Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pejabat bergerak MBSA di Plaza Masalam esok

SHAH ALAM, 4 FEB: Pejabat bergerak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan beroperasi di pekarangan tempat letak kereta Plaza Masalam Seksyen 9 di sini esok.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata perkhidmatan ‘Shah Alam On Wheels’ dari 11 pagi hingga 5 petang merupakan platform untuk memudahkan orang ramai berurusan pada cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Pejabat bergerak ini menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan, semakan status lesen
komposit dan penjaja, jualan buku pelan setara dan sebagainya.

“Melaluinya, MBSA berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan untuk manfaat masyarakat,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan.

MBSA menggunakan kaedah itu di beberapa lokasi sebelum ini sebagai pendekatan memudahkan urusan orang ramai termasuk pembayaran kompaun tertunggak.

Categories
PBT SELANGOR

Pejabat bergerak MBSA di Plaza Masalam Sabtu ini

SHAH ALAM, 11 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan pejabat bergerak di pekarangan tempat letak kereta Plaza Masalam Seksyen 9 di sini pada Sabtu ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata perkhidmatan ‘Shah Alam On Wheels’ dari 11 pagi hingga 5 petang merupakan platform untuk memudahkan orang ramai berurusan pada cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Pejabat bergerak ini akan menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan dan sebagainya.

“Melaluinya, MBSA berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan untuk manfaat masyarakat,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

MBSA menggunakan kaedah itu di beberapa lokasi sebelum ini sebagai pendekatan memudahkan urusan orang ramai termasuk pembayaran kompaun tertunggak.

Categories
PBT SELANGOR

Pejabat bergerak MBSA di AEON Mall Shah Alam Sabtu ini

SHAH ALAM, 18 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan perkhidmatan pejabat bergerak di perkarangan tempat letak kereta terbuka AEON Mall Shah Alam, Seksyen 13, Sabtu ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata Shah Alam On Wheels (SAOW) akan memulakan perkhidmatan pada 11 pagi hingga 5 petang.

“Ini merupakan platform disediakan MBSA untuk memudahkan orang ramai berurusan pada hari cuti hujung minggu tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Pejabat bergerak ini akan menyediakan kemudahan perkhidmatan seperti semakan dan pembayaran cukai taksiran, semakan dan pembayaran kompaun tempat letak kereta, kaunter aduan dan sebagainya,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Beliau berkata, melaluinya majlis berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

60 bayi terima hamper sempena ulang tahun MBSA ke-21

SHAH ALAM, 12 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyumbang hamper kepada 60 bayi yang lahir pada Ahad lalu sekitar bandar raya ini sempena sambutan ulang tahun ke-21.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata hamper kelengkapan bayi bernilai RM150 itu sebagai tanda kesyukuran selain berkongsi kegembiraan dengan kelahiran terbabit.

“Tarikh 10 Oktober sangat bermakna kepada MBSA kerana pada 20 tahun lalu majlis dinaik taraf daripada perbandaran kepada bandar raya.

“Pemberian kepada Hospital Shah Alam sebanyak 30 manakala Avisena Women’s & Children’ Specialist Hospital, KPJ Selangor Specialist Hospital dan Hospital UMRA Shah Alam masing-masing 10 hamper,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan.

Beliau berkata pihaknya juga menawarkan beberapa insentif kepada orang awam sepanjang bulan ini antaranya pengurangan kompaun, keahlian percuma perpustakaan MBSA dan penggunaan skuter elektrik percuma untuk lima minit pertama.

“Tempat letak kereta percuma di Wisma MBSA pada 11 Oktober turut diberikan,” katanya.

Pada Jumaat Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan berkata pihaknya turut mengadakan majlis bacaan yasin, doa selamat, kayuhan basikal, kuiz Shah Alam Bandar Rayaku dan hari bertemu pelanggan.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sedia 298 tong sampah pukal sempena Hari Alam Sekitar Negara

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 298 tong Roll On Roll Off (RORO) sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara pada 21 Oktober ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata tong bersaiz tiga tan itu diletakkan sekitar Seksyen 1 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20 secara berperingkat mulai hari ini hingga 15 Oktober.

Menurut Shahrin Ahmad, setiap tong diletakkan selama lima hari di lokasi dijadualkan dan akan ditarik selepas kapasiti tong penuh.

“Langkah ini memudahkan orang ramai membuang perabot dan alat elektrik lama seperti almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri dan telefon bimbit.

