Categories
ADN SELANGOR

Kes Covid-19 tinggi, ADN gesa ujian bersasar buat warga Seri Kembangan

SHAH ALAM, 30 JUN: Saringan Covid-19 secara besar-besaran perlu dijalankan kerajaan terhadap penduduk di Seri Kembangan susulan kebimbangan jangkitan harian wabak.

Ahli Dewan Negerinya Ean Yong Hian Wah berkata usaha mengesan jangkitan awal harus disegerakan bagi mengelak situasi lebih parah termasuk kes kematian.

“Pusat khidmat saya masih terima laporan kes positif setiap hari. Kami risau wabak bertambah serius sekiranya langkah proaktif tidak diambil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mengikut maklumat, lebih kurang 40 penduduk Seri Kembangan meninggal dunia di Hospital Serdang sejak lebih setahun pandemik melanda,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut kesal dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang sepatutnya berada di barisan hadapan dalam mengurus isu pandemik selain menjaga keselamatan rakyat, namun gagal berbuat demikian.

Pada 25 Jun, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang mengambil inisiatif menjalankan program Saringan Komuniti secara bersasar di Stadium MBSJ Serdang Jaya berikutan rantaian jangkitan Covid-19 sukar diputuskan.

Seramai 683 individu berjaya disaring menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dengan 86 daripadanya disyaki positif wabak.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat vaksin mega di Seri Kembangan mula operasi Isnin ini

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Satu lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega (berkapasiti besar) di Lembah Klang iaitu Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) di Seri Kembangan akan mula beroperasi Isnin ini.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam kenyataan semalam memaklumkan penjadualan jumlah janji temu hari pertama untuk MIECC dihadkan kepada 4,900 daripada kapasiti penuh iaitu 8,000 bagi memastikan kelancaran program dengan pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP).

“Jumlah ini akan ditambah secara berperingkat dalam masa terdekat. Janji temu di PPV MIECC yang bermula dari 9 pagi hingga 8 malam sedang dikeluarkan ketika ini dan orang ramai diminta untuk menyemak aplikasi MySejahtera mereka bagi mendapatkan butiran janji temu vaksinasi Covid-19 masing-masing,” menurut kenyataan itu.

CITF memaklumkan individu yang diberikan janji temu dinasihat sebaik-baiknya hadir tidak terlalu awal dan tiba di MIECC 30 minit sebelum waktu janji temu bagi mengelakkan kesesakan.

Kenyataan itu menyebut pembukaan PPV di MIECC adalah sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memastikan kadar vaksinasi terus konsisten bagi mempercepatkan program vaksinasi negara.

“Setakat ini, kadar vaksinasi negara mencecah paras 150,000 dos sehari dan kerajaan menyasar untuk mempertingkat usaha vaksinasi bagi mencapai jumlah suntikan 200,000 dos sehari dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, PPV MIECC akan diurus oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) iaitu syarikat tidak berasaskan keuntungan milik Kementerian Kesihatan Malaysia.

PPV MIECC adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasa kadar vaksinasi dengan pembukaan enam PPV mega seperti Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Arena Axiata, Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dan UiTM Puncak Alam.

Maklumat atau sebarang pengumuman terkini boleh diakses menerusi laman media sosial Facebook, Twitter dan Instagram @JKJAVMY.

Sebarang pertanyaan mengenai janji temu boleh diajukan ke platform MySejahtera Helpdesk di pautan mysejahtera.malaysia.gov.my/help atau laman sesawang (untuk semakan janji temu) www.vaksincovid.gov.my/semak-status atau Pusat Panggilan PICK di talian 1800-888-828.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan Komuniti percuma diteruskan di Seri Kembangan hari ini

KAJANG, 27 MAC: Program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri diteruskan hari ini di Jalan Medan Belimbing, Seri Kembangan bagi mencegah penularan Covid-19.

Penduduk dan pekerja industri berhampiran Taman Belimbing, Bandar Damai Perdana, Taman Juara Jaya dan Kampung Baru Balakong mula beratur seawal jam 8.30 pagi untuk menjalani saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Mereka yang hadir mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan menyukat suhu badan.

Saringan dikendalikan 30 petugas kesihatan Klinik Selcare serta dibantu Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret).

Lokasi saringan dikawal ketat anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 6 bagi memastikan tiada pelanggaran SOP.

Pada 20 Januari, Kerajaan Selangor menerusi Pakej Kita Selangor memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan saringan percuma di seluruh negeri untuk membendung penularan wabak.

Antara lokasi penganjuran ialah di Dewan Seksyen 19, Seksyen 7 dan Seksyen 25, Shah Alam; Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya, Klang; Dewan Komuniti PJS 6, Petaling Jaya; Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam; Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya.

Program itu dijangka memanfaatkan 50,000 rakyat dengan tumpuan kepada golongan sasar seperti warga emas, kumpulan berpendapatan rendah (B40) serta mahasiswa anak Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

1,000 disasar hadir saringan percuma di Kampung Pandan, Seri Kembangan

SHAH ALAM, 24 MAC: Seramai 1,000 individu disasar menghadiri program Saringan Komuniti Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri di Seri Kembangan dan Kampung Pandan pada hujung minggu ini.

Pengurus Klinik Selcare berkata saringan diadakan di Jalan Medan Belimbing, Taman Bukit Belimbing pada Sabtu manakala Ahad di Dewan Serbaguna MPAJ, Jalan H Kampung Pandan.

“Kita menyasarkan 500 individu di setiap lokasi, orang ramai disaran memanfaatkan saringan percuma untuk mengekang perebakan Covid-19,” kata Mohamad Noor Md Nasir kepada SelangorKini hari ini.

Pemilihan lokasi program saringan dibuat berdasarkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengenal pasti serta meramal sebaran wabak.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Pada tahun ini sejumlah RM6 juta diperuntuk bagi meneruskan saringan secara percuma di kawasan berkepadatan tinggi serta menyasarkan golongan berpendapatan rendah.

Categories
SELANGOR

Kuih bulan comel buat penduduk Seri Kembangan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OKT: Unik, lebih 1,000 kuih bulan dengan bentuk kartun popular seperti Doraemon dan Mickey Mouse diedar kepada penduduk Seri Kembangan, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, edaran kuih itu diberikan sempena Perayaan Kuih Bulan atau Perayaan Pertengahan Musim Luruh.

Katanya, ia merupakan antara perayaan terpenting selain Perayaan Tahun Baru Cina.

“Ia disambut bagi meraikan kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Mongol pada akhir Dinasti Yuan.

“Kuih Bulan merupakan salah satu hidangan istimewa pada perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengedarkan kuih bulan di Pasar Pagi Seri Kembangan.

Hian Wah berkata, beliau turut mengedarkan lebih 6,000 kuih bulan kepada penduduk di kawasannya pada minggu lalu.

“Pengedaran kuih ini amat penting, ia bukan sekadar memberi orang ramai kuih percuma, tetapi di situ terdapat ramai suku kaum etnik Hakka yang begitu menitikberatkan Perayaan Festival Kuih Bulan,” katanya.

Unity ASEAN Lantern dibuka kepada awam mulai 11 Disember

Pesta tanglung terbesar ‘Unity ASEAN Lantern’ di Mines Wellness City, Seri Kembangan dibuka kepada orang awam bermula 11 Disember, jam 7.30 malam hingga 12 tengah malam.

Categories
SELANGOR

Projek RM37 Juta Perbaiki Aliran Trafik Seri Kembangan

SERDANG,12 JANUARI : Penduduk di kawasan Seri Kembangan boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri Selangor memperuntukan RM37 juta bagi membaiki lalulintas di kawasan itu yang selama ini sesak teruk.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembinaan jalan sehala di seluruh kawasan Seri Kembangan dijangka dapat mengatasi masalah persimpangan dua hala yang begitu banyak.

“Pengajaran kesesakan yang berlaku begini akan memberi kita peluang untuk mengingatkan Pihak Berkuasa Tempatan dan perancang bandar supaya meneliti perancangan-perancangan masa depan,” kata Abdul Khalid semasa ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Sistem Sirkulasi Lalulintas di Seri Kembangan.

Menteri Besar berharap penduduk bersabar dan dapat memberi kerjasama apabila berlaku kesesakan semasa projek memperbaiki aliran trafik ini berjalan.

“Anggaran kos melebihi RM37 juta, tetapi projek ini akan dilaksanakan secara berfasa dan fasa pertama ialah pembinaan jalan yang baru dipersimpangan dan juga jalan bertingkat serta mengubah jalan-jalan yang berkaitan.

“Dengan ini, masalah kesesakan aliran trafik dapat dikurangkan. Seri Kembangan adalah tempat yang mempunyai rekod yang mempunyai banyak persimpangan dalam jarak yang begitu dekat,” kata Abdul Khalid.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Datuk Abdullah Abdul Rahman.

Sementara itu, Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, kesesakan jalan raya yang di hadapi penduduk di Seri Kembangan pada waktu puncak mengganggu perkembangan ekonomi setempat.

” Masalah kesesakan adalah masalah yang kritikal yang dihadapi oleh masyarakat setempat, ini jelas telah menyebabkan rakyat menderita dan hidup dalam satu keadaan yang penuh dengan tekanan,” katanya.

Menurut Ean lagi,masalah kesesakan ini menyebabkan Seri Kembangan yang dahulunya dikenali sebagai ‘Pekan Kasut’ mengalami kemerosotan perkembangan ekonomi.

” Saya yakin dengan kejayaan projek ini akan menambah baik situasi trafik dan memberi manfaat kepada pengguna jalan di masa hadapan,” katanya.