Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Ruang rayuan masih ada, penjarakan Rafizi tak luntur semangat tegak keadilan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Masih ada ruang bagi Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli mengemukakan rayuan terhadap Keputusan Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas beliau.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau berharap semoga Rafizi dalam rayuannya nanti akan dibebaskan daripada pertuduhan ini sekali gus dapat bersama meneruskan perjuangan menegakkan keadilan.

“Saya percaya pihak peguam akan mengemukakan rayuan ke atas keputusan tersebut dan itu adalah proses yang dibolehkan untuk Yang Berhormat Rafizi membela diri.

azmin-parlimen“Keputusan hari ini bukan satu keputusan muktamad kerana beliau boleh lagi menggunakan ruang Mahkamah Rayuan bagi menegakkan keadilan dan itu dibenarkan undang-undang,” katanya kepada media di Lobi Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor percaya isu didedahkan Rafizi itu bukan bertujuan menggugat keselamatan negara tetapi demi membongkar isu penyelewengan pengurusan kewangan kerajaan yang mampu melemahkan ekonomi negara.

Katanya, pemenjaraan Rafizi itu juga tidak akan melemahkan semangat KEADILAN dan rakan seperjuangan lain untuk meneruskan perjuangan.

“Ini tidak akan melemahkan semangat kita untuk terus berjuang. Kita cukup yakin dengan perjuangan KEADILAN adalah untuk menegakkan keadilan serta kebenaran dan saya percaya hukuman ini akan memperkukuhkan lagi perpaduan dan kekuatan dalam parti untuk meneruskan perjuangan,” katanya lagi.

Hari ini, seorang lagi menjadi mangsa skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Rafizi atas tuduhan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Berdasarkan kertas pertuduhan Rafizi didakwa memiliki secara salah halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB yang melanggar Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972.

Rafizi juga dituduh mengedarkan dokumen sulit tanpa kebenaran di lobi parlimen pada 28 Mac dan didakwa melanggar Seksyen 8(1)(e)(iv) akta sama.

-nR-