Categories
AGENSI SELANGOR

CAEXPO: Selangor terima lawatan delegasi Nanning

SHAH ALAM, 18 DIS: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini menerima lawatan delegasi Nanning bagi mendapatkan maklum balas berhubung Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) yang berlangsung September lalu.

Delegasi itu disambut Setiausaha Kanan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar Desa dan Kampung Tradisi Hanafi Sudi dan Pengarah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor Ahmad Khairo Othman, di sini.

Hanafi ketika ditemui berkata lawatan balas berkenaan susulan Kerajaan Negeri membuat kunjungan ke China tempoh hari bagi meneroka pasaran negara Tembok Besar itu.

“Pertemuan berjalan lancar dan sekali gus mewujudkan kerjasama erat antara Malaysia dan China serta landasan strategik bagi menggalakkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas mengapa China dipilih berbanding negara lain, Hanafi berkata negara itu berpotensi tinggi untuk diteroka oleh usahawan Selangor terutama berkaitan industri halal.

“Pasaran di negara lain juga banyak keistimewaan dan potensi masing-masing, namun buat masa ini kita lebih memfokuskan industri halal di Nanning, China,” katanya.

Dalam lawatan itu Nanning diwakili Naib Setiausaha Agung CAEXPO Shi Zuyao, Naib Pengarah Bahagian Hubungan Luar Huang Xin dan Naib Pengarah Bahagian Penerimaan Persidangan Xu Caihong.

Turut serta Naib Pengarah Bahagian Pameran Shi Ying, Pengarah Projek Kanan & Pegawai Perhubungan Kemboja Li Yufei dan Pengurus Projek & Pegawai Perhubungan Malaysia Zhang Wen.

CAEXPO bertujuan mengukuhkan perdagangan dua hala antara China dan ASEAN yang akan membawa impak luar biasa dengan perolehan tawaran perniagaan besar bersama rakan perdagangan.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA SELANGOR

Selangor kukuh bawah kepimpinan Amirudin

OLEH NAZLI IBRAHIM

Selangor adalah negeri yang sentiasa mencuri tumpuan bukan sahaja rakyat setempat, malahan menjengah ke pelabur antarabangsa. Sejak dikuasai PAKATAN sejak 2008, pentadbiran utama negeri sudah dipimpin tiga Dato’ Menteri Besar termasuk Amirudin Shari yang dilantik pada 19 Jun 2018.

Beliau menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang diberi amanah memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Sempena setahun pentadbirannya, ikuti temubual eksklusif SelangorKini dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Beliau menyifatkan “Selangor will be in safe hands” di bawah kepimpinan Amirudin.

SelangorKini: Apa pandangan Dato’ berkenaan program kebajikan Kerajaan Negeri sepanjang setahun di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru ini?

Mohd Amin: Seperti yang diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sela-ngor Tahun 2019 yang lalu, program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sedia ada akan dijajarkan dan ditambah baik.

Antara program IPR yang dijajarkan semula adalah Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Peduli Sihat dan pemberian air percuma kepada golongan B40.

Hal ini bagi mengoptimumkan sumber kewangan sediaada selain kita juga perlu memastikan golongan sasaran untuk penerima IPR ini adalah yang benar-benar memerlukan sahaja serta tidak menerima bantuan daripada jabatan atau agensi lain yang menawarkan bantuan kepada golongan miskin seperti Lembaga Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Apakah pendekatan dan dasar yang ditekankan oleh Dato’ Menteri Besar yang Dato’ lihat dan apakah kesannya?

Saya ingin meminjam kata-kata hikmat pendeta China, Lao Tzu yang berbunyi “Give a man a fish and you can feed him for one day. Teach him how to fish and you can feed him for a lifetime”.

Aspirasi Kerajaan Negeri adalah untuk memberdayakan rakyat supaya mereka boleh “self-sufficient” dan “sustainable” dengan tidak bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Hal ini dapat dilihat dengan program Hijrah Selangor yang menyalurkan bantuan pinjaman kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sehingga berjaya memberdayakan pembangunan ekonomi rakyat dengan kadar bayaran balik pinjaman sebanyak 80 peratus.

