Categories
BUDAYA RENCANA

Pembaca yang tidak ingin menjadi hamba pengarang

Oleh Wan Nor Azriq

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

 

SAYA kenal nama awak, saya boleh baca tulisan awak tanpa diberitahu siapa pengarangnya, saya boleh hidu emosi awak di setiap baris, setiap perenggan, setiap kata, dan setiap noktah, seperti Magneto boleh menghidu bau tulang Wolverine dari berbatu jaraknya, dan saya boleh cam nada rungutan, nada kebencian, nada cemburu awak, walaupun saya dikurung di dalam peti besi, atau direjam ke dalam tong air Houdini, atau ditanam bersama Dracula di bawah istananya, dan sudah tentu, saya boleh menjangka muslihat kepengarangan awak, saya boleh mengeringkan simpati awak sebelum air mata awak sempat menitis ke kertas atau papan kekunci, saya boleh menepis retorik awak seperti Lin Dan boleh menepis bulu tangkis Lee Chong Wei, saya boleh merungkai permainan alegori awak seolah-olah ia hanya bayang-bayang suram pada dinding gua Plato, dan dengan sangat mudah, saya boleh meludah keluar apa-apa metafora bungkam dan tawar yang awak ingin sumbat masuk ke dalam tekak pembaca-pembaca awak yang sebenarnya jauh lebih bijak dan matang daripada awak sangka.

Masa telah mengubah hubungan awak dan saya. Dulu awak bapa dan saya anak. Dulu awak guru dan saya murid. Dulu awak gunung dan saya sungai. Dulu awak api dan saya lalang. Dulu awak pimpin dan saya ikut. Dulu awak marah dan saya takut. Dulu awak berjuang dan saya berkorban. Dulu awak mulut dan saya telinga. Dulu awak makna dan saya pembayang. Dulu awak pujangga dan saya jelata.

Masa telah mengubah hubungan awak dan saya. Awak masih tua dan saya sudah dewasa. Awak masih berjalan dan saya sudah berlari. Awak masih mendengar black metal dan saya sudah mendengar Blackpink. Awak masih mengira jumlah jualan buku dan saya sudah mengira jumlah bacaan buku. Awak masih mengejar nama dan saya sudah membina nama. Awak masih menjual kata-kata dan saya sudah membeli fakta. Awak masih bermain emosi dan saya sudah menempa pengalaman. Awak masih di Malaysia dan saya sudah di merata dunia. Awak masih ingin membina khalayak dan saya sudah mencipta khalayak.

Gaya orang tua

Tulisan awak banyak, tapi tidak ada satu pun saya ingat. Tulisan awak mengikuti perkembangan isu semasa, tapi esoknya sudah basi dan boleh dibakul sampah bersama nasi lemak dan tulang ayam. Tulisan awak terbit di akhbar arus perdana, tapi hanya pak cik dan mak cik di kampung yang masih membaca akhbar. Tulisan awak terbit di syarikat penerbitan orang muda, tapi gaya penceritaan awak ialah gaya penceritaan orang tua. Tulisan awak ingin berfalsafah, tapi awak hanya sentuh di permukaan ideanya ibarat budak tadika yang baru nak belajar ikat kasut dan pakai sarung kaki. Tulisan awak menjerit dan meronta-ronta minta dipandang serius seolah-olah setiap kata-kata adalah ramalan akhir zaman, tapi suara yang membersit keluar daripada teks awak tidak lebih daripada bayang-bayang dan sisa kegeniusan pengarang muda lain yang lebih berbakat.

Awak cipta saya, saya cipta awak, kata Batman dalam filem Tim Burton pada tahun 1990. Tapi awak tidak pernah mencipta saya, walaupun segila mana dan sehebat mana pun angan-angan dalam kepala awak itu, percayalah, awak tidak mungkin mampu mencipta seorang pembaca seperti saya. Ketika awak baru nak mencari pemadam, saya sudah boleh membuat semua tulisan awak terpadam dengan sendirinya. Ketika awak baru bangun tidur pada waktu pagi, saya sudah boleh mentafsir sambil menguap semua isi kandungan mimpi awak semalam. Ketika awak baru merangkak-rangkak nak membaca Haruki Murakami, saya sudah belajar bahasa Jepun dan ulang membaca semua novel Murakami lebih daripada lima kali. Ketika awak baru nak belajar memahami nombor Fibonacci, saya sudah cipta roket di belakang rumah dan terbang ke bulan pergi dan balik. Ketika awak baru nak acah-acah petik gitar, saya sudah cipta 100 buah lagu untuk Teddy Park.

Awak bukan Sasterawan Negara, awak bukan Chairil Anwar, awak bukan A. Samad Said, awak bukan pewaris ASAS 50, awak bukan pemusnah ASAS 50, awak bukan seorang revolusi, awak bukan seorang pengkritik sosial, awak bukan seorang pemikir masyarakat, awak bukan cendekiawan meja kopi, awak bukan Kurt Cobain, awak bukan seniman garda depan, awak bukan George Orwell, awak bukan Bob Dylan, awak bukan Isaac Asimov, awak bukan Malcom X, awak bukan Muhammad Ali, awak bukan bekas banduan, awak bukan golongan tertindas, awak bukan mangsa keadaan, awak bukan genius, awak bukan pencipta.

Awak hanya seorang pengarang. Sama seperti saya hanya seorang pembaca. Tapi ada satu kebenaran yang pasti dan tidak mungkin boleh diubah sehingga hari kiamat — saya bukan pembaca awak.

Categories
BUDAYA RENCANA

Bonda alam

Oleh Adam Taufiq Suharto

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

Matahari terik. Tanah kering. Berita mula melapor kemarau berpanjangan. Suhu terus membahang. Dengan tiba-tiba, sebuah hutan terbakar, dijilat bara. Dengan tidak tiba-tiba juga, anak-anak orang asal lari bergelimpangan, meninggalkan hutan. Burung-burung berterbangan. Kera-kera bertempiaran.

Sekarang, bayangkan muncul sebuah teks (dengan perlahan-lahan) dihadapan babak hutan terbakar tadi: Sayangi Bonda Alam, sebelum anda disumpahnya. Anda mampu mengubahnya.

Seterusnya, bayangkan perlahan-lahan teks itu mengabur lalu menghilang. Pandangan anda (yakni visual) menjadi gelap.

Dengan mengejut lagi mengejutkan, seseorang menjerit: “Cut!”. Dia rupa-rupanya adalah pengarah bagi produksi pesanan khidmat masyarakat (PSA) tentang pencemaran alam itu.

