Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian kesan pendemik terhadap industri seni diangkat kepada Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 5 OGOS: Sebanyak 90 peratus daripada 372 pekerja industri seni kreatif seluruh negara didapati terjejas pendapatan sejak lebih setahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Jumlah tersebut diperoleh hasil kaji selidik pekerja industri seni yang dijalankan Galeri Shah Alam secara dalam talian antara 24 Jun hingga 5 Julai lalu yang disertai 187 penggiat industri di Selangor.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan angka sebenar penggiat industri di negeri ini yang hilang mata pencarian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kaji selidik juga menunjukkan 52 peratus daripada mereka mempunyai simpanan kurang lima bulan manakala 22 peratus tiada simpanan.

Sementara itu, 57 peratus daripada pemain industri pernah menerima bantuan makanan atau wang dan 43 peratus lagi tidak mendapat sebarang inisiatif.

Berdasarkan laporan sama, sebanyak 58 peratus memerlukan bantuan geran karya dan kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Laporan itu juga menyebut hasil dapatan kaji selidik akan diserah kepada Kerajaan Selangor serta disebarkan.

Seramai 123 responden yang menyertai kaji selidik itu bergiat dalam seni tampak moden, jurugambar atau jurukamera (87), pengajar atau jurulatih seni (62), pereka multimedia dan grafik (52), pengurus acara seni serta lain-lain (29).

Artis seni kraf pula seramai 26 orang, penjual atau pereka barangan seni (21), pengurus seni (20), pengkritik atau penulis seni dan pekerja seni persembahan masing-masing (15) serta pengurus galeri atau ruang seni (13).

Sebanyak 50 peratus daripada mereka pekerja bebas, sepenuh masa (40 peratus) dan selebihnya pekerja sambilan.