Selain itu, keprihatinan Dato’ Menteri Besar berkenaan masalah perumahan rakyat di negeri ini berjaya menarik minat pemaju perumahan untuk melaksanakan “joint venture” dengan Pemerbedanan Menteri Besar (MBI) untuk membina Rumah Idaman Rakyat Selangor yang bukan sahaja mampu milik tetapi dengan prasarana yang cukup lengkap.

Dasar kerajaan negeri dan aspirasi Dato’ Menteri Besar ini dapat diterjemahkan de-ngan kejayaan Selangor mencatatkan rekod pelaburan yang terbesar dalam sejarah pada tahun 2018 iaitu sebanyak RM18.947 bilion berbanding RM5.592 bilion pada tahun 2017.

Apakah yang Dato’ jangkakan berkenaan kemajuan Selangor di bawah teraju Dato’ Menteri Besar dalam tempoh lima tahun?

Setiap pemimpin pasti mempunyai gaya kepemimpinan dan aspirasi yang berbeza. Namun, saya percaya Dato’ Menteri Besar sekarang pasti akan meneruskan kesinambungan kemajuan pembangunan Selangor yang sudah dirintis oleh menteri-menteri besar sebelum ini.

Hal ini dapat dilihat dengan pengumuman strategi baharu yang boleh diterokai bagi merancakkan ekonomi negeri yang dinamakan Klusterisasi Negeri Selangor.

Objektif utama pelaksanaan klusterisasi ini adalah untuk memantapkan kekuatan di suatu kawasan tumpuan dengan memfokuskan kelebihan sedia ada melalui penyeragaman persamaan bagi melengkapkan aksesibiliti dan prasarana fizikal yang berkaitan.

Terdapat 10 kluster yang disenarai pendek dalam strategi pembangunan gugusan di Selangor ini.

Di antaranya adalah Kluster Aeropolis dan Aeroangkasa, Kluster Industri Automotif dan Industri Sokongan serta Kluster Pertanian dan Industri Asas Tani.

Selain itu, Kerajaan Negeri sudah bersedia untuk menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0 yang menekankan pembangunan aras tinggi dan pintar.

Ini dapat dilihat dengan rancangan pelaksanaan Selangor Wide Area Network (SWAN) iaitu Jaringan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Gigabit untuk menghubungkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan semua agensi, jabatan dan pejabat seperti Pejabat Tanah dan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan semua anak syarikat Kerajaan Negeri.

Dalam menuju ke arah sebuah negeri pintar atau Smart State pada tahun 2025 nanti, selain menumpukan kepada pembangunan fizikal, Dato’ Menteri Besar juga sangat mengambil berat berkenaan pembangunan modal insan dan kelestarian alam sekitar.

Pelbagai inisiatif dan program jangka pendek dan jangka panjang sudah dirangka bagi memastikan kemajuan di Selangor ini adalah tuntas selain sentiasa bergerak seiringan.

Secara peribadi, saya percaya Dato’ Menteri Besar sekarang mempunyai gagasan yang mampu membawa Selangor untuk terus kekal sebagai negeri peneraju atau ‘benchmark’ di negara ini.

Apa pandangan Dato’ terhadap idea-idea yang dibawakan Dato’ Menteri Besar dalam pentadbiran Kerajaan Negeri?

Jujurnya, pada saya idea yang diketengahkan beliau sentiasa segar, ‘vibrant’ dan beliau juga mempunyai nilai empati yang tinggi selain sentiasa mendengar pandangan atau idea lain daripada semua pihak terutama penjawat awam di Selangor ini.

Saya percaya di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar sekarang, “Selangor will be in safe hands.”

