Categories
NASIONAL

Najib Tidak Layak Jaga Hal Ehwal Wanita

SHAH ALAM 5 OKT : Datuk Seri Mohd Najib Razak digesa meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipangkunya kerana gagal memperkasakan golongan wanita.

Ini kerana semasa pembentangan Bajet 2013 Jumaat lalu berlaku penurunan sebanyak enam peratus untuk peruntukkan golongan wanita yang disifatkan gagal memberikan perhatian kepada usaha mengangkat martabat golongan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, bajet itu juga hanya menumpukan kepada pembangunan keusahawanan dan mamosel sahaja serta tidak memberi perhatian kepada 12 lagi kategori wanita yang memerlukan pembelaan.

“Memang sepatutnya Najib sudah tidak duduk di jawatan itu, kerana memalukan bukan sahaja kepada golongan wanita, tetapi juga seorang lelaki yang sepatutnya menjadi pemimpin dan pelindung kepada wanita itu sendiri,” kata Rodziah dalam sidang medianya.

Ujar Rodziah, walaupun ada golongan lelaki yang memegang jawatan portfolio wanita di negara-negara lain tetapi mereka berjaya membawa dimensi baru kepada pemerkasaan dan usaha mengangkat martabat golongan wanita.

“Dalam tempoh Menteri Wanita yang dipegang oleh Lelaki pada sekitar tahun 2000 di Indonesia ,banyak yang positifnya yang dilakukannya apabila berjaya menaikkan pemahaman golongan lelaki berkenaan sensitiviti perbezaan gender yang mana golongan lelaki juga perlu sensitif tentang isu-isu wanita,” ujarnya.

Katanya, peranan yang perlu dimainkan oleh Najib perlu lebih besar untuk memperkasakan golongan wanita dengan program-program pemberdayaan tetapi beliau gagal melaksanakan tugas itu.

Najib memangku jawatan itu setelah ia dikosongkan oleh Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil yang diasak hebat dalam isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) selepas tempoh perkhidmatannya sebagai Senator berakhir pada 8 April lepas.

Categories
NASIONAL

Mahfuz : Tugas Shahrizat Diganti Rosmah

SHAH ALAM 8 APRIL : Hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau akan memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil dikhuatiri akan berakhir dengan telunjuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata tiada sebab untuk Najib gagal mencari penganti Shahrizat kerana beliau mempunyai masa yang panjang untuk berbuat demikian.

“Najib sudah tahu tentang tarikh tamat tempoh untuk Shahrizat menjadi senator ini sekian lama dan Shahrizat juga telah mengumumkan untuk tidak melanjutkan jawatannya itu.

“jadi Najib mempunyai masa yang panjang untuk mencari calon peganti, malangnya tiada calon yang mendapat kepercayaannya.

“Perkara ini menyebabkan beliau terpaksa memangku jawatan tersebut dan hakikatnya yang akan menjalankan peranan menteri wanita ini adalah Rosmah Mansor,” jelas Mahfuz ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa beliau akan memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ia berikutan pengumuman Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatannya dalam kabinet apabila tempoh perkhidmatannya sebagai senator untuk penggal pertama tamat pada hari ini.

Shahrizat terpalit dengan salah guna dana rakyat dalam kes National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarganya.

Mahfuz menambah, walaupun pengumuman itu menghentikan spekulasi berhubung siapa pengganti Shahrizat, namun ia membuktikan bahawa tiada calon wanita dari parti itu yang berpotensi untuk mengalas peranan tersebut.

Sebelum ini, ketua Wanita Umno Selangor Datuk Raja Ropiaah diwar-warkan mengisinya jawatan itu setelah dilantik sebagai senator baru.

“Malang bagi wanita Umno kerana tidak mendapat kepercayaan Najib untuk mengalas peranan menteri wanita, Rosmah pula tidak mungkin dilantik menjadi senator, maka najib muncul sebagai pemangkunya manakala yang akan menjalankan peranannya ialah Rosmah,”jelas Mahfuz lagi.

Categories
NASIONAL

Suami Shahrizat Patut Didakwa Lebih Awal

SHAH ALAM, 26 FEB : Peguam Negara dan pihak polis seharusnya menjadikan Pengerusi Eksekitif Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail sebagai orang pertama yang seharusnya di siasat dan didakwa berhubung pecah amanah yang membabitkan dana rakyat bernilai RM250 juta tersebut.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, cadangan polis supaya Peguam Negara hanya mendakwa Mohamed Salleh menggambarkan wujud dwi standard dalam siasatan yang dibuat pihak berkuasa tersebut.

“Masih lagi wujud dwi standard dalam siasatan yang dibuat. Kita melihat bahawa ia hanya difokuskan kepada Pengerusi Eksekutif NFC sahaja,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Aktivis masyarakat itu menambah, polis sepatutnya menyiasat secara keseluruhan dan semua pengurusan tertinggi NFC kerana semua pihak itu diyakini turut sama melakukan penyelewengan dan pecah amanah.

Malah laporan yang dibuat badan bukan kerajaan (NGO) tersebut, tegasnya, turut menyatakan penglibatan ketiga-tiga anak Mohamed Salleh sebagai pengurusan tertingginya iaitu Wan Shahinur Izmir selaku Pengarah Eksekutif, Wan Shahinur Izran (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Wan Izzana Fatimah (Pengarah).

“Maknanya kertas siasatan itu yang dihantar kepada Peguam Negara seharusnya turut melibatkan semua pengurusan tertinggi NFC.

“Ini kerana segala laporan yang kita buat sebelum ini bukan sahaja melibatkan Mohamed Salleh sebagai Pengerusi Eksekutif NFC tetapi turut sama melibatkan semua pengurusan tertinggi NFC iaitu Pengarah Eksekutifnya, Wan Shahinur Izmir dan termasuk Wan Shahinur Izran serta Wan Izzana Fatimah,” ujarnya.

Fariz seterusnya berkata, Jingga 13 mempercayai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut terlibat dan mengetahui segala-galanya disebabkan isu itu melibatkan anak dan suaminya.

“Dalam perkara ini kita melihat Shahrizat cuba mengelak diri seolah-olah dia tidak terlibat langsung tetapi kita yakin dan percaya bahawa Shahrizat mengetahui segala aktiviti yang dilakukan oleh suami dan anak-anaknya kerana ia melibatkan pembelian kondominium, hartanah, kenderaan mewah dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap polis dan Peguam Negara bersikap profesional dalam perkara itu dan tidak tunduk kepada pihak tertentu demi kepentingan politik.

Januari lalu, seorang Ahli Perniagaan Shamsulbahrin Ismail (46) ditangkap polis dan dijadikan kambing hitam bagi menutup pembabitan dakwaan penyelewengan yang membabitkan keluarga Shahrizat.