Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

e-Bazar Tahun Baharu Cina mulai 1 Februari, sasar 25,000 peniaga kecil

SHAH ALAM, 26 JAN: Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina menyasarkan penyertaan 25,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro termasuk 12,500 penjual baharu.

EXCO industri dan perdagangan berkata kempen jualan dalam talian itu akan berlangsung dari 1 Februari hingga 7 Mac dengan baucar bernilai RM2 juta disalur kepada laman dagang Shopee dan Lazada.

“Shopee dan Lazada akan terus merancakkan promosi untuk program ini. Justeru, kita berharap pendaftaran usahawan mendapat sambutan menggalakkan,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media hari ini.

Beliau menambah inisiatif tersebut membantu PKS dan usahawan mikro menerapkan pendigitalan dalam perniagaan terutama mendepani cabaran pasca Covid-19.

Menurutnya, kempen itu menyediakan platform yang selamat untuk pengguna mendapatkan pelbagai jenis barangan dengan harga berpatutan.

“Kita berharap kempen ini memberi semangat dalam meraikan Tahun Baharu Cina walaupun dalam situasi tidak mengizinkan,” katanya.

Chang Khim menambah kempen Selangor E-Bazar Raya dan Selangor E-bazar 11.11 Jualan Mega tahun lalu yang mencatat jualan jutaan ringgit membuktikan agenda ekonomi digital membantu ramai peniaga.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif tersebut menghasilkan kesan riak sebanyak RM1.39 bilion melalui jualan terus sebanyak RM43.76 juta.

Perolehan itu berdasarkan pemberian RM3 juta baucar oleh Kerajaan Negeri kepada Shopee dan Lazada.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Mufti Selangor: Sah bayar zakat guna Shopee, ikut hukum syarak

SHAH ALAM, 25 DIS: Pungutan zakat melalui platform e-dagang Shopee sah pada sisi agama dan tidak melanggar hukum syarak, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid menjelaskan syarikat itu tidak dilantik sebagai amil, sebaliknya hanya ejen kutipan bagi memudahkan urusan bayaran zakat.

Beliau berkata proses tersebut juga tidak melibatkan sebarang urusan akad yang wajib diuruskan oleh amil beragama Islam sahaja.

“Hanya kaedah pembayaran mereka (Shopee) sahaja digunakan bagi memudahkan proses zakat kerana masyarakat kini lebih selesa menggunakan transaksi dalam talian.

“Saya difahamkan upah syarikat itu dibayar oleh amil dan bukan ambil 1/32 atau 1/16 dari jumlah (zakat) dikutip mereka,” katanya kepada SelangorKini sambil menambah bayaran zakat tetap sah tanpa lafaz akad.

Kenyataan itu susulan pertikaian Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia semalam berhubung peranan sebenar Shopee di sebalik proses memungut zakat.

Presidennya Zamihan Mat Zin turut mempersoal kadar upah diterima portal tersebut, sama ada ia menguntungkan mana-mana pihak atau tidak.

Bermula 18 Disember, Lembaga Zakat Selangor melantik syarikat e-dagang terkemuka itu sebagai ejen kutipan zakat bagi memudahkan urusan umat Islam negeri ini.

Kaedah sama turut dilaksana pusat pungutan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS lantik Shopee jadi ejen kutip zakat

SHAH ALAM, 12 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik platform e-dagang, Shopee sebagai ejen kutipan zakatnya bagi memudahkan bayaran zakat dilakukan oleh umat Islam di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata melalui melalui aplikasi Shopee itu, umat Islam di Selangor kini boleh menunaikan zakat harta dan zakat fitrah tanpa had dan dilakukan pada bila-bila masa, mulai 18 Dis ini.

“Para pengguna hanya perlu memilih pembayaran zakat melalui ‘Deals, Top-ups & Bills’ dalam aplikasi Shopee dan ikuti langkah-langkah mudah yang diberikan.

“Pembayaran zakat boleh dilakukan melalui e-dompet ShopeePay, kad debit, perbankan atas talian dan pembayaran secara tunai di kaunter 7-Eleven,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saipolyazan kempen membayar zakat melalui platform Shopee juga akan berlangsung mulai 22 Dis hingga 31 Dis depan, dengan 1,000 pembayar zakat terawal akan dipilih setiap hari untuk menerima 200 syiling Shopee, sepanjang tempoh kempen.

