Categories
AGENDA NASIONAL

Mesyuarat Dewan Negara ditangguh, sembilan RUU lulus

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 Dewan Negara ditangguhkan hari ini selepas tujuh hari bersidang dengan sembilan Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan.

Empat RUU yang diluluskan hari ini ialah Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020.

Rang Undang-Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Abd Rahim Bakri.

Sementara Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah, manakala Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020 oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Abd Rahim ketika membentangkan dua RUU berkaitan cukai jualan dan perhidmatan itu memaklumkan pindaan itu dilakukan susulan pindaan yang telah dilaksanakan terhadap Akta Kastam 1967.

“Pindaan juga dilakukan bagi memperkemas pelaksanaan cukai jualan antaranya dengan menambah baik peruntukan berkaitan pemberhentian tanggungan untuk berdaftar dan pembayaran balik cukai jualan secara tidak wajar.

Mohd Shahar pula berkata Rang Undang-Undang Pelancongan (Pindaan) 2020 melibatkan pindaan terhadap Akta Cukai Pelancongan 2017 (Akta 791) bertujuan untuk melaksanakan langkah cukai yang diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Ia bagi memperluaskan skop berkenaan cukai pelancongan ke atas premis penginapan yang ditempah melalui pemberi perkhidmatan platfom digital bagi menyamaratakan layanan cukai pelancongan sedia ada.

Sementara itu, Wan Junaidi memaklumkan Akta Koperasi 1993 telah beberapa kali dipinda dalam usaha untuk memperkukuhkan elemen kawal selia ke atas koperasi oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

“Kementerian berpandangan bahawa Akta Koperasi perlu dipinda bagi ditambah baik bersesuaian dengan perkembangan ekonomi semasa baik di dalam mahupun luar negara.

“Pindaan akta ini akan menjadi pemudah cara kepada gerakan koperasi di negara ini menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

Semalam, lima RUU yang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang Kewangan 2020, Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2020, dan Rang Undang-Undang Eksais (Pindaan) 2020.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Zon Bebas (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2020.

Dewan Negara hari ini turut membahaskan isu panas kartel daging haram yang dikemukakan oleh Senator Asmak Husin dengan seramai sembilan orang senator mengambil bahagian sebelum Timbalan Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid menggulung isu itu.

Sebelum mengakhiri sidang terakhir 2020 Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mengucapkan terima kasih kepada semua Senator yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dan menyumbang buah fikiran dalam suasana harmoni.

“Keadaan ini sekali gus menggambarkan nilai-nilai Dewan Negara selaku badan legislatif tertinggi negara,” katanya

Beliau turut mengucapkan selamat tahun baru kepada semua Senator dan berharap 2021 akan membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada semua.

Persidangan dewan disambung hingga ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

– BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Trump mahu Brazil jadi negara sekutu utama luar NATO

WASHINGTON, 9 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pada Rabu beliau berhasrat menjadikan Brazil sebagai negara sekutu di luar NATO, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Trump kepada Kongres.

“Ia sebagai pengiktirafan terhadap komitmen Brazil baru-baru ini dalam meningkatkan kerjasama pertahanan dengan AS,” kata Trump.

Bagi membolehkan taraf negara sekutu di luar NATO diberikan kepada sesebuah negara, Trump perlu menunggu 30 hari selepas memaklumkan kepada Kongres.

Tujuh belas negara lain memegang status sekutu di luar NATO termasuk Israel, Jepun dan Korea Selatan.

Sekiranya ia menjadi kenyataan Brazil akan menjadi negara Amerika Latin pertama menyertai NATO. Kesemua 29 negara anggota NATO dari Amerika Utara dan Eropah.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Dr Yaakob dan Suresh Singh dipilih Senator wakili Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 DIS: Bekas Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari dan bekas pembantu Ahli Parlimen Puchong bagi sesi 1986-1990, Suresh Singh a/l Rashpal Singh dipilih sebagai Senator Dewan Negara mewakili Kerajaan Negeri.

Pemilihan Yaakob dan Suresh Singh dibuat bagi menggantikan Senator Chandra Mohan dan Senator Dr Muhammad Nur Manuty yang tamat tiga tahun tempoh perkhidmatan masing-masing.

Yaakob daripada KEADILAN yang pernah menyandang EXCO Kerajaan Negeri sebelum ini dicadangkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Sementara itu, pemilihan Suresh Singh daripada DAP pula dicadangkan oleh Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam ucapan penutup Persidangan Dewan Negeri Selangor berkata, beliau yakin Yaakob dan Suresh Singh mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan.

“Tahniah kepada Senator Yaakob dan Senator Suresh Singh dan saya percaya mereka akan mewakili Kerajaan Negeri dengan baik seperti ditpertanggungjawabkan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Dr Manuty, Chandra Mohan dilantik Senator Dewan Negara

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 NOV: Pengerusi KEADILAN Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan bekas Timbalan Pengerusi DAP Selangor, T Chandra Mohan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri itu bagi tempoh tiga tahun.

Pencalonan Muhammad Nur dicadangkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, manakala Chandara Mohan dicadangkan Exco Negeri, Datuk Teng Chang Khim.

Pelantikan dari Dewan Negeri Selangor (DNS) itu adalah kali pertama buat Muhammad Nur dan kedua untuk Chandra Mohan.

Berpengalaman luas dalam politik, Muhammad Nur adalah pemegang Sarjana Muda dalam Usuludin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sarjana Pengajian Agama serta Doktor Falsafah Permikiran Islam dan Perbandingan Agama dari Universiti Temple, Philadelphia, Amerika Syarikat.

Nur-ManutyBeliau pernah berkhidmat sebagai pengajar Jabatan Arab dan Tamadun Islam di UKM dari 1974 hingga 1978, pensyarah kanan Markas Ilmu Teras Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak 1978 hingga 1983.

Beliau aktif di dalam KEADILAN sebagai pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama parti itu.

Sebelum itu, pada April 2009, beliau memegang jawatan pimpinan biro kanan selaku Anggota (Jemputan) Biro Politik.

Sebelum memasuki KEADILAN, beliau pernah terlibat di dalam Umno tetapi keluar berikutan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga adalah bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Sementara itu, Chandra Mohan, pemegang Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Sumber Manusia) Universiti Western City, Australia adalah aktivis hak pekerja berpengalaman lebih 30 tahun.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Kesatuan Pekerja Pengangkutan (Transport Workers Union) dari 1977 hingga 1995.

Selain itu, Chandar Mohan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) sebuah agensi Kementerian Sumber Manusia selama lima tahun.

Terdahulu, beliau adalah Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan kini berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di sebuah universiti swasta di Selangor.

EZY