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Amirudin suntik idea segar dalam pentadbiran negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JUN: Selepas setahun dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari disifatkan berjaya menyuntik idea segar ke dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, pemimpin tertinggi negeri itu memiliki gagasan yang mampu membawa Selangor untuk terus kekal sebagai peneraju atau penanda aras di negara ini.

“Jujurnya, pada saya idea yang diketengahkan beliau sentiasa segar, ‘vibrant’ dan mempunyai nilai empati tinggi selain sentiasa mendengar pandangan atau idea lain daripada semua pihak terutama penjawat awam di Selangor.

“Saya percaya di bawah kepemimpinan Dato’ Menteri Besar sekarang, “Selangor will be in safe hands,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, walaupun setiap pemimpin mempunyai gaya kepimpinan dan aspirasi berbeza, namun Amirudin dipercayai akan meneruskan kesinambungan kemajuan serta pembangunan Selangor menerusi ideanya.

Mohd Amin berkata, hal itu dapat dilihat melalui pengenalan Klusterisasi Selangor seperti Kluster Aeropolis dan Aeroangkasa, Kluster Industri Automotif dan Industri Sokongan serta Kluster Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai strategi baharu bagi merancakkan lagi ekonomi negeri.

“Amirudin juga menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap kepentingan perumahan rakyat apabila menyuntik idea melalui Rumah Idaman Rakyat Selangor.

“Usaha beliau itu berjaya menarik minat pemaju perumahan untuk bekerjasama dengan anak syarikat Kerajaan Negeri bagi membina kediaman terbabit,” katanya.

Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-16, pada 19 Jun 2018 menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menyertai Kabinet Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

“Engagement” bersama jabatan penuhi tuntutan KPI

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 APRIL: Sesi “engagement” bersama jabatan pentadbiran Kerajaan Negeri (PSUK) akan dijalankan dalam masa terdekat, bagi menentukan petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, hal itu kerana pemberian bonus kepada penjawat awam, pada tahun ini adalah berdasarkan pencapaian prestasi.

“Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sudah mengemukakan formula bagaimana pemberian bonus ini akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 dan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) 2019 PSUK, di Dewan Jubli Perak, di sini semalam.

Katanya, beberapa pemberat lain dalam penentuan pemberian bonus juga akan diperkenalkan antaranya daya usaha jabatan membudayakan kreativiti dan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan, kejayaan melaksanakan kaedah penjimatan dalam perbelanjaan jabatan serta disiplin setiap warga kerja.

“Jika pelaksanaan pemberian bonus berdasarkan KPI ini dapat dilakukan dengan jayanya, Kerajaan Negeri akan menjadi agensi perkhidmatan awam pertama di Malaysia yang melaksanakannya.

“Ini adalah cabaran yang perlu kita sambut dalam memastikan belanjawan negeri sentiasa berada pada landasan sepatutnya demi masa depan dan kelangsungan pentadbiran mampan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Inovasi teras utama APPC

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri meletakkan inovasi sebagai teras utama yang perlu dicapai dalam penilaian Anugerah Pengurusan Pejabat dan Pentadbiran Cemerlang (APPC).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, anugerah itu dilaksanakan dua tahun sekali bertujuan menilai prestasi dan mengiktiraf kecemerlangan organisasi sektor awam, di Selangor.

Katanya, APPC adalah medium mewujudkan persaingan sihat antara jabatan atau agensi, di pentadbiran Kerajaan Negeri dalam meningkatkan prestasi sistem pentadbiran dan kualiti penyampaian perkhidmatan secara berkesan.

“Saya percaya menjadi satu kewajipan kepada penjawat awam, di negeri ini mengorak langkah ke hadapan dalam amalan dan pembudayaan inovasi supaya perkhidmatan diberikan berkualiti serta seiring teknologi terkini.

“Sebagai ketua perkhidmatan awam di Selangor, saya sentiasa mengingatkan ketua jabatan untuk sentiasa mendorong dan memotivasikan organisasi masing-masing ke arah pembudayaan inovasi yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Selangor 2018, di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Sambil menyifatkan hasil projek inovasi ciptaan agensi awam di Selangor berdaya saing, Mohd Amin berkata, ia jelas terbukti apabila produk terbabit sudah berjaya menempa nama sehingga ke peringkat antarabangsa.