“Pelantikan Shopee yang merupakan platform e-dagang pertama seumpamanya bekerjasama dengan LZS, adalah tepat pada masanya.

“LZS sentiasa mempelbagaikan saluran bayaran bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat dengan selamat, lebih-lebih lagi dalam situasi norma baharu kini. Kerjasama ini dijangka akan dapat membantu ramai pengguna Shopee terutamanya dalam kalangan Muslim menunaikan zakat,” katanya.

Tambahnya, melalui aplikasi berkenaan umat Islam berkemampuan dan memenuhi syarat zakat, dapat sama-sama membantu kelangsungan hidup golongan asnaf di Selangor yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kempen 11.11 Jualan Mega Shopee, Lazada rekod jualan RM30 juta

SHAH ALAM, 4 DIS: Kempen beli-belah dalam talian, e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega merekod hasil jualan sebanyak RM30 juta, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif tersebut berjaya membantu peniaga menjana semula pendapatan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Nilai jualan ini menunjukkan perniagaan dalam talian semakin berkembang serta mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan, jadi peniaga perlu memanfaatkan peluang.

“Kerajaan Negeri komited membantu peniaga meneroka ruang e-dagang kerana digitalisasi memberi harapan kepada kita untuk memulihkan ekonomi lebih cepat,” katanya dalam ucapan secara maya pada Majlis Penyampaian Hadiah Malaysia Top E-Commerce Merchant Award 2020 semalam.

Beliau berkata program beli-belah dalam talian bersama Shopee dan Lazada itu mencatat kesan limpahan ekonomi bernilai RM700 juta.

Selangor menganjurkan kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega selama sebulan bermula 26 Oktober dengan peruntukan RM2 juta.

Program itu bertujuan mendorong sektor perusahaan kecil dan sederhana memanfaat pendigitalan dalam perniagaan, sementara kedua-dua syarikat e-dagang terbabit menerima subsidi baucar RM1 juta.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga tradisional, e-dagang wujud bersama teguhkan ekonomi – UOB

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Perniagaan tradisional terus wujud bersama e-dagang, berikutan perniagaan menyepadukan strategi luar talian dan dalam talian untuk mengatasi perubahan dibawa norma baharu dan memanfaatkan potensi ekonomi digital.

Ketua Pengurusan Jualan Shopee Zed Li berkata platform e-dagang Shopee telah menerajui dalam menyepadukan lebih 1,000 perniagaan tradisional dengan pusat beli-belah, pawagam, kedai makanan dan minuman (F&B) dan banyak lagi di seluruh negara, untuk mengukuhkan ekosistem dan maju ke hadapan walaupun menghadapi cabaran ekonomi.

“Sumbangan e-dagang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik daripada RM89 bilion pada 2015 kepada RM127 bilion atau 8.4 peratus daripada KDNK pada 2019.

“Walaupun sumbangan daripada jualan runcit dalam talian kepada keseluruhan jualan masih kecil, ia mempunyai ruang untuk pertumbuhan yang kukuh,” katanya pada taklimat media mengenai “E-commerce and Brick-and-Mortar to Co-exist for Economic Vigour” melalui youtube hari ini.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia Julia Goh berkata terdapat banyak yang perlu dilakukan berikutan ekonomi mengalami kerugian yang dijangka berjumlah sehingga RM67 bilion susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pada 2021, menyumbang sehingga 60 peratus daripada KDNK Malaysia.

“Oleh itu, sektor runcit dan perkhidmatan luar talian perlu mencari jalan untuk menghadapi persekitaran pasca pandemik berikutan kadar pengangguran yang tinggi boleh membawa kepada kuasa beli yang rendah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Jualan Shopee Malaysia Zed Li berkata Shopee akan terus menyokong komuniti perniagaan — sama ada syarikat besar atau peniaga mikro — dengan insentif penjual dan pendidikan e-dagang seperti ‘12.12 Free E-commerce Workshops’ mengenai celik digital dan cara untuk meningkatkan jualan dan pendedahan.