“Inisiatif ini juga menggalakkan penduduk melaksanakan aktiviti gotong-royong di kediaman masing-masing selain mendidik warga Shah Alam mengendalikan sampah pukal dengan betul,” katanya menerusi kenyataan.

Shahrin berkata pihaknya mengharapkan kerjasama orang ramai dengan meletakkan sampah pukal masing-masing ke dalam tong bagi
memudahkan proses kutipan selain dapat menjaga kebersihan persekitaran.

Categories
PBT SELANGOR

Zip Line Shah Alam dibuka semula untuk aktiviti riadah Sabtu lalu

SHAH ALAM, 13 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka semula aktiviti Zip Line Shah Alam untuk tujuan riadah dah rekreasi mulai Sabtu lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata kemudahan tersebut akan beroperasi bermula 10 pagi hingga 6.30 (Isnin – Jumaat) dan 8.30 pagi hingga 6.30 petang (Sabtu dan Ahad).

“Pengunjung yang menggunakannya hendaklah mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti telah melengkapkan vaksinasi, pengamalan penjarakan fizikal, dan pematuhan kepada SOP am sektor sukan dan rekreasi.

“MBSA juga menasihatkan agar orang ramai dapat menggunakan kemudahan ini dengan bertanggungjawab serta mematuhi peraturan dan garis panduan bagi membantu mengawal jangkitan Covid-19,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Harga bayaran tiket adalah sebanyak RM20 bagi warga Shah Alam, RM10 kanak-kanak, RM20 pelajar (17 tahun dan ke bawah) untuk dua sesi, RM25 untuk tiket dewasa warga Malaysia dan RM40 bagi pelancong luar.

Zip Line Shah Alam adalah kemudahan bagi aktiviti ‘flying fox’ disediakan MBSA di Persiaran Tasik, Seksyen 14 di sini.

Categories
PBT SELANGOR

Penduduk Kajang beri kerjasama, 90 peratus patuhi SOP

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kira-kira 90 peratus penduduk Kajang dan sekitarnya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

Pegawai perhubungan awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata hasil pemantauan anggota penguat kuasanya bersama agensi lain mendapati kebanyakan orang awam dan peniaga memberi kerjasama penuh dalam perkara berkaitan.

“Hanya sebahagian kecil yang ingkar dan telah diberi amaran. Kita mengalu-alukan kerjasama semua untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat individu melanggar undang-undang atau memalsukan sijil vaksin,” kata Kamarul Izlan Sulaiman ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berharap masyarakat tidak leka meskipun banyak sektor ekonomi mula dibuka termasuk membenarkan makan di restoran.

“Harap masyarakat kekal berdisiplin mematuhi SOP dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika menjamu selera di kedai makan.

“Pemantauan berterusan akan terus dilakukan MBSA sama ada di taman awam dan premis perniagaan,” kata Shahrin Ahmad.

Categories
PBT SELANGOR

Wisma MBSA, pejabat cawangan ditutup sementara mulai esok

SHAH ALAM, 16 MEI: Bangunan Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditutup sementara kepada semua kakitangan dan pengunjung mulai esok hingga 19 Mei.

Menurut ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, penutupan selama tiga hari turut membabitkan seluruh pejabat cawangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Langkah ini bagi memberi laluan proses nyahkuman (untuk pencegahan Covid-19),” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

MBSA juga mengingatkan masyarakat agar sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka serta kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman.

Shahrin berkata setiap pergerakan orang ramai perlu didaftarkan dengan mengimbas kod QR Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) disediakan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA tawar diskaun kompaun 50 peratus sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan kempen pengurangan kompaun 50 peratus terhadap sembilan kesalahan sepanjang Ramadan ini bagi membantu orang awam menyelesaikan tunggakan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata kempen sejak semalam hingga 12 Mei ini juga sebagai mengelak orang kena kompaun (OKK) dikenakan tindakan lebih tegas.

“Sehubungan itu majlis menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) setiap Sabtu di pasar raya terpilih.

“Bayaran terus boleh dibuat di kaunter utama Wisma MBSA atau pejabat cawangan Sungai Buloh, Kota Kemuning serta Setia Alam,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya MBSA turut memberikan pengurangan kompaun sehingga RM30 bagi kesalahan tempat letak kereta.

“Orang ramai dinasihatkan mengambil peluang ini sebelum tindakan tegas dikenakan termasuk sekatan urusniaga di kaunter MBSA atau dikenakan tindakan mahkamah.