Katanya, jika dahulu masing-masing gentar menonjolkan diri dalam pembudayaan inovasi di jabatan, namun kini menyaksikan perubahan ketara.

“Ini semua atas dorongan dan insentif kemenangan yang meuar-uarkan bagi menyemarakkan inovasi di Selangor, sekali gus memberi manfaat kepada banyak pihak serta mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kita menawarkan ganjaran RM178,000 untuk Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam, manakala RM146,000 pula untuk direbut bagi Anugerah Inovasi Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Umat Islam diseru singkap kembali hijrah Rasulullah SAW

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 SEPT: Bersempena Sambutan Maal Hijrah 1440H, umat Islam diseru menyelami dan menghayati kembali kisah di sebalik penghijrahan serta perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam lebih 1,400 tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, perjuangan baginda dalam mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar sebaik tiba di Madinah menjadi bukti tertubuhnya negara Islam, sekali gus mengangkat darjat Islam ke tahap lebih tinggi.

“Kehidupan kita sebagai umat Islam adalah lebih bermakna jika kita dapat menyelami dan menghayati rakaman hijrah Rasulullah SAW yang banyak memberi nilai dan pengajaran.

“Justeru, kita seharusnya mengambil iktibar merenung kembali diri sendiri dan menilai amalan sepanjang hidup kita daripada kisah itu.

“Semoga kita dapat berhijrah ke arah kebaikan, penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT, selain memperkukuhkan kecintaan kepada junjungan besar Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Program Ambang Hijrah dan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440H Peringkat Negeri Selangor di Dewan Solat Atas, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad; Setiausaha Kerajaan Negeri, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor 1440 Hijrah/2018 Masihi, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan beberapa pimpinan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Selaras dengan tema diangkat bagi sambutan Maal Hijrah 1440H iaitu ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, Mohd Amin berkata, ia bertepatan dengan komitmen dizahirkan Kerajaan Negeri yang mahu memastikan seluruh rakyat mengamalkan nilai murni melalui jalinan hubungan silaturrahim dan sikap saling menghormati antara satu sama lain.

“Perasaan kasih sayang perlu disebarkan dalam kalangan umat Islam tanpa mengira agama dan bangsa supaya dapat membentuk jalinan ukhwah seterusnya melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

“Kita juga perlu mengenepikan semangat asabiyyah dan perasaan hasad dengki untuk memastikan ukhwah serta muafakat terus kukuh, sekali gus menjadi contoh teladan kepada penganut agama lain.

“Saya berharap semua masyarakat di Selangor sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur dan bersatu padu serta menerapkan semangat ukhwah bagi menjamin keutuhan umat,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

152 terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Seramai 152 penjawat awam dari tujuh buah jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017, manakala 31 orang pula menerima Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) 2018, yang diraikan dalam satu majlis, hari ini.

Anugerah terbabit disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin dalam ucapannya mahu pegawai dan anggota perkhidmatan awam menyebarkan ‘real news’ berhubung kejayaan dikecapi rakyat Selangor.

“Juga bagaimana Kerajaan Negeri Selangor mengiktiraf peranan penting tuan-tuan dan puan-puan di Selangor.

“Dengan adanya pegawai-pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang komited dan dedikasi seperti di Selangor, saya yakin, Malaysia mempunyai masa depan cerah.

“Pengalaman amat bernilai dalam perkhidmatan ini turut dikongsi bersama masyarakat agar budaya kerja cemerlang ini dapat terus dipertahankan oleh barisan muda perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, majlis diadakan kali kedua bermula tmahun lalu menggabungkan kedua majlis, sekali gus mengurangkan perbelanjaan sektor awam.

Katanya, ia sebagai sokongan dasar penjimatan Kerajaan Negeri yang mengamalkan konsep ‘value for money’.

