Categories
NASIONAL

KL, Jakarta perhalusi inisiatif bagi buka sempadan kedua-dua negara

JAKARTA, 10 NOV: Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan pengurusan koridor perjalanan melalui aturan Travel Corridor Arrangement atau Vaccinated Travel Lane berikutan kedua-dua negara semakin pulih daripada pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata menteri-menteri berkaitan akan memperhalusi inisiatif itu supaya sempadan kedua-dua negara dapat dibuka membabitkan laluan Kuala Lumpur-Jakarta-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Bali-Kuala Lumpur.

“Jika dipercepatkan urusan untuk butirannya, pernyataan bersama akan dibuat bagi mengumumkan pembukaan sempadan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Joko Widodo di Istana Bogor sempena lawatan sulung rasmi tiga hari beliau yang bermula Selasa.

Mengenai pekerja Indonesia di Malaysia, perdana menteri memberi jaminan untuk terus memelihara kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Ismail Sabri berkata Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 telah diluluskan pindaannya tahun lepas, yang menjamin keselesaan penginapan pekerja bagi rakyat tempatan dan rakyat asing termasuk dari Indonesia.

Perdana Menteri turut memberi jaminan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia akan dimuktamadkan secepat mungkin.

Beliau berkata warga Indonesia boleh memanfaatkan program pemutihan yang dilanjutkan oleh kerajaan Malaysia sehingga penghujung tahun ini sama ada pulang secara sukarela atau bekerja secara sah.

“Kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam bidang kebudayaan juga akan dipertingkat melalui penyenaraian bersama ke UNESCO beberapa lagi item warisan kebudayaan yang diwarisi bersama,” kata beliau.

Berhubung sempadan maritim kedua-dua negara, Ismail Sabri memberi jaminan Malaysia terus komited untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan perkara itu.

“Ada empat isu yang berkaitan, dua isu telah selesai dan boleh ditandatangani,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri dan Jokowi bersependapat isu Myanmar perlu ditangani dengan baik kerana kesan daripada masalah di negara itu memberi impak besar kepada Malaysia daripada segi kedatangan pelarian etnik Rohingya ke Malaysia yang sekarang berjumlah lebih 200,000 orang.

Pada akhir sidang akhbar itu Ismail Sabri menjemput Jokowi melakukan lawatan rasmi ke Malaysia.

Jokowi telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia sebanyak dua kali sejak memegang jawatan presiden negara itu.

Terdahulu Ismail Sabri dan Jokowi menyaksikan dua MoU ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia bagi kerjasama dalam bidang pendidikan dan kastam.

Sepanjang lawatan itu, Ismail Sabri diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dron berkesan bantu polis jaga keselamatan, kawal sempadan

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Penggunaan dron berkesan dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keselamatan dan kawalan sempadan serta merakam pelbagai gambar dan video bagi mengumpul bukti untuk membawa pertuduhan ke mahkamah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata oleh sebab itu, PDRM memerlukan lebih banyak dron berteknologi canggih bagi membantu menggalas tanggungjawab yang dilihat semakin mencabar.

Beliau berkata dron yang berkualiti mampu terbang hingga dua atau tiga jam di udara dan boleh menelan belanja kira-kira setengah juta ringgit seunit.

“Banyak kejayaan dan rampasan dilakukan dengan penggunaan dron ini. Selain itu, setiap dron adalah berbeza mengikut kawasan misalnya penggunaan dron di Bukit Kayu Hitam, Kedah tidak sama dengan dron di Gua Musang dan Sungai Golok, Kelantan berdasarkan kegiatan yang berbeza.

“Di Zon A (iaitu kawasan pantai yang panjangnya 900 hingga 1,000 kilometer), penggunaan dron amat relevan. Kalau hendak ditempatkan anggota penguat kuasa, ia tidak praktikal memandangkan jumlah yang diperlukan cukup ramai,” katanya dalam wawancara khas kepada Bernama di Bukit Aman, baru-baru ini.

Zainal Abidin berkata dron mampu membuat kawalan di satu-satu kawasan bagi tempoh tertentu ketika penguat kuasa melakukan tangkapan dan membawa balik penjenayah serta menulis laporan.

“Sekiranya ada tangkapan dibuat ketika rondaan dilakukan, ia akan mengambil masa kira-kira dua jam untuk polis buat laporan dan membawa penjenayah balik ke balai.

