Categories
NASIONAL SELANGOR

140,000 Banjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam Sambut Tahun Baru

3

SHAH ALAM, 1 JAN: Lebih 140,000 orang dari pelbagai lapisan usia hadir membanjiri Dataran Kemerdekaan, Shah Alam bagi memeriahkan Program Jom Santai Bersama GeMS kelolaan Kerajaan Negeri sempena ambang 2013 di sini malam tadi.

Program GeMS ? Generasi Idaman Selangor, itu diadakan dengan pendekatan menyambut tahun baru dengan tema keagamaan serta bersifat santai.

Ia ternyata mendapat sambutan hebat dan ia memberi nafas baru kepada penganjuran majlis.1

Terdahulu, program terbabit berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Disember dengan pelbagai program menarik termasuk Karnival Pendidikan Selangor- EduSEL Fair 2012.

Selain itu, turut diadakan ceramah santai yang bertajuk SPIES membentuk masyarakat sejahtera yang menampilkan Dr Ruziah Ghazali, Ustaz Shukri Yunus dan Ustaz Fauzi Mustafa.

Forum Jom Bercinta yang membariskan panel Ustazah Fatimah Syarha dan pelakon, Shamsul Ghau-Ghau dan ceramah ilmuan bersama Ustaz Datuk Ismail Kamus.

Manakala, sambutan kemuncaknya diadakan program sambutan Ambang 2013 dengan menyaksikan persembahan sajak daripada pelakon, Diana Amir dan Sembang Santai bersama Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Haslin ‘Bollywood’, Datuk Malek Noor, Kamal Adli, Pierre Andre dan Aziz M.Osman.

2Gabungan golongan agama dari generasi lama dan baru dan artis popular itu berjaya menarik perhatian pengunjung untuk mengikuti majlis dari awal hingga akhir.

Malah detik sambutan tahun baru yang berakhir 1 pagi itu diakhiri dengan nyanyian nasyid ‘Asma Ul Husna’ oleh semula jemputan dan Exco Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali, Dr Yaakop Sapari dan Rodziah Ismail, Dr Yunus Hairi dan Ketua AMK negeri, Azmizam Zaman Huri.

Ia disusuli dengan bacaan doa penutup oleh Ustaz Azhar Idrus.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali ketika ditemui selepas majlis berkata beliau amat berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk di negeri itu.

Katanya, cara pendekatan yang digunakan oleh Kerajaan Negeri ternyata dapat diterima oleh rakyat.

“Dengan menggunakan artis dan diselitkan unsur keagamaan untuk mendekatkan masyarakat muda ternyata berjaya.

4“Alhamdulillah sambutan kali ini lebih ramai berbanding tahun lalu. Bukan sahaja golongan muda tetapi juga golongan yang sudah berusia datang memeriahkan majlis.

“Ini adalah antara sebahagian daripada program anti- zina jadi kalau Kerajan Negeri tidak menguruskan keperluan, minat, citarasa, ciri-ciri orang muda itu kepada program yang bersifat positif maka mereka akan tertarik kepada program yang negatif dan seterusnya terjebak di dalam gejala sosial,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat akan terus memastikan rakyat di negeri itu mendapat manfaat daripada apa yang dilakukan.

“Sekiranya kami masih kekal menerajui Selangor, rakyat jangan bimbang kerana Pakatan Rakyat akan memastikan warisan budaya, seni dan agama untuk terus diperjuangkan,” katanya.

Pengunjung, Mohd Lazim Mustafa, 52, berkata sambutan ambang 13 yang diadakan pada tahun ini lebih meriah daripada tahun sebelumnya.

5“Alhamdulillah tahun ini lebih ramai. Apa yang lebih penting lagi saya lihat penganjuran kali ini banyak aktiviti dan program yang bermanfaat dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, bagi Rosmawati Kamaruddin, 33, berkata program yang dilihatnya lebih berunsurkan ilmiah itu dapat memberi manfaat kepada setiap lapisan.

