Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Malaysia beralih ke fasa endemik, sempadan negara dibuka semula 1 April

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa negara akan memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’ dan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

“Penting untuk saya maklumkan, fasa ‘peralihan ke endemik’ ini adalah strategi keluar untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan COVID-19,” katanya dalam sidang media khas di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Fasa peralihan itu, katanya adalah fasa sementara sebelum negara beralih ke fasa endemik yang tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Malaysia menutup sempadan negara kepada pelancong dan pelawat asing sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan COVID-19 dalam negara.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata bermula 1 April beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah digariskan seperti berikut:

i. Pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

ii. Had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.

“Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis.

“Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Bolehlah bersahur di luar,” katanya.

iii. Pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

Namun katanya, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu dan pengunjung.

iv. Aktiviti solat Jemaah di masjid serta surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain agam Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

v. Keperluan vaksinasi: Had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan. Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Beliau berkata jika sebelum ini terdapat had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai, namun dengan pengumuman terbaharu ini, had tersebut dimansuhkan secara menyeluruh.

“Tiada lagi had kapasiti 50 peratus, namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan,” katanya.

Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli Keluarga Malaysia yang cekal, tabah, kuat semangat dan berdisiplin dalam mematuhi SOP serta menyokong setiap inisiatif kerajaan dalam memerangi COVID-19.

“Tanpa sumbangan Keluarga Malaysia, negara tidak akan boleh beralih ke fasa ‘peralihan ke endemik’. Saya juga berterima kasih kepada semua Menteri Kuartet Covid-19 yang diketuai Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas usaha keras mereka demi memastikan usaha negara untuk ‘Reopening Safely’ (pembukaan semula dengan selamat),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sempadan negara dijangka dibuka semula awal suku kedua tahun ini

BATU PAHAT, 19 FEB: Awal suku tahun kedua tahun ini merupakan garis masa realistik untuk pembukaan semula sempadan negara, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi masa dua minggu kepada beliau dan Kementerian Kesihatan (KKM), untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan.

Namun jelasnya ini tidak bermakna sempadan negara akan dibuka dalam masa dua minggu lagi, kerana perkara itu perlu dibincangkan di beberapa peringkat terlebih dahulu.

Katanya garis panduan berkenaan perlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, serta Jawatankuasa Kuartet Menteri Covid-19 sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

“Sebab ini keputusan besar yang tidak boleh dibuat di peringkat KKM, ini melibatkan polisi besar negara. Saya jangka mungkin suku tahun kedua adalah satu garis masa realistik, tetapi tarikhnya biarlah Perdana Menteri yang menentukannya nanti,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kurnia, yang menawarkan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40), di sini hari ini.

Berhubung keputusan pengawal selia kesihatan Amerika Syarikat menangguhkan semakan vaksin Covid-19 Pfizer untuk kanak-kanak di bawah umur lima tahun berikutan regimen dua dosnya tidak berfungsi dengan baik terhadap varian Omicron, Khairy berkata kumpulan kerja teknikal sentiasa memberikan nasihat kepada KKM berkenaan kesesuaian vaksin.

“Kita ada dua proses, satu kelulusan oleh badan kawal selia iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), satu lagi adalah pandangan kumpulan pakar.

“Kumpulan pakar sedang memperhalusi data untuk vaksin bagi kanak-kanak di bawah usia lima tahun, belum ada apa-apa syor lagi kepada KKM,” katanya.

Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) dilapor sebagai berkata ia memerlukan lebih banyak data mengenai vaksin itu, sekali gus menangguhkan keputusan untuk menggunakan vaksin berkenaan kepada kanak-kanak berumur enam bulan hingga empat tahun selama sekurang-kurangnya dua bulan.

Mengulas mengenai PeKa B40 yang bermatlamat pengesanan dan pencegahan awal penyakit tidak berjangkit (NCD), Khairy berkata setakat ini inisiatif berkenaan telah berjaya menyaring 561,990 individu daripada kumpulan B40.

“Bagaimanapun, jumlah ini masih rendah berbanding jumlah yang layak iaitu lebih 4.9 juta orang di seluruh negara. Di Johor, 47,448 penerima telah disaring di bawah skim ini dan daripada jumlah itu, 12,950 telah disahkan menghidap NCD.

“Saya ingin menyeru mereka yang layak untuk menjalani saringan kesihatan percuma di mana-mana klinik kesihatan kerajaan dan klinik swasta yang berdaftar di bawah PeKa B40 di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata fokus utama inisiatif berkenaan adalah pencegahan peringkat awal melalui empat manfaat kesihatan yang ditawarkan iaitu saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif pengangkutan.

