Categories
NASIONAL

Tumpu Jaga Politik, Jenayah Meningkat Polis Berdepan Krisis Dan Keyakinan Rakyat

Tony Pua Wancara 01

SHAH ALAM 11 JUN : Tony Pua menyifatkan Malaysia kini makin terhimpit dengan peningkatan agresif kadar jenayah, peningkatan kes kematian dilokap tetapi dalam masa yang sama objektif pasukan keselamatan lebih berorientasikan politik sehingga menyebabkan polis terpaksa berhadapan  krisis keyakinan dan kredibiliti.

Situasi ini hanya menjelaskan kesan buruk tindakan kerajaan BN yang ingkar untuk melaksanakan cadangan serta laporan Suruhanjaya Diraja bagi menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“IPCMC adalah bertujuan menjadi agensi untuk memeriksa disiplin dan memupuk semangat profesionalisme dalam pasukan polis di samping memastikan polis mematuhi segala doktrin, undang-undang, peraturan dan prosedur yang ditetapkan,” ujarnya yang juga Setiausaha Publisiti DAP dalam satu kenyataan media.

Sabtu lalu, hampir 70 orang dirompak di sebuah restoran ‘steamboat’ di Cheras oleh sekumpulan 10 orang yang bersenjatakan parang dan batang besi, menyebabkan kerugian lebih RM20, 000 kepada pengunjung dan pemilik restoran.

Malah, polis juga didakwa turut menerima empat lagi laporan kejadian rompakan seumpama itu di sekitar Kuala Lumpur selain satu lagi laporan di Petaling Jaya dalam tempoh dua minggu.

“Kita tidak bercakap mengenai rompakan bersenjata terhadap seseorang yang berjalan di lorong gelap dan terpencil, sebaliknya kita melihat rompakan bersenjata terang-terangan di restoran terbuka yang sesak,” ujar Tony kesal.

Perdana Menteri pula dalam satu kenyataan dipetik Bernama pada Sabtu lepas menyeru sektor swasta, khususnya pemilik pusat-pusat membeli-belah, meningkatkan tahap keselamatan di premis mereka dengan memasang lebih banyak Closed Circuit Television (CCTV) selain mengupah lebih ramai pengawal keselamatan.

“Walaupun tindakan tambahan di atas boleh membantu mengurangkan jenayah, tanggungjawab untuk memerangi jenayah, seperti rompakan terbuka di restoran ganas dan keterlaluan, hanya boleh dikendalikan oleh pihak polis,” tegasnya.

Beliau juga mengulangi kebimbangan berhubung tumpuan pasukan polis yang banyak dibazirkan untuk memburu aktivis politik dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Rekod sembilan kematian yang dilaporkan dalam tahanan pihak polis dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini juga dilihat antara penyebab reputasi professional polis hancur.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menyalahkan kerajaan BN atas kegagalan dalam memastikan bahawa setiap rakyat di negara ini selamat.

“Sekiranya BN masih lagi bermimpi untuk memenangi semula sokongan daripada penduduk bandar di Malaysia pada pilihan raya umum akan datang, maka mereka perlu melaksanakan IPCMC,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tony Pua Sifatkan EAIC Harimau Tidak Bertaring

tony pua Forum Air

SHAH ALAM 10 JUN : Setiausaha Publisiti DAP,  hari ini menyifatkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebagai harimau tidak bertaring dan penubuhannya hanya kerja kosmetik untuk menenangkan orang ramai disebalik desakan cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) serta bantahan lantang daripada pasukan polis.

Tony berkata demikian sebagi menyangkal dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang menyamakan EAIC dengan cadangan penubuhan IPCMC.

Perbezaan antara kedua-dua adalah jelas dalam niat mereka. Sebaliknya, Tony menegaskan EAIC yang ditubuhkan pada 2011 hanya diberi kuasa untuk membuat cadangan kepada organ tatatertib polis atau pendakwaraya.

Penubuhannya adalah sekadar bertujuan menenangkan desakan meluas untuk penubuhan IPCMC pada ketika itu.

“Sedangkan IPCMC seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2005 adalah jelas sebagai sebuah agensi untuk memeriksa disiplin dan memupuk semangat profesionalisme dalam pasukan polis.

“Jelas, EAIC direka khusus untuk gagalkan objektif IPCMC,” tegasnya dalam satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, Tony berkata sejak tiga tahun ditubuhkan, EAIC yang  menerima bajet RM7 juta setahun sekadar mempunyai seorang pegawai penyiasat di samping 23 pekerja lain; termasuk kerani dan juga pemandu.

Kenyataan yang dikeluarkan bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad bahawa sehingga akhir 2012, EAIC hanya mencadangkan satu tindakan disiplin dan mengeluarkan dua amaran kepada penjawat awam juga membuktikan badan itu sebenarnya tidak efektif.

“Hakikat bahawa kerajaan tidak serius, dengan hanya satu pegawai penyiasat untuk memantau 19 agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan sebagainya adalah bukti niat keseluruhan aktiviti EAIC adalah untuk gagal,” tambahnya.

Lebih dikesalkan, jelas Tony, Menteri JPM itu begitu cepat menyesuaikan diri dengan budaya penipuan BN dengan memungkiri janjinya untuk menyokong cadangan IPCMC yang menurutnya adalah lebih tinggi martabatnya berbanding EAIC.