“Apa yang saya lihat, program kali ini memberi banyak faedah bukan sahaja golongan muda tetapi juga golongan berusia dan kanak-kanak. Semua lapisan dapat manfaat daripada aktiviti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Manakala, Ikhwan Mokhtar, 23, berharap program yang berunsurkan ilmiah seperti itu akan terus diadakan pada masa akan datang.

“Walaupun sebagai anak muda, saya memilih untuk menghadiri program yang dianjurkan Kerajaan Negeri ini berbanding program berbentuk hiburan yang dianjurkan pihak lain.

6“Bagi saya ia kerana saya merasakan diri menjadi lebih tenang. Ini merupakan tahun kedua saya hadir ke sambutan tahun baru di Selangor ini, alhamdulillah saya lihat ramai anak muda yang datang,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bekas Atlet Disaran Tabur Bakti Bangunkan Sukan Selangor

SHAH ALAM, 4 DIS – Bekas atlet disaran menabur bakti membangunkan sukan Selangor terutama bagi menggilap bakat generasi muda bagi memperkukuhkan kejayaan negeri dalam arena sukan.

Gesaan ini dilontarkan oleh Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus yang melihat sukan sebagai satu industri.

“Kita mengharapkan pengurusan dan pembangunan sukan akan diuruskan oleh bekas-bekas atlet kerana mereka adalah golongan yang faham dan tahu tentang pembangunan sukan yang diceburi,” katanya pada Majlis Anugerah Sukan Selangor 2011.

Selaku Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN), Ahmad Yunus juga mengharapkan persatuan-persatuan sukan gabungan MSN akan terus membangunkan atlet-atlet anak Selangor  menjadi jaguh sukan terbaik bukan sahaja mengharumkan nama negeri bahkan di peringkat antarabangsa.

Jelasnya lagi, penggerak-penggerak sukan di semua peringkat perlu meninjau prestasi atlet-atlet remaja dan berusaha mempertingkatkan pencapaian mereka.

“Kita perlu sedar bahawa pembangunan sukan negeri kini bukan lagi menjadi tanggungjawab kerajaan sahaja, para penggerak dan organisasi sukan itu sendiri tetapi sukan menjadi milik rakyat dan masyarakat.

“Apatah lagi sebahagian peruntukkan pembangunan sukan itu sendiri datangnya daripada hasil negeri dan rakyat Selangor.

“Jatuh bangunnya atlet sukan bukan lagi menjadi isu tertutup tetapi turut dikongsi bersama oleh segenap lapisan masyarakat,” ujarnya lagi.

Kerajaan Negeri menerusi MSN Selangor memberikan pengiktirafan dan penghargaan terhadap atlet-atlet yang berjaya di peringkat negeri dan kebangsaan dalam satu Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2011 di Grand Ballroom Hotel Concorde, Shah Alam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat mencemar duli bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Atlet karate-do, Loganeshaa Roa a/l Ramaraw dipilih sebagai Olahragawan Selangor 2011 sementara Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dari sukan tenpin boling dipilih sebagai Olahragawati Selangor 2011.

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati 2011 disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Olahragawan dan Olahragawati 2011 masing-masing menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Peniaga : Pindah Aset Jadikan PKNS Berdaya Saing

SHAH ALAM, 27 NOV : Tindakan pindah milik lima aset komersil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada anak syarikat milik penuh PKNS, Private Real Estate Company (PREC) dipersetujui pihak PKNS dan Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam.

Dalam satu kenyataan media yang ditandatangani oleh Ketua Unit, Pelaburan & Pengurusan Hartanah, Bahagian Korporat PKNS, Fakru Razi Ab Ghani dan Presiden Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam, Amran Yahya menyatakan pemindahan milikan lima aset ini memberikan penekanan kepada meningkatkan tahap daya saing Kompleks PKNS Shah Alam dan bangunan-bangunan yang lain.