Beliau berkata selain menyokong perniagaan, platform e-dagang itu mendapatkan sokongan untuk golongan yang kurang bernasib baik dan memberi ganjaran kepada pengguna melalui 12.12 Birthday Sale melalui “#ShopeeGivesBack Charity Initiative”.

“2020 membuka mata kita dan menunjukkan kepada kita kepentingan dan keupayaan teknologi yang membawa kepada perubahan positif.

“Kami terus komited menjana pertumbuhan e-dagang pada 2021 dan seterusnya membawa sentuhan manusia kepada membeli-belah secara dalam talian, mewujudkan perjalanan pelanggan yang lancar melalui pembayaran dan logistik bersepadu, libat urus dan pengalaman inovatif yang memberi nilai tambah kepada keseluruhan perjalanan Shopee,” katanya.

Di samping itu, Shopee turut memperkenalkan jenama baharu acara permainan secara langsung, Shopee Kotak Duit yang memberi ganjaran kepada pengguna sehingga RM12,000 secara ‘cold hard cash’.

Diadakan di Shopee Live pada 9 malam setiap Isnin hingga Khamis, dengan sesi khas pada 11-12 Disember, pengguna bertuah diminta menjawab satu soalan mudah dan diberi peluang untuk membuka satu daripada enam kotak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Banyakkan kerjasama pintar laksana program bantu rakyat

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan Negeri perlu menyertai lebih banyak kerjasama pintar dengan syarikat terkenal bagi membolehkan pelaksanaan program lebih berkesan kepada rakyat

EXCO pembangunan usahawan berkata antara kerjasama pintar paling berjaya adalah menerusi Selangor e-Bazar Raya bersama Shopee yang mencecah hasil jutaan ringgit.

“Modal disuntik Kerajaan Negeri bagi program berkenaan adalah RM1 juta tetapi kemudiannya dapat menjana pendapatan lebih dari RM300 juta, jadi perkongsian pintar sebegitu bukan saja berkesan kepada rakyat tetapi menjadikan ia lebih bermanfaat.

EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail membentangkan rumusan ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia Alam, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sekiranya tiada perkongsian pintar sebegini, tidak mungkin kita mampu pergi lebih jauh,” kata Rodziah Ismail ketika sesi rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Rodziah yang juga EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi berkata pihaknya turut menjalankan kerjasama pintar bersama perbankan bagi membangunkan program fertigasi penanaman lada.

“Bagi program berkenaan, Agro Bank tawarkan perkhidmatan pinjaman kepada mereka yang berminat untuk menyertai program berkenaan, jadi ia salah satu contoh kerjasama pintar yang baik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

6,000 usahawan digital baharu wujud ketika PKP – Shopee

SHAH ALAM, 7 SEPT: Seramai 6,000 usahawan digital baharu wujud hasil usaha sama Kerajaan Negeri dan Shopee dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil platform jualan dalam talian itu berkata mereka dilahirkan dalam tempoh dua bulan sahaja ketika Kempen Selangor e-Bazar Raya pada Mei lalu.

“Krisis Covid-19 membuktikan betapa pentingnya e-dagang sebagai jaringan kepada penduduk dan juga usahawan. Malah ia menjadi pendapatan utama usahawan ketika PKP.

“Menyedari pentingnya perkara berkenaan, Shopee sebagai pemain industri terbesar di Malaysia menjalin kerjasama dengan Selangor untuk membantu usahawan mendigitalkan perniagaan mereka. Dan Selangor e-Bazaar adalah contoh kerjasama paling berjaya membantu usahawan berkenaan,” katanya pada Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Pada Mei lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Selangor e-Bazar Raya bersama Shopee bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan mikro memulihkan perniagaan mereka yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Menerusi kerjasama itu, platform terbabit memberi sokongan bernilai RM1 juta dalam bentuk alat pemasaran termasuk siaran langsung, Jualan Kilat Shocking Sale dan penghantaran percuma RM19 untuk penjual baharu.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Shopee lancar kempen jualan 9.9 susulan kejayaan 8.8

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Acara beli-belah dalam talian Festival Jenama 8.8 (8 Ogos) Shopee berakhir dengan amat menggalakkan, termasuk mencatat jualan lima juta helai pelitup muka dalam tempoh sehari.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata antara yang mendapat permintaan ketara pada acara beli-belah itu termasuk produk penjagaan kebersihan, barangan runcit, aksesori mudah-alih dan perkakasan rumah.