Kru-kru mula menyimbah air kearah bara yang membakar hutan. Kru-kru teknikal segera mengalihkan kamera Sony A7S III, jentera perakam digunakan syarikat-syarikat produksi iklan komersial dewasa ini. Di sebelah monitor, ada sebuah papan cerita (story board) yang terlakar setiap syot; dari tanah kering, hutan terbakar, binatang bertempiaran, anak-anak orang asli berlarian. Semuanya lengkap.

Sang Pengarah yang dari tadi asyik menghisap-hembus curutnya bangun dan melihat setiap kotak bingkai pada papan cerita. Dari kerusi yang tertulis perkataan ‘Director’, Sang Pengarah bangun sambil bercakap dengan kliennya via telefon pintar.

PENGARAH: (kerut dahi) Ya encik…ya…yang babak-bakar tu akan nampak realistik, percayalah, saya ni lulusan Amerika Syarikat. Jangan risau. Apa? Gajah? Tak boleh encik. Gajah mahal. Encik nak yang mahal-mahal, bayar murah-murah, mana boleh… (terdiam seketika). Nanti saya tengok macam mana. (diam seketika) Okay. Kami akan hantar rough-cut esok.

Curutnya habis. Dia buang saja ke tanah. Sang Pengarah berjalan ke arah papan cerita. Tertulis tajuk: Video Pesanan Khidmat Masyarakat: Kempen Sayangi Bonda Alam. Dia bercakap dengan pengarah seni yang mata berpinar-pinar tak tidur semalaman.

PENGARAH: Kau dapat tak gajah? Klien nak gajah. Gajah murah-murah sudah.

PENGARAH SENI: Mana nak dapat, bang. Gajah pun dah tak banyak sekarang.

PENGARAH: Tak dapat? Belum cari lagi dah tak dapat? Okay. Kalau macam tu, kau yang jadi gajah! Lepas ni…(tak habis bercakap)

Angin tiba-tiba menguat. Bila Sang Pengarah pandang ke arah awan, dia terlihat awan gelap bergumpalan. Kilat sambar menyambar. Payung-payung berterbangan. Kerusi yang tertulis perkataan ‘Director’ juga melayang. Semua berlari bergelimpangan. Petir menyambar hutan, terbakar, dijilat bara.

Ada batang-batang pokok yang jatuh menghempas kru-kru teknikal termasuk kamera Sony A7S III. Sang Pengarah terus berlari. Bunyi guruh makin menggerun.

Tanah dengan tiba-tiba bergegar, terbelah-belah. Gempa itu menyebabkan Sang Pengarah tak dapat berlari, terjatuh. Kilat menyambarnya.

Dia terkejut dan kaget apabila separuh tubuhnya sudah berada di dalam tanah ala-ala babak Salleh Kamil yang tertanam separuh tubuh dalam filem Isi Neraka (1960). Dia terdiam, kemudian perlahan-lahan menjerit sendiri dan berdialog.

PENGARAH: (menjerit dan memandang ke arah langit dengan marah) Hoi Alam! Hoi!!! Berani kau kacau penggambaran aku?! Berani kau ya?! Baik! Aku nak tengok! Aku nak tengok besar mana kuasa kau, Alam! Tunjukkan kuasa kau, Alam!!!! Tunjukanlah!

Guruh berdentum lebih kuat. Bumi bergegar. Api marak keliling Sang Pengarah. Dia jadi cemas, menggelupur.

PENGARAH: (merayu) Alam! Aku minta maaf, Alam! Aku minta maaf! Aduh, Alam!!!!

Kilat menyambar lagi dan seterusnya menyambar ke arah Sang Pengarah. Setelah itu, bunyi guruh perlahan-lahan menghilang. Langit perlahan-perlahan menjadi cerah, matahari bersinar.

Sang Pengarah yang terperakap separuh tubuh di tanah tadi telah bertukar atau disumpah menjadi sebatang pohon kecil. Keadaan kembali aman, dan langit mulai cerah.

Visual perlahan-lahan menggelap.

Secara perlahan-lahan muncul teks: Sayangi Bonda Alam, sebelum anda disumpahnya. Sekali lagi, anda boleh mengubahnya.

Secara tiba tiba seseorang menjerit:

“…and Cut!

Skrin menjadi gelap. Tamat.

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Suatu malam rawak

sisa debu usia
yang kasar menompokkan
semusim duka setia menandai
retak nyawa, bergetar
perlahan dalam pusaran
mengemaraukan liurnya
memaraukan syahadahnya
telahpun sepi. tahulah kami
lenanya abadi

seharusnya embun
terbenih menjadi
tengkujuh di dada
tetapi cuaca ringkas
dengan bayu selembut bayi
resah terdesah esak terserak
dalam frekuensi dan biru yang asing. tuhan
mampukah dakapan berbentuk ku
menghimpunkan apa-apa? kerana hanya itu
yang kumengerti tentang hampir. tuhan
telah kufasihi setiap huruf air; lemas dalam
untuk hidup semula dari setasik kalimatnya
tetapi kali akhir, tiada bumi dan tanah
tiada hujan       tiada bah      tiada darah
yang menyanggupi hakikat basah
tinggal kaku dan kelu melata
segala makna kembali ke sebelum bahasa

dalam keringat malam
seribu mimpi mendidih
yang tak melarut
satu-satunya:

kesedaranku.

 

Meor Izzat Mohamad

Categories
BUDAYA RENCANA

Membina khalayak sastera

Oleh Lokman Hakim

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Menelusuri Netflix membawa saya kepada kisah kejayaan Blackpink. Sepanjang menonton dokumentari itu saya tertanya-tanya apakah faktor utama Blackpink begitu berjaya? Adakah suara mereka begitu sedap? Adakah tarian mereka begitu hebat? Adakah paras rupa yang cantik menjadi penentu? Dalam paparan dokumentari itu, saya tertarik dengan kaedah produser utama Blackpink bernama Teddy Park. Beliau meneliti trend muzik di seluruh dunia dan menebak gaya muzik segar yang berkeberangkalian boleh menembusi pasaran antarabangsa. Pendek kata, beliau tidak sewenang-wenangnya menggubah lagu tanpa memahami landskap muzik dunia dan dinamiknya. Itulah kekuatan Blackpink yang terletak pada individu bervisi ini.

