Categories
AGENDA NASIONAL

Haris dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri baharu

SHAH ALAM, 1 NOV: Dato’ Haris Kasim dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baharu berkuat kuasa hari ini.

Haris yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Pegawai Kewangan Negeri dilantik bagi menggantikan Dato’ Nor Azmie Diron.

Sementara itu,  ketika ditemui hari ini Haris menganggap pelantikannya itu sebagai satu amanah dengan tumpuan untuk memulihkan negeri daripada pandemik Covid-19.

“Saya menganggap pelantikan ini amanah dan banyak perlu dilakukan kerana Selangor bukan negeri kecil.

“Saya akan bekerjasama dengan semua pegawai supaya hasrat dan wawasan digariskan dapat diteruskan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Nor Azmie dilantik setiausaha kerajaan negeri baharu

SHAH ALAM, 3 FEB: Dato’ Nor Azmie Diron dilantik setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baharu bagi menggantikan Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkuat kuasa pada hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari yakin pelantikan pegawai kewangan itu akan menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Nor Azmie dan mengharapkan beliau akan terus menyumbang khidmat bakti khususnya dalam merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin juga mengucapkan penghargaan kepada Mohd Amin yang tamat perkhidmatannya selama lima tahun pada 2 Februari. Pegawai tinggi itu sebelumnya memegang jawatan pengarah tanah dan galian Selangor.

“Saya juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Amin atas jasa dan pengorbanannya sepanjang menjawat jawatan setiausaha kerajaan negeri Selangor.

“Sesungguhnya kepemimpinan dan pengalaman beliau terutamanya dalam menguruskan pandemik Covid-19 baru-baru ini, akan sentiasa dikenang dan tersemat di hati dan sanubari semua penjawat awam,” katanya.

Bermula 1995, Nor Azmie yang berkelulusan sarjana pengurusan teknologi maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia memulakan kerjayanya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik.

Beliau berkhidmat di beberapa kementerian dan agensi antaranya Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Jabatan Perdana Menteri.

Nor Azmie berpengalaman menguruskan beberapa portfolio termasuk keusahawanan, kewangan dan pengurusan sumber manusia sepanjang 26 tahun dalam perkhidmatan awam.

Beliau juga memegang beberapa jawatan penting di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor sebelum dilantik sebagai pegawai kewangan negeri Selangor pada 2018.

Categories
SELANGOR

Penjawat awam digesa tingkat hasil negeri

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 APRIL: Penjawat awam Selangor digesa terus berusaha meningkatkan hasil negeri dan melaksanakan perbelanjaan lebih berhemah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, setiap ketua jabatan perlu melaksanakan kaedah penjimatan di jabatan masing-masing dengan mengoptimumkan sumber sedia ada, namun memastikan hasil maksimum.

“Anggaran defisit belanjawan pada tahun ini dijangkakan sebanyak RM360 juta, biarpun ia lebih rendah berbanding tahun-tahun lalu namun sebaik-baiknya kita pandai menyesuaikan perbelanjaan dengan hasil dan sumber sedia ada

“Sama-sama juga kita membantu Kerajaan Negeri dalam mencari ikhtiar untuk meningkatkan hasil negeri di samping mengurangkan defisit belanjawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 Dan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) Tahun 2019, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (PSUK), Di Dewan Banquet Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron; Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Dato’ Masri Mohd Daud dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Terdahulu, penganugerahan itu menyaksikan 141 penjawat awam menerima APC membabitkan sembilan jabatan, manakala 29 pesara dan bakal pesara menerima AJD membabitkan lapan jabatan.

 

Categories
SELANGOR

Empat aspek penting untuk Selangor kekal di hadapan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 15 APR: Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya menyeru seluruh penjawat awam berpegang kepada empat aspek penting bagi mengekalkan Selangor di hadapan dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Mohd Amin berkata, aspek pertama adalah penjawat awam perlu meningkatkan kerjasama dan bekerja sebagai satu pasukan serta tidak terkongkong dalam sempadan atau silo masing-masing sekali gus mengelak kerenah birokrasi yang menyukarkan rakyat.

Katanya, kakitangan kerajaan juga perlu sentiasa berusaha mencari inisiatif menambah baik proses kerja dan bukan sekadar berjaya mencapainya, sebaliknya melangkaui jangkaan pemegang taruh dan rakyat.

“Ketiga, kita harus melatih diri menjadi orang yang boleh mengerjakan berbilang tugas (multitasking) dan mempunyai pelbagai kemahiran serta bakat.

“Pembudayaan inovasi, kreativiti dan berfikir di luar kotak perlu digalakkan di setiap jabatan supaya produktiviti kerja ditingkatkan, malah melahirkan modal insan berkualiti.

“Aspek keempat adalah memegang aku janji untuk menyimpan rahsia kerajaan dan menapis segala maklumat yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 bagi Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, penjawat awam adalah tulang belakang kepada kerajaan dan tanpa mereka dasar serta aspirasi yang dilihamkan oleh pengurusan eksekutif pasti tidak dapat direalisasikan dengan sempurna.

“Dengan jumlah penduduk mencecah 6.5 juta dan sebagai negeri penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, peranan penjawat awam adalah kritikal dan akan mencerminkan Kerajaan Negeri di mata rakyat jelata,” katanya.

Terdahulu, Seramai 170 penjawat awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor (PSUK) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 dan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) 2019.

Daripada jumlah berkenaan, 141 penjawat awam adalah penerima APC sementara 29 lagi adalah pesara dan bakal pesara yang berkhidmat melebihi 25 tahun.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Categories
SELANGOR

Selangor – Pulau Pinang meterai MOU laksana bandar pintar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang memeterai memorandum persefahaman hubungan kerjasama pembangunan inisiatif bandar pintar membabitkan kedua-dua negeri itu.

Perjanjian ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Sarul Bahiyah Abu di Setia City Convention Centre (SCCC), petang ini.

Permeteraian disaksikan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Menurut perjanjian itu, Jawatankuasa Bandar Pintar terdiri daripada wakil kedua-dua negeri ditubuhkan bagi merealisasikan perancangan dan pelaksanaan usaha bagi aktiviti yang dilaksanakan di bawah perjanjian persefahaman itu.

IMG_6873Memorandum persefahaman turut ditandatangani sebagai inisiatif secara bersama untuk melaksanakan pembangunan Bandar Pintar yang mula dilaksanakan di Selangor sejak 2014.

Di Selangor, pembangunan bandar pintar dilaksanakan secara positif menerusi pembangunan Selangor Cyber Valley yang mendukung kepada pelaksanaan gagasan Smart State.

Terdahulu, Selangor mendahului negeri lain dengan mendukung agenda pembangunan negeri pintar, Smart Selangor meliputi beberapa komponen antaranya internet of things, bandar hijau, jaringan pengangkutan dan pelaksanaan dasar bermanfaat buat seluruh masyarakat.

Categories
SELANGOR

Dato’ SS terima kunjungan hormat AADK

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 FEB: Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Izhar Abu Talib di pejabatnya hari ini.

PC (2 of 18)-2Kunjungan hormat itu bagi memantapkan jalinan kerjasama Kerajaan Selangor bersama AADK bagi meningkatkan pelaksanaan program pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan dadah.

Dalam pertemuan hampir setengah jam itu antara lain turut menyampaikan maklumat dan perkembangan terkini senario masalah dadah di Selangor, selain mengharapkan kerjasama semua pihak menyokong usaha AADK membenterasnya.

Tahun ini, sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan akan diadakan di Lawas, Sarawak pada 12 Mac dan akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

-AA-