Menurutnya mengikut Persekutuan Jantung Sedunia, NCD khususnya penyakit pulmonari obstruktif kronik, penyakit jantung, hipertensi dan diabetes merupakan faktor risiko utama yang akan menyebabkan pesakit Covid-19 mengalami simptom yang teruk.

– BERNAMA

 

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Tanggungjawab ATM berkembang, aset siap sedia pertahan negara

Oleh Anasathia Anak Jenis dan Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Tanggungjawab yang dipegang adalah besar iaitu mempertahankan negara daripada sebarang ancaman luar, bermula dengan Perang Dunia Kedua menentang Jepun sehinggalah ancaman komunis ketika negara menghadapi darurat.

Kini setelah 87 tahun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditubuhkan pada 1 Mac 1933, fungsi dan tanggungjawab yang dipikul berkembang selaras dengan perubahan zaman.

Merupakan benteng pertahanan negara, ATM yang mempunyai tiga cabang – Tentera Darat, Laut dan Udara itu sentiasa terlibat dalam pelbagai operasi sama ada di dalam atau luar negara dengan misi tetap sama iaitu mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Menyambut ulang tahun yang ke-87, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang menggariskan empat teras utama sebagai panduan dalam meningkatkan imej pasukan iaitu memperkasakan kesiapsiagaan aset; memperkasakan warga ATM yang cemerlang; mengukuhkan keupayaan ATM dalam Domain Siber; dan menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan.

Kertas Putih Pertahanan yang menetapkan hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 10 tahun bagi melindungi kepentingan Malaysia dan mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayah, akan terus menjadi panduan utama dalam membuat perancangan serta pelaksanaan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

“Domain maritim dan udara bakal diberi tumpuan khusus dalam Kertas Putih Pertahanan bagi pembangunan keupayaan ATM, pembangunan keupayaan kedua-dua domain ini akan mengambil masa yang panjang berdasarkan tempoh pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan dari tahun 2021 hingga 2030,” kata Affendi dalam wawacara khas di Wisma Pertahanan, di sini, sempena Hari ATM ke-87 yang disambut 16 September setiap tahun.

Tahap Kesiagaan Aset Tertinggi Hadapi Ancaman

Affendi berkata demi menentukan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dapat digalas dengan berkesan, amat penting bagi ATM mempunyai tahap kesiagaan aset bersesuaian dan fokus perlu diberi untuk memastikan aset-aset sedia ada berada pada tahap kesiagaan yang tertinggi dalam mendepani sebarang kemungkinan.

Anggota tentera memakai penutup muka dan sarung tangan ketika mengawal bangunan Selangor Mansion berikutan kes Covid-19 di bangunan berkenaan pada 7 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“ATM memerlukan aset yang sentiasa berada pada tahap kesiagaan tertinggi agar keupayaan ATM dapat dipamerkan setiap masa, di samping menonjolkan keupayaan ini sama ada semasa latihan, kesiagaan bertindak mahu pun keupayaan mobilisasi,” katanya.

Mengambil contoh Op Benteng di bawah Pasukan Bertindak Kebangsaan (NTF) yang dilaksanakan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Affendi berkata cabaran utama operasi bagi memperkasakan kawalan sempadan negara itu sememangnya memerlukan ATM menambah aset bagi menangani kemasukan migran dan aktiviti penyeludupan.

“Pengesanan dan buat rondaan dalam Op Benteng ini tidak memerlukan aset yang besar tetapi lebih kepada kelengkapan seperti bot pemintas, kereta pacuan empat roda dan motosikal scrambler.

“Ini kerana migran dan penyeludup ini tidak akan mendarat di kawasan jeti besar tetapi memilih kawasan yang terpencil,” katanya sambil menambah penggunaan dron turut banyak membantu dalam hal ini, ditambah dengan tindakan licik migran yang sentiasa mengubah modus operandi untuk memasuki negara ini.

Tangani Pencerobohan Sempadan

Beliau berkata strategi penyeludupan masuk migran ini yang kadang-kala sukar dibaca kerana mereka sentiasa mengubah modus operandi untuk menyeludup masuk dan itu antara cabaran yang dihadapi ATM dalam usaha menjaga sempadan negara yang panjang serta perairan yang luas.

“Inilah kesukaran yang terpaksa dihadapi termasuk idea perubahan modus operandi yang turut melibatkan rakyat tempatan yang menjadi tekong atau pengkhianat negara namun pihak NTF berjaya mengatasinya,” katanya.

Anggota Tentera Malaysia (ATM) memasang kawat duri bagi mengawal laluan keluar masuk di sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur pada 4 Mei 2020. FOTO: BERNAMA

Beliau berkata sehingga kini operasi memburu tekong dan tali barut giat dilakukan dan turut membuahkan hasil dengan beberapa siri tangkapan terhadap mereka yang bersekongkol terutama dengan sindiket penyeludupan.

