Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 9,000 kunjungi Selangor Fruit Valley sejak dibuka September

SHAH ALAM, 26 OKT: Seramai 9,698 pengunjung melawat Selangor Fruit Valley (SFV) sejak mula beroperasi pada 15 September sehingga Ahad lalu.

Pengurus Pemasaran Nor Rashidah Mohamed Raihan berkata secara keseluruhan pengunjung yang hadir pada September ialah 2,744 orang manakala Oktober sehingga kelmarin seramai 6,954 orang.

“Setakat ini rekod tertinggi pengunjung harian adalah pada 17 Oktober lalu iaitu seramai 866 pengunjung.

“Istimewa pada sesi operasi pembukaan ini, kita memberikan buah potong kepada setiap pengunjung yang hadir sehingga akhir tahun selain membuka satu bufet buah-buahan kepada orang ramai,” katanya kepada SelangorKini.

SFV dibuka secara rasmi pada 15 September sebelum ditutup sementara operasi bermula 25 September sehingga 1 Oktober bagi memberi laluan kerja berkaitan.

Harga tiket yang ditawarkan adalah RM15 bagi dewasa, RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala tiket dewasa  warga asing berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 016-6880792 selain e-mel [email protected] atau [email protected].

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

Categories
SELANGOR

SFV giat laksana pembangunan fasa kedua

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 JULAI: Selangor Fruits Valley (SFV) kini sedang menjayakan pembangunan fasa kedua bagi memastikan perkhidmatan dan penyediaan infrastruktur lebih sempurna untuk pengunjung.

Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Tamby Omar Mohamed berkata, ia termasuk pembangunan kawasan lapang untuk penganjuran aktiviti padang dan Rumah Kampung berasaskan seni bina Selangor.

Katanya, SFV juga bakal dilengkapkan dengan kandang kambing serta ternakan kampung lain.

“Semuanya kita laksanakan bagi mewujudkan suasana perkampungan, khususnya bagi pengunjung dari luar negara,” katanya pada Majlis Pelancaran Agro Pelancongan, baru-baru ini.

Selain itu, Tamby Omar berkata, pembangunan lain termasuk Ladang Durian seluas 400 ekar, Ladang Gaharu (50 ekar) dan tempat memproses makanan ikan (30 ekar).

Katanya, SFV juga dalam perancangan membina bangunan ‘research’ dan bilik seminar selain kawasan khas untuk pembangunan projek Madu Kelulut.

“Ini termasuklah aktiviti di bawah kelolaan Agro Generasi Muda Selangor (AGROGEMS).

“Projek ternakan kelulut ini akan diperluaskan menjadi ‘Kelulut Valley’ merangkumi aspek pembangunan ‘research and development’ serta penyelidikan,” katanya.