“Dengan kualiti bangunan ditingkatkan, Kompleks PKNS Shah Alam akan dapat menarik lebih ramai pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat untuk membeli-belah di kompleks ini dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada prestasi jualan peniaga-peniaga kompleks,” katanya.

Dengan cara ini juga, PKNS dan PREC akan menjalankan kerja-kerja penambahbaikan dan menaiktaraf kemudahan Kompleks PKNS Shah Alam untuk kepentingan peniaga dan pengunjung kompleks.

Sementara itu, Amran memperakui komitmen PKNS menerusi program-program pembangunan usahawan dan subsidi kepada para peniaga Melayu dan Bumiputra yang layak di Kompleks PKNS dan di seluruh Negeri Selangor.

“PKNS menerusi PREC akan merancakkan aktiviti-aktiviti promosi menerusi pelbagai program bagi menarik orang awam membeli belah di Kompleks PKNS. Ini dapat membantu meningkatkan pendapatan peniaga di kompleks yang majoritinya adalah peniaga Melayu dan Bumiputra.

“Persatuan dan PKNS akan mempergiatkan kerja usahasama untuk meningkatkan daya saing Kompleks PKNS Shah Alam untuk faedah bersama dan juga untuk memberi keselesaan dan memenuhi keperluan masyarakat sekeliling Shah Alam yang berkunjung ke Kompleks PKNS,” katanya.

PREC merupakan anak syarikat milik penuh PKNS yang khusus dalam pengurusan dan pelaburan hartanah.

 

Selangor Guna Kaedah Psikologi Kurangkan Kemalangan Jalan Raya

SHAH ALAM 13 OGOS : Kerajaan Selangor akan menaja satu kajian psikologi bagi mengurangkan kemalangan jalan raya di Malaysia.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana khas dan akan melantik badan bagi mejalankan kajian tersebut.

Menurut Abdul Khalid, kajian tersebut penting bagi menentukan bagaimana kaedah psikologi dapat mampu membantu mengurangkan kejadian kemalangan yang saban tahun meningkat.

“Contohnya sekarang pusat membeli belah juga menggunakan kaedah psikologi muzik di mana mereka akan memasang lagu yang membuat pengunjung gembira dan senang hati untuk membeli.

“Kita boleh mengambil pendekatan sama juga seperti menggunakan muzik yang mampu menenangkan pemandu dan mendorongnya untuk lebih tenang dan bersabar di jalan raya,” jelas beliau sambil menambah dana yang akan diperuntukkan adalah sekitar RM 30,000.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya yang diadakan di Plaza Tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Guthrie ke arah Shah Alam pagi tadi.

Sejurus selesai melancarkan kempen, Menteri Besar turut berkesempatan menyampaikan pek “Kit Balik Raya” kepada para pengguna lebuhraya yang antara lain berisi Edisi Khas Balik Kampung Selangor Kini.

Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi, Ketua Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Kempen yang diadakan sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor ini turut mendapat kerjasama SUK Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKJR) Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.

Agensi yang turut terlibat adalah Prolintas, Nestle (Malaysia) Berhad, Kumpulan Media Karangkraf dan Telekom Malaysia.

Categories
SELANGOR

Separuh Jumlah Pengundi Di Selangor Sudah Dikenalpasti

SHAH ALAM, 4 OGOS: Separuh dari 56 Kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Selangor berjaya menyelesaikan proses mengenal pasti pengundi dalam Program Selangorku Bersih.

Ini merupakan peningkatan daripada tujuh DUN yang berjaya menyemak daftar pengundi sehingga 30 Julai lalu.

“Saya fikir dalam masa dua minggu lagi ianya akan dapat diselesaikan,” ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika meraikan petugas media dalam Majlis Berbuka Puasa Media Bersama Datuk Menteri Besar semalam.