“Syabas dan tahniah kepada penerima anugerah di atas prestasi cemerlang serta komitmen yang tinggi dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berada di tahap tertinggi.

“Juga kepada penerima AJD, jasa-jasa sepanjang berkhidmat akan dikenang dan dihargai,” katanya.

Tujuh buah jabatan itu membabitkan Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri, Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Selain itu, Pejabat Mufti Negeri dan Majlis Sukan Negeri Selangor.

Pada majlis itu, Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) pejabat SUK, Dato’ Mazlan Md Noor menerima APC.

Turut menerima APC, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sepang, Dato’ Puasa Md Taib dan Pegawai Daerah dan Tanah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Selain itu, bagi AJD pula dianugerahkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Norzaton Aini Mohd Kassim.

Categories
SELANGOR

Penjawat awam dituntut miliki kompetensi tinggi sepanjang berkhidmat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Penjawat awam negeri ini perlu memiliki kompetensi tinggi, ilmu pengetahuan dan kepakaran terhadap tugas yang dilaksanakan selain mengamalkan sikap profesionalisme.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, warga pentadbiran perlu menanamkan ciri-ciri itu dan mengaplikasinya sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Seperti yang kita semua sedia maklum bahawa profesionalisme adalah elemen yang penting dalam menggerakkan pengurusan perkhidmatan sektor awam dan swasta.

“Mantan Ketua Setiausaha Negara sebelum ini menggariskan beberapa ciri yang perlu ada dalam golongan profesional, oleh itu ia perlu diterapkan dalam diri setiap penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017 dan Jasamu Di Kenang 2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Mohamed Amin berkata, antara ciri lain yang disarankan termasuk mempunyai komitmen tinggi dan bersedia menjalankan tugas, bertanggungjawab dalam setiap pekerjaan dalam tempoh masa ditetapkan dan mempunyai kemahiran, kebijaksanaan dan kemampuan.

“Penjawat awam juga perlu berintegriti dari segi objektif, tidak bias dan tidak mementingkan diri sendiri selain mempunyai ciri kreatif, inovatif dan bermotivasi.

“Ini membolehkan bertindak balas dengan cepat terhadap perkembangan persekitaran, menyesuaikan diri dengan dunia yang sentiasa berubah dengan dinamik,” katanya.

Categories
SELANGOR

PRU14: Penjawat awam disaran bersikap profesional

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), penjawat awam di negeri ini disarankan bersikap profesional dan tidak berat sebelah kepada mana-mana parti politik.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, sebagai penjawat awam yang profesional, prinsip ‘To serve the goverment of the day’ perlu diterapkan.

“Bukan hanya perlu bersifat neutral dalam politik tetapi perlu neutral juga dalam kerja dilakukan.

“Saya menyeru kepada seluruh penjawat awam Selangor untuk menjalankan tugas masing-masing dengan penuh profesional, berintegriti dan bersikap non-partisan terutamanya Pegawai Pengurus Plihan Raya dan petugas lain sepanjang tempoh musim PRU berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017 dan Jasamu Di Kenang 2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Terdahulu, teka-teki berhubung tarikh PRU14 terjawab apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan ia akan diadakan, pada 9 Mei ini.

Pengundian awal ditetapkan, pada 5 Mei ini sementara hari penamaan calon pula ditetapkan, pada 28 April ini.

Manakala tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, pada 8 Mei ini.

Categories
SELANGOR

Teladani kepimpinan Mohamed Azmin, urus tadbir yang baik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjadi contoh kepada tadbir urus kerajaan yang baik, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahya.

Beliau berkata, pelbagai langkah dan inisiatif diperkenalkan dan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

“Selama dua tahun empat bulan saya menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan menjadi Ex Officio dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, segala isu masalah yang timbul akan sama-sama dibincangkan dalam semangat musyawarah.

“Ia supaya jalan penyelesaian terbaik dapat dicapai demi kepentingan rakyat negeri ini. Bak kata peribahasa, di mana tembilan terentak, di situlah cendawan tumbuh. Di mana ada timbul perkara, di situlah perkara diselesaikan.

