Categories
SELANGOR

Pesara Kerajaan Terharu Dirai Sultan Selangor

KLANG, 9 DIS :Pesara-pesara kerajaan melahirkan kegembiraan di atas perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Pesara Kerajaan Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-67.

Bertempat di Istana Alam Shah, Klang, majlis ini dianjurkan untuk tahun kedua, hasil cetusan Tuanku Sultan dimanfaatkan sepenuhnya pesara bagi beramah mesra lebih dekat bersama baginda.

Bagi bekas Ketua Inspektor Polis, Nashatan Singh, majlis ini dapat merapatkan hubungan semua kaum dan boleh bertemu sahabat baru sekaligus memperlihat suasana negara yang lebih meriah.

“Saya sangat gembira Tuanku sudi menjemput saya dan isteri pada majlis ini. Saya melihat suasana meriah dan kami lihat tuanku cukup mesra bersama pesara,” katanya.

Beliau turut memuji cara pemerintahan Kerajaan Negeri kini yang bertindak pantas dalam menyelesaikan sesuatu masalah rakyat.

“Didapati masa ini negeri Selangor kita dapat pelbagai kemudahan, pentadbiran pun bagus.

“Bila kita ke pejabat kerajaan perkara yg sepatutnya dilaksanakan, dibuat dengan baik,” katanya ketika ditemui TV Selangor.

Sementara itu, Ng Kok Chuan selaku bekas guru berharap agar Kerajaan Negeri dapat meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini selain meneruskan kecemerlangan pentadbiran negeri yang sedia ada.

Sultan Selangor mencemar duli pada jam 3.35 petang sambil diiringi Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Datuk Paduka Raya Datuk Wan Mahmood Pawan Teh, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Emran Kadir dan Ketua Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi serta beberapa kenamaan lain.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negeri Selangor, diikuti dengan ucapan daripada Jeneral Tan Sri Datuk Shahrom Nordin, mewakili pesara-pesara kerajaan serta bacaan doa yang diketuai Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Acara santapan turut diirngi persembahan daripada kumpulan Win Okestra, Sekolah Alam Shah, Putrajaya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bakal menyambut ulangtahun keputeraan yang ke-67 pada Selasa, 11 Disember ini.