Categories
EKONOMI PERSONALITI RENCANA RENCANA

Hampir ranap gara-gara beri hutang, usahawan pes tumis kini popular di Shopee

Termangu-mangu Hashima Hassan, 42 melihat angka hutang pelanggan. Hampir mencecah RM50,000. Malah, ada kalangan penghutang telah pun gulung tikar.

Fikirannya berserabut. Kekurangan modal pusingan gara-gara hutang lapuk menyebabkan perniagaannya sukar meneruskan operasi.

“Bagaimana hendak kutip hutang orang yang muflis?” Usahawan pes tumis itu kebingungan saat dihimpit masalah pada 2018 ketika baru dua tahun berniaga.

Hashima menggagahkan diri mengutip hutang. Cuma sebahagian kecil dapat dipungut. Terlintas juga untuk berhenti niaga. Namun, hasrat itu dibuangnya jauh-jauh berkat sokongan ahli keluarga.

Hasilnya, jenama Shimaz Tumisan Bonda kini diiktiraf antara jualan tertinggi di Shopee pada 2021. Produk tanpa pengawet itu juga dipasarkan di pasar raya Segi Fresh dan Kohijrah.

Selain itu, Hashimah juga mengenal pasti kesilapannya. Lantaran mentah dalam selok-belok perniagaan, ibu empat anak itu mudah lembut hati memberi hutang.

Kerenah beberapa restoran dan penjual yang hutang mereka berpukal-pukal hampir meranapkan perniagaannya.

Mujur suami Khairul Azhar Bahari, 43, yang bekerja dalam bidang komunikasi rela berkorban masa dan tenaga. Berbekal sisa modal, mereka menggandakan pemasaran di media sosial dan Shopee. Perniagaan tersebut bangkit semula.

Beri percuma

Shimaz Tumisan Bonda bermula dengan modal permulaan RM800. Hashima menghasilkan empat jenis pes tumisan segera kari ikan, ikan bakar, nasi goreng dan masak lemak secara kecil-kecilan di rumah.

“Mula-mula susah mahu jual. Saya banyak beri percuma kepada jiran, saudara-mara dan kawan-kawan tetapi lama-lama ramai yang beli,” kata beliau kepada Selangorkini di kilangnya di Shah Alam baru-baru ini.

Selepas setahun, Hashima menyewa premis berikutan perniagaan kian berkembang. Beliau mendapat kepercayaan pelanggan besar yang mempunyai jenama sendiri dan pengusaha rangkaian restoran. Mereka menjenamakan semula produk Shimaz Tumisan Bonda.

Pengasas Shimaz Tumisan Bonda Hashima Hassan (kiri) menunjukkan mesin steril bagi memastikan produk pes keluarannya tahan lama di Berjaya Park, Shah Alam pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kesungguhan itu mendapat perhatian Exco Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail yang membantunya memperoleh mesin steril bernilai RM30,000 pada 2019. Mesin tersebut menjadikan produknya bertahan hingga dua tahun tanpa pengawet.

“Kami tidak guna pengawet supaya lebih sedap. Sebab itulah bila ada mesin steril sangat membantu produk tahan lama,” kata Hashima.

Agensi antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Jabatan Pertanian turut memberi geran untuk membeli kelengkapan mesin memasak dan membungkus.

Jualan melonjak

Perniagaannya kian maju. Beliau sekali lagi berpindah ke premis lebih besar di Berjaya Park, Seksyen 32, Shah Alam. Hashima juga meminjam RM5,000 daripada Yayasan Hijrah bagi menambah peralatan di kilang baharu.

Sebuah lagi mesin steril berharga kira-kira RM60,000 dibeli pada April tahun lalu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 1,200 bungkus pes sehari.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020, jualan produknya melonjak sehingga mencecah 11,500 bungkus seminggu.

“Mungkin sebab masa itu orang cuma duduk rumah. Jadi jualan dalam talian melonjak tinggi,” kata Hashima.

Bermula empat jenis produk, jenama Shimaz Tumisan Bonda berkembang kepada 20 produk pelbagai pes tumisan segera.

Beliau juga mampu menggaji sembilan pekerja antaranya golongan fakir miskin dan orang kelainan upaya, sesuatu yang diazaminya ketika mula berniaga.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bayar cukai taksiran MBSJ di Shopee, nikmati potongan 10 peratus

SHAH ALAM, 6 DIS: Orang awam boleh melunaskan bayaran cukai taksiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi aplikasi Shopee dan nikmati potongan 10 peratus.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook memaklumkan tawaran berkenaan bermula sejak 1 Disember lalu sehingga 28 Januari tahun depan.

“Dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti dalam bandar raya ini, MBSJ berkolaborasi bersama Shopee Malaysia dengan memberi ganjaran potongan sebanyak 10 peratus.

“Potongan ini boleh dinikmati melalui kaedah muat turun aplikasi Shopee dan mendaftar sebagai ahli My@MBSJ,” maklum PBT itu.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengimbas kod QR yang tertera untuk mendapat maklumat berkenaan inisiatif itu atau layari portal rasmi MBSJ di http://www.mbsj.gov.my.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pesta Buku Selangor: Manfaatkan pembelian dalam talian, diskaun tinggi ditawar

SHAH ALAM, 3 DIS: Pesta Buku Selangor 2021 menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai salah satu daya tarikan sepanjang program 11 hari itu berlangsung sehingga 12 Disember.

Pengarah projek Mohamed Fadzli Mohd Fauzi berkata menerusi platform Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Shopee, orang ramai berpeluang mendapat diskaun tinggi sekali gus menjimatkan kos pembelian.

“Shopee memang sudah sediakan diskaun khas dan tambah lagi diskaun sempena pesta ini berlangsung. Pengurangan harga mencecah hingga 70 peratus.

“Kaedah ini lebih jimat dan memudahkan pembeli. Mereka hanya perlu membuat tempahan, bayaran dan pesanan akan terus dihantar. Pilihan buku juga banyak,” katanya kepada SelangorKini.

Pengarah projek Pesta Buku Selangor 2021 Mohamed Fadzli Mohd Fauzi. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mohamed Fadzli berkata hampir separuh daripada 121 pempamer di pesta berkenaan susah mempunyai akaun Shopee sendiri.

Sementara itu, beliau berkata satu pasukan khas akan mempamerkan sepanduk bagi menasihati pengunjung agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Bila pengunjung nampak (sepanduk) secara automatik mereka akan peka tentang keperluan mematuhi SOP seperti penjarakan sosial serta pemakaian topeng muka.

“Bagi mengawal kemasukan pengunjung ke ruang pameran, kita sediakan 20 kakitangan termasuk anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk memantau aliran trafik. Kita jangka ramai pengunjung pada hari minggu,” katanya.

Pesta buku itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dibuka bermula jam 10 pagi hingga 9 malam manakala Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan selain menampilkan beberapa tokoh dan selebriti antaranya angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung turut berpeluang memenangi cabutan bertuah hadiah wang tunai RM500 setiap hari.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pesta Buku Selangor sedia khidmat pembelian di Shopee, Seldec

SHAH ALAM, 24 NOV: Orang ramai berpeluang membuat pembelian bahan bacaan di Pesta Buku Selangor 2021 secara dalam talian menerusi platform Shopee dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor berkata perkhidmatan itu memudahkan masyarakat mendapatkan buku sekiranya tidak berkesempatan hadir ke program yang bermula pada 2 Disember nanti.

“Untuk Shopee, pempamer akan melakukan penghantaran sendiri manakala Seldec pula dihantar oleh penghantar mereka dengan kadar amat murah berbanding perkhidmatan penghantaran lain.

“Manakala, bagi pengunjung yang hadir pula mereka juga diberi kemudahan pembayaran tanpa tunai kerana penganjur menyediakan kod QR,” kata Datin Paduka Mastura Muhamad kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau memaklumkan Pesta Buku 2021 kali ini melibatkan 121 pempamer dan julung kali diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian.

“Orang ramai khususnya pencinta buku perlu menggunakan platform ini untuk sama-sama mendapatkan pelbagai bahan tersebut yang menarik dengan harga berpatutan.

“Pengunjung tidak perlu risau kerana tatacara operasi piawai (SOP) juga ketat kerana kita hanya membenarkan 2,000 pengunjung masuk dalam satu-satu masa,” katanya.

Pesta Buku Selangor 2021 berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini mulai 2 hingga 12 Disember depan menawarkan lebih 200,000 buku dari dalam dan luar negara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Percuma! Dapatkan baucar pelancongan RM100 mulai tengah malam ini

SHAH ALAM, 21 OKT: Baucar Pelancongan Selangor 2.0 bernilai RM100 setiap satu boleh ditebus mulai tengah malam ini menerusi aplikasi beli-belah terkenal Shopee.