Paul Low yang ketika itu merupakan Presiden Transparency Intergrity Malaysia pernah berkata tindakan kerajaan mencairkan cadangan IPCMC adalah indikator jelas bahawa kerajaan tidak mampu mengawal pihak-pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan semalam, Paul Low mengumumkan kerajaan mengambil keputusan ‘lebih kurang’ untuk tidak melaksanakan IPCMC tetapi akan melakukan banyak rombakan memperbaiki EAIC yang sedia ada.

Categories
NASIONAL SELANGOR

CEO Puncak Niaga Dan SYABAS Perlu Letak Jawatan Gagal Atasi Masalah Air

PR_isuair

SHAH ALAM, 11 JAN : Pakatan Rakyat (PR) Selangor kecewa dengan prestasi yang lemah Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang tidak mampu menukar pam lama dan tidak mampu mengatasi masalah air dalam masa yang singkat.

Setiausaha Publisiti DAP, Jenice Lee berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Puncak Niaga Dan Syabas perlu meletakkan jawatan kerana tidak mampu mengatasi masalah air itu.

“Kerajaan Negeri digesa mengambil alih, ?step in? atau campur tangan segera dalam pengurusan Puncak Niaga dan Syabas bagi membetulkan kepincangan pengurusan dengan segera,” kata Jenice.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media bersama Ketua Penerangan PKR Selangor, Suhaimi Shafiei dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip.

“Pada 2012 pihak audit menasihati Puncak Niaga bahawa pam yang sudah 41 tahun perlu diganti baru atau diselanggara tetapi tidak diambil berat.

“Bagaimanakah kesemua pam di Wangsa Maju rosak pada masa yang sama dan syarikat tidak mampu mengganti atau menyelanggara pam-pam tersebut dalam masa 24 jam,” soal Jenice.

Tambah beliau lagi, pihak Syabas juga tidak mengagihkan air secara berjadual dan menyeluruh dengan ramai penghuni tidak mendapat bekalan air.

“Kebanyakkan mengadu bahawa lori tangki air sampai pada larut malam antara jam 1 pagi – 3 pagi dan ini mengganggu kehidupan orang ramai.

“Sebenarnya Syabas perlu bekerja dengan efisyen dengan mengadakan jadual pengagihan air secara berkala dengan memastikan setiap jalan, kawasan dan sekolah mendapat bekalan air,” katanya.

Ujar beliau, Puncak Niaga dan Syabas juga perlu memaklumkan berkenaan kemajuan pembaikan pam mereka setiap hari dan menyediakan tangki air statik yang cukup di kawasan yang terlibat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Skandal Tanah Selangor : Najib Perlu ‘Cuci Tangan’ Pemimpin Umno-BN

SHAH ALAM 07 DIS :  Datuk Seri Najib Razak perlu memikul tanggungjawab berhubung skandal tanah yang membabitkan pemimpin Umno-BN Selangor kini.

Ini keran pemimpin terbabit salaing menuding jari antara satu sama lain terutama membabitkan skandal tanah di Subang.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata mereka kini sudah terperangkap dalam skandal terbabit dan mula menafikan penglibatan mereka dalam skandal itu.

Sebelum ini, DAP mendedahkan sebanyak 87.188 kaki persegi tanah diberikan kepada Umno Subang yang didakwa dibeli dengan harga murah pada tahun 2004.

Tony mendakwa tanah itu kini menjadi tapak projek sebuah kondominium, Suria Damansara 200 unit yang berharga RM450,000 seunit manakala harga pasaran pada masa kini mencecah RM90 juta.

Bagaimanapun sebelum ini, Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus menjelaskan tanah itu dibeli bagi tujuan kegunaan masyarakat antaranya pembinaan tadika dan dewan serbaguna.

“Apabila mereka (BN) menafikan dakwaan kami, mereka kata tanah itu untuk bina tadika dan dewan komuniti dan perkhidmatan lain. Tetapi, ini bukan kes sebenar.

“Selepas terperangkap, kini mereka menyalahi antara satu sama lain dan mula menunding jari kepada pemimpin Umno-BN yang lain,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelas Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Ketua bahagian Umno Subang, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor menafikan tanah itu milik Umno Subang.

Bushro mendakwa tiada sebidang tanah disenaraikan dalam aset Umno Subang sejak beliau menjadi ketua bahagian.

“Tetapi beliau (Bushro) yang juga Adun Paya Jaras itu menunding jari kepada Ketua Bahagian sebelumnya, Datuk Mokhtar Dahlan.

Bagaimanapun, semalam, bekas Ketua Umno Subang itu berkata beliau sudah menyerahkan tanah yang dianugerahkan oleh parti BN itu kepada Umno Kelana Jaya, selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun 2004.

“Tanah itu diberikan bagi tujuan pembinaan bangunan Umno bahagian, namun persoalannya mengapa tanah itu kini menjadi tapak kondominium?

“Malangnya, secara kebetulan, pemangku Ketua Umno Kelana Jaya, Datuk Yahya Bujang ke luar negara dan tidak dapat memberi sebarang penjelasan,” katanya.

Namun, pada masa yang sama, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman mengaku apabila disoal dan menjawab yang berkata perkara itu perlu dirujuk Setiausaha Umno Selangor, Datuk Mohd Zin Mohamed bagi tujuan mengumpulkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

Justeru, Tony berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu ‘mencuci tangan’ pemimpinnya daripada skandal itu bukannya bertindak mendiamkan diri.

Katanya, Najib yang juga sebagai Pengerusi Umno Selangor sepatutnya lebih bertanggungjawab berhubung isu itu.