Saya fikir sastera perlukan orang macam Teddy Park. Sastera tidak perlukan gimik tarian aneh di TikTok. Tidak perlu pengarang melaram sekacak atau secantiknya di media sosial. Tidak perlu juga pengarang menayangkan kehidupan peribadinya di media sosial demi secebis konten yang dipercayai dapat memperkenalkan dirinya kepada khalayak umum. Orang seperti Teddy Park akan mengkaji dinamik dunia buku dan membuat perbandingan di antara khalayak sastera di setiap negara sebelum menggariskan strategi khusus langkah-langkah untuk mempopularkan sastera itu. Adakah dunia sastera tempatan memiliki individu seperti ini? Saya meraguinya.

Saya baru sahaja selesai menulis cerpen yang akan saya kirimkan kepada majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pulangannya agak lumayan jika cerpen disiarkan. Namun tiada jaminan sama ada cerpen yang saya hantar itu akan tersiar dalam waktu terdekat. Tidak mustahil juga cerpen itu akan ditolak tanpa sebarang makluman. Menulis karya kreatif setakat ini amat sukar untuk disinonimkan selaku suatu pekerjaan bermaruah yang memberikan pendapatan stabil kepada pengarang. Terlalu banyak yang harus diubah dalam ekosistem sastera tempatan. Sistemnya tidak mampu membantu pengarang. Seorang Teddy Park tidak mampu menyelamatkan sastera. Ia perlu reformasi menyeluruh.

Ketika menonton filem Snowpiercer (2013) arahan Bong Joon-Ho, saya terlihat penglibatan Korean Cultural Centre dalam menjayakan pembikinan filem antarabangsa itu. Saya juga menerima naskhah percuma majalah Korean Literature yang dihantar terus dari Korea. Kerja-kerja mengangkat sastera itu sebenarnya sangat memerlukan iltizam politik yang tinggi. Penglibatan kerajaan secara agresif dalam usaha pengantarabangsaan sastera akan menentukan nasib penggiat sastera Malaysia sama ada berhasil menjadikan ia suatu kerjaya bermaruah.

Okay, adakah semua itu memadai?

Jujur cakap, di atas kertas semuanya kelihatan mudah. Teddy Park sendiri mungkin akan menyerah kalah apabila diberi tugasan mengangkat martabat sastera negara ini. Pendekatan yang lebih mesra masyarakat menjurus kepada penyediaan bahan bacaan yang berkualiti rendah. Hal ini juga berkait rapat dengan isu pendidikan yang tidak diladeni usaha bersungguh-sungguh untuk membudayakan kecintaan pada ilmu. Selagi pendidikan berorientasikan kehendak pasaran sehingga mengenepikan kepentingan ilmu, tiada apa sangat yang boleh dilakukan.

Jadi budaya

Saya mahu bina khalayak sastera. Asasnya tidak ada. Barangkali memberikan definisi baharu terhadap sastera itu lebih mudah. Bilangan ciapan tentang sastera di Twitter. Ulasan buku di TikTok. Perbincangan tentang hal-ehwal sastera di Twitterspace. Lambakan audio siar diskusi sastera di Spotify. Justeru, seorang sasterawan mungkin tidak lagi dilihat keaktifan berkarya melalui jumlah buku yang ditulisnya. Barangkali kejayaan seorang sasterawan boleh dinilai melalui penglibatannya di media sosial selaku pejuang bahasa. Namun kita harus berpijak di dunia nyata. Kelompok peminat sastera masih terbatas. Meskipun kelihatannya rancak diskusi di Twitterspace atau Clubhouse atau perkongsian ulasan buku di laman YouTube kelolaan milik booktuber, kita faham bahawa tidak mudah untuk kelompok bukan-pembaca mengikuti pengisian konten sebegini. Sastera harus jadi budaya. Membaca buku harus jadi gaya hidup masyarakat umum.

Di media sosial, kebenaran dan kebatilan berkongsi spektrum yang sama. Acapkali masyarakat diprovokasi dengan hal-hal sepele yang tidak sahih. Wajarkah buku dipromosi dengan cara ini? Saya boleh saja agaknya meletakkan ciapan tentang buku saya dengan naratif sebegini: Gambar longgokan buku (yang tidak terjual) dalam sampul penghantaran dengan kapsyen lebih kurang begini “Setiap hari sastera terjual sampai tak menang tangan”. Tetapi saya tidak selesa dengan pembohongan. Saya tidak menulis untuk membohongi masyarakat. Satu-satunya pembohongan yang saya sukai selaku pengarang hanyalah ketika menulis fiksyen.

Memperkenalkan sastera memerlukan komitmen setiap pihak. Malangnya tidak semua orang peduli kepentingan sastera dalam melembutkan nubari manusia yang sarat materialistik. Saya enggan membina khalayak sastera dengan kudrat sendiri. Selagi tiada sokongan kerajaan dan tiada sistem pendidikan yang berwawasan, rasanya elok saya tidak begitu menaruh harapan pada sastera selaku sumber pendapatan.

Okay adakah ia memadai untuk saya selaku pengarang? Semestinya tidak. Setiap kali buku baharu terbit saya akan menghitung hari buku tersebut beredaran di pasaran sebelum dihentikan cetakan. Pada buku yang ke-24, saya tidak lagi teruja mendengar perihal buku saya diterbitkan. Namun saya tetap berpuas hati dengan apa yang dihasilkan meskipun khalayaknya samar-samar kewujudannya.

Suatu ketika dahulu, kugiran yang saya sertai diletakkan giliran persembahan di penghujung gig. Ketika itu, ramai pengunjung gig yang sudah pulang sehingga tiada siapapun bertenggek di depan pentas menonton persembahan kami. Saya terus mengingatkan rakan-rakan pemuzik ketika itu yang tengah merudum semangat untuk meneruskan persembahan supaya anggap sahaja ini sesi latihan studio. Begitulah juga mengarang karya sastera di Malaysia ini. Saya tidak mengharapkan khalayak untuk tegar menulis, tetapi saya beriman pada kepengarangan diri. Mungkin pada buku yang ke-34 ataupun ke-100 sekalipun, saya harus percaya pada daya kepengarangan saya selaku satu-satunya kekuatan saya untuk menulis. Khalayak sastera adalah bayangan diri dan ia akan kekal begitu.

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Kicau

Aku adalah getaran yang datang waktu kau menjerit pada alam,
merayu kebahagiaan.

Kau tinggalkan perhimpunan antikeganasan kerana makin banyak pula peperangan
datang sebanyak plakad yang kau lukiskan.

Idea-idea perlawanan kelas yang kau tuliskan,
hanyalah lambakan perkataan yang dibaca oleh mereka yang sama pemikiran;
setelah itu mereka kembali ke kafe, menikmati kek dan kopi barista.

