Categories
NASIONAL SELANGOR

Faekah: Khir Toyo Tinggalkan Beban Besar Di Selangor

SHAH ALAM,7 FEB : Kenyataan bekas Menteri Besar, Dr Mohamed Khir Toyo bahawa beliau tidak terlibat dalam penyerahan konsesi air kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) membuktikan beliau sebenarnya tidak layak dan gagal selaku Menteri Besar Selangor.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin,sebagai bekas pemimpin nombor satu di Negeri Selangor, Khir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Syabas menguruskan perkhidmatan pembekalan air dengan baik seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bersama.

“Sesungguhnya Tun Dr Mahathir Mohamad yang memilih Khir turut bertanggungjawab di atas kegagalan ini. Sungguh memeranjatkan apabila seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat tiba-tiba menuding jari ke arah orang lain bagi melepaskan dirinya yang kini dianggap sebagai kera sumbang oleh partinya sendiri,” tegas Faekah dalam kenyataan medianya.

Menurut Faekah, Khir sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan Syabas menguruskan perkhidmatan pembekalan air dengan baik seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bersama.

Khir terlupa perjanjian yang ditandatangani pada 2004 adalah perjanjian tiga pihak dan Kerajaan Negeri turut terlibat dalam perjanjian tersebut bersama Kerajaan Pusat dan Puncak Niaga selaku syarikat induk kepada Syabas.

Khir juga tidak boleh menafikan hakikat bahawa Puncak Niaga mempunyai kaitan rapat dengan Umno; Tan sri Rozali Ismail yang merupakan Bendahari Umno Selangor ketika itu.

“Syabas gagal mematuhi terma-terma perjanjian khususnya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bersih kepada pengguna di Lembah Klang termasuk gagal mengurangkan peratusan air tidak berhasil (NRW) tetapi Kerajaan Negeri ketika itu di bawah pimpinan Khir, gagal bertindak sewajarnya,” katanya.

Tambah Faekah, di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN), masalah-masalah perkhidmatan air yang gagal ditangani Syabas amat jarang sekali diberi tumpuan biarpun rungutan serta aduan pengguna diterima setiap hari tetapi tidak endahkan hanya kerana Syabas adalah syarikat kroni Umno.

Hal ini membuktikan kegagalan penswastaan; meskipun penswastaan asalnya untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dengan sedikit tanggungan kepada kerajaan negeri namun apabila penswastaan dikhianati dengan memberi kontrak kepada kroni dan syarikat yang tiada kepakaran maka inilah akibatnya. Rakyat terpaksa menanggung beban yang tinggi.

Khir tidak perlu berlagak naïf kerana di bawah pentadbirannya, memberi kontrak kepada syarikat-syarikat kroni telah menjadi budaya dan kemestian; matlamatnya satu- untuk mengkayakan kaum kerabat dan sahabat handai bagi kesinambungan parti kononnya.

Khir tidak boleh menafikan, ketika zamannya sebagai Menteri Besar beliau telah memberikan kontrak-kontrak kepada syarikat yang berkait rapat dengan dirinya antaranya syarikat Lebar Daun Sdn Bhd (Lebar Daun); syarikat pembangunan hartanah yang kaya raya hasil pemberian kontrak secara terus, perjanjian usahasama dengan syarikat kerajaan negeri yang berat sebelah serta penganugerahan tanah berlokasi strategik.

Kontrak pembinaan asrama Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya adalah contoh nyata hinggakan Unisel berhutang ratusan juta yang terpaksa ditanggung kerajaan hari ini. Lebih malang lagi, sehingga hari ini asrama tersebut masih mempunyai kecacatan akibat dari mutu binaan yang jelek dan tidak mengikut spesifikasi selamat.

Malahan banyak projek perumahan kos rendah terbengkalai kerana syarikat yang mendapat kontrak ini gagal menyiapkan projek dan telah menghilangkan diri.

“Atas nama pembangunan banyak tanah peneroka diserahkan kepada syarikat yang kebanyakannya adalah milik kroni Umno dan BN sedangkan hakikatnya tiada pengalaman dalam projek pembinaan.

Akibatnya tanah-tanah tersebut tergadai kepada bank. Bukan sahaja peneroka kehilangan tanah, malah pembeli juga terpaksa menanggung hutang dan ramai di antara mereka telah diistiharkan muflis,” ujar Faekah.

Faekah turut menjelaskan,beberapa projek sekadar contoh termasuklah projek Alam Perdana di Kuala Selangor, projek Bukit Botak di Selayang, Kampung Berembang di Ampang dan projek perumahan di PJS1 yang kesemuanya berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Rakyat jugs masih menunggu apakah kesudahan kes Khir Toyo menggunakan dana Kerajaan Negeri untuk bercuti bersama keluarga termasuk orang gaji ke Disneyland yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mungkin menjadi amalan di dalam UMNO, tindakan hanya dikenakan ke atas seteru politik dan tindakan Khir menganggkat tangan adalah sebagai tanda tidak akan melawan lagi, namun bagi pembayar cukai dan seluruh rakyat Selangor , Khir harus bertanggungjawab ke atas dosanya yang mengkhianati amanah yang diberikan,” ujar Faekah.

