Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

10,000 mangsa bah Klang, Shah Alam terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 23 FEB: Seramai 10,000 mangsa bah di Klang dan Shah Alam menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sebanyak RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah semalam.

Daripada jumlah itu 4,000 membabitkan penerima di Dewan MBSA Kemuning Utama dan masing-masing 2,000 di Dewan Kilat TNB Jalan Kapar, Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Sri Kerayong.

Sheda Roseli

Berdasarkan tinjauan SelangorKini di Dewan MBSA Kemuning, rata-rata penerima mulai beratur seawal jam 2 petang untuk menerima bantuan berkenaan.

Salah seorang penerima Sheda Roseli, 44 meluahkan kesyukuran akhirnya permohonan berjaya meskipun bantuan diterima sedikit lewat berbanding mangsa bah yang lain.

“Lambat pun tidak apa sekurang-kurangnya dapat, syukur sangat. Walaupun nilai bantuan tidak sama dengan kerugian dialami tetapi saya tetap bersyukur.

“Setidak-tidaknya boleh menampung baiki kereta rosak dan beli kelengkapan sekolah anak,” katanya yang mempunyai enam anak yang masih kecil.

Manakala, S Marathamuthu, 69, turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan pusat kerana menunaikan janji dan tetap mengagihkan sumbangan kepada individu yang tercicir.

S Marathamuthu

Berkongsi pengalaman banjir Disember lalu, ia umpama sejarah hitam dan sehingga kini setiap kali hujan beliau dan isteri sangat trauma meskipun sudah lebih 30 tahun menetap di Kemuning Utama.

“Pertama kali banjir teruk sehingga musnah hampir semua perabot, harap tiada lagi kejadian seperti tahun lalu,” katanya.

Seorang lagi penerima BSB yang hanya mahu digelar sebagai Tan, 61 turut mengucapkan terima kasih dan menyifatkan proses agihan hari ini cepat dan mudah.

“Mungkin kerana saya warga emas jadi saya tidak perlu beratur panjang… wang ini boleh belanja untuk menambah serba sedikit membaiki kerosakan rumah akibat banjir,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan inisiatif BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember tahun lalu.

Tan

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor teliti cadangan bina terowong Smart di Shah Alam

SHAH ALAM, 5 FEB: Kapasiti dan formula berhubung Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart) yang mahu dibina di sini akan diteliti dan dibentangkan di peringkat Kerajaan Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim sedang mengumpulkan segala maklumat bagi memudahkan proses keseluruhan.

“Kita memang lihat ada pelbagai kaedah. Terowong satu daripadanya selain takungan dalam sebagaimana teknologi di Jepun serta takungan di persisir sungai.

“Semua ada dalam kaedah penyelesaian tetapi cabaran kita bagaimana hendak laksanakan dengan cepat dan berkesan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan pandangan berkaitan terowong terbabit namun perlu melihat sama ada ia mampu menampung lebihan air.

“Apa yang berlaku dalam kejadian lepas (banjir pada Disember lalu) saliran tidak mampu menampung taburan hujan lebat diikuti fenomena air pasang besar,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terowong Smart yang ada di Kuala Lumpur bakal dibina di bandar berkepadatan tinggi seperti Shah Alam sebagai langkah jangka panjang menyelesaikan masalah banjir.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

41,000 tan sampah dibersih, paling banyak di kawasan Shah Alam

SHAH ALAM, 4 JAN: Hampir 41,000 tan sampah pukal dibersihkan di lapan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terjejas banjir sejak air mulai surut 20 Disember lalu.

Dalam laporan pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management, kebanyakan sampah dibersihkan dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam dengan jumlah 16,503 tan.

Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagaimanapun operasi pembersihan di kawasan terbabit belum siap sepenuhnya setakat 3 Januari, hanya mencapai 80 peratus.

