Categories
AGENSI SELANGOR

Majoriti peserta Selvax Booster libat warga emas, individu 40-an

SHAH ALAM, 11 DIS: Majoriti peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Booster melibatkan warga emas dan individu dalam lingkungan usia 40-an.

Pengurus besar Klinik Selcare berkata lebih 6,000 dos penggalak diberikan setakat ini dengan majoriti memang mahukan vaksin Sinovac.

“Ada sesetengah penerima sanggup membatalkan janji temu di MySejahtera dan datang ke Klinik Selcare di Kuala Lumpur semata-mata untuk mendapatkan vaksin Sinovac.

“Setakat ini, sambutan diterima amat menggalakkan dan kita masih mengekalkan pemberian vaksin melalui janji temu sahaja,” kata Dr Jeevarajah ketika dihubungi.

Beliau turut berharap bilangan vaksin ditambah bagi memanfaatkan lebih ramai rakyat negeri ini.

Pada 7 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program Selvax Booster.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Selcare berdekatan.

Senarai klinik yang terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar ambil dos penggalak mahu dicontohi ahli keluarga

SHAH ALAM, 10 DIS: Seorang pelajar mengambil dos penggalak menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Booster kerana mahu menjadi contoh kepada ahli keluarga.

Farah Nabilah Abdul Rahman, 20, berkata setakat ini tiada ahli keluarganya yang mengambil dos penggalak kerana masih lagi ragu-ragu terhadap keberkesanannya.

Farah Nabilah Abdul Rahman

“Harap selepas saya ambil dapat buka mata mereka untuk ambil juga kerana masing-masing sudah lengkap dua dos tetapi masih ragu-ragu berikutan ia bukan diwajibkan,” katanya ketika ditemui di Klinik Selcare di Seksyen 13 di sini.

Farah berkata selain varian Omicron, mungkin terdapat varian jenis lain lagi selepas ini yang mendorong beliau mendapatkan dos penggalak secepat mungkin.

“Bila tengok Twitter Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengenai program ini terus saya daftar,” katanya.

Sementara itu, pengurus sumber manusia Teo Kan Chin, 56, berkata beliau sanggup membatalkan janji temu MySejahtera bagi mendapatkan Sinovac yang ditawarkan di Selvax Booster.

Katanya, beliau bukan memilih sebaliknya Sinovac adalah vaksin yang diterimanya sebelum ini berbanding Pfizer yang ditawarkan MySejahtera.

“Saya tidak mahu ‘campur-campur’ vaksin kerana khuatir berlaku kejadian tidak diingini lebih baik saya kekal dengan satu jenis vaksin sahaja,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sambutan luar jangkaan, perlu janji temu untuk dos penggalak Selvax

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Negeri tidak meneruskan kaedah tanpa janji temu (walk in) berikutan program Vaksin Selangor (Selvax) Booster mendapat sambutan di luar jangkaan.

EXCO kesihatan awam berkata langkah itu diambil bagi mengawal bilangan peserta seterusnya mengurangkan kesesakan di klinik.

“Sambutan bukan lagi menggalakkan tetapi melebihi jangkaan mungkin disebabkan kita buka kepada 18 tahun ke atas dan tidak hanya menumpukan kepada warga emas dan komorbid.

“Saya akui ada masalah logistik kerana yang datang itu luar jangkaan daripada ‘walk in’ kita ubah kepada pra daftar tetapi masih ada yang tidak tahu jadi berlaku pertindihan dengan jumlah yang datang melebihi kapasiti klinik,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata demikian ketika ditemui melakukan tinjauan pemberian dos penggalak di Klinik Selcare di Seksyen 13 di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata faktor lain menyebabkan Selvax Booster mendapat sambutan kerana terdapat golongan yang mahukan vaksin jenis Sinovac dan ada yang belum menerima janji temu MySejahtera serta masih lambat.

“Saya nasihatkan orang ramai tidak terburu-buru kerana stok 157,000 vaksin itu hanya boleh dihabiskan dalam tempoh sekitar dua bulan kerana sehari satu klinik hanya membekalkan 150 dos.

“Bagi yang sudah dapat janji temu, datang sebelah petang pun tidak mengapa kerana kita dapati ramai pada sebelah pagi sedangkan program ini berakhir waktu petang,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

6,000 dos penggalak Selvax diberi dalam tempoh tiga hari

SHAH ALAM, 10 DIS: Dianggar 6,000 dos penggalak diberi kepada orang ramai menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Booster setakat ini, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah itu berdasarkan data hari ketiga pelaksanaan program percuma anjuran Kerajaan Negeri yang bermula sejak kelmarin.

“Setiap klinik menyediakan 150 dos sehari dengan dua doktor ditugaskan untuk memberikan suntikan.

“Kita mempunyai 13 klinik yang menawarkan Selvax Booster ini dengan anggaran 6,000 dos diberikan pada hari ketiga ini,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan pemberian dos penggalak tersebut di Klinik Selcare di Seksyen 13 di sini.

Pada 7 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Booster.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Selcare berdekatan.