“(Jadi) akan berlaku kelompongan (tiada kawalan di kawasan itu). Kami perlu naikkan dron untuk mengawal kawasan itu dan apabila dibuat pemerhatian dari atas (udara oleh dron) kawasan yang diperhatikan akan lebih luas dalam dua jam,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga tidak mahu sesuatu tangkapan itu hanya dijadikan “decoy” yang mana penyeludup sengaja membiarkan satu bot yang kurang barang seludup ditahan bagi memberi ruang dan peluang bot-bot yang lebih besar dengan barangan atau migran menceroboh masuk kawasan sempadan.

“Jadi dron berkuasa tinggi inilah yang diperlukan untuk kawasan Zon A dan untuk kawasan sempadan di Sarawak (misalnya) yang kita tahu, sempadan negeri tersebut kawasannya berbukit bukau dan bergunung-ganang,” katanya.

Zainal Abidin berkata pihaknya mempunyai pos kawalan yang jaraknya terlalu jauh antara satu dengan yang lain dan tidak dapat memenuhi keperluan keselamatan sepenuhnya.

“Bagi menggerakkan pasukan untuk menghalang (kegiatan penyeludupan) pun menjadi cukup sukar dan memakan masa cukup panjang. Oleh sebab itulah, kami hendak gunakan dron ini dalam membendung kemasukan pendatang tanpa izin atau kemasukan barang-barang kontraban ini,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya tekonologi sebegini, ia mampu menutupi lorong-lorong tikus dan gajah yang banyak di Sarawak.

“Sekiranya ia tidak dilakukan sekarang iaitu menggunakan dron berkapasiti tinggi kemungkinan PDRM menghadapi kesukaran pada masa akan datang dari segi keselamatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya ada menerima empat kenderaan jenis All Terrain Vehicles (ATV) pemberian kerajaan Sarawak bagi membantu menjaga kawasan sempadan terutamanya apabila Kalimantan bakal menjadi ibu negara baharu Indonesia.

“ATV tersebut diterima kira-kira dua hari lepas oleh Batalion 11 di Miri, Sarawak selain generator (penjana) memandangkan pos kawalan polis berada di dalam hutan yang tidak mempunyai apa-apa misalnya air dan lain-lain,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gambar ahli geng jenayah terancang diedar di pintu sempadan

KOTA BHARU, 5 APRIL: Polis mengedarkan gambar ahli kumpulan ‘Geng Nicky’ kepada petugas di sepanjang pos kawalan sempadan negara bagi memastikan ahli kumpulan jenayah terancang itu tidak melarikan diri atau cuba memboloskan diri ke negara jiran.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata gambar ahli kumpulan ‘Geng Nicky’ yang diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee itu kini diedar kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mengawal sempadan tanah air.

“Semua anggota dan pegawai PGA di pos kawalan di sempadan sudah diarahkan supaya membuat pemantauan terhadap kes ini. Segala pergerakan yang mencurigakan akan dipantau termasuk cubaan keluar dari sempadan mengikut laluan tidak sah.

“Kesemua anggota turut diarahkan supaya sentiasa berwaspada dan melakukan pemeriksaan dengan lebih ketat di sempadan,” Majlis Perasmian Batalion Ke-8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) di Pengkalan Chepa hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan, Nicky, dan ahli kumpulannya kemungkinan berusaha melarikan diri ke luar negara selepas operasi memberkasnya pada 20 Mac lepas didakwa dibocorkan pihak yang menerima habuan daripadanya.

Polis juga tidak menolak kemungkinan ahli perniagaan itu akan menggunakan laluan tikus di sempadan negara ini bagi melarikan diri daripada ditahan.

Selasa lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa disyaki mempunyai hubungan dan melindungi kegiatan sindiket jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

Nicky, 33, merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PGA pertingkat kawalan ‘laluan tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand

KOTA BHARU, 14 JAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini, khususnya melalui laluan tikus dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 PGA (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata usaha ini selaras dengan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bermula 12 Jan hingga Ogos 2021.

“Sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, masalah kemasukan pendatang tanpa izin akan ditangani dengan lebih serius agar penularan Covid-19 dapat dikawal.

