Categories
AGENDA NASIONAL

Mendiang Tan Sri JJ Raj, hero Bukit Kepong selamat disemadi

SHAH ALAM, 8 NOV: Mendiang bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman Tan Sri JJ Raj (Jr) yang meninggal dunia pada Sabtu lalu, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Nirvana Memorial Park, Shah Alam hari ini.

Mendiang meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 1.55 pagi akibat masalah jantung (cardiac arrhythmia) di Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir untuk mendiang pada hari ini adalah Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis) Datuk Sulaiman Salleh dan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Sharul Lalli Masduki.

Zaini berserta beberapa kepimpinan kanan polis memberi tabik hormat di hadapan keranda mendiang serta menyampaikan ucapan takziah dan menyerahkan bendera Malaysia kepada waris mendiang, sebagai tanda penghormatan terakhir Polis Diraja Malaysia dan negara kepada mendiang.

Mendiang yang berasal dari Chemor, Perak terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor yang pernah mengetuai Skuad Harimau (Tiger Squad) untuk menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis sewaktu era darurat pada tahun 1950.

Pada tahun 1974, mendiang dilantik sebagai Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman sebelum bersara wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis.

Sepanjang perkhidmatan dalam PDRM, mendiang pernah menjawat beberapa jawatan penting, antaranya Ketua Polis Daerah Pagoh (1950), Ketua Polis Daerah Tangkak (1952), Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar (1954), Ketua Polis Daerah Kulim (1955), Ketua Polis Daerah Segamat (1957) dan Ketua Polis Daerah Kuala Lumpur (1958) dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan (1959).

Mendiang juga pernah dilantik menjadi Ketua Polis Negeri Pahang (1961), Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bharu (1964), Ketua Polis Negeri Sembilan (1967), Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak (1969) dan Ketua Polis Selangor (1973) serta Pengarah Pengurusan Bukit Aman (1974) sebelum bersara dua tahun selepas itu.

Selepas bersara, mendiang membabitkan diri secara aktif dalam sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarelawan dan persatuan sukan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Almarhum Sultan Ahmad selamat disemadikan

PEKAN, 23 Mac: Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Pekan, di sini pada 4.35 petang ini.

Jenazah Almarhum disemadikan bersebelahan pusara isteri baginda Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Muhammad, yang mangkat pada 29 Jun, 1988.

Suasana sayu menyelubungi Makam Diraja semasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah dan adinda baginda Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman masing-masing meletakkan batu nesan di pusara ayahanda berdua.

Turut kelihatan di Makam Diraja itu, Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah , Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob

Usai istiadat pemakaman, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman membacakan talkin. Beliau terdahulu mengetuai solat jenazah terakhir buat Almarhum yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah, yang terletak bersebelahan makam.

Solat jenazah itu disertai kaum kerabat Pahang, pembesar negeri, barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan ribuan rakyat yang mengambil peluang untuk mengucapkan ‘salam terakhir’ kepada sultan yang terkenal dengan sikap pemurah dan amat kasih kepada rakyat.

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 88, yang juga Sultan Pahang Kelima dan pernah memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun, mangkat di Institut Jantung Negara pada pukul 8.50 pagi semalam.

Al-Sultan Abdullah sebelum itu berangkat tiba di Balairung Sri Istana Abu Bakar pada 10.40 pagi, dengan diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sultan Ahmad Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Sultanah Hajah Kalsom kemudian menerima ziarah penghormatan terakhir daripada orang kenamaan yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu, kerabat diraja, dan pemimpin peringkat negeri dan pusat bermula pukul 11 sehingga pukul 1.10 petang.

Selain Sultan Hassanal Bolkiah dan Sultan Ibrahim yang ditemani Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail, turut berangkat menziarahi Almarhum ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha binti Almarhum Tengku Ariff.

Turut berangkat ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra. Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan Tun Abdul Taib Mahmud (Sarawak) yang ditemani pasangan masing-masing.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Siti Hasmah pula tiba 11.05 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum selain Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Jenazah Almarhum yang ditempatkan di persada di tengah-tengah Balairung Seri Istana Abu Bakar juga tidak putus-putus diziarahi rakyat Pahang sejak 11 malam tadi sehingga sesi ziarah orang awam ditamatkan pada 10.30 pagi.

Jenazah Almarhum kemudian diusung keluar dari Balairung Seri pada pukul 1.45 tengah hari oleh pasukan tentera darat, laut dan udara Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menaiki van jenazah pada pukul 2.20 petang.

Setelah sempurna diletakkan di dalam kenderaan berkenaan, kawalan kehormat memberikan Hormat Diraja sebagai penghormatan kali terakhir Almarhum diikuti lagu Negeri Pahang. ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’.

Setelah selesai, kawalan kehormat memberikan‘tafakur junam senjata’ sebelum kenderaan berkenaan mula bergerak meninggalkan perkarangan Istana Abu Bakar pada pukul 2.35 petang.

Sultan Abdullah dan anakanda bongsu Almarhum Tengku Arif Temenggong Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah turut menaiki kenderaan berkenaan untuk menemani perjalanan terakhir Almarhum ke Masjid Sultan Ahmad Shah.

Seramai 75 orang yang terdiri pegawai dan anggota Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia mengetuai pergerakan van jenazah berkenaan diikuti kumpulan jejawat, kadi serta pegawai agama Istana serta masjid negeri.

Serentak dengan itu juga tembakan meriam sebanyak 88 das dilepaskan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh di Selangor bersempena usia Almarhum Baginda, sebagai simbolik mengiringi pemergian Baginda untuk istiadat pemakaman.

Cuaca panas terik tidak menghalang ribuan rakyat berdiri di kiri dan kanan jalan sepanjang 2.2 kilometer untuk mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada seorang raja yang amat disayangi yang cukup terkenal dengan sifat merendah diri dan menjadi bukti kepada pepatah ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tuan Guru Nik Aziz selamat disemadi 11 pagi

SHAH ALAM, 13 FEB: Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, pada jam 11 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disempurnakan di Masjid Pulau Melaka pada jam 10 pagi dan dianggarkan hampir 30,000 orang hadir di Masjid Pulau Melaka untuk bersama melakukan solat jenazah.

IMG_5872Memetik Astro Awani, beberapa pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat turut hadir memberikan penghormatan yang terakhir antaranya, Datuk Seri Hadi Awang, Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Abdul Hadi antara pemimpin yang dilihat bersama menurunkan jenazah Allahyarham ke liang lahad.

Jenazah Allahyarham Nik Aziz disemadikan bersebelahan pusara bapanya, Nik Mat Raja Banjar.

Nik Aziz menghembuskan nafas terakhir  pada usia 84  tahun di kediamannya, pada ja, 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari hospital.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan 10 orang anak iaitu lima lelaki serta lima perempuan.

-NFN-