“Senarai klinik yang terlibat akan dalam pelaksanaan program ini boleh didapati di laman sesawang http://selcareclinic.com/our-clinic/atau melalui aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi hadir terus, wajib daftar di SELangkah untuk dos penggalak

SHAH ALAM, 9 DIS: Warga Selangor yang ingin mendapatkan dos penggalak wajib mendaftar awal menggunakan kod baucar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata arahan terbaharu itu susulan permintaan tinggi pada hari pertama Vaksin Selangor (Selvax) Booster mulai semalam.

“Berikutan permintaan tinggi pada hari pertama, Selvax Booster tidak lagi menerima kehadiran terus.

“Warga Selangor yang ingin mendapatkan dos penggalak wajib melakukan prapendaftaran menggunakan kod baucar di aplikasi SELangkah untuk mendapatkan janji temu,” katanya di Facebook.

Beliau menambah slot janji temu di setiap Klinik Selcare terhad kepada 150 orang setiap hari.

Tutorial pendaftaran awal dan kod baucar boleh didapati melalui pautan https://bit.ly/selvaxb.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tawaran 157,000 dos penggalak kepada rakyat negeri ini melalui Selvax Booster.

Suntikan pelalian itu boleh didapati di semua Klinik Selcare termasuk di Kuala Lumpur dengan lokasi boleh disemak melalui pautan https://selcareclinic.com/our-clinics/.

 

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Bimbang varian baharu, rakyat lega negeri sedia dos penggalak

PETALING JAYA, 8 DIS: Pemberian dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster dinantikan rakyat negeri ini bagi melindungi diri daripada ancaman Covid-19.

Ahli Majlis Zon 5 Majlis Bandaraya Petaling Jaya berkata dirinya sering diajukan pertanyaan itu berikutan bimbang terhadap jangkitan virus selain kemunculan varian baharu.

Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar

“Memang ramai yang tanya. Dari situ kita nampak penduduk mahukan vaksin ini sebab risau dijangkiti Covid-19 dan kesannya yang teruk, justeru inisiatif negeri sangat bermanfaat dan melegakan.

“Harap penduduk boleh dapat suntikan ketiga secepat mungkin,” kata Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar kepada Selangorkini.

Kakitangan kerajaan Auni Aqilah Abu, 26, berkata pemberian vaksin percuma mulai hari ini dapat mengawal jangkitan selain mengelakkan Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa semula.

“Bila semua ambil suntikan, risiko jangkitan wabak jadi kurang. Penduduk dapat hidup bebas selain ekonomi negara berjalan lancar. Jadi saya harap program ini dimanfaatkan,” katanya.

Sementara itu, pesara Abdul Kadir Ismail, 74, berkata Selvax Booster membolehkan warga emas sepertinya mendapat suntikan penggalak dengan lebih cepat.

Abdul Kadir Ismail

“Pakcik tunggu panggilan (MySejahtera) belum dapat. Semalam tengok berita Selangor ada bagi vaksin, harap tidak perlu tunggu lama. Bagus program ni untuk kurangkan jangkitan harian,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tawaran 157,000 dos penggalak kepada rakyat negeri ini melalui Selvax Booster.

Ia boleh didapati di semua Klinik Selcare termasuk Kuala Lumpur dan mendaftar awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar sokong usaha Selangor sedia dos penggalak buat rakyat

SHAH ALAM, 8 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong usaha Selangor menyediakan 157,000 dos penggalak percuma bagi meningkatkan kadar imunisasi rakyat negeri itu.

Ketua pembangkang berkata inisiatif melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster wajar dicontohi negeri lain dan wakil rakyat peringkat persekutuan dalam menangani dampak Covid-19.

“Meningkatkan tahap imunisasi rakyat adalah keutamaan kita tatkala usaha membendung wabak ini mesti terus dipergiat ke arah melonjakkan negara ke arah pemulihan,” tulisnya di Twitter hari ini.

Ahli parlimen Port Dickson itu turut menggesa rakyat Selangor berusia 18 tahun ke atas untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut di Klinik Selcare berdekatan.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tawaran sebanyak 157,000 dos penggalak percuma kepada rakyat negeri ini melalui Selvax Booster.

Dos penggalak itu ditawarkan di semua 16 Klinik Selcare termasuk Kuala Lumpur

Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang http://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB tegaskan dos penggalak negeri diberi percuma

SHAH ALAM, 8 DIS: Tiada bayaran dikenakan bagi pemberian dos penggalak menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Booster yang bermula hari ini, tegas Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata orang ramai yang ingin mendapatkan pelalian digalak mendaftar awal melalui laman web Klinik Selcare atau aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Ada cerita konon sekitar 50 set diagih ke klinik, itu tidak betul…kita sudah tambah dan menjelang esok lebih banyak suntikan diberi, bergantung jumlah individu yang datang dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau turut bercadang mengadakan program Selvax Booster di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa akan datang membabitkan kerjasama wakil rakyat.

“Kita akan buat peringkat DUN tetapi wakil rakyat perlu selenggara dari aspek pusat pemberian vaksin seperti pelaksanaan Selvax Komuniti dan bergerak sebelum ini,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak disediakan kepada rakyat negeri ini melalui Selvax Booster.

Suntikan pelalian itu boleh didapati di semua 16 Klinik Selcare termasuk di Kuala Lumpur dengan lokasi boleh disemak melalui pautan https://selcareclinic.com/our-clinics/.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkap dan mempercepatkan proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.