“Sokongan padu pada beliau terhadap penjawat awam ini amatlah disanjungi. Rasa hormat beliau yang tinggi kepada institusi perkhidmatan awam serta kemurahan hati beliau memberikan bonus lumayan menjadikan beliau amat disayangi oleh warga kerja pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017 dan Jasamu Di Kenang 2018, di Dewan Jubli Perak, SUK, di sini.

Mohd Amin berkata, Mohamed Azmin sentiasa memberikan cetusan idea yang bernas buat penjawat awam untuk terus berusaha gigih dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, selain daya kepimpinan yang ditonjolkan.

“Dewan Negeri sudah dibubarkan secara rasminya, maka berakhilah mandat buat Dato’ Menteri Besar dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta wakil rakyat penggal ini.

“Pada kesempatan ini, saya dan seluruh warga kerja pentadbiran Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar dan seluruh ahli MMKN atas khidmat bakti dalam merencana pembangunan serta mencorakkan masa depan Selangor penggal lalu,” katanya.

Isnin lalu, Mohamed Azmin mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkuatkuasa Isnin bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan.

Mohamed Azmin mengumumkan perkara itu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, selepas menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

Categories
SELANGOR

Amin saran penjawat awam kekalkan mutu perkhidmatan terbaik

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 MAC: Penjawat awam negeri ini disaran meningkatkan mutu dan memberi perkhidmatan terbaik sepanjang masa terhadap pelanggan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, buat masa ini, kakitangan dan penjawat awam menunjukkan kualiti perkhidmatan lebih tinggi berbanding negeri lain, malah di peringkat persekutuan.

“Banyak pengiktirafan dicapai bukan sahaja di peringkat negeri, juga di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan dirangkul adalah bukti komitmen dan penglibatan sama seluruh kakitangan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) 2018, di sini, hari ini.

EKSA diaudit Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi mendapat pensijilan tersebut dengan tempoh diambil untuk pensijilan bermula dari Mei 2017 sehingga kini.

Terdahulu, Amin menegaskan, walaupun negeri ini dipimpin kerajaan berbeza dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi ia tidak menjadi halangan bagi penjawat awam mencari lebih banyak kejayaan, terutama aspek perkhidmatan.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jadikan Rasulullah contoh, pupuk perpaduan dan kemakmuran

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 DIS: Umat Islam diminta menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh teladan dalam kehidupan ke arah memupuk kepaduan dan kemakmuran di Selangor.

Dengan pelaksanaannya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, ia sekali gus menjadikan sistem pentadbiran Kerajaan Negeri meningkat lebih cekap dan berkesan.

“Rasulullah dalah pemimpin teragung dalam sejarah peradaban manusia dengan keperibadian baginda yang luhur, amanah serta bijaksana, diakui semua sahabat dan musuhnya.

“Semua sifat terpuji ini adalah aset utama baginda bagi megukuhkan perpaduan pelbagai kaum sehingga menjadi model terbaik dalam kehidupan beragama dan bermasyarakat.

“Dengan mengambil contoh sifat Rasulullah ini, kesejahteraan Selangor pasti akan tercapai sepenuhnya jika aspek kesatuan ummah dijaga dan terpelihara dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor 2017 di Stadium Malawati, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor tahun ini berkata, sambutan majlis itu adalah peningkatan dakwah yang relevan dengan kehidupan umat Islam masa kini.

Katanya, Rasulullah adalah satu rahmat kepada seluruh alam dengan baginda mewariskan kepada umat Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah.

“Selagi umat Islam berpegang teguh dengan dua perkara ini, mereka tidak akan tersesat dan sentiasa diredhai Allah.

“Sehubungn itu, marilah kita bersama-sama menjadikan Rasulullah sebagai contoh teladan yang baik dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berangkat hadir serta merasmikan majlis berkenaan.

Turut serta, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.