Categories
AGENDA GLOBAL

Abe PM Jepun paling lama berkhidmat

TOKYO, 21 NOV: Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berjanji akan melakukan segala usaha bagi menangani matlamat dasarnya seperti menamatkan deflasi, populasi menua dan penurunan kadar kelahiran selain menyemak semula Perlembagaan negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau muncul sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Jepun pada Rabu, yang merupakan hari ke-2,887 perkhidmatannya sejak kembali berkuasa pada 2012 dan tempoh yang singkat antara 2006-2007.

“Saya masih mempunyai tempoh selama dua tahun sebagai presiden Parti Demokratik Liberal (LDP).
“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk melakukan segala usaha bagi menangani matlamat dasar, yang mengingatkan saya pada masa saya baru bermula dan berasa begitu gugup seolah berjalan di atas ais yang tipis,” kata Abe kepada pemberita di pejabatnya.

Abe, 65, berkata terdapat beberapa dasar penting dalam agendanya yang perlu ditangani seperti menamatkan deflasi, populasi menua dan penurunan kadar kelahiran di negara itu selain menyelesaikan cabaran diplomatik yang tidak ditangani sejak Perang Dunia Kedua berakhir.

“Selain itu, menyemak semula Perlembagaan merupakan agenda yang perlu ditangani,” kata Abe.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Abe menang majoriti kerusi dewan negara

TOKYO, 22 JUL: Gabungan parti pemerintah Jepun memenangi majoriti kerusi dalam pemilihan Dewan Negara, semalam lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan.

Bagaimanapun, rancangan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe untuk meminda perlembagaan negara itu gagal kerana beliau tidak dapat mengekalkan majoriti dua pertiga di parlimen, lapor Kyodo News.

Menyentuh perkara itu, Abe menyambut baik keputusan tersebut dan berkata rakyat telah memilih kestabilan politik.

“Kami telah mendapat mandat untuk meneruskan haluan politik kami,” Abe dipetik Kyodo News sebagai berkata.

Keputusan rasmi dijangka diumumkan dalam tempoh seminggu.

Sejumlah 17.6 juta orang telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

Abe, yang memegang jawatan pada 2012, berkata beliau tidak bercadang bertanding untuk tempoh sepenggal lagi pada pilihan raya umum 2021 dan berharap mempunyai peluang untuk meminda perlembagaan Jepun.

Jika satu lagi parti menyokong gabungan pemerintah semasa, Abe boleh mendapat majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk melakukan pindaan.

Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Abe telah memenangi lima pilihan raya parlimen sejak 2012.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M ucap takziah kepada Shinzo Abe, rakyat Jepun

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan ucapan takziah kepada rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe dan rakyat negara itu atas insiden serangan oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau di Kawasaki, berhampiran Tokyo, semalam.

Dalam insiden tersebut di luar sekolah rendah Caritas, seorang suspek berusia 50-an, mengamuk dan menyerang 16 murid yang sedang menunggu bas sekolah, mengakibatkan seorang murid berusia 12 tahun dan seorang lelaki berusia 39 tahun terbunuh.

“Takziah saya kepada @AbeShinzo (Shinzo Abe) dan rakyat Jepun khususnya keluarga mangsa insiden tikaman di Kawasaki semalam.

“ Saya berdoa Jepun akan pulih daripada tragedi ini dan bersabar,” Dr Mahathir berkongsi tweet hari ini.

Dr Mahathir akan memulakan lawatan kerja tiga hari ke Tokyo mulai hari ini bagi menyertai Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-25.

Media melaporkan selepas serangan itu, suspek bersenjatakan dua pisau menikam dirinya di bahagian leher sebelum meninggal dunia di hospital.

— BERNAMA

Categories
GLOBAL

Abe mahu jumpa Jong-un, pulih hubungan diplomatik

TOKYO, 28 JAN: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berikrar ‘meleraikan isu kepercayaan bersama’ dalam pertemuan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, sekali gus memulihkan semula hubungan diplomatik antara dua negara berkenaan.

Ketika berucap pada majlis pembukaan Parlimen, Abe juga berjanji membawa hubungan antara Sino-Jepun ke tahap baharu dan berikrar menyediakan peruntukan bajet yang mampu memperkukuh infrastruktur ekonomi ketiga terbesar dunia itu.

“Saya akan bertindak dengan tegas, tidak akan gagal merebut segala peluang untuk memecahkan kerangka kepercayaan bersama.

“Saya sendiri akan berhadapan dengan Pengerusi Kim Jong-un, untuk menangani isu nuklear dan peluru berpandu dengan Korea Utara, selain isu penculikan,” kata nya.

Bagaimanapun, Abe tidak menetapkan tempoh masa untuk bertemu dengan pemimpin Korea Utara itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibuat selepas Jong-un mengarahkan persiapan dibuat menjelang sidang kemuncak kedua dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dijangkakan pada akhir bulan depan.

– AFP

Categories
NASIONAL

PM Jepun ucap tahniah kepada Tun Mahathir

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 24 MEI: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 dan pembentukan kerajaan baharu Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan berkata, Tun Dr Mahathir menerima panggilan telefon daripada Abe sekitar jam 11.45 pagi, hari ini.

“Abe mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir atas pembentukan kerajaan baharu serta pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

“Dalam perbualan telefon itu, kedua Perdana Menteri berbincang berkenaan cara memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun serta lawatan Tun Dr Mahathir ke Jepun bulan hadapan, pada Persidangan Tahunan Nikkei,” katanya.

Tun Dr Mahathir turut merakamkan penghargaan kepada Jepun atas bantuan diberikan dalam pembangunan Malaysia dan diharapkan kedua negara dapat meneruskan kerjasama.