor Delivery Unit dan MMAG Holdings Berhad.

“Kita akan memulakan usaha untuk memasarkan produk segar seperti ikan dan sayur-sayuran atau apa sahaja produk yang selama ini tidak boleh dihantar jauh memandangkan tiada syarikat logistik yang boleh membuat penghantaran ke sesebuah tempat kerana memerlukan lori yang ada sejuk beku.

“Peluang ini besar kerana kita sudah menyediakan ekosistemnya (rantaian bekalan produk perniagaan) dan saya berharap produk dari kampung bukan sahaja boleh dinikmati masyarakat Selangor, tetapi mampu ke luar negeri termasuk kemungkinan ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS) peringkat Daerah Kuala Langat 2019, di Lapangan Pasaraya Giant Banting, di sini, baru-baru ini.

Rodziah berkata, pihaknya optimis produk segar dari kampung dapat diketengahkan ke seluruh negara walaupun terdapat beberapa kekangan yang perlu dihadapi.

“Cabaran itu termasuk keyakinan pengguna terhadap produk yang dipasarkan peniaga dan perlu memastikan bekalan mencukupi bagi memenuhi permintaan pelanggan. Contoh mudahnya ialah perkhidmatan penghantaran makanan ‘grab food’ dan ‘food panda’,” katanya.

Pada masa sama, Rodziah menyarankan usahawan di negeri itu supaya bijak mengambil peluang untuk terus meningkatkan perniagaan mereka dari semasa ke semasa.

“Jika dilihat sudah ramai orang luar menggemari produk yang dihasilkan usahawan tempatan kita, namun mereka (usahawan) masih tidak mampu untuk membuat pengeluaran tinggi.

“Saya mencadangkan usahawan supaya mengunjungi mana-mana kaunter yang menawarkan bantuan seperti Dana Usahawan Mikro Selangor dan Majlis Amanah Rakyat untuk mendapatkan khidmat bimbingan yang akhirnya dapat membuat pengeluaran tinggi,” katanya.