Categories
SELANGOR

Graduan Unisel Mudah Dapat Kerja

MB rasmi istiadat konvokesyen ke-7 UNISEL Shah Alam 01

SHAH ALAM 10 MAC : Graduan Universiti Selangor (Unisel) mudah mendapat pekerjaan ini berdasarkan kajian yang dilakukan Kementeri Pengajian Tinggi yang menunjukkan Universiti itu menduduki tempat kedua dalam kebolehan pasaran pekerjaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, statistik itu adalah untuk 2011 yang mencatatkan 76.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar Unisel yang diterima pekerja selepas enam bulan mereka menamatkan pengajian

Ujar Abdul Khalid, peratusan itu meningkat kepada 80.5 peratus pada tahun 2012 yang membuktikan kualiti graduan lepasan Unisel yang mudah menerima kepercayaan majikan.

“Graduan diperingatkan agar dapat menjadi insan cemerlang dan mampu berdikari tanpa mengharapkan bantuan dan sokongan kerajaan semata-mata.

“Adalah menjadi harapan universiti ini agar semua graduannya terus menjadi contoh dan teladan yang terbaik di mana jua mereka berada nanti,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata dalam Majlis Konvokesyen Ketujuh Sidang Kelima Universiti Selangor yang berlangsung di Dewan Pro Canselor di sini.

Ujarnya, graduan Unisel disarankan agar terus menambah ilmu pengetahuan dan tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dikecapi ketika ini kerana perkembangan teknologi yang berkembang pantas.

“Bagi graduan Diploma Kejuruteraan Jepun yang bakal melanjutkan pengajian ke Jepun diharap dapat mencontohi sikap dan budaya kerja orang Jepun yang berdisiplin, berkerajinan tinggi dan bersungguh-sungguh menjalankan tugasan mereka.

“Natiahnya, itu semua menjadikan Jepun maju hinggakan setanding bahkan mampu mengatasi Amerika Syarikat dan Negara Maju di Eropah,” kata Abdul Khalid.

Turut hadir, Canselor, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Duta Besar Jepun Ke Malaysia, Shigeru Nakamura.