Program Selangorku Bersih yang dilancarkan pada bulan April adalah sebuah audit terhadap daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang akan digunakan di Selangor.

Ia bagi memastikan pemilih yang berdaftar benar-benar rakyat Selangor yang bermastautin dan mempunyai hak menentukan kerajaan Selangor.

Beberapa laporan sebelum ini oleh pemimpin Pakatan Rakyat Selangor mendedahkan terdapat beribu-ribu pengundi di dalam daftar pemilih baru yang statusnya sebagai rakyat Selangor diragui.

Menurut Abdul Khalid, keputusan kaji selidik itu akan diumumkan selepas ianya siap sepenuhnya.

Abdul Khalid dalam ucapannya turut menyentuh proses audit terhadap proses kutipan hutang Talam Corporation Bhd.

“Kerja audit dah pun dimulakan oleh juru audit luar bertauliah.

“Hari ini, ada lebih kurang sepuluh orang juru audit menjalankan proses audit itu.

Kita akan umumkan bila ia selesai sepenuhnya,” ujar Abdul Khalid.

Sementara itu, majlis berbuka puasa meraikan petugas media itu dimeriahkan dengan kehadiran hampir 300 pengamal media sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Selain petugas media, beberapa pengendali blog terkenal turut mengambil bahagian dalam majlis sama.

“Peranan media memang cukup besar dan amat dihargai dalam memainkan peranan untuk menjelaskan dasar Kerajaan Negeri.

“Selain itu peranan blogger juga membantu dalam menyampaikan maklumat dengan cepat kepada masyarakat dan ini satu perkembangan baik” ujar Abdul Khalid.

Turut kelihatan dalam majlis malam itu adalah Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali.

Turut diraikan dalam majlis yang sama, penghuni Rumah Anak Yatim Taufiq Islami, Shah Alam.

Categories
SELANGOR

Warga Emas, Kanak-kanak Miskin Sungai Kandis Terima Sumbangan

 

KLANG 27 MEI : Selari dengan matlamat Kerajaan Selangor yang mengutamakan kebajikan dan keprihatinan terhadap rakyat, Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar telah menyampaikan bantuan ke lapan buah keluarga warga emas di Sungai Kandis, di sini.

Dalam lawatannya ke Sungai Kandis baru baru ini, Dr Xavier juga sempat melawat pertandingan futsal di mana beliau menyampaikan sumbangan basikal kepada kanak kanak dari keluarga berpendapatan rendah.

Beliau diiringi di kedua-dua program oleh Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam Manap Yusoff dan orang kampung Sungai Kandis.

Pertandingan Futsal itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak. Sebanyak 25 pasukan telah mengambil bahagian pada hari itu.

Dr Xavier menyerahkan sebanyak 3 buah basikal kepada 3 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah. Program sumbangan basikal dan subsidi yuran bas sekolah adalah program yang telah dijalankan secara berterusan sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sejak Mac 2008 yang lalu.

Categories
NASIONAL

Anwar: Negara Akan Muflis Bila di Tadbir Pemimpin Boros

SHAH ALAM 8 APRIL : Khazanah hasil bumi adalah amanah yang seharusnya diuruskan sebaiknya oleh pemerintah dan bukannya disalah guna untuk kepentingan politik sempit serta pemborosan melampau.

Apabila segala khazanah ini jatuh ketangan pemimpin-pemimpin yang sewenang-wenangnya menyalah guna kuasa serta para kroni yang tamak haloba. Akhirnya akan menjuruskan negara ke arah muflis dan berhutang.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai memperingati kepimpinan kerajaan hari ini yang dilihat telah jauh menyimpang daripada tanggungjawabnya kepada rakyat dan negara.

Anwar menambah, Umno-BN sewajarnya menamatkan politik kotor yang diwarisi mereka sejak sekian lama dengan melihat kepada negara jiran Indonesia yang berjaya keluar dari kepompong pemerintah yang menindas rakyatnya.