“Lokasi tumpuan adalah di laluan tikus yang dikenal pasti menjadi kawasan kemasukan pendatang tanpa izin. Kita juga sentiasa mengumpul maklumat bagi mengekang perkara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata operasi kawalan di sempadan akan dilakukan secara kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Mengulas lanjut, Azhari berkata seramai 11 pendatang tanpa izin berjaya ditahan sejak pasukannya mengambil alih tugas kawalan sempadan daripada Batalion Ke-8 PGA (PGA8) pada 16 Dis tahun lepas.

Katanya, mereka yang ditahan adalah lima warga Myanmar dan masing-masing dua individu berasal dari Bangladesh dan Thailand, manakala dua lagi adalah etnik Rohingya.

“Kita juga berjaya menahan dua kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengangkut pendatang tanpa izin ke negara ini,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sedia kerjasama pergiat kawalan sempadan Thailand-Malaysia

SONGKHLA, 27 NOV: Thailand sedia memberi kerjasama untuk mempergiat kawalan keselamatan di sempadan Thailand-Malaysia susulan insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut ditembak ketika bertugas di Perlis pada Selasa.

Komander Tentera Bahagian Ke-4 Lt Jeneral Kriangkrai Srirak yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) Thailand-Malaysia telah menghubungi Pengerusi RBC Malaysia Lt Jeneral Datuk Mohamad Ab Rahman semalam.

Beliau berkata mereka telah mengadakan perbincangan untuk mempertingkat kawalan di sempadan Thailand-Malaysia bagi mengelak insiden yang sama berulang.

Pasukan keselamatan, katanya, akan mempertingkat kawalan di sepanjang sempadan termasuk mempergiat rondaan dan mewujudkan pos kawalan di lokasi strategik bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta berkongsi maklumat.

“Kami tidak mahu insiden yang sama berulang. Pihak berkuasa Thailand sedia memberi kerjasama kerana ia merupakan salah satu saluran untuk mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada media selepas meninjau lokasi kejadian di Daerah Sadao, Songkhla, di mana anggota PGA maut ditembak pada Selasa lepas.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Sarjan Baharuddin Ramli, 54, yang terkorban dalam kejadian berbalas tembakan di sempadan Padang Besar, Perlis itu.

Kriangkrai berkata hubungan diplomatik kedua-dua negara berada pada tahap yang baik.

“Sehubungan itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil,” katanya.

Sementara itu, Kriangkrai berkata pihak berkuasa Thailand telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan pada Selasa lepas itu.

“Tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Semalam media melaporkan seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena tembakan ketika menjalankan rondaan bersama-sama rakan setugasnya di sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah pada kira-kira 6.15 petang.

Dalam kejadian pertama pada awal pagi Selasa lepas, Baharuddin maut manakala Sarjan Norihan a/l Tari, 39, parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak gentar, malah terus semangat gempur anasir seludup – PGA

BUKIT KAYU HITAM, 26 NOV: Walaupun berdepan ancaman tidak mampu ‘dihidu’, warga Pasukan Gerakan Am (PGA) tidak sesekali gentar atau gerun, sebaliknya terus bersemangat menggempur anasir penyeludupan di sempadan negara.

Pegawai Gerakan Batalion 3 PGA Inspektor Khor Kai Zhen berkata sebagai anggota keselamatan, mereka sememangnya terdedah bahaya, namun bagi mengurangkan sebarang risiko pihaknya memastikan kesiapsiagaan mereka sentiasa pada tahap optimum.

“Seperti berlaku di sini semalam (kes tembakan anggota PGA) bila mereka (penyeludup) tengok kawalan anggota keselamatan kita ketat, mereka macam nak balas dendam, mereka lepaskan tembakan.

“Atau mereka nak alihkan perhatian kami, jadi mereka tembak…kejadian tembakan guna senapang angin ini sudah banyak kali berlaku cuma tidak ada sehingga mencederakan anggota,” katanya ketika ditemui semasa meninjau lokasi kejadian tembakan berhampiran pos kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di sini, yang menyebabkan seorang anggota PGA Lans Koperal Muhammad Amirul Amir cedera ringan petang semalam.

Khor berkata walaupun menggunakan senapang angin, pelurunya boleh menembusi badan sehingga menyebabkan kecederaan parah dan lebih berbahaya jika jarak tembakan sangat hampir.

Sementara itu, Ketua Platun 5 PGA Inspektor Muhammad Adlizan Admancur menyifatkan empat kejadian tembakan dalam tempoh sebulan adalah jumlah kes agak tinggi dalam tempoh singkat, namun ia tidak sesekali menjejaskan emosinya dalam menjalankan tugas.

“Kami bertugas seperti biasa, apa yang berlaku tidak mematahkan semangat kami untuk sentiasa menjaga keamanan negara,” katanya.

Dalam kejadian 6.15 petang semalam, Muhammad Amirul, 26, melecet di bahagian perut selepas terkena tembakan senapang angin menggunakan peluru ‘ball bearing’ yang dilepaskan dari kawasan negara jiran, semasa melakukan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran pos M16 di sini.

Sebelum ini Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata kejadian tembakan di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis yang mengorbankan seorang anggota PGA iaitu mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, Selasa lepas, adalah insiden kali ketiga bulan ini.

Kejadian pertama dilapor berlaku pada 12 November lepas dan kejadian kali kedua berlaku 15 November, manakala kes Muhammad Amirul merupakan kes keempat dalam bulan ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

NTF pertimbang tambah anggota di sempadan

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang melaksanakan Op Benteng mempertimbangkan untuk menambah bilangan anggota di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dengan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan lain, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjaga sempadan negara di bahagian utara dibahagikan tugasan mengikut kawasan-kawasan tertentu.

“Berikutan insiden berbalas tembakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sehingga menyebabkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam, Op Benteng akan melibatkan kerjasama bersepadu secara menyeluruh dan tidak lagi membahagikan kawasan.

“Selain itu, dalam meningkatkan lagi kawalan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, kita juga perlu menambah bilangan keanggotaan sama ada daripada pihak ATM atau PDRM,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kementerian Pertahanan, di sini.

Ismail Sabri berkata kementeriannya akan berbincang bersama NTF supaya apa yang dilaksanakan di kawasan Op Benteng Sabah termasuk di Semenanjung, pantai barat sebagainya dapat digemblengkan di Op Benteng di kawasan utara.

Beliau berkata bagaimanapun, perkara ini akan dibincangkan di bawah NTF terdahulu kerana melibatkan pelbagai unit beruniform yang memerlukan penyelarasan selepas ini.

Semalam, Bernama melaporkan dalam insiden awal pagi itu, dua anggota Pasukan Gerakan Am mendiang Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Norihan a/l Tari, 39, cedera parah semasa berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata insiden berbalas tembakan itu merupakan kali pertama berlaku di sempadan berkenaan.

Sebelum ini, hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu. Bunyi tembakan didengar pada 12 dan 15 Nov lepas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, diminta mengulas mengenai kos kuarantin sekiranya anggota Batalion Malaysia (MALBATT) pulang bercuti ke tanah air, Ismail Sabri berkata kerajaan akan membiayai kos kuarantin mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

KPN: Dua lagi suspek ditahan insiden tembakan sempadan Malaysia-Thailand

JEMPOL, 25 NOV: Dua lagi rakyat Thailand ditahan pasukan keselamatan pada 7 pagi tadi di tembok sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis menjadikan keseluruhan suspek rakyat negara jiran itu yang ditahan berkaitan kes tembak anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) lapan orang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata daripada kesemua lapan suspek berkenaan, empat daripadanya ditahan di Malaysia manakala empat lagi di negara jiran.

“Dua warga Thailand ini kami yakin tidak sempat melarikan diri, oleh kerana tidak ada ruang dan peluang untuk mereka melepasi tembok sempadan. Jadi apabila kami buat sweeping di ladang dan belukar tersebut, terserempak dengan dua orang ini.

“Kami telah bawa mereka untuk soal siasat selanjutnya. Kami juga sedang berunding dan akan mengutuskan permohonan secara rasmi kepada pihak Polis Diraja Thailand supaya keempat-empat (penyeludup) yang ditahan di Thailand itu dapat diserahkan kepada kami untuk diadili,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri upacara pengebumian mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban awal pagi semalam dalam kejadian berbalas tembak dengan kumpulan penyeludup ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, di Padang Besar, Perlis.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata Jabatan Siasatan Jenayah bersama pasukan forensik sedang berusaha mengesan senjata api yang digunakan kumpulan berkenaan yang berkemungkinan telah dicampak di kawasan kejadian.

“Dalam belukar tersebut, kami lakukan sweeping (pencarian) di situ. Kami percaya pada saat kejadian tersebut oleh kerana berlaku dalam keadaan spontan dan kumpulan berkenaan bertempiaran lari dan di situ ada kesukaran untuk berhubung kerana line telefon tidak ada.

“Mereka terpaksa tunggu keadaan reda dan saya percaya itulah taktik yang digunakan dua orang yang kami tangkap pagi ini, mereka akan cuba ke tembok itu untuk melarikan diri,” katanya.

Ditanya berapa lagi baki suspek yang belum ditahan, beliau menjelaskan ia bergantung kepada hasil soal siasat.

“Ada maklumat kata berbelas-belas, kami tak dapat sahkan, (ada) kata 12,13 atau 14. Tapi soal siasat sedang berjalan dan insya-Allah kami akan dapat lebih banyak maklumat berhubung kejadian tersebut, berapa ramai terlibat,” katanya.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, Koperal Baharuddin Ramli, 54, daripada Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) terkorban manakala rakan setugas Koperal Norihan a/l Tari, 39, cedera dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis.

Terdahulu, Abdul Hamid meluangkan masa selama dua jam menziarahi keluarga dan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Koperal Baharuddin yang disemadikan di Tanah Perkuburan Orang Asli, Kampung Sungai Sampo, Bandar Sri Jempol di sini.

Mendiang Baharuddin selamat disemadikan pada 12.20 tengah hari dan dihadiri ratusan hadirin terdiri daripada keluarga, penduduk kampung dan pegawai serta anggota polis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Buka semula sempadan perkara terakhir dilihat kekang Covid-19

PUTRAJAYA, 28 OGOS: Pembukaan semula pintu sempadan negara kepada pelancong asing adalah perkara terakhir yang dilihat kerajaan untuk terus mengekang penularan wabak Covid-19 dan kes baharu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kerajaan sebelum ini sedang meneliti rayuan untuk kemasukan tukang masak dari Thailand dan pembantu rumah dari Indonesia, namun perkara itu ditangguh buat sementara, susulan situasi terkini Covid-19 yang banyak melibatkan kes import hingga mencetuskan penularan baharu dalam negara.

“Keputusan Mesyuarat Khas Menteri semalam kita akan lebih tegas dari segi pembukaan sempadan negara sebab banyak negara yang dulu mula santai tetapi dah tutup balik kerana kes import yang berlaku,” katanya mengulas gesaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes supaya pemimpin negara ASEAN yang berstatus hijau menimbang pembukaan semula sempadan negara.

Ismail Sabri yang ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Kursus Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri 40/2020 di sini hari ini berkata setakat hari ini, tiada negara yang boleh dianggap zon hijau.

Katanya, kerajaan sebelum ini mengenal pasti enam negara zon hijau Covid-19 bagi pembukaan semula sempadan negara secara bersyarat iaitu Singapura, Brunei, New Zealand, Jepun, Australia dan Korea Selatan namun ia akan dilihat semula kerana beberapa negara termasuk Korea Selatan dan Australia juga menghadapi peningkatan kes.

Walaupun rakyat Malaysia dan Singapura kembali merentas sempadan baru-baru ini, namun kategori itu terhad kepada rakyat Malaysia yang terkandas di republik itu dan urusan perniagaan, katanya.

Bagi kira-kira 250,000 pekerja rakyat Malaysia yang berulang-alik secara harian ke Singapura, katanya isu berkenaan masih dibincangkan dan belum dibenarkan kerajaan Singapura.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu sempadan KL-Selangor antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Impak hasil promosi sawit oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di luar negara adalah antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu tersebut terkandung dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengenai impak utama promosi sawit di negara-negara yang pernah dilawati, kepada industri sawit negara.

Selain itu, Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) akan bertanya kepada kementerian sama mengenai langkah untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja sektor perladangan komoditi akibat pemberhentian kemasukan pekerja asing susulan Covid-19.

Isu sempadan Wilayah Persekutuan dan Selangor pula dibangkitkan Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) yang meminta Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan status terkini penyelesaian sempadan tersebut.

Perbahasan bagi Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 turut dijadual bersambung hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan rentas sempadan Malaysia – Singapura dibuka 10 Ogos

PUTRAJAYA , 8 OGOS: Jabatan Imigresen (JIM) hari ini memaklumkan permohonan kemudahan bagi rentas sempadan di antara Malaysia dan Singapura akan dibuka mulai Isnin ini (10 Ogos).

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata warga asing yang menetap di Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tempoh yang singkat untuk tujuan rasmi dan urusan perniagaan boleh berbuat demikian melalui kemudahan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

“RGL juga terpakai untuk warganegara Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan dalam tempoh pendek,” katanya.

Bagi semua warganegara Singapura dan penduduk tetap di Singapura yang mempunyai Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLSJP) untuk bekerja dan perniagaan boleh memasuki Malaysia melalui kemudahan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

“Bagi menggunakan kemudahan RGL dan PCA ini, semua pelawat asing perlu membuat permohonan melalui sistem MyTravelPass (MTP) di pautan http://www.mtp.imi.gov.my bermula 10 Ogos,” katanya.

Beliau berkata semua pelawat asing perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengaktifkan aplikasi itu dalam telefon mudah alih masing-masing.

Menurutnya pelawat asing yang menggunakan kemudahan RGL, penaja mereka di negara ini perlu membuat permohonan bagi pihak mereka melalui sistem MTP.

“Bagi pelawat asing yang menggunakan kemudahan PCA, majikan mereka di negara ini perlu membuat permohonan bagi pihak mereka melalui sistem MTP,” katanya.

Beliau berkata panduan lengkap tatacara permohonan dan keperluan dokumen bagi kemudahan RGL dan PCA boleh diperoleh menerusi laman web rasmi JIM di www.imi.gov.my dan pihak berkuasa Imigresen Singapura di https://safetravel.ica.gov.sg.

“JIM menasihati semua pelawat asing dan warganegara Malaysia supaya sentiasa mematuhi arahan dan peraturan semasa serta peka dengan pengumuman terkini daripada agensi kerajaan berhubung langkah-langkah pencegahan pandemik Covid-19.

“Tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar dan gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Gali parit umpama idea perang khandaq kekang penyeludupan – ATM

KUALA NERANG, 26 JULAI: Diinspirasikan oleh peperangan khandaq, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggali parit di laluan tikus sekitar sempadan Malaysia-Thailand di Durian Burung di sini bagi mengekang penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.

Panglima Briged Keenam Infantri Brig Jen Datuk Mohd Halim Khalid berkata tindakan menggali parit yang kedalaman serta lebarnya 2.4 meter (lapan kaki) itu dibuat memandangkan sebelum ini penyeludup boleh terus ke pagar sempadan menggunakan motosikal atau kenderaan empat roda.

“Dengan adanya parit ini, kenderaan tidak boleh terus ke kawasan pagar sempadan namun mereka (sindiket penyeludupan) ini licik dan sanggup berjalan kaki umpama tentera semut untuk menyeludup barangan seperti daun ketum ke negara jiran.

“Oleh itu, pihak tentera masih meletakkan anggota untuk berkawal di 20 laluan tikus yang telah dikenal pasti di sempadan negara di Durian Burung ini,” katanya ketika ditemui semasa liputan media eksklusif Op Benteng di sini.

Op Benteng adalah operasi khas di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) melibatkan beberapa pasukan keselamatan seperti ATM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) untuk mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin.

Tinjauan di kawasan batu sempadan 34 di Durian Burung juga mendapati pagar kawat duri yang dibina telah dirosakkan oleh sindiket penyeludupan dan kerajaan Thailand juga memasang pagar bagi membantu mengekang aktiviti penyeludupan di kawasan itu.

Beliau berkata pihaknya kini memburu individu yang terlibat dalam sindiket penyeludupan yang dipercayai turut didalangi warga tempatan.

“Ada penduduk tempatan yang bersekongkol dan mengintip pergerakan anggota yang melakukan rondaan. Pihak tentera sedang kesan siapa dalang serta pemberi maklumat kepada sindiket penyeludupan barang dan pendatang tanpa izin.

“Hukuman setimpalnya akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Halim berkata pihaknya bekerjasama dengan agensi keselamatan lain di bawah NTF bagi mengekang aktiviti penyeludupan barangan serta pendatang tanpa izin ke negara ini.

“Rondaan dan operasi akan terus dipertingkat malah perkongsian maklumat risikan antara agensi keselamatan berjaya mengagalkan cubaan menyeludup.

“Kerjasama ini akan diteruskan bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi,” katanya menambah pihak tentera mempunyai teknologi canggih seperti alat pandang malam untuk menggagalkan cubaan menyeludup pada waktu malam.

-BERNAMA