Jumlah sampah yang banyak dibersihkan antaranya seperti berikut:
– Majlis Bandaraya Subang Jaya – 7,411 tan (siap 82 peratus)
– Majlis Perbandaran Klang – 6,060 tan (85 peratus)
– Majlis Perbandaran Kajang – 5,820 tan (100 peratus)

Maklumat bagi empat lagi PBT seperti dalam infografik yang disediakan di Facebook KDEB Waste Management.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB arah segerakan kerja bersihkan sisa banjir

SHAH ALAM, 25 DIS: Dato’ Menteri Besar mengarahkan agar kerja pembersihan di beberapa kawasan sekitar Klang dan Shah Alam terjejas banjir dipercepatkan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses pembersihan pascabanjir di dua lokasi terbabit mencapai tahap 50 peratus setakat ini.

“Saya arahkan supaya proses ini disegerakan bagi kawasan yang masih belum mencapai tahap memuaskan.

“Kita telah berhubung dengan beberapa pihak untuk tambah jumlah lori. Saya juga memberi arahan agar proses kerjasama dengan sukarelawan dan NGO (badan bukan kerajaan) dipermudahkan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Beliau menambah Kerajaan Negeri mahu menyelaras aspek berkenaan supaya koordinasi lebih tersusun bagi mengelak pembaziran.

“Koordinasi ini juga penting bagi tujuan keselamatan sukarelawan,” menurutnya.

Terdahulu, Amirudin mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pascabanjir di Klang.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Nestlé agih pek makanan kepada lebih 5,000 mangsa banjir Shah Alam

SHAH ALAM, 25 DIS: Nestlé (Malaysia) Berhad melalui Pejabat Dato’ Menteri Besar menyumbang pek makanan sedia dimakan kepada lebih 5,000 mangsa banjir sekitar Shah Alam.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulannya Dato’ Adnan Pawanteh berkata antara produk yang diagihkan ialah Maggi Hot Cup, Milo 3in1 Activ-Go dan Nescafe.

“Antara yang menerima manfaat adalah lebih 1,000 pelajar Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) yang terperangkap di asrama penginapan sekitar Seksyen 13 serta 1,000 keluarga sekitar Shah Alam.

“Sumbangan keseluruhan termasuk kepada beberapa badan lagi seperti Bulan Sabit Merah Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya.

Menurut Adnan hampir 100 sukarelawan Nestlé Cares dari Nestlé (Malaysia) Berhad turut turun padang di Shah Alam dan Klang dua hari lalu bagi gotong-royong membersihkan rumah pekerja yang terjejas banjir.

“Kami turut menyampaikan ‘goodie bag’ barang makanan daripada Nestle,” tambahnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Paras air beberapa kawasan di Shah Alam meningkat pagi ini

SHAH ALAM, 22 DIS: Paras air di Laluan Lanchong Jaya dan Seksyen 28 di sini berhampiran Pasar Raya Hero meningkat susulan hujan lebat pagi ini.

Susulan itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meminta orang ramai supaya berwaspada dan mengelak daripada menggunakan laluan tersebut.

Dalam makluman segera melalui Facebook, MBSA juga memaklumkan perkembangan sama di kawasan TTDI Jaya, Stadium Seksyen 13 dan Batu Tiga (berhadapan Kilang Central Sugars).

 

Paras air Sungai Damansara di depan kondominium Puri Aiyu, Seksyen 22 meningkat sebelah pagi 22 Disember 2021.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk sifatkan banjir kilat Shah Alam antara terburuk

SHAH ALAM, 28 SEPT: Penduduk Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga di sini menyifatkan kejadian banjir kilat pada Ahad paling teruk menimpa mereka.

Mohammad Fadli Khairudin, 21, berkata banjir kilat pernah berlaku di kawasan itu tetapi disebabkan kejadian ban pecah beberapa tahun lalu.

Mohammad Fadli Khairudin

“Kawasan kampung ini ibarat seperti sebuah mangkuk yang menjadi tempat limpahan air sekiranya hujan lebat kerana kawasan yang rendah.

“Ibu, ayah dan dua adik perempuan bermalam di dewan disediakan sementara saya pula kekal di rumah untuk mengangkat barang elektrik keluar,” katanya ketika ditemui.

Manakala Rasimah Jarjis, 28, berkata rumahnya dinaiki air pada jam 6.30 petang dan ketika itu beliau berada di rumah bersama anaknya berusia 10 tahun.

Rasimah Jarjis

“Menyedari air mula naik saya bersama anak mengangkat barang sedikit demi sedikit sementara menunggu suami pulang ke rumah.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan masalah ini kerana setiap tahun perlu berhadapan dengan banjir kilat,” kata suri rumah itu.

Ahad lalu, lebih 1,000 penduduk di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga dilanda banjir kilat susulan hujan lebat bermula jam 5.30 petang sebelum surut kira-kira jam 9 malam.

Ketua Kampung Kebun Bunga Johari Mohd Shaari berkata kejadian itu menyebabkan banyak peralatan 300 rumah yang didiami penduduk rosak.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Shah Alam dilanda banjir kilat

SHAH ALAM, 26 SEPT: Beberapa kawasan sekitar bandaraya ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima laporan beberapa kawasan dinaiki air selepas hujan lebat sejak jam 3 petang dengan lokasi paling teruk terjejas di sekitar kawasan Stadium Shah Alam di Seksyen 13.

Kawasan sekitar Seksyen 13 yang dinaiki air selepas banjir kilat melanda Shah Alam pada 26 Sept 2021. Foto Facebook

Menurutnya beberapa laluan di sekitar kawasan itu dinaiki air sehingga empat kaki menyebabkan sebuah kenderaan terkandas dalam banjir kilat namun pemandunya sempat menyelamatkan diri.

“Namun keadaan air di kawasan itu juga kini juga sudah mulai surut dan terkawal,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail memaklumkan beberapa kawasan diwakilinya itu dinaiki air dan meminta penduduk terbabit menjaga keselamatan.

Dalam pada itu, Jalan Persiaran Jubli Perak turut digenangi air kira-kira setinggi 0.3 meter yang merupakan laluan antara dari Lebuh Raya Persekutuan ke Seksyen 20.

 

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) GCE di Twitternya turut berkongsi gambar di laluan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menuju ke Tol Shah Alam yang mana hanya satu lorong dibuka untuk kenderaan berikutan laluan digenangi air.

 

Sementara itu, penduduk sekitar bandaraya ini berkongsi keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan perumahan sekitar Seksyen 9, Seksyen 10, Seksyen 4 dan Seksyen 7.

Mengikut perkongsian itu, turut berlaku kesesakan lalu lintas apabila beberapa laluan dinaiki air.

Categories
AGENDA NASIONAL

250 kes Covid-19 libat kluster tempat kerja antara 47 kluster baharu

SHAH ALAM, 30 JULAI: Sebanyak 250 kes Covid-19 dikesan melibatkan kluster tempat kerja Industri Jalan Sepintas di Klang, Kuala Langat dan Petaling, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jangkitan tersebut merupakan yang terbesar di antara 47 kluster baharu di seluruh negara seperti diumumkan KKM hari ini.

Kluster tersebut dikesan hasil saringan seramai 3,455 pekerja.

Daripada 47 kluster baharu hari ini, sebanyak 24 kluster melibatkan tempat kerja dengan sekurang-kurangnya 1,197 kes dikesan.

Selain itu, turut dikesan 17 kluster komuniti (489 kes) antaranya melibatkan Kluster Kampung Haji Saman di Bachok, Kelantan.

Kluster Kampung Haji Saman berpunca individu wanita berusia 34 tahun yang menghadiri majlis perkahwinan pada 18 Julai kini sudah menjangkiti 21 individu.

Dua kluster juga dikesan melibatkan kumpulan berisiko tinggi di dua rumah jagaan serta satu pusat perubatan.

Turut dikesan kluster melibatkan dua institusi pendidikan di Kuala Selangor dan Melaka manakala satu kluster berpunca aktiviti keagamaan di Felda Sungai Koyan 3 di Lipis, Pahang.

Secara keseluruhan, terdapat 1, 092 kluster aktif di seluruh negara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tapak niaga Prihatin Shah Alam tawar ayam serendah RM6 seekor

SHAH ALAM, 12 APRIL: Tapak niaga kekal Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kebun Komuniti Jalan Keluli, Seksyen 7, di sini menawarkan harga barangan basah murah berbanding pasaran.

Ketua pegawai eksekutif berkata sebagai contoh agensi pertanian itu menjual ayam segar serendah RM6 seekor berbanding RM7 sekilo di tempat lain.

Ketua Pegawai Operasi PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi

“PKPS mempunyai ladang ternakan ayam di Ulu Tinggi, Bestari Jaya yang mampu mengeluarkan sebanyak 550,000 ekor ayam dan mengambil masa selama 32 hari pada setiap pusingan.

“Justeru kita dapat pasarkan terus ayam yang masih segar tanpa melalui orang tengah,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Tapak PKPS Prihatin yang menempatkan Lori Selangor Agro Market semalam.

Beliau berkata jualan berkonsep kendera saji itu juga menawarkan ikan dan daging segar selain barang kering seperti tepung, gula, garam, minyak dan produk Selangor Fruits Valley murah.

Mengulas lanjut, katanya, PKPS belum bercadang membuka tapak kekal seperti di Seksyen 7 sebaliknya meneruskan konsep jualan bergerak di kawasan tumpuan orang ramai.

Pada awalnya, PKPS memperkenal program Lori Selangor Agro Market bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Jualan berkonsep kendera saji ke lokasi terpilih diteruskan susulan permintaan tinggi orang ramai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerja selenggara paip di Shah Alam dijangka siap 9 malam ini

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan Kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15 di sini, dijangka siap sepenuhnya jam 9 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sehingga jam 5 petang tadi, status kerja penyelenggaraan itu pada tahap 73 peratus seperti yang dijadualkan.

“Bekalan air akan disalurkan selepas kerja siap dilaksanakan dan proses pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berbeza bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan,” katanya menerusi kenyataan.

Air Selangor berkata pihaknya terus memaklumkan status bekalan air dari semasa ke semasa menerusi media massa, aplikasi, media sosial dan laman sesawang di http://www.airselangor.com.

“Air Selangor menyarankan para pengguna menggunakan air yang disimpan secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan penduduk di 30 kawasan di Shah Alam, Klang dan Petaling diminta bersedia menghadapi gangguan bekalan air susulan kerja penyenggaraan paip di Persiaran Selangor Seksyen 15.

Air Selangor sebelum ini berkata gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam akan berlaku mulai jam 9 pagi 30 Mac dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi 1 April.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pancuran air berirama tarikan terbaharu di Shah Alam

SHAH ALAM, 29 MAC: Air pancut berirama setinggi 40 meter menjadi daya tarikan terbaharu di Taman Tasik Shah Alam bermula Jumaat ini.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata pancuran itu dilengkapi dengan sistem diod pemancar cahaya (LED) dan audio.

“Dikenali sebagai Laman Budaya Musical Fountain, ia akan beroperasi pada waktu malam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad serta cuti umum.

“Pembinaan ini juga sekali gus menjadikan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama melaksanakan pemasangan sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Zip Line dan Laman Budaya Musical Fountain di Taman Tasik Shah Alam, malam tadi.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (tengah) bergambar bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kanan) dan Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan (dua kiri) selepas berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Zip Line dan Laman Budaya Musical Fountain di Tasik Shah Alam pada 28 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah hadir mencemar duli merasmikan tarikan tersebut, turut sama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Mohd Rashidi berkata projek yang menelan belanja sebanyak RM1.96 juta itu juga sebahagian usaha MBSA memperkasa kembali sektor pelancongan di Shah Alam.

“Orang ramai boleh menyaksikan persembahan air pancutan berirama ini pada jam 8.15 hingga 8.30 malam, 8.45 hingga 9.15 malam, 9.15 hingga 9.30 malam dan 9.45 hingga 10 malam,” katanya.