Semangat yang kau rasa dengan setiap ketikan suka dan lawan bicara,
hilang tiba-tiba waktu malam datang,
meninggalkan kau dengan kecanggungan kerana dunia masih cacamarba – seperti laporan berita.

Malam itu,
kau kata dunia ini neraka, kau jerit pada semesta – aku mahu bahagia.

Mungkin itulah kali pertama kau betul-betul meminta menggunakan bahasa semesta rasa.

Aku datang dalam bentuk getaran fikiran,
memeluk kau dengan perkataan.
Kau adalah kuasa. Kau adalah tenaga.
Kau boleh cipta dunia dengan getaran cinta dan percaya.

Waktu kau bangun pagi itu,
kau merasakan cinta dalam tarikan nafas,
kau keluar dan menjejak kaki atas rumput basah.

Kau duduk, keluarkan telefon bimbit daripada poket.
Nyahaktif sumber berita semasa yang tak henti kicaunya.

Kali ini kau mendengar twit-twit alam, sebenar-benarnya.

Sara Ayuni

Categories
BUDAYA RENCANA

Bulan tidak lagi mengambang

bulan berenang di samudera
meninggalkan
langit pecah

sang pemabuk bulan terhuyung-hayang
melanggar dinding malam
terluka cahaya

kalbu yang terluka
mengambang gerhana
bulan lemas
di musim tengkujuh
cahaya tenggelam di dasar jauh

semusim membeku
bulan tidak lagi menutup malam
cahaya jatuh ditelan gelombang.

Baharuddin Sairi

Categories
BUDAYA RENCANA

Daging

Oleh : A’riff Mustaffa Hamzah

Ilustrasi :Fahmi Mustaffa

Di meja makan di sebuah apartmen, tiga orang gadis kelihatan sedang asyik menikmati stik daging. Misa menghirisnya dengan hati-hati sebelum menyuap ke dalam mulut. Pisau berlaga dengan pinggan mewah. Jus terembes. Sos lada hitam cair menjadi gandingan sempurna. Isinya lembut, mudah dikunyah. Medium rare. Ketulan daging menyusuri kerongkong. Sedikit demi sedikit. Klimaks meletus dalam dada.

Dua teman karibnya, Jenab dan Ros tidak banyak cakap. Kedua-duanya dipukau hidangan paling lazat seumur hidup mereka. Kenikmatan tidak tertanding oleh daging-daging lain yang pernah melewati perut selama ini. Ini kali ketiga dalam tempoh seminggu mereka sama-sama menyantap stik yang disediakan Misa.

“Oh my goat. Stik hari ni is better than semalam,” puji Jenab. Ros ingin bercakap sesuatu, tetapi disebabkan mulutnya penuh, dia hanya mengangguk setuju. Misa tersenyum ringan. Dia tidak laparkan pujian. Stik dihabiskan perlahan-lahan. Pinggan licin dijilat. Tiada sisa tertinggal.

“Mana kau dapat daging ni, Misa? Must be expensive, kan? Daging import? Wagyu? Rusa? Llama?” tanya Jenab. Ros turut inginkan jawapan.

“Shhh.. Rahsia menjadikan seorang perempuan itu perempuan,” terang Misa. Jari telunjuk dirapatkan ke bibir. Dia memetik ayat popular Vermouth, salah satu karakter dalam Detective Conan.

It’s okay, babe. I know mesti mahal. But paling penting, halal,” kata Jenab sebelum menyuap hirisan kecil daging enaknya.

Selesai mengemas meja makan, mereka bertiga bersandar kekenyangan di sofa. Misa mengambil alat kawalan jauh. Televisyen dihidupkan. 

[Persatuan pembekal memberi jaminan bekalan daging babi untuk seluruh negeri menjelang perayaan ini mencukupi. Sebanyak 350,000 tan metrik…]

Siaran beralih.

[Berita terkini. Seorang lelaki berusia 28 tahun dilaporkan hilang sejak minggu lepas. Kali terakhir mangsa dilihat berhampiran sebuah apartmen…]

Siaran berubah.

[Masa diberikan ialah 45 minit. Anda perlu menyiapkan hidangan berasaskan daging dengan hanya menggunakan bahan yang ada di rak. Adakah anda sudah bersedia?]

Siaran bertukar lagi.

[Mentadak mentadu betina albino itu terus agresif menyerang pasangannya yang cedera parah. Mentadak mentadu jantan tidak berdaya lagi. Ia bakal menjadi santapan tengah hari…]

Televisyen terus melayarkan imej ketika masing-masing mencapai telefon bimbit yang menyedut mereka ke dalam media sosial. Jari dan mata meluncur seragam. Mereka membaca cerita-cerita yang terpapar dalam media sosial. Status terkini kenalan dan manusia asing. Perkongsian demi perkongsian. Video-video tular. Berita palsu dan benar saling bercampur dan bergaul sebati. 

“Kau orang tengok ni,” kata Misa sambil menghulurkan telefon bimbit. Dua rakannya itu berebut-rebut melihat skrin. 

“Aku dah agak. Sepatutnya dari dulu lagi Sue dengan jantan tu putus.” Ros memberi komen.

So stupid. Dah tahu perangai boyfriend dia macam tu, but still bersama,” balas Jenab. Dia mencungkil sisa daging yang melekat pada gigi dengan kuku merahnya.

“Dasar buaya. Lelaki memang tak boleh percaya. Semua sama,” balas Ros, sambil membuat muka jengkel. Asap perisa tembikai susu berkepul-kepul keluar dari rongga mulut Ros sebelum rokok elektronik dihulurkan semula kepada Misa.

“Aku rasa, Sue lagi suka bila putus. Dia dah habis perah segala harta lelaki tu. Selama ni dua-dua saling memanfaatkan sesama sendiri. Alah, Sue pun bukannya baik sangat,” sambung Ros lagi.

“Yeah. Your bestfriendlah tu, Ros.”

“Ah, kau.”

But betul, kan? Kau rapat dengan dia since zaman kolej dulu. Sekolah pun sekali, kan?”

“Mana ada. Tak serapat yang kaufikir. Tapi itu cerita dulu. Cerita sekarang, aku dengar orang cakap, dia tak balik kampung masa emak dia mati bulan lepas.”

Wh.. What? Useless daughter.”  Jenab memberi reaksi terkejut yang berlebihan.

“Mana taknya, sibuk menyundal sana-sini. Pantang jumpa laki dahi licin muka K-Pop. Eww.. I tak suka lelaki muka K-Pop. By the way, Sue tukar boyfriend macam tukar underwear. But sesuailah tu, dev.. div.. emm… syaitan jumpa syaitan,” sambung Jenab. Dia mengangkat bahu serentak dengan kening runcingnya. 

