Categories
AGENDA NASIONAL

Jasad Shebby dibawa ke Nirvana Memorial Centre Skudai untuk penghormatan akhir

JOHOR BAHRU, 13 JAN: Jasad bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh dibawa ke Nirvana Memorial Centre Jalan Skudai, di sini petang ini untuk penghormatan terakhir selepas proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Anak lelaki mendiang Sonuljit Singh, 32, berkata mereka yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang boleh berbuat demikian bermula 4 petang ini sebelum jasadnya dibawa ke Krematorium Loke Yew di Kuala Lumpur, esok.

“Pada hari ini di Skudai, esok pula di Kuala Lumpur…jadi sesiapa yang ingin datang memberi penghormatan di Johor boleh datang. Esok pula kira-kira pukul 3 atau 4 petang di Krematorium Loke Yew, Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSA, di sini hari ini.

Sonuljit pada masa sama menjelaskan proses bedah siasat mendiang Serbegeth Singh, 61, atau lebih dikenali sebagai Shebby berjalan lancar.

“Sudah selesai tetapi pada masa ini, saya tidak seIesa untuk mendedahkannya (keputusan bedah siasat), dan saya harap (media) beri kami sedikit ruang,” katanya.

Beliau pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang memberikan ucapan takziah atas pemergian bapanya.

“Terima kasih tidak terhingga atas ucapan kasih sayang dan penghargaan di media sosial, ia sungguh menakjubkan kerana baginya, beliau hanya mahukan yang terbaik untuk sukan bola sepak Malaysia. Macam cikgu, kadang-kadang marah, kadang-kadang puji tetapi pada akhirnya, beliau sayangkan bola sepak dan negara,” katanya.

Selain Sonuljit, turut kelihatan isteri mendiang Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta anak sulung mendiang, Natassha Kaur, menunggu di luar pagar Jabatan Perubatan Forensik HSA.

Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan Shebby meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri, kira-kira 7.30 malam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Arena bola sepak negara berduka pemergian Shebby Singh

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Penggemar bola sepak tanah air bersedih dengan pemergian bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh, pada usia 61 tahun secara mengejut semalam.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berduka dengan pemergian bintang bola sepak yang pernah mewarnai arena bola sepak negara itu, mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, yang juga dikenali sebagai Shebby Singh, menerusi catatan di Facebook.

“FAM mengucapkan salam takziah kepada keluarga Serbegeth Singh susulan pemergiannya secara mengejut petang tadi. Mendiang Shebby meninggalkan isteri Harbans Kaur yang juga bekas pelari negara serta dua anak, Natassha Kaur dan Sonuljit Singh,” menurut catatan itu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi Bernama, mengesahkan bahawa Shebby Singh meninggal dunia ketika berbasikal di Sunway di Iskandar Puteri lebih kurang pukul 7.30 malam.

Lahir pada 20 Ogos 1960, bakat Shebby yang berasal daripada Kluang, Johor mula dikesan oleh Allahyarham Abdul Shatar Khan, individu yang terkenal dengan reputasi sebagai jurulatih remaja.

Bekas jurulatih pasukan Kuala Lumpur mendiang S. Subramaniam kemudian berjaya memujuk Shebby untuk meninggalkan Johor dan berhijrah menyertai Kuala Lumpur pada 1983.

Menyarung jersi kebangsaan pada kejohanan Piala Presiden Korea Selatan pada 1982, Shebby mengumpul 61 penampilan mewakili negara sehingga persaraannya, selepas beraksi menentang England di Stadium Merdeka pada 1991.

Sepanjang beraksi untuk skuad Harimau Malaya bermula 1982-1991, Shebby telah mewakili negara di tiga temasya Sukan Asia, iaitu 1982 (Delhi), 1986 (Seoul) dan 1990 (Beijing), selain meraih emas Sukan SEA 1989, serta gangsa pada edisi 1985.

Di arena domestik, Shebby dikenali sebagai pemain pertahanan kental sepanjang kerjayanya bersama Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan, sebelum mencipta nama sebagai personaliti televisyen bermula 1997, termasuk untuk saluran Astro SuperSport, FoxSports and ESPN Asia.

Selaku tonggak Kuala Lumpur, Shebby muncul juara liga 1986, 1987, 1988 dan 1989, juara Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, juara Piala FA pada 1993 dan 1994.

Selain menjadi penasihat global Blackburn Rovers pada 2012-2013, Serbegeth pernah menjadi penasihat rancangan realiti, MyTeam serta Malacca Telekom FC, selain menjadi Penasihat Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sementara itu, JDT turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

“Kelab Bolasepak JDT terkejut dengan berita bahawa bekas Penasihat Teknikal JDT dan pemain Johor FA dan Malaysia, Serbegeth Singh telah meninggal dunia. Keluarga JDT ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Serbegeth. ‘Rest in peace’, Shebby,” menurut catatan di media sosialnya, Johor Southern Tigers.

Bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan juga ternyata sedih dengan pemergian Shebby yang merupakan sahabat baiknya, selain menyifatkan berita tersebut sebagai kehilangan besar buat sukan bola sepak negara.

“Kali terakhir kami berhubung sebulan lepas, di mana kami berbincang mengenai kegagalan skuad Harimau Malaya pada aksi Piala AFF 2020 di Singapura tahun lepas.

“Beliau banyak memberi sumbangan khususnya pendapat serta kritikan, yang sebenarnya kadang-kadang tidak masuk akal tapi ia untuk kebaikan bola sepak kita,” katanya yang pernah beraksi bersama Shebby dalam skuad kebangsaan pada tahun 1982.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bola sepak: Malaysia ‘hidup segan, mati tak mahu’ di arena antarabangsa

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 APR: Sukan bola sepak memerlukan proses transformasi di semua peringkat bagi memastikan pembangunan sukan nombor satu negara itu tidak terus tercicir berbanding negara lain.

Pengulas bola sepak terkenal yang juga bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berkata, struktur pembangunan bola sepak ketika ini jelas tidak memberikan hasil diharapkan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Shebby berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan sikap FAM sebagai badan induk bola sepak negara yang tidak boleh menerima kritikan atau cadangan pihak lain.

bola selangor“Dah sampai masa negara memulakan permulaan baru dan satu transformasi. Selama ini, bola sepak kita di peringkat antarabangsa hidup segan mati tak mahu.

“Jadi satu tabiat, kita dipaksa menerima kegagalan. Saya rasa dah tiba masa membuat sesuatu yang berlainan dan lebih drastik kerana mungkin boleh memberi hasil.

“Namun, selagi badan induk tidak berubah, apa yang rakyat boleh buat. Cuma keluar di surat khabar dan televisyen tetapi tiada perbezaan.

“Apa juga yang kita cadangkan tetapi akhirnya terpulang kepada badan induk. Saya dah tengok ramai bekas pemain, peminat dan pihak lain suarakan pendapat tetapi tiada impak,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, baru-baru ini.

Shebby berkata, keadaan itu menyebabkan beliau dan pihak lain tawar hati untuk berkongsi idea serta visi bagi membangunkan bola sepak negara.

shebbyKatanya, negara memerlukan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang dengan sasaran tertentu yang lebih jelas.

“Kalau di Eropah dan Amerika, pendidikan bola sepak sudah dimulakan seawal usia tujuh tahun berbanding 17 tahun di Malaysia.

“Seminggu dua atau tiga kali, anak mereka akan pergi ke kelab main bola sepak. Berbeza dengan anak kita yang bermain di sekolah sahaja. Bila  berumur 19 tahun baru masuk liga belia,” katanya.

Ketika menyentuh penubuhan kelab Myteam beberapa tahun lalu, Shebby berkata, program itu hanya rancangan realiti televisyen sahaja bukan untuk pembangunan bola sepak.

“Kalau ada yang boleh diikut adalah cara pemilihan kerana kami menjelajah ke seluruh negara untuk memberi peluang kepada golongan muda menunjukan bakat masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, kedudukan pasukan bola sepak negara dalam ranking dunia jatuh ke tangga 164 berbanding ranking ke-153 pada Febuari lalu.

-NFN-