“Undang-undang republik Indonesia ternyata menarik, dalam perlembagaannya menyatakan bahawa air dan segala hasil bumi adalah amanah milik rakyat,”

“Sebab itu saya berani katakan sekirannya Pakatan Rakyat menang (PRU-13), dalam tempoh 24 jam harga minyak turun, sebaliknya hujah mereka (Umno-BN), negara akan bankrap,”katanya.

Melihat kepada kematangan dan kebangkitan rakyat hari ini untuk menilai politik yang disajikan oleh kerajaan sedia ada, Anwar menyeru rakyat untuk bersama-sama Pakatan Rakyat, berganjak keluar daripada peta politik yang terhad dan terbatas dengan menumbangkan Umno-BN menerusi pilihanraya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Kita perlu robohkan institusi dan sistem yang memporak perandakan negara.

“Tujuan kita untuk robohkan kerajaan hari ini bukan untuk ubah suai sedikit sebanyak sistem sedia ada, setelah 54 tahun sistem itu menapak di negara kita, kita mahu robohkannya dan bina yang baru untuk membuktikan keupayaan kita memuliakan semua rakyat,”jelas Anwar dalam ucapannya pada majlis penutup Munajat Perdana-Pertahankan Selangor sempena Sambutan 25 Tahun PAS di sini semalam.

Bercakap dihadapan hampir 10 ribu hadirin, Anwar menambah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak terlalu lewat untuk menamatkan undang-undang zalim terhadap rakyat.

Menurut Anwar, kepimpinan Umno-BN yang mengutamakan kroni dan kepentingan poket ahli politik semata-mata tanpa mempedulikan nasib rakyat bawahan adalah  peringatan yang jelas kepada mereka (Umno-BN) untuk menjangkakan keputusan rakyat dalam pilihanraya akan datang.

“Saya nak bagi nasihat juga kepada kawan-kawan dan juga bekas kawan-kawan bahawa kita perlu terlepas (bebas) daripada politik sempit yang rendah ini,”ujarnya.

Categories
SELANGOR

Projek Persimpangan Bertingkat Seksyen 7 Dijangka Siap 2013

SHAH ALAM, 7 APRIL : Masalah kesesakan di Seksyen 7 di sini dijangka selesai apabila projek persimpangan bertingkat yang menghubungkan Lebuhraya Persekutuan dengan kawasan sekitar  mual dibina 2 April lalu.

Persimpangan bertingkat bernila hampir RM46 juta itu adalah milik Perbadanan Menteri Besar Selangor atau MBI manakala Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS) diamanahkan sebagai pengurus projek.

Projek ini dilaksanakan dengan perkongsian kos antara PKNS dengan 9 syarikat penswastaan dan usahasama serta dua pemaju lain iaitu i-City Properties Sdn Bhd dan IJM Properties.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melakukan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan. Lawatan beliau ke tapak projek diiringi Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan barisan pengurusan kanan PKNS.

Menerusi satu kenyataan media, PKNS memaklumkan projek berkenaan mengambil masa 18 bulan untuk siap pada 30 September 2013.

“Projek ini bakal memberi impak baru kepada pertumbuhan kawasan terbabit di samping mengatasi masalah kesesakan lalulintas yang meruncing.

“Sebahagian jajaran sepanjang Persiaran Kayangan, Persimpangan Permai, Lebuh Keluli dan Persiaran Bestari dijangka menjadi laluan bagi 2,000 kenderaan sehari sahaja apabila projek ini siap kelak berbanding 3,000 kenderaan ketika ini,” kenyataan itu menyebut.

Tulis kenyataan itu lagi, projek ini bukan sahaja berjaya menarik minat pelabur serta pembeli hartanah ke kawasan sekitarnya, malah meningkatkan nilai hartanah kawasan terbabit. Selain itu, perkembangan industri pelancongan di Shah Alam juga akan bertambah rancak dengan kemudahan laluan selesa ke bandaraya Shah Alam serta ke lokasi rekreasi seperti i-City.