Categories
SELANGOR

Faekah : Tangisan Najib Umpama Airmata Buaya

SHAH ALAM, 16 JAN : Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat bandaraya Shah Alam baharu-baharu ini tidak ubah seperti hero filem Tamil tahun 60an masuk kampung menyelamatkan gadis dalam kesusahan.

Faekah berkata, gelagat lucu dipamerkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu apabila bertemu penyewa-penyewa tapak perniagaan di Kompleks PKNS, Shah Alam yang keresahan susulan keputusan tindakan PKNS menaikkan kadar sewa.

Jumaat lalu, Najib semasa program bertemu peniaga dan penyewa Kompleks PKNS mencadangkan supaya Kerajaan Pusat mengambil alih kompleks itu bagi mengelakkan kenaikan kadar sewa antara 70 hingga 100 peratus.

Laporan media sebelum ini mengatakan Najib berkata beliau mahu menitis air mata mendengar keluhan peniaga-peniaga di kompleks itu.

“Tidakkah Najib tahu bahawa 70 peratus penyewa terbabit setuju dengan kenaikan ini? Tidakkah beliau tahu bahawa penyewa-penyewa ini telah menikmati kadar sewa 70 peratus lebih murah berbanding pasaran semasa di Shah Alam?,” kata Faekah dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor.

“Saya tidak fikir hanya saya yang beranggapan tindakan lagak hero Najib ini sebagai pelik. Tambah pula, lakonan beliau sehingga kononnya akan mengeluarkan airmata telah memualkan banyak pihak.

“Kerajaan BN telah merompak kekayaan Selangor sejak 50 tahun dan perbuataan ini terhenti apabila hero sebenar iaitu Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor,” kata Faekah.

Mengulas lanjut, Faekah mempersoalkan kewajaran tindakan Najib “menitiskan air mata” yang sepatutnya dizahirkan apabila melihat pemimpin Umno Selangor sebelum ini yang mengkhianati janji dan kebajikan kaum Melayu.

Tangisan itu juga kata Faekah, seharusnya dizahirkan apabila melihat pemimpin Pakatan Selangor hari ini memberi baucer RM100 kepada warga emas Umno menerusi program “Jom Shopping”.

“Sebaliknya, Najib sepatutnya menitiskan air mata apabila bekas Menteri Besar, Dr Mohamaed Khir Toyo menggunakan hampir RM2 juta duit rakyat untuk lawatan ke Disneyland.

“Najib juga sepatutnya menangis apabila seorang wakil rakyat Melayu menjual tanah rezab Melayu kepada tauke Cina dan tanah yang diwartakan untuk pembinaan surau dijual bagi memberi laluan kepada projek pembangunan,”katanya.

Categories
SELANGOR

Faekah: Peruntukan RM15 Juta pada RPK Untuk Buktikan Tuduhan

SHAH ALAM 2 JAN – Tuduhan penulis blog Raja Petra Kamaruddin(RPK) bahawa wujud gejala di Selangor yang melibatkan pemberian duit kopi oleh usahawan berbangsa Cina adalah satu tuduhan yang serius.

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan kepada TV Selangor hari ini.

Menurutnya, beliau terpanggil untuk memberi komen selepas membaca temubual eksklusif RPK akhbar-akhbar milik Umno yang disiarkan semalam.

Jelasnya, beliau menghormati hak RPK melakukan analisa politiknya namun berasa mushkil dan sesungguhnya hanya beliau seorang sahaja yang mengetahui logik sebenar kenyataan tersebut.

“Tuduhan adalah serius. Kami menuntut RPK untuk tampil memberikan butiran lanjut kepada Kerajaan Negeri dan pihak berwajib agar penyiasatan terperinci dapat dilakukan.

“Kerajaan Negeri bersedia membayar kos perjalanan RPK ke Pejabat Pentadbiran Kerajaan kerana untuk makluman RPK Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM15 juta untuk membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di Negara ini khususnya di Selangor.

“Jumlah tersebut termasuk di dalam Geran Selangorku yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan 2012 yang lalu,” katanya.

Tambahnya dengan apa yang disediakan kerajaan Selangor, RPK seharusnya mengambil peluang ini untuk membantu membenteras gejala ini di Selangor.

“Beliau sendiri dari darah bangsawan negeri Selangor. RPK tidak seharusnya melemparkan dakwaan liar hanya semata-mata mahu memperlekeh usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik, bersih dan penuh pertanggungjawaban,” katanya yang simpati terhadap kekecewaan RPK yang bergelut dengan masalah peribadi dan hidup dalam buangan.

Faekah mengingatkan PRK bahawa dakwaan liar sebegini tidak akan membantu membawanya pulang ke negara ini. Sebaliknya ianya hanya akan mencemarkan lagi imejnya yang sudah sediakala tercalar.

Katanya, ini sebagai serangan awal bagi menghadapi pilihan raya umum dan jelas ia ditujukan kepada kerajaan negeri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Negeri.

Bagaimanapun Faekah percaya rakyat boleh menilai sendiri kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh RPK seperti disiarkan The Sunday Times dan Berita Minggu- dua akhbar yang dulunya pernah mengkritik dan mengutuk RPK secara keras kerana menentang Kerajaan Barisan Nasional.