“Sebarang pertanyaan boleh hubungi bahagian Pengurusan Hasil Jabatan Kewangan di talian 03-55222882 atau 03-55105133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 selain portal MBSA di eps.mbsa.gov.my,” katanya.

Berikut merupakan kompaun yang layak mendapat pengurangan sehingga 50 peratus:

1- Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983
2- Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005
3- Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005
4- Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007
5- Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007
6- Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007
7- Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007
8- Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007
9- Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007

Categories
PBT SELANGOR

Ambil gambar budaya norma baharu, berpeluang menang RM2,100

SHAH ALAM, 5 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka peluang orang ramai memenangi hadiah keseluruhan RM2,100 dengan mengambil gambar untuk Kempen Pembudayaan Norma Baharu Shah Alam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya menjelaskan foto dirakamkan adalah seperti memakai pelitup muka, pengambilan bacaan suhu badan semasa di premis perniagaan atau pejabat, menjaga penjarakan fizikal dan sebagainya.

“Gambar dihasilkan hendaklah dimuat naik di media sosial MBSA iaitu Facebook (shahalamcitycouncil), Instagram (@sacitycouncil) dan Twitter (@sacitycouncil) beserta tanda pagar #normabaharushahalam,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan.

Beliau berkata kempen bermula 20 Mac hingga 1 September depan akan memilih pemenang berdasarkan kreativiti dan amalan norma baharu dalam kehidupan harian mereka.

Katanya, tempat pertama akan memenangi hadiah wang tunai RM500, tempat kedua RM350, ketiga RM250 dan RM100 untuk 10 pemenang saguhati dengan semua turut memperoleh sijil penyertaan serta cenderahati.

“Melalui pelaksanaan kempen ini, MBSA berharap dapat mendidik serta bersama berganding bahu mencegah Covid-19 dan ini merupakan komitmen berterusan untuk memupuk pembudayaan norma baharu di dalam kalangan komuniti khususnya warga Shah Alam,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA kenal pasti tapak niaga baharu, bantu penjaja

SHAH ALAM, 1 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengenal pasti beberapa lokasi sesuai bagi membantu peniaga lesen sementara menjana pendapatan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata langkah itu dibuat selepas memahami kesusahan dan keperitan dilalui segelintir masyarakat susulan penularan pandemik Covid-19.

“Antara lokasi menempatkan peniaga lesen sementara di hadapan Pasar Raya Giant Seksyen 7; di Jalan Nelayan 19/C Seksyen 19 dan Jalan Timun C 24/C Seksyen 24.

“Majlis mengingatkan penjaja supaya sentiasa mematuhi syarat selain menjaga kebersihan. Kami memandang serius isu ini dan akan membantu sebaik mungkin,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Menurutnya, setakat ini MBSA mengeluarkan 658 permit sementara kepada peniaga kecil.

Isnin lalu, Dato’ Menteri Besar menyarankan pihka berkuasa tempatan memudahkan permohonan lesen perniagaan sementara untuk membantu golongan terjejas susulan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agensi itu juga perlu menyediakan beberapa kawasan khusus untuk peniaga kecil dan jualan but kereta.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA anjur pertandingan fotografi, tawar hadiah RM35,000

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan pertandingan fotografi Shah Alam 2021 dengan menawarkan hadiah wang tunai RM35,000 serta sijil.

Ketua Bahagian korporat dan Perhubungan Awamnya berkata pertandingan bertemakan ‘Kami Sayang Shah Alam’ bermula 20 Mac hingga 1 September depan terbuka kepada warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

“Lima kategori dipertandingkan meliputi bangunan atau mercu tanda, alam semulajadi, gaya hidup, aset majlis dan budaya norma baharu.

“Pemenang akan dinilai melalui beberapa aspek berdasarkan tema, komposisi keaslian, kreativiti dan aplikasi teknik fotografi yang terbaik selain foto diambil hendaklah di kawasan pentadbiran MBSA,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Beliau berkata tempat pertama bagi setiap kategori akan memenangi wang tunai RM3,000, kedua (RM2,000), ketiga (RM1,000) dan hadiah sagu hati RM200 seorang untuk lima pemenang.

“Pertandingan ini memberi ruang kepada orang ramai menyerlahkan bakat dalam fotografi serta menghargai bandar raya Shah Alam dengan merakam foto di tempat menarik seperti lokasi pelancongan, bangunan, monumen, tasik, taman atau landskap,” katanya.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan dengan melayari laman sesawang www.mbsa.gov.my .