“Wah, ayat… Dahsyat. Mana kau tahu?” Misa mencelah. Matanya masih tertumpu pada skrin telefon.

I knowlah. Zaman now mana ada rahsia yang boleh sembunyi. Aku kenal sangat jantan tu. Playboy besar. Ramai girls yang jadi mangsa dia. Aireen, Suzie, Karina, Ayu. Siapa lagi? I lost count.”

Jenab berapi-api geram. Misa senyum kelat. 

“Jantan keji, tak guna. Sue pun sama. Tak guna. Kau kecamlah sikit di IG dia. Ada gambar baru dia pergi melancong. Kononnya tengah menenangkan fikiranlah tu.” Ros memberi cadangan. 

“Yeah. Wait and see. Beach like her kena ajar sikit, baru sedar diri.”

Mereka senyum puas sesama sendiri tanda setuju sebelum kembali mendayung di lautan maya. 

Jenab klik untuk memainkan video. Iklan yang tidak dapat dilangkau mendahului video yang ingin ditonton. Dengan berat hati dia menanti iklan itu habis.

[Lapisan daging yang empuk, dilimpahi sos lada hitam asli. Resipi terbaru yang pastinya membuatkan anda terbayang-bayang dalam mimpi. Cubalah sekarang.]

Bunyi daging dipanggang atas kuali membuatkan air liurnya kembali kecur. Dia membayangkan rasa daging itu seperti yang dijamahkan sebentar tadi. Rasa daging yang sungguh luar biasa. 

Jenab masih sedang mengeluarkan sisa daging di gigi. Perutnya memang sudah penuh, tetapi keinginan terhadap daging yang dinikmati masih berkocak dalam jiwa. Tidak cukup dengan kepingan stik sebesar tapak tangan itu. Dia mahukan lagi. Jika perlu dibayar dengan harga mahal, dia sanggup asalkan dapat merasai semula daging sesedap dan selazat itu.

Kau tak ada ais krim ke, babe? Kenyang macam ni lagi heaven kalau ada desert.. emm des.. dessert,” tanya Jenab.

Misa mengisyaratkan kepala ke arah peti ais. Jenab faham. Dia segera ke dapur langsung membuka pintu peti ais. Pandangannya membatu sebelum jatuh terduduk. Lututnya lembik. Wajahnya seperti terserempak penanggal. 

Di sebelah bekas ais krim vanila dalam bahagian sejuk beku, tersusun kemas sesuatu yang mengejutkan. Ada seketul kepala, beberapa bahagian organ yang tidak dapat dikenal pasti dan kepingan-kepingan daging yang dipotong setebal satu inci.

“Ga.. gapo dio mu wi aku make ni?” tanya Jenab separuh menjerit. Muka pucat.

Misa mengangkat kepala. Ros tertanya-tanya lalu segera menuju ke arah Jenab yang bersimpuh atas lantai. 

“Mi.. Misa!” Giliran Ros pula terjelepuk longlai.

Misa senyum sumbing. Dia bersandar sambil melepaskan asap rokok elektronik dengan penuh gaya, seakan bersedia dengan seribu jawapan.

Categories
BUDAYA RENCANA

Tiada berahi

Puisi membenam kepala ke bantal
aku menggagah tubuh dari tilam
puisi menetap di kamar
aku berkejar ke pejabat

separuh menguap
separuh semangat
ini perang paling sukar
menentang be.ra.hi paling dalam

puisi cuma kekal
di kertas
tak lagi kukumatkamit
dalam darah

mata ku seluruh putih
hitamnya setahun hilang
sewaktu terjaga
dikejut ibu jam sembilan

puisi jenguk kamar
aku masuk pejabat
puisi mula lelap
aku kekal nekad

aku balik kerja
puisi keluar rumah
aku terbuai lena
puisi meraba tinta

Maliqi Musa

Categories
BUDAYA RENCANA

Hikayat Sang Despereaux (I): Roscuro, sang tikus pencari cahaya

Oleh Sofiey S

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Dalam sebuah dongeng negeri antah berantah yang berawal dengan once upon a time dan berakhir dengan happily ever after, dikatakan terdapat sebuah kisah tentang seekor tikus rumah (house mouse), Despereaux (Dess-pur-oh) yang namanya bermaksud putus asa. Dalam kisah berasingan pada waktu yang sama, terdapat juga seekor tikus (rat) bernama Roscuro. Roscuro diambil dari kata yang berasal dari Itali iaitu Chiaroscuro (Kee-aa-ruh-skoo-roh) yang secara literal bermaksud ‘gelap terang’. Ia juga bermaksud ‘kontras’ iaitu pembahagian cahaya untuk gelap dan terang. 

Sebelum menyelami dasar cerita Despereaux dan Roscuro, perlu dijelaskan dahulu beza tentang sejarah kewujudan mereka. Despereaux lahir dari komuniti tikus rumah Mus domesticus. Mereka adalah antara spesies mamalia paling tua di dunia dalam keluarga Muridae. Perkataan mouse dikatakan datang dari kata muscle (otot) oleh kerana bentuknya yang hampir serupa. Ia juga datang dari perkataan Sanskrit bermaksud ‘untuk mencuri’, yang juga dibawa dari konotasi yang sama daripada perkataan mys (Greek Tua) dan mus (Latin). Bagi Roscuro atau brown rat Rattus novergicus, dia lahir dan hidup dalam komuniti true rodents dalam sejarah yang direkodkan oleh penemuan fosil pada akhir fasa Paleocene dan awal Eocene di Asia dan Amerika Utara, 54 juta tahun dahulu. Ahli akademik menyifatkan rat yang biasa dijumpai di England dan serata dunia sebagai brown rat. Mereka dikatakan telah menyebar ke seluruh dunia melalui bawaan dari kapal-kapal penjelajah Inggeris. Komuniti Roscuro sangat ditakuti Despereaux oleh kerana kebengisan mereka menanda kawasan jajahan.

Kisah Roscuro sangat menarik untuk kita tanggapi dalam nilai hidup sebagai makhluk. Pada perkembangan novel, karakter Roscuro dimulai pada Book The Second: Chiaroscuro. Nama Chiaroscuro diberikan oleh ibu dan bapanya dengan niat menyindir kehidupan. Bagi mereka (karakter dan penulis), kehidupan tidak lain malahan senda gurau semata-mata. Mana mungkin nama indah yang bermaksud ‘kontras’ atau percampuran/susunan antara cahaya gelap dan terang diberikan kepada seekor tikus, yang hidupnya tidak pernah kenal apa itu cahaya? Roscuro diajar sejak lahir bahawa erti kehidupan adalah penderitaan, dan tikus seperti dia perlu hidup untuk menciptakan penderitaan, kesedihan dan kegelapan bagi orang lain. Bagi seekor tikus, penderitaan dan kegelapan adalah sebuah keindahan.

Nikmati cahaya

Sehingga suatu hari, Roscuro tertangkap oleh si penjaga penjara bernama Gregory. Gregory menyalakan sebatang mancis dan menghalakannya ke arah kumis Roscuro yang panjang dan membakar sedikit daripadanya sebagai ancaman. Anehnya Roscuro langsung tidak merasa takut, dia malah terpana oleh cahaya. Dia tiba-tiba menyedari akan keindahan cahaya, dan betapa dia menginginkan kecantikan itu.

“I think”,” said Roscuro, “that the meaning of life is light.”

“Light,” said Botticelli. “Ha-ha-ha- you kill me. Light has nothing to do with it.”

“What does it all mean then?”asked Roscuro.

“The meaning of life.” said Botticelli “is suffering, specifically the suffering of others.”

Untuk waktu yang sebentar, Roscuro dapat melupakan keindahan dan dambanya pada cahaya selepas dipujuk oleh sahabatnya Botticelli, sehingga suatu masa dia sendiri tidak mampu menahan diri daripada keinginan tersebut. Roscuro pada perkembangan cerita, telah membuat keputusan untuk keluar daripada kegelapan penjara bawah tanah yang sekian lama menjadi tempat lahir, hidup dan berkembang dirinya. Dalam kegembiraannya melihat cahaya di luar kegelapan, Roscuro ibarat lupa diri dan tenggelam dalam keseronokan yang baru ditemukannya. Dia lupa kepada peraturan azali bagi mana-mana tikus untuk tidak dijumpai oleh manusia. Dilihat manusia adalah sama ertinya dengan kematian. Roscuro terjatuh di dalam mangkuk sup permaisuri. Oleh terkejutnya permaisuri, dia disahkan mati kerana melihat sang tikus buruk rupa yang tiba-tiba berada di dalam mangkuk sup kegemarannya. Roscuro menyesali tindakannya keluar mencari dan menikmati cahaya.

“A rat.” he said. He put a paw over his heart. “I am a rat. And there is no lights for rats. There will be no light for me.”

Putus asa

Kisah keputusasaan dalam kisah The Tale of Despereaux karangan Kate DiCamillo ini wajar dinilai. Putus asa diertikan sebagai kehabisan daya upaya walaupun selepas berusaha dengan segala sumber yang ada. Namun bagi Roscuro, dia harus menerima takdir kelahirannya sebagai seekor tikus yang dianggap jelik, buruk rupa, kotor dan simbol kejahatan. Tidak seperti makhluk lain yang mempunyai sumber dan daya upaya untuk berusaha mencapai kebahagiaan, dia terpaksa menerima takdir kelahirannya; hodoh, kotor dan dibenci oleh semua. Roscuro akhirnya putus asa apabila menyedari bahawa keinginannya kepada cahaya, keindahan dan kegembiraan adalah terlalu berlebihan bagi seekor tikus untuk mendapatkannya. 

“Adakah anda fikir tikus tidak memiliki hati? Salah. Semua makhluk hidup memiliki hati, dan semua hati boleh pecah berkeping-keping.”

Pencarian makhluk untuk menemui cahaya tentunya sebuah jalan yang panjang. Seperti Roscuro yang cuma berpeluang keluar sekali untuk menikmati cahaya tetapi menemui kebencian, kesedihan dan penghinaan, Roscuro seharusnya terus berusaha mencari cahaya dengan horizon yang lebih luas, bertemu dengan dunia yang lebih mampu menampung keinginan dan impiannya besarnya tersebut. Kerana yang salah bukan sang pemimpi, tetapi tidurnya.

Tremble for yourself, my man,

you know that you have seen this all before.

Tremble little lion man,

you’ll never settle any of your score.

Your grace is wasted in your face,

 

your boldness stands alone among the wreck.
– Mumford and Sons, Little Lion Man (2009)

Categories
BUDAYA RENCANA

Ingatan sebagai teman daripada seorang pelupa

Oleh Abdullah Hussaini

Saya sering mengatakan kepada beberapa orang teman bahawa saya seorang pengingat. Saya tidak mudah lupa. Kadang, saya pura-pura lupa untuk memenangkan orang yang mengingatkan saya atau untuk memastikan perbicaraan dengannya berpanjangan. Naim Aziz terkejut apabila saya dapat menyebutkan hantaran Facebooknya yang rupa-rupanya sudah berusia empat tahun ketika saya mengulangnya baru-baru ini. Atau, Rasydan Fitri tergelak apabila saya meraih kembali ingatan tentang ciri tubuhnya dan suasana ketika ia berpindah masuk ke sekolah menengah dan sebilik dengan saya—20 tahun yang lalu. Ini saya fikir mempunyai kesan lanjutan lainnya, seperti, saya (atau mungkin juga anda) gemar mengulang cerita sama ada sengaja atau tidak sengaja, kerana ada nikmat dalam menyampaikan apa yang kita ingat dengan kukuh, baik perkara manis atau pahit.

Tetapi apabila direnung semula, saya sebenarnya pelupa. Mana mungkin kita ingat segala. Ungkapan “manusia adalah insan pelupa” terlalu kuat untuk disangkal. Saya dapati hal-hal yang berlaku atau apa yang saya rencanakan untuk dilunaskan dalam masa terdekat, begitu mudah dilupakan. Misalnya senarai barang untuk dibeli di pasaraya. Biasanya saya akan catat dalam kepala saja dan, betapa kerap terjadi, ketika sampai di pasaraya, saya akan terlupa separuh daripada senarai itu, atau lupa semua. Demikianlah juga yang terjadi kepada ilham-ilham yang datang dalam bentuk kata, sepotong ayat, atau gambaran. Apa saja. Kalau tak dicatat, hilanglah dalam masa yang cukup pantas. Saya senaraikan beberapa tajuk esei dan isi-isinya yang kerap berlegar dalam kepala, dan belum ditulis lagi. Saya tulis ini sebagai peringatan kepada diri.

