Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Saringan Covid-19 percuma untuk penduduk Kuala Selangor

SHAH ALAM, 4 OKT: Kerajaan Negeri menerusi Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate) menawarkan saringan Covid-19 secara percuma kepada penduduk sekitar Kuala Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah antara 20 hingga 26 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Noor Hisham Mohd Ghouth berkata proses pengambilan ujian calitan itu dijangka diadakan esok di Dewan Bandar Baru Kuala Selangor mulai 9 pagi hingga 6 petang.

“Selain klinik yang sudah ditetapkan, kita memang bercadang untuk mengadakan saringan ini kepada penduduk di daerah berkenaan dengan anggaran 50 hingga 100 individu.

“Pemilihan lokasi ini dibuat berikutan kesemua 16 klinik Selcare sedia ada hanya terdapat di Lembah Klang dan kita masih belum memiliki klinik di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses saringan bersasar Covid-19 di Klinik Selcare di sini hari ini.

Pada masa sama, Noor Hisham berkata individu yang mahu mendapatkan perkhidmatan itu tidak perlu membuat janji temu sebaliknya hadir mengikut masa ditentukan.

“Jadi, semua penduduk Kuala Selangor dan kawasan berhampiran yang pulang dari Sabah sejak 26 September lalu disaran hadir membuat saringan dalam kadar segera,” katanya.

Individu berkaitan perlu mengemukakan bukti pemastautin tetap di Selangor seperti kad pengenalan, bil air dan elektrik serta tiket penerbangan dari Sabah.

Categories
SELANGOR

Skim Peduli Sihat dan KISS terus dapat sambutan rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 NOV: Skim Peduli Sihat berjaya mendaftarkan 362,000 keluarga melibatkan 1.45 juta orang sejak Januari 2018 sehingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Corporation Sdn Bhd, Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, jumlah itu melepasi sasaran 250,000 keluarga ditetapkan Kerajaan Negeri sebelum ini dengan purata bayaran balik tuntutan RM3.3 juta setiap bulan.

“Sejak Januari sehingga kini, kita merekodkan 628,000 jumlah tuntutan bayaran dengan perbelanjaan yang sudah dilunaskan berjumlah RM32.2 juta.

“Secara purata, kita membayar RM3.3 juta setiap bulan kepada pusat perubatan berdaftar dengan kita. Buat masa ini permohonan pendaftaran masih dibuka kepada keluarga yang berminat,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), setakat ini seramai 39,448 ahli berdaftar dengan sasaran 40,000 penerima manfaat.

Noor Hisham berkata, pihaknya sudah membelanjakan RM48.7 juta sejak Januari 2018 sehingga kini.

Sempena Belanjawan Negeri 2019 beliau berharap program ini diteruskan kerana memberikan manfaat besar kepada rakyat.