Tourism Selangor menerusi Twitter memaklumkan  10,000 baucar ‘Pusing Selangor Dulu’ dengan peruntukan RM1 juta boleh ditebus sehingga 31 Disember ini dan sah digunakan hingga 30 Jun tahun depan.

Baucar berkenaan boleh digunakan untuk membeli lebih 170 pakej pelancongan menarik yang ditawar 35 agensi pelancongan negeri.

Semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun layak menebus baucar yang terhad kepada satu transaksi tersebut menerusi ‘ShopeePay’.

Tourism Selangor menjelaskan kemudahan itu tidak boleh diganti produk lain. Penggunaan dihentikan setelah baucar habis atau tempoh kempen berakhir.

Baucar tersebut yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dilancar EXCO Pelancongan Hee Loy Sian pada 5 Oktober.

Dengan peruntukan RM2.55 juta, fasa pertama program berlangsung mulai Januari yang menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Maklumat lanjut, layari pautan selangor.travel 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: 10,000 baucar pelancongan disedia untuk penduduk Selangor

SHAH ALAM, 20 SEPT: Penduduk Selangor disaran tidak melepaskan peluang mendapatkan Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 yang bakal dilancar Oktober ini.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata baucar pelancongan percuma sebanyak 10,000 bernilai RM100 itu hanya boleh didapati di platform e-dagang Shopee.

“Baucar ini akan dilancar pada Oktober dan boleh digunakan serta-merta selain keistimewaan diberi untuk rakyat Selangor sahaja.

“Tujuan kita berikan kepada rakyat negeri ini kerana buat masa ini kebenaran rentas negeri tidak dibenarkan selain merancakkan industri pelancongan dalam Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 9 September Loy Sian memaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan 10,000 Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 bagi merancakkan aktiviti sektor berkaitan susulan Selangor beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Loy Sian berkata sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan berkenaan dengan setiap baucar bernilai RM100 yang boleh digunakan mulai Oktober depan.

Sebelum ini menerusi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 1.0, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta yang diagihkan kepada umum pada Januari lalu melalui Lazada dan Touch ‘n Go e-wallet.

Pada 18 Disember tahun lalu, Selangor melancarkan program Penebusan Subsidi Baucar Pelancongan bernilai RM200 setiap satu.

Pengagihan membabitkan 10,000 baucar untuk menginap di hotel, taman tema dan inap desa berlesen.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama Shopee, Lazada bantu peniaga kompleks PKNS

SHAH ALAM, 3 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan bekerjasama dengan Shopee dan Lazada bagi mempromosikan produk peniaga di Kompleks PKNS Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama itu dicadangkan berikutan penyedia platform e-dagang itu menjadi trend pembelian pada masa kini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menjelaskan penganjuran jualan penghabisan stok juga boleh dirancang sebagai langkah membantu peniaga berkenaan.

“Kursus-kursus perniagaan secara dalam talian juga boleh diberikan kepada peniaga sebagai persediaan bagi menjalankan perniagaan di waktu pendemik ini,” katanya.

Amirudin menjawab soalan wakil rakyat Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berhubung perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu peniaga dapat terus menjalankan perniagaan pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Pada 23 Jun lalu, Amirudin mengumumkan empat kempen e-dagang Kerajaan Negeri menghasilkan kesan ekonomi RM2.95 bilion kepada negeri serta RM144.7 juta jualan terus.

Kempen dengan kerjasama Shopee dan Lazada yang membabitkan pelaburan RM7 juta turut menarik 294,119 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk 74,837 peniaga baharu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Shopee, Fama jalin kerjasama elak kes penipuan durian

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Inisiatif penjual durian memilih memasarkan jualan mereka secara dalam talian kerana jangkaan kemuncak musim pada pertengahan bulan Julai, menyebabkan kes penipuan atau scam melibatkan raja buah itu muncul.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang membeli dari Shopee tidak perlu bimbang kerana platform e-dagang akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memperkasakan pekebun dan penjual durian yang sah melalui kempen e-Fiesta Durian.

Pengurus Kanan (Pemasaran) Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata kerjasama itu telah mendigitalkan 211 penjual durian dan telah membantu dalam persediaan mereka menjelang kempen e-Fiesta Durian.