Di mana kediaman Roslan Jomel

“Cuba satu hari, kau ikut Roslan Jomel senyap-senyap, sampai ke rumah dia. Tengok rumah dia, kan. Kau tulis pasal ni. Best jugak tuh.” Kata Hafiz Hamzah sewaktu mengeteh di Mahbob Damansara Damai. Saya boleh tulis panjang perihal Roslan Jomel, karya atau budi baiknya kepada saya. Tapi untuk mengendap sampai ke rumah beliau, ia pasti memerlukan masa, siasatan teliti dan pelaporan akhirnya haruslah panjang yang sedap. Cerita perihal Roslan muncul apabila Hafiz bercerita ketika dia mula-mula mencari bahan untuk jurnal Svara kendaliannya. Roslan yang tidak membalas kembali emel ulasan Hafiz terhadap cerpennya, telah menimbulkan penasaran dalam benak editor itu. Kebetulan, saya kerap juga bertemu dan meluang masa dengan Roslan. Tapi dalam kalangan penulis yang sentiasa bertemu dengannya pasti maklum—Roslan tidak pernah memberitahu di mana kediamannya atau pekerjaannya.

Jika anda membaca cerpen-cerpennya, mungkin anda akan meneka dengan kuat bahawa watak-watak dalam cerpen itu adalah Roslan sendiri. Lokman Hakim pernah tertanya-tanya tentang ini, dan beberapa penulis lain juga; di mana rumah Roslan? Beberapa orang teman meneka-neka, Roslan sebenarnya penulis skrip, Roslan sebenarnya ghost writer, Roslan menang 4D bernilai jutaan ringgit dan menjalani hidup sederhana, Roslan sebenarnya anak bilionair, Roslan ada rumah besar di Sarawak. Kamu mungkin akan berkata, buat apa nak sibuk-sibuk kehidupan peribadinya, tumpu pada karyanya sudahlah. Saya Cuma nak tengok koleksi topinya saja. Tapi apa yang paling saya ingat dari mulut Roslan sendiri adalah, rumahnya mempunyai puluhan ekor kucing dan dia pernah kerja sebagai buruh kasar.

Motosikal sebagai kuda

Penghujung tahun 2013, setengah jam sebelum saya menghenjut tuil penghidup motorsikal untuk pulang ke KL dari Pahang, pecah berita mengenai Siti Aishah yang menjadi hamba di London. Kemudian Hishamuddin Rais bercerita bahawa dia kenal wanita itu. Bulan Disember, penghujung tahun 2015, ketika motosikal saya tersenggut-senggut mendaki Lebuhraya Karak, cerita Siti Aishah bermain dalam fikiran, begitu kuat. Sepanjang perjalanan saya berhenti beberapa kali untuk merokok, menyejukkan enjin motosikal cabuk itu dan membayang-bayangkan satu cerita lengkap berilhamkan kisah Siti Aishah dan Hishamuddin Rais. Sampai di rumah, seperti dirasuk Ifrit, saya mula menulis, dan setiap hari siap satu bab sebanyak 2000 patah perkataan, selama sebulan. 30 bab selesai lalu dihantar ke penerbit. Pada pertengahan 2016, novel pertama saya terbit. Kini, ia sebuah novel yang saya mahu lupakan, semua, semuanya. Tapi ingatan terhadap proses dan jerih payah sepanjang menyiapkannya kekal menghangat.

Salib Clariessa cukup sajak

Saya berterus terang saja, saya sudah siapkan kata pengantar pendek untuk buku Clariessa yang akan saya terbitkan kelak. Mudah-mudahan ia terjadi. Dari kata pengantar itu saya sering terfikir, patutnya ia dikembangkan menjadi satu esei yang mengungkapkan kepenyairan Clariessa dengan lebih jelas. Selalu saya katakan, di Malaysia tak ada, – atau mungkin ada tapi cukup sedikit – penulis yang mampu menulis puisi Kristian dengan kemas dan dekat dengan latar tempatan. Karim kata ‘Ain. Tak. Saya bau Amerika dari puisinya. Kawan saya Fariq berkata, rahsia puisi Indonesia adalah Bible. Saya mendapatkan Alkitab dari Sarawak, tentu saja melalui Clariessa. Betullah, betapa puitis kitab itu hingga mengilhamkan kepada saya sejumlah sajak.

Wawancanda bersama tokan

Beberapa tahun hidup serumah dengan tokan, telah memberikan sejumlah pengalaman yang cukup berharga; sebagai pengajaran dan kenangan semata. Di satu kawasan rumah pangsa yang kumuh dan sendat, saya mengenal apa itu persahabatan, yang putih dalam hitam dan batas yang tak boleh dilangkahi. Saya ingin mengenang kenalan-kenalan yang telah pergi, kaca dan batu yang merosakkan kepala masyarakat dan tatanan pergaulan yang rencam dan rumit. Tak salah kalau kamu kata dadah musuh negara.

Kenapa kita ingat, kenapa kita lupa? Mungkin kita tak lupa sepenuhnya, Cuma ingatan itu terenap dek bermacam perubahan sekitar. Kalau ada sesuatu berkaitan ingatan yang telah saya lupakan itu muncul di depan, perkara silam akan kembali terpacu. Yang pasti, masih ada trauma silam yang kekal menghantui, ada penyesalan yang masih melukai dan cinta yang masih memedihkan. Semuanya segar dalam kepala ini. Sesekali saya akan menjerit dan terkejut tiba-tiba seperti direnjat elektrik. Sesekali saya mengigau dalam mimpi dan tidur ayam. Ingatan seperti mimpi-mimpi yang belum selesai. Adakah hanya tidur yang mampu menyudahkannya?

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Pembunuhan

Oleh Lokman Hakim

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

Aku terlihat suatu pembunuhan pada pukul 3:43 pagi. Tiada mayat. Tiada pembunuh. Hanya ada kematian. Aku tutup tingkap bilik dengan perlahan. Khuatir jika pembunuhan itu merebak ke dalam bilik. Dinihari pekat nihil. Aku patut masuk tidur.

Adakah mimpi dan tidurku turut terkorban dek pembunuhan itu? Wajarnya insomnia ini menjadi korbanan tetapi ia tidak berlaku.

Dalam gelap, aku memanjatkan doa agar tidak didatangi sesuatu yang ngeri. Ketidaktahuan itu mengerikan. Aku menyelimutkan diri dengan resah yang meresap ke dalam selimut.

Resah membawaku ke ruang tamu di tingkat bawah. Aku teringat pada catatan yang tertulis:

Dandelion Dawud sudah mati dibunuh ______.

Namaku D. Dawud. Dandelion Dawud. Catatan itu merupakan minda separa sedar penciptaku, Encik Hadri. Aku fikir dia kebuntuan dengan hidupnya selaku pengarang. Aku harus cari jalan supaya catatan itu tidak menjadi realiti. Aku sudah mendepani banyak kehilangan minggu ini. Seorang demi seorang ghaib. Objek demi objek yang melambangkan kewujudan setiap ahli keluargaku juga ghaib. Aku tidak tahu berapa lama struktur rumah ini boleh bertahan. Pokok pangkalnya, aku tidak boleh membiarkan takdirku berakhir begini.

Suatu nama tertera di dalam kepala yang aku kira boleh menyelamatkan keadaan.

Serena.

2.

Di rumah Serena, pembaca setia karya-karya Encik Hadri.

Engkau tanya kenapa aku berada di sini, Serena. Aku tidak berada di sini atau di mana-mana. Aku di dalam kepalamu, mungkin. Melihat rona bingungmu, aku tahu engkau mengenaliku. Engkau juga kenal penciptaku seperti aur dengan tebing layaknya. Cuma kini engkau menjauh. Engkau rasa dia sudah terlalu di atas sedangkan dia tidak pernah berada di mana-mana. Bawah? Atas? Depan? Belakang? Engkau silap. Dia tetap di mejanya yang usang itu. Kata-katanya mengering ibarat Laut Aral. Tiada gerimis ilham apatah lagi gemawan idea menaungi kata-katanya. Dia mahu mematahkan penanya. Tintanya sudah dicampak ke dinding – berkecai dan terdapat percik dakwat yang tidak dibasuh lantas mengering.

Seseorang sedang dibunuh dan engkau harus menghalangnya. Tidak, pembunuhnya tidak kelihatan bahkan tidak menggunakan sebarang senjata tajam pun. Engkau hanya perlu halang pembunuhan itu daripada berlaku dengan membantuku mencari pengarang cerita ini. Beritahu dia apa yang berlaku dan mungkin dia boleh berbuat sesuatu.

Di sini, engkau termangu melihatku seolah-olah aku berdelusi.

Akulah Dandelion Dawud. Ya, hero di dalam novel kesukaan engkau itu. Keluargaku bahagia di mana konflik sesama ahli keluarga sudah selesai di pengakhiran cerita. Antagonis sudah kecundang. Tetapi apa yang lebih teruk ialah duniaku sedang musnah. Seorang demi seorang ghaib meninggalkan memori yang menggunung dan menyeksa.

Andai kita pergi berdua mendepani Encik Hadri, pasti kita akan ketemu penyelesaiannya bukan?

Serena, kenapa? Tidakkah Encik Hadri memerlukan engkau sekarang?

3.

Aku tidak patut pergi ke rumah Encik Hadri. Dia tidak tahu apa-apa. Pengarang sudah menoktahkan novelnya dan riwayat buku itu sudah diserahkan kepada khalayak pembaca.

4.

Aku tinggalkan Serena di rumah Encik Hadri. Mereka boleh berbincang mengenai apa sahaja tetapi aku tidak lagi berminat mengenainya. Aku harus dapatkan buku yang tertulis kisahku dan menyimpannya sebelum setiap cetakan buku itu dihapuskan waktu. Mujurlah Encik Hadri ada menyimpan naskhah terakhir. Aku sorokkannya ke dalam kocek jaketku dengan niat mahu menyimpannya di dalam peti besi di rumahku.

Hanya dengan cara ini barulah aku dapat menghalang pembunuhan tanpa pembunuh dan mangsa. Namun begitu adakah ia berkesan? Aku tidak dapat mengetahuinya sebelum mencuba.

5.

Waktu. Adakah waktu itu dapat membunuh dengan pergerakan sehalanya? Ia hanya membawa beban dunia bersamanya. Dan karya yang menyimpan ceritaku akan tercicir daripada landasan. Justeru, waktu bukan pembunuh.

Aku sudah berada di rumah tetapi aku sedang melihat bumbungnya mendebu pantas. Lebur seperti dimamah api yang tidak kelihatan. Aku sedar, kisahku sedang hilang. Pembaca tidak membeli buku Hadri untuk dibaca tetapi disimpan di suatu sudut untuk dilupakan.

Aku harus mencari jalan supaya kisahku tidak lenyap daripada pengetahuan manusia. Aku harus kembali ke mana? Rumah Hadri? Serena? Apa jua perbualan mereka itu, aku tidak rasa ia dapat mengubah apa-apa.

Apakah pembunuhan tanpa mayat dan juga pembunuh dapat dihalang? Ia mustahil.

Aku berlari ke rumah Encik Hadri dengan harapan waktu masih bersisa untukku memintanya agar menghidupkan kembali kisahku yang hampir lenyap daripada pengetahuan manusia.

Aku dapat lihat kelibat Serena sedang melangkah keluar dari halaman rumah Encik Hadri. Aku dapat lihat senyumannya. Mungkin sesuatu sudah berlaku di antara mereka berdua. Aku harus pantas. Aku mahu tahu takdirku di dalam cerita yang terbuku itu. Mengapa sesudah kisahku dibukukan dan tersimpan elok di arkib dan rak-rak buku pembaca aku masih mendepani penghapusan?

Dunia sudah berubah. Hanya buku yang malar hijau akan terus wujud abadi. Manakala buku yang tidak popular dan gagal tiba kepada khalayaknya akan dilupakan.

Di suatu sudut, kisahku masih wujud tetapi tidak lagi diperkatakan. Dalam erti kata lain, ia dilupakan.

Serena tidak dapat melihatku ataupun mendengar suaraku walau bagaimana sekalipun aku berteriak tepat ke mukanya. Aku toleh ke rumah Encik Hadri dan aku menyedari ia sebuah rumah yang tidak pernah aku masuki.

Aku terlihat suatu pembunuhan pada pukul 3:43 pagi. Tiada mayat. Tiada pembunuh. Hanya ada kematian.

 

 

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Tiga seru

dahi adalah tangga licin
dipanjat air suci dan sekuku permintaan
akan melompat di rumah ibadat

nyanyian turun naik sepanjang tengkuk
ruang menjinakkan kesepian dari waktu lampau
pada kepingan roti digigit tanpa bahasa
makan sempat dimulai
kegelapan melarut di tubuh menyusuri
lencun bulan ; dua permainan
yang bergantian menua

sehingga cahaya di tengah parkir
merangkak ke pedal basikal
di situ, keraguan para penganut
sempat dilocengkan atau
beredar meninggalkan rumput di bawah
yang telah menundukkan salibnya.

 

Clariessa Kesulai