Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Guna dron, alat pengesan pantau jalan rosak

SHAH ALAM, 13 DIS: Penggunaan dron dan sensor antara kaedah untuk mengesan kerosakan jalan di bawah Sistem Pengurusan Aset Jalan Raya Selangor (SRAMS) bagi memastikan penyelenggaraan mencapai piawaian.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata sistem digunakan anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd itu membolehkan maklumat kerosakan seperti lubang, tarikh pembaikan dan tempoh luput dikenal pasti untuk tindakan susulan.

Menurutnya, kos penyelenggaraan mencecah sehingga RM1 bilion setahun memerlukan Kerajaan Negeri mempunyai data tepat untuk memastikan setiap kerja dilaksana menepati piawaian dan jalan lebih tahan lama.

“Jadi kita guna teknologi terkini seperti dron dan sensor untuk memantau manakala kontraktor pula wajib masukkan data di perisian setiap kali buat penyelenggaraan.

“Kita beri tumpuan ini supaya orang ramai dapat menggunakan jalan raya yang baik apabila kerja semakin cekap,” katanya selepas merasmikan seminar pembangunan kontraktor jalan raya di sini, hari ini.

Izham berkata, setakat ini sistem berkenaan hanya digunakan untuk memantau jalan negeri diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) dan akan diperluaskan ke laluan lain pada masa depan.

“Apabila audit jalan negeri siap dan sistemnya lebih mantap, kita akan laksana pula di jalan-jalan lain contohnya yang diselia oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.