“Kami difahamkan terdapat banyak penipuan berkaitan durian di media sosial dan kami di sini untuk memberi jaminan kepada pengguna supaya tidak takut kerana semua transaksi di Shopee dilindungi oleh polisi Jaminan Shopee kami,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau menambah, polisi itu akan memastikan Shopee menahan bayaran secara escrow sehingga pembeli mengesahkan bahawa barangan yang diterima adalah tulen dan dalam keadaan baik sebelum wang itu dikeluarkan kepada penjual.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata dalam proses mereka untuk menormalkan penjualan dan pembelian produk pertanian secara dalam talian akibat pandemik ketika ini, ia telah bekerjasama dengan Shopee untuk meneruskan e-Fiesta Durian mereka untuk tahun kedua.

“Berdasarkan rekod kempen bersama kami sebelum ini, kerjasama antara FAMA dan Shopee mencatatkan pulangan pelaburan sehingga lapan kali ganda yang secara langsung memberi manfaat kepada pekebun dan penjual durian,” katanya.

Kempen e-Fiesta Durian akan berlangsung dari 10 hingga 31 Julai dengan baucar diskaun menarik sehingga 50 peratus, diskaun RM15 dengan perbelanjaan minimum RM60 dan potongan RM30 dengan perbelanjaan minimum RM100 yang boleh dituntut melalui mikrosit eFAMAPLACE.

Layari mikrosit eFAMAPLACE melalui portal dalam aplikasi Shop Malaysia di Shopee atau lawati – https://shopee.com.my/m/efama

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Shopee kutip lebih RM200,000 zakat fitrah

PUTRAJAYA, 7 MEI: Platform e-dagang Shopee telah bekerjasama dengan tiga institusi zakat iaitu Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sempena bulan Ramadan ini.

Sehingga kini, kerjasama tersebut telah berjaya menarik lebih 10,000 pengguna dalam kalangan umat Islam membayar zakat fitrah secara dalam talian menerusi platform itu.

Pengarah Urusan Serantaunya Ian Ho berkata jumlah pembayaran yang direkodkan bagi tempoh 12 April hingga kini ialah kira-kira RM200,000.

“Selain memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, platform kami (Shopee) tidak mengenakan sebarang bayaran perkhidmatan kepada pelanggan.

“Para pengguna hanya perlu memilih pembayaran zakat melalui ‘Deals, Top-ups & Bills’ dalam aplikasi Shopee dan ikuti langkah-langkah mudah yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga menyasarkan untuk menjalin kerjasama dengan semua institusi zakat di seluruh negara pada masa hadapan.

Ho berkata Shopee akan terus berusaha meningkatkan komitmen memudahkan umat Islam khususnya bagi menunaikan zakat fitrah untuk disalurkan kepada golongan memerlukan lebih-lebih lagi ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Pengguna setia Shopee Nur Hazwani Ishak pula berkata beliau memanfaatkan kemudahan itu tahun ini memandangkan ia memudahkan pengguna kerana dapat membayar zakat fitrah pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi platform e-dagang tersebut.

“Pengguna tidak perlu risau, proses pembayaran adalah sama seperti kaedah bersemuka. Ia mudah, hanya masukkan jumlah zakat fitrah yang ingin dibayar dan akan ada ‘pop-up’ niat menunaikan zakat sebelum meneruskan transaksi,” katanya.

Hazwani juga memaklumkan bahawa beliau menerima resit transaksi daripada institusi zakat sejurus membuat pembayaran.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Industri pelancongan tunjuk tanda pemulihan – Shopee

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Platform e-dagang Shopee menunjukkan isyarat pemulihan dalam industri pelancongan Malaysia susulan sambutan yang menggalakkan bagi kempen Tourism Malaysia di platform itu.

Katanya, sebanyak 22,000 tawaran “Jom Cuti-Cuti Malaysia! Experience Malaysia Like Never Before” direbut sejak larangan sekatan perjalanan antara daerah diumum untuk ditamatkan pada 2 Mac dan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ini amat menggalakkan berbanding 500 transaksi terkumpul yang dibuat antara 11 Jan (apabila PKP 2.0 diumumkan) dan 1 Mac,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shopee bekerjasama buat kali pertama dengan Tourism Malaysia dalam kempen ini pada Disember dan dilancarkan semula baru-baru ini selepas terhenti selama dua bulan.

Menurutnya, permintaan pelancongan telah mendorong aktiviti bercuti inap dalam kalangan penduduk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Sabah dan Johor yang menyumbang kepada purata sebanyak 75 peratus daripada keseluruhan permintaan tawaran itu di negeri-negeri berkenaan.

Malah, katanya, rakyat Malaysia juga menzahirkan keyakinan bahawa sempadan negeri akan dibuka semula terutamanya dari Sarawak, Terengganu dan Melaka yang memilih tawaran “Buy Now, Travel Later.”

Shopee berkata destinasi terkenal adalah termasuk Aquaria KLCC di Kuala Lumpur; Sunway Lagoon dan Zoo Negara di Selangor; dan Rainbow SkyWalk di The Top Penang dan Wonderfood Museum di Pulau Pinang.

Turut disenaraikan sebagai destinasi popular ialah Port Dickson, Negeri Sembilan untuk aktiviti seperti memancing, snorkeling dan ‘banana boat ’, manakala aktiviti hotel, pelancongan dan rekreasi di Langkawi, Kedah,

“Kami akan terus memainkan peranan kami untuk menghubungkan rakyat Malaysia dengan pemilik hotel dan pengendali pelancongan menerusi teknologi untuk menyumbang kepada kelestarian industri ini.

“Permintaan yang kukuh ini menunjukkan rakyat Malaysia mahu dan perlu berehat selepas pendekatan untuk duduk di rumah dilanjutkan,” kata Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho.

Sementara itu, Shopee berkata berikutan peningkatan kunjungan ke pusat beli-belah, kempen 4.4 ‘Mega Shopping Day’ Shopee akan menawarkan e-baucar sehingga 50 peratus daripada penyewa yang turut serta di Mid Valley Megamall KL dan The Mall dan Mid Valley Southkey Johor Bahru.

Katanya, kempen itu menawarkan penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM4, tawaran potongan 95 peratus setiap hari, baucar, permainan, persembahan Shopee Live oleh penyanyi tempatan serta pelancaran kerjasama eksklusif antara label fesyen dan selebriti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada vaksin Covid-19 Pfizer dijual di platform Shopee

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Platform pembelian secara dalam talian Shopee menafikan pihaknya menawarkan vaksin Pfizer’s Covid-19 untuk jualan, sebagaimana yang dipaparkan menerusi satu foto yang tular di Twitter dan WhatsApp sejak beberapa hari lepas.

Shopee dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pihaknya tidak dapat mengesan sebarang senarai jualan barang berkenaan di platform mereka.

“Penulis twit itu mengesahkan bahawa imej dalam foto berkenaan sebenarnya telah diubah suai, dan ia sememangnya palsu. Imunisasi Covif-19 adalah perkara yang berkaitan kesihatan negara, ia tidak seharusnya dianggap perkara remeh,” menurut kenyataan itu semalam.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengesahkan bahawa berita mengenai penjualan vaksin itu adalah palsu.

Shopee turut mengingatkan pihak yang menyebar maklumat palsu mengenai vaksin itu bahawa perkara berkenaan sedang dipantau oleh polis dan MCMC.

“Dua hari lepas, satu gambar palsu yang kononnya menunjukkan penjualan vaksin Covid-19 Pfizer di Shopee telah menjadi tular, dan ia disertakan dengan maklumat kononnya vaskin itu dijual pada harga RM63.88,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kempen sedekah Yide di Shopee cecah RM2,000

SHAH ALAM, 4 FEB: Kempen Infaq Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) melalui laman e-dagang terkemuka Shopee mencecah sebanyak RM2,000 setakat ini.

Pengurus besarnya berkata kempen belian baucar RM10 dan RM25 sejak November tahun lalu terus mendapat sambutan mengalakkan dari orang ramai.

“Berikutan sambutan baik, kita akan teruskan program ini dan menampilkan selebriti dakwah terkenal Ustaz Don Daniyal sebagai Ikon Mahabbah Yide,” kata Nur Mohd Razali Abdullah kepada SelangorKini.

Beliau berkata sumbangan orang ramai akan disalurkan kepada empat jenis infaq iaitu dana musibah, dana dialisis, dana anak yatim dan dana kompleks anak yatim.

Menurutnya, setiap pembelian baucar disertakan resit rasmi untuk melayakkan penyumbang menerima pelepasan cukai individu Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Orang ramai boleh melayari https://shopee.com.my/yide_official untuk pembelian.