Categories
AGENDA NASIONAL

Kelas secara bersemuka pelajar sekolah menengah mulai 4 April

SHAH ALAM, 5 MAC: Sesi persekolahan untuk 2022/2023 tetap dibuka mengikut tarikh ditetapkan pada 21 Mac ini, kata menteri kanan pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata sesi persekolahan pelajar menengah dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) terlebih dahulu selama dua minggu bermula tarikh buka sekolah.

Beliau menjelaskan pelajar sekolah menengah hanya dibenarkan hadir ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka mulai 4 April tanpa penggiliran.

“Keputusan ini tertakluk kepada semua murid berkeperluan khas di sekolah menengah pendidikan khas (SMKPK) dan program pendidikan khas integrasi (PPKI).

“Ia turut membabitkan pelajar tingkatan 1, 2, 3, 4, 5, prauniversiti,  International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara,” katanya menerusi perkongsian video di Facebook.

Beliau berkata untuk sekolah berasrama penuh pula, pelajar yang dibenarkan pulang kes asrama pada 4 April adalah pelajar tingkatan 2, 3, 4, 5, prauniversiti, IBDP serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara

“Pelajar tingkatan 1 yang berjaya masuk ke sekolah berasrama perlu memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian sehingga tarikh kemasukan ke asrama diumumkan,” katanya,

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Nilai risiko jangkitan kepada kanak-kanak sebelum buka sekolah

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kerajaan disaran mempertimbangkan semula pembukaan sesi persekolahan yang dijadual Oktober depan bagi mengelak pelajar terdedah kepada risiko penularan wabak.

Pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) Dr Mohammad Farhan Rusli berkata corak peningkatan kes membabitkan kanak-kanak di luar negara yang belum menerima suntikan pelalian harus dijadikan iktibar.

“Sepertimana kita tahu kebanyakan pesakit Covid-19 tahap tiga dan empat adalah golongan berisiko tinggi. Jadi, kita tidak mahu kanak-kanak pula yang akan menggantikan kumpulan terbabit.

“Apabila kerajaan menetapkan sekolah ingin dibuka Oktober ini, adakah ia langkah wajar?. Seharusnya menilai terlebih dahulu bagaimana untuk membuka sesuatu sektor dengan cara lebih selamat sebelum membuat keputusan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 15 Ogos, menteri pendidikan memaklumkan tarikh pembukaan semula sekolah bagi negeri fasa dua dan tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ialah 3 Oktober, dilewatkan berbanding 1 September seperti yang diumum sebelum ini.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata bagi negeri fasa dua, pembukaan sekolah hanya untuk kelas peperiksaan manakala bagi fasa tiga, pembukaan penuh dibenarkan. Bagaimanapun, pembukaan sekolah tidak dibenarkan bagi negeri fasa satu PPN.

Sementara itu, Dr Mohammad Farhan mengakui pola jangkitan harian dan kematian akibat Covid-19 di Selangor yang mencatat penurunan beberapa hari kebelakangan ini hasil kejayaan program vaksinasi.

“Penurunan kes akan nampak tetapi harus ingat kadar vaksinasi kita masih lagi tidak mencapai tahap tinggi kerana denominator digunakan mungkin tidak tepat dan tidak mengambil kira peratusan bukan warganegara serta mereka yang tiada permit,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembangkang cadang pelajar sekolah tidak perlu pakaian seragam tahun ini

SHAH ALAM, 21 FEB: Beberapa ahli parlimen pembangkang mencadangkan isu pakaian rasmi sekolah tahun ini diberi kelonggaran susulan pembukaan semula institusi itu mulai 1 Mac.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menegaskan ramai ibu bapa terbeban dengan pandemik Covid-19 dan berbelanja besar untuk pendidikan anak-anak.

“Kelonggaran berpakaian bebas harus diberikan sekurang-kurangnya tahun ini memandangkan ada kebarangkalian sekolah akan ditutup kembali jika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana semula,” tegas wakil rakyat pembangkang.

Ahli parlimen berkenaan ialah Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Teo Nie Ching (Kulai), Datuk Dr Hasan Baharom (Tampin), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud).

Cadangan itu antara lima perkara yang dikemukakan susulan pembukaan semula sesi persekolahan. Cadangan lain meliputi:

1. Meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhenti membuat keputusan secara tidak terancang dan bersikap reaktif tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat

2. Merujuk cadangan dikemukakan oleh Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan 20 Februari berkaitan isu sama

3. Pengukuhan sistem pembelajaran berasaskan teknologi sama ada dalam atau luar bilik darjah seperti penggunaan portal sophia.my, pelaksanaan meluas program pengagihan peranti dan penambahbaikan akses internet di sekolah termasuk meneruskan pakej internet untuk pelajar di rumah

4. Guru dan kakitangan sekolah wajib diberi keutamaan dalam menerima vaksin seperti petugas barisan hadapan yang lain

Pada Jumaat, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan bagi murid prasekolah, tahun satu dan dua di seluruh negara bermula pada 1 Mac.

Sementara persekolahan murid tahun tiga hingga enam pada 8 Mac.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sesi persekolahan lancar, patuhi SOP – KPM

TANAH MERAH, 15 JULAI: Kementerian Pendidikan berpuas hati dengan kelancaran proses pembukaan semula sesi persekolahan hari ini yang menyaksikan semua pihak mengamalkan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Menterinya Dr Radzi Jidin berkata dalam tinjauannya di beberapa sekolah mendapati semua proses berjalan lancar dengan semua pelajar dan guru mematuhi SOP seperti pengambilan suhu dan penjarakan sosial, memakai pelitup separuh muka serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Saya gembira kerana semua pihak dalam tinjauan saya di empat buah sekolah rendah dan menengah mendapati semua berjalan lancar dan mematuhi SOP.

“Walaupun membuat penjarakan saya dapati semua sekolah dapat menampung semua pelajar tanpa perlu mengadakan dua sesi. Ini membuktikan semua pihak iaitu guru, pelajar dan ibu bapa memahami sepenuhnya SOP,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Batu Gajah, hari ini.

Hari ini adalah hari pertama sesi persekolahan bagi Tingkatan 1 hingga 4 dan Tahun 5 dan 6 di seluruh negara dan sebelum ini sekolah dibuka bagi Tingkatan 5 dan 6 serta prasekolah, tadika dan tabika.

Radzi berkata sekolah berasrama penuh masih belum dibuka termasuk ada sekolah di Sarawak yang juga masih belum dibuka atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keadaan wabak (Covid-19) ini terkawal dan apa yang penting dan saya tekankan adalah patuhi SOP,” katanya.

Radzi juga yakin semua pelajar yang memulakan persekolahan hari ini akan dapat menyesuaikan diri dengan normal baharu dalam tempoh yang singkat seperti pelajar Tingkatan 5 dan 6 sebelum ini.

“Apa pun saya nasihatkan, keadaan (wabak Covid-19) masih belum pulih sepenuhnya dan dalam tempoh itu semua pihak perlu memastikan SOP terus dipatuhi.

“Kepada pelajar yang datang dan pulang menggunakan bas sekolah perlu patuhi penjarakan sosial juga kerana ini penting untuk pastikan semua dalam keadaan yang baik,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Sesi persekolahan seluruh negara ditangguh seminggu

SHAH ALAM 29 DIS: Kementerian Pendidikan memaklumkan penangguhan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi 2015 selama seminggu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tarikh baru sesi bermula persekolahan 2015 bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).

sekolah tamil 1“Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambil kira sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS (Pusat Pemindahan Sementara) atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan.

“Ia juga kerana keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah perlu menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan suasana pembelajaran dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.

EZY