Categories
SELANGOR

MB: Naik Taraf Sg Rasau Elak Shah Alam Banjir

SHAH ALAM, 6 APR: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan plan tebatan banjir sebagai langkah mengelakan bandar Shah Alam dilanda banjir.

Beliau mengumumkan demikian dalam upacara pecah tanah dan lawatan tapak laluan masuk Lebuh Raya Persekutuan di i-City, hari ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan Kerajaan Selangor telah meluluskan rancangan untuk menaik taraf Sungai Rasau sebagai sebahagian daripada program tebatan banjir bagi Shah Alam.

“Beberapa takungan dan stesen mengepam akan dibina di sepanjang sungai sepanjang tujuh kilometer ini dan kita juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengindahkan tebing sungai.

“Kerajaan Negeri juga telah dimaklumkan i-City turut merancang pembangunan pengindahan di hadapan Sungai Rasau dan kerajaan bersedia membantu agar rancangan ini dapat dijayakan,” ujar Khalid ketika berucapa dalam majlis tersebut.

Dalam majlis yang sama, Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Jaafar Mohd Atan, i-City kini dianggap sebagai salah satu daripada tiga pusat Shah Alam dan salah satu zon antarabangsa.

“i-City kini merupakan salah satu daripada tiga pusat bandar shah alam.

“Ia merupakan salah satu zon antarabangsa dan pusat siber MSC (Koridor super Multimedia) pertama di Shah Alam.

“Saya ingin menyatakan bahawa pelan kami untuk Shah Alam untuk menjadi sebuah bandar antarabangsa melibatkan meningkatkan infrastruktur seperti MRT (Mass Rapid Transit) dan rangkaian lebuh raya serta perkembangan yang menggalakkan untuk manfaat masyarakat,” ujar beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew pula memberitahu i-City pada mulanya dicetuskan sebagai Hab Pengetahuan telah ditekankan kepada penyediaan infrastruktur bertaraf dunia.

Menurutnya lagi, i-City hari ini bukan sahaja dilihat sebagai hub pengetahuan malah turut dikenali sebagai salah satu pusat perdangan dan tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Sementara itu, dalam satu lawatan pendek TVS di lokasi terbabit, mendapati terdapat beberapa tarikan yang mampu menjadikan i-City sebagai salah satu tarikan terbaru di negeri ini.

Antara permainan yang mampu menarik pengunjung dalam dan luar negara, khususnya untuk hiburan sekeluarga adalah ‘Snow Walk’, ‘circus Travel’, ‘Giant Wheel’, ‘Bumper Car’ dan ‘Pirate Ship’.

Taman tema yang dijangka paling menapat perhatian pengunjung adalah pengalaman bermain salji di dalam rumah salji seluas 5000 kaki persegi di  ‘Snow Walk’.

Selain dapat merasai pengalaman bermain salji, beberapa permainan yang lazimnya hanya terdapat di musim salji turut disediakan kepada pengunjung yang mengunjunginya.

Categories
SELANGOR

Gotong royong Bersama Penduduk Sek 24, Shah Alam

SHAH ALAM, 6 MAC: ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail menjayakan program gotong royong komuniti dan menanam pokok bersama pemimpin masyarakat Seksyen 24, Shah Alam pada Mac 3.

Program itu dihadiri Datuk Bandar Shah Alam Datuk Jaafar Atan, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam dan Ketua Kampung Seksyen 24.

Di dalam sebuah pertemuan berasingan dengan masyarakat flat Polis Diraja Malaysia di Seksyen 20, penghuni pangsapuri tersebut meminta pertolongan
Rodziah untuk membawa program CERIA ke kuarters mereka.

Program Kerajaan Selangor itu menolong penghuni flat mencat dan membaiki prasarana seperti lif dan saluran air di pangsapuri-pangsapuri di Selangor.