Op benteng yang diaktifkan sejak Mei 2020 adalah untuk mengawal sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi migran dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Affendi berkata pelaksanaan Op Benteng meliputi enam kaedah iaitu pencegahan, langkah pengesanan, tindakan penghindaran, tindakan pelencongan, pengurusan penahanan serta inisiatif pengusiran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sempadan negara masih ditutup, tiada urusan keluar-masuk dibenar

SHAH ALAM, 14 JUN: Kerajaan mengekalkan polisi tidak membenarkan rakyat ke luar negara kecuali atas alasan tertentu namun perlu memohon kebenaran daripada Jabatan Imigresen, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peraturan sama turut terpakai untuk warga luar yang mahu ke Malaysia kerana sehingga kini pintu sempadan masih belum dibuka.

“Secara keseluruhannya pintu sempadan kita masih ditutup kepada semua termasuk rakyat atau warga asing kecuali untuk kes tertentu seperti pelajar mahu pulang bagi menduduki peperiksaan,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Mengulas mengenai pelumba negara yang akan menyertai kejohanan MotoGP di luar negara bulan hadapan, beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada Kementerian Belia dan Sukan untuk dipertimbangkan.

Pada sidang media sama Ismail Sabri memaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador akan menghantar pasukan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ke Zoo Negara bagi memastikan pengunjung mematuhi peraturan.

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya memanfaatkan kebebasan diberikan sepanjang PKP Pemulihan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sempadan negara dibuka jika kes Covid-19 kekal satu angka

SHAH ALAM, 8 JUN: Cadangan pembukaan semula sempadan negara akan dibuat jika kes Covid-19 di Malaysia kekal satu angka semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemantauan akan dibuat sepanjang fasa pemulihan selepas kerajaan memberi lebih banyak kelonggaran operasi pelbagai sektor.

“Kalau penularan dalam negara boleh dikawal, maka kita akan pertimbang membuka kawalan sempadan antarabangsa dengan melihat konsep ‘green bubble’ jika negara itu mempunyai rekod zon hijau baik.

“Bagaimanapun, kita harus menilai tatacara operasi piawai (SOP) antara kedua-dua negara terlebih dahulu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya juga perlu berbincang dengan negara asing untuk mengetengahkan konsep tersebut sebelum memutuskan kebenaran membuka sepenuhnya pintu kawalan sempadan.

“Jika ada kriteria pelaksanaan SOP mungkin kita boleh melaksanakannya (membuka pintu sempadan) tetapi ia bergantung kepada perbincangan dan persetujuan dua negara,” katanya.

PKPP bermula 10 Jun ini membenarkan orang ramai merentas negeri kecuali kawasan yang dikenakan PKP Dipertingkatkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: ATM perkukuh, perketat kawalan di sempadan negara

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuh dan memperketatkan kawalan di sepanjang persempadanan negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata ATM sentiasa mengambil pelbagai perkiraan dalam merangka pelan strategik pertahanan negara merangkumi sebarang situasi terutama ketika Malaysia kini menghadapi wabak itu.

Beliau berkata pelbagai kemungkinan diperhalusi terutama jangkaan tindakan warga asing yang akan memasuki Malaysia secara tidak sah dengan menggunakan laluan tikus.

“Perkara ini seterusnya boleh memberi impak kepada peningkatan Covid-19 manakala semasa penguatkuasaan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), operasi dalam negara tetap diteruskan seperti biasa.

“Dalam kawalan persempadanan negara, ATM berkolaborasi bersama polis terutamanya melibatkan Pasukan Gerakan Am serta agensi keselamatan lain yang bukan sahaja membabitkan kawalan persempadanan darat di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, malah turut melibatkan kawalan di persempadanan perairan negara,” katanya dalam kenyataan.

Affendi berkata dengan pengarahan terbaharu dalam perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ATM akan memperkukuhkan lagi perintah dan kawalan di setiap pemerintahan darat, laut dan udara supaya berada pada tahap tinggi.

“Setiap peringkat pemerintahan dikehendaki menentukan arahan semasa terutama atur gerak operasi semasa dikuatkuasakan.

“Adalah ditegaskan dengan pengukuhan kawalan operasi di persempadanan negara ia tidak menjejaskan penugasan anggota sedia ada dalam operasi untuk menguatkuasa PKP dan PKPD,” katanya.

Muhyiddin dalam perutusan khas mengarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador; Panglima ATM; Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som; Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan lain-lain agensi berkaitan supaya memperketat kawalan di sepanjang sempadan negara.

Perdana Menteri berkata ia bagi mengelak kemungkinan pendatang asing tanpa izin daripada bolos melalui lorong tikus dan membawa virus masuk ke negara ini.

-BERNAMA