Malah, beribu-ribu helai bendera Jalur Gemilang turut dibeli kalangan rakyat patriotik bersempena sambutan Hari Kebangsaan bagi tujuan menghias rumah, sekolah dan restoran.

“Pada 8 Ogos lepas, kami mencatatkan jualan lima juta pelitup muka tiga lapisan. Malah, produk pelitup muka itu antara salah satu jualan paling laris.

“Barangan runcit, perkakasan dan keperluan dapur seperti periuk tekanan, penggoreng berasaskan udara, cecair basuh baju dan produk lain termasuk tisu basah untuk bayi, kotak (rak) kasut terus mendapat permintaan ketara,” katanya kepada Bernama semalam.

Ho berkata sambutan yang amat menggalakkan ketika Festival 8.8 itu juga dipacu oleh beberapa faktor seperti tawaran menarik RM8 ketika acara Jualan Kejutan yang merentasi semua kategori dan penghantaran percuma dengan hanya berbelanja serendah RM10 bagi tempoh jam 12 pagi hingga 2 pagi serta baucar diskaun 50 peratus pada 8 Ogos tersebut.

Faktor lain termasuk kempen jenama bersama dikenali Hari Jenama Terhebat membabitkan Shopee berserta 15 jenama lain dengan tawaran menarik untuk para pengguna.

Selain itu, susulan kejayaan tersebut, platform beli-belah popular itu kini melancarkan acara jualan tahunannya yang merupakan edisi kelima penganjurannya – Hari Beli-Belah Terhebat sehingga 9 September 2020.

“Banyak yang ditawarkan untuk rakyat Malaysia termasuk penghantaran percuma setiap hari dengan perbelanjaan minimum serendah RM9; Jualan Kejutan setiap hari dengan tawaran RM9, baucar diskaun 50 peratus serta peluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM99,000 dengan menyertai acara Permainan Shopee,” katanya.

Ho berkata Shopee turut bekerjasama dengan kerajaan bagi menyediakan penyelesaian e-dagang serta membolehkan pelaksanaan digitalisasi perniagaan terutama bagi mereka yang mempunyai premis konvensional dan berteraskan objektif untuk memacu pemulihan ekonomi.

Bagi mencapai sasaran itu, kerajaan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah melancarkan beberapa inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Ini termasuk Kempen E-Dagang PENJANA Perusahaan Mikro dan Kecil dan Sederhana (PMKS) dan Shop Malaysia Online bagi membantu perniagaan mengembangkan saluran dagangan dalam talian mereka menerusi pendedahan dalam Shopee dan baucar diskaun.

“Tidak ketinggalan, usaha mendorong penggunaan domestik dalam kalangan pengguna Malaysia menerusi potongan harga, baucar dan wang tunai melalui dana yang diperuntukkan oleh kerajaan,” katanya.

Malah, lebih daripada 36,000 perniagaan di platform itu telah meraih manfaat menerusi Kempen E-Dagang PMKS PENJANA berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor e-Bazar Raya capai 341.5 juta, jauh langkaui sasaran RM8 juta

SHAH ALAM, 29 JULAI: Program e-Bazar Raya Selangor bersama Shopee mencatatkan pulangan RM341.5 juta, jauh melangkaui sasaran awal RM8 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata angka itu berdasarkan kesan riak (ripple effect) melalui peruntukan baucar RM1 juta kepada pelanggan platform e-dagang itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kesan riak sebanyak 341 peratus merangkumi ekonomi, sosioekonomi dan penjenamaan produk perniagaan.

“Angka ini jauh lebih tinggi berbanding sasaran awal Kerajaan Negeri sekitar RM8 juta,” katanya pada sidang media Selangor e-Bazar Bersama Shopee di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan kempen dua bulan sejak 4 Mei lalu disertai 8,400 usahawan, 6,400 daripadanya golongan konvensional yang ada wