Categories
AGENDA NASIONAL

Gempa bumi lemah dikesan di Semporna – MetMalaysia

KOTA KINABALU, 2 SEPT: Gempa bumi lemah berukuran 3.2 skala Richter dikesan berlaku di Semporna pada pukul 1.45 tengah hari tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan gempa bumi itu berlaku di koordinat 4.6 darjah utara dan 118.3 darjah timur di Semporna.

“Gempa bumi itu dikesan 10 kilometer selatan dari Kunak dengan kedalaman 10 kilometer.

“Gegaran mungkin dirasai di sekitar Semporna dan Kunak. MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Gempa bumi lemah 3.3 skala Richter landa Semporna

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Satu gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter dikesan berlaku di Semporna, Sabah pada 10.01 pagi tadi.

Dalam kenyataannya di sini, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gempa berlaku pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 14 km barat dari Semporna, Sabah.

Jabatan itu juga berkata berdasarkan penilaian awal, gegaran mungkin turut dirasai penduduk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Fazizul Hizam Borhan ketika dihubungi berkata
pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan berhubung gegaran akibat gempa.

Bagaimanapun tinjauan Bernama mendapati segelintir penduduk di beberapa kawasan di daerah
Kunak dan Lahad Datu memberitahu mereka merasai gegaran berkenaan.

Seorang penduduk Lahad Datu, Ardy Amat berkata dia dapat merasai gegaran itu yang berlaku
kira-kira lima saat ketika berada di Dewan Plasma MPOB.

“Saya sedang berdiri ketika gegaran itu berlaku, tetapi saya ingat itu cuma perasaan saya
sahaja, tetapi sebaik laporan (Jabatan) Meteorologi keluar, saya rasa betul itu gegaran gempa
bumi,” katanya.

Penduduk Kunak, Muhd Aiman Aziz juga mengaku merasai gegaran itu.

“Rasa gegaran dalam beberapa saat sahaja, tapi tidak kuat,” katanya, menambah ketika
kejadian dia sedang menonton televisyen.

-BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Jejaki destinasi pelancongan popular di Semporna

SEMPORNA, 12 OGOS: Langkah kerajaan menggalakkan pelancongan domestik ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagaikan menyambung ‘talian hayat’ untuk pemain industri pelancongan di Sabah untuk kembali ‘bernafas’ dan menjalankan aktiviti seperti biasa tetapi dalam kebiasaan baharu.

Bagi menyahut saranan kerajaan, Persatuan Pelancongan Sabah (STA) bersama Tourism Malaysia (TM) Sabah serta MASwings baru-baru ini menganjurkan Program Lawatan Suai Kenal ke Semporna selama empat hari, tiga malam membawa 28 peserta termasuk ahli media, untuk merasai pengalaman bercuti ke pulau peranginan di daerah ini dengan mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Penulis yang mengikuti program ini berpeluang menjejaki destinasi pelancongan popular di Semporna antaranya Pulau Kapalai, Mabul dan Taman Marin Tun Sakaran yang meliputi Pulau Bohey Dulang, Mantabuan serta Sibuan yang sering menjadi tumpuan pelancong setiap kali ke daerah ini.

Hari pertama program, kami menaiki bot dari pekan Semporna ke Pulau Mabul dan tiba 45 minit kemudian di tempat penginapan iaitu Seahorse Sipadan Scuba Lodge dengan disambut pemiliknya Madzafar Madzahla serta Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna, Kerino Jalani.

Rombongan kemudian diberi taklimat mengenai chalet sekitar Pulau Mabul dan selepas itu peserta melakukan aktiviti bebas dan penulis tidak melepaskan peluang merakamkan detik-detik matahari terbenam di Pulau Mabul.

Tarikan Taman Laut Tun Sakaran

Hari kedua lawatan, kami dibawa menjejaki Taman Marin Tun Sakaran dan destinasi pertama ditujui di taman itu ialah Pulau Bohey Dulang.

Ini bukan kali pertama penulis ke Bohey Dulang, tetapi setiap kali ke pulau itu perasaan akan begitu mengujakan kerana terbayang-bayang akan pemandangan yang memukau mata ketika berada di puncak bukit Bohey Dulang, selepas pendakian 700 meter ke titik tertinggi pulau itu.

Sepanjang pendakian ke puncak kira-kira 45 minit, penulis lebih suka mendaki secara santai sambil menikmati pemandangan hutan tropika pulau itu yang kaya dengan khazanah flora dan fauna termasuk spesies burung tropika eksotik.

Setibanya di puncak bukit, rasa penat penulis terbalas setelah melihat damparan pemandangan laut yang membiru kehijauan, tiada kata-kata dapat menggambarkan keindahan yang disaksikan dari puncak Bohey Dulang, dan tanpa berlengah penulis merakamkan beberapa keping gambar termasuk berswafoto sebagai mengabadikan pengalaman indah di pulau itu.

Menurut Ranjer Taman Taman Sabah, Suryan Azizi, Bohey Dulang antara lapan pulau dalam Taman Marin Tun Sakaran yang wajib dikunjungi pelancong selain Pulau Mantabuan dan Sibuan.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, 28,562 pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke Pulau Bohey Dulang,” katanya.

Sewaktu di Taman Marin Tun Sakaran, rombongan turut dibawa ke Pulau Sibuan yang terkenal dengan air laut yang biru serta pasirnya yang putih, selain ke Pulau Mantabuan untuk aktiviti ‘snorkeling’.

Taman Marin Tun Sakaran diwartakan pada 22 Julai, 2004 dengan keluasan 35,000 hektar dan meliputi lapan pulau iaitu Pulau Bohey Dulang, Pulau Mantabuan, Pulau Sibuan, Pulau Bodgaya, Selakan, Tetagan, Maiga serta Sebangkat dengan kawasan taman itu dikelilingi terumbu karang dikenali sebagai Church Reef dan Kapikan Reef.

Warna-warni dasar laut Pulau Mabul

Selepas seharian aktiviti di Taman Marin Tun Sakaran, pada pukul 4.00 petang kami kembali semula ke Pulau Mabul dan pada hari itu rombongan lawatan menginap di Borneo Divers Mabul Resort.

Di Pulau Mabul, kami diberi kesempatan untuk melakukan aktiviti skuba, snorkeling serta berkayak.

Penulis mengambil kesempatan melakukan snorkeling dan aktiviti itu sangat menyeronokkan selain berpuas hati kerana dapat melihat warna-warni batu karang dan pelbagai jenis ikan dari permukaan laut biru jernih.

Di dasar laut Pulau Mabul, terdapat pelbagai spesies ikan, penyu dan terumbu karang yang cantik serta aneka hidupan marin lain yang indah termasuk kuda laut, tapak sulaiman eksotik, ikan gobi ‘Fire’, ikan buaya, ikan ‘Pipe’ dan belut laut.

Di Mabul juga terdapat banyak tapak selaman antaranya Seaventure, Lobster wall, Panglima Reef dan Garden Eel.

Pulau Mabul yang dikelilingi pantai berpasir, didiami 2,000 penduduk kampung terdiri daripada etnik Bajau dan Suluk beragama Islam.

Menurut Madzafar, sambutan pelancong domestik ke Pulau Mabul memberangsangkan dan setakat Ogos dianggarkan lebih 60 tempahan melalui dalam talian diterima pihaknya untuk ke pulau itu.

Destinasi bulan madu

Destinasi terakhir kami ialah ke Pulau Kapalai, dan hari itu pertama kali penulis menjejakkan kaki ke pulau peranginan dan menginap di resort eksklusif iaitu Sipadan-Kapalai Dive Resort.

Kalau dengar orang sebut Pulau Kapalai sebenarnya ia merujuk kepada resort eksklusif ini yang dibina di tebing pasir cetek di Terumbu Karang Ligitan.

Apabila berpeluang ke Pulau Kapalai, bagi penulis ia umpama mimpi jadi kenyataan kerana di kawasan itu tidak hanya terhad dapat berjalan atas papan kayu tetapi juga tersedia pulau buatan yang cukup cantik.

Bagi penulis, dengan air jernih dan pemandangan saujana membiru, berjalan di gigi air sudah cukup dapat menenangkan fikiran, apatah lagi, menikmati suasana matahari terbenam dengan angin laut sepoi-sepoi bahasa terasa cukup sempurna bercuti ke Pulau Kapalai.

Kalau datang atas tujuan berbulan madu, ia adalah satu kawasan yang memang cukup sempurna untuk ‘candle light dinner’, romantik!

Kapalai juga dikenali sebagai kawasan destinasi menyelam unik dengan dikelilingi terumbu karang besar serta kepelbagaian khazanah marin termasuk penyu, jerung, belut, ikan pari, sotong dan ‘nudibranch’

Selain itu, kedudukan Kapalai adalah berdekatan dengan tempat menyelam di Pulau Sipadan dan Pulau Mabul masing-masing perjalanan mengambil masa 15 minit dan 10 minit.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Korporat di Pulau Sipadan Resort & Tours Sdn Bhd, Rooney Cyrol Lo berkata, sehingga 30 Sept ini, pihaknya menawarkan pelbagai pakej menarik untuk pelancong domestik ke Pulau Kapalai.

“Antaranya kami menyediakan pakej khas untuk pelancong dari Sabah iaitu pakej dua hari, satu malam ke resort kami,” katanya.

Tingkat pelancong domestik

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Semporna, Jamilah Ang Kher Lern berharap kerajaan dapat meneliti berhubung harga tiket penerbangan ke Sabah yang tinggi dan dilihat tidak mampu merangsang industri pelancongan negeri khususnya ke Semporna.

“Sehingga kini, jumlah kedatangan pelancong domestik (ke Semporna) masih rendah dan kebanyakan pelancong ini adalah dalam Sabah sendiri, ini disebabkan harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau agak tinggi,” katanya.

Beliau juga berharap pembukaan semula sempadan negeri kepada pelancong asing dari negara zon hijau akan diteruskan pada 1 Sept ini demi kelangsungan ekonomi negeri dan pemain industri pelancongan.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew bercadang mempertimbang untuk membuka semula sempadan negeri kepada pelancong asing dari negara zon hijau pada 1 Sept ini.

Langkah itu, katanya sebagai usaha menjana semula ekonomi negeri dari sektor pelancongan di samping menyambut baik kehadiran pelancong asing ke Sabah.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Empat anak kapal warga Malaysia diculik kumpulan bersenjata

KOTA KINABALU, 2 APRIL: Empat anak kapal warga Malaysia diculik kumpulan lelaki bersenjata warga Filipina di perairan Semporna di pantai timur Sabah, pukul 7 malam semalam.

Memetik laporan mStar Online, lapan lelaki bersenjata warga Filipina menggunakan bot laju menyerbu kapal milik Malaysia, MV MASFIVE 6 yang berlayar di Pulau Ligitan dan menahan mereka sebelum menculik.

ligitan dan sipadanMereka kemudiannya membawa empat tebusan itu menggunakan bot laju menuju ke perairan Filipina.

Anak kapal warga asing yang lain iaitu tiga warga Myanmar dan dua warga Indonesia dibiarkan tanpa sebarang kecederaan.

Menurut laporan awal, walaupun pihak polis masih belum membuat pengesahan, keempat mereka yang diculik dikenal pasti sebagai Wong Teck Pang, 41; Wong Hung Song, 44; Wong Teck Chi, 39; dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

Kapal itu dalam perjalanan pulang ke Tawau selepas menghantar kayu balak ke Manila.

Identiti kumpulan bersenjata terbabit masih belum diketahui sama ada mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf yang menuntut wang tebusan AS$1 juta bagi membebaskan sekumpulan anak kapal warga Indonesia yang diculik Isnin lalu.

Seramai 10 anak kapal warga Indonesia dari kapal tunda milik Taiwan berdekatan diculik semasa kapal mereka menghampiri perairan Sabah.

-AA-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ada Kawasan di Selangor Pengundi Lebih Ramai Dari Penduduk – INFO 12

 

 

Sinopsis

Info 12 Untuk 060322013

Saksikan secara langsung “INFO 12” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 6 MAC 2013 :

1. Projek Pendemokrasian Selangor mendapati ada kawasan DUN di mana jumlah pengundi lebih ramai dari penduduk sekaligus menguatkan dakwaan terdapat keraguan di dalam daftar pemilih yang akan digunakan di dalam pilihanraya akan datang.

2. Kerajaan Negeri akan menambahbaik Pusat Dialisis milik PNSB di Taman Sri Andalas bagi membantu mereka yang memerlukan.

3. PKNS bakal tampil dengan satu lagi Projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang terletak Desa Alam Sekysen U12 yang dijangka siap pada Disember 2014.

4. Ibu kepada Arwah Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran yang terkorban dalam kejadian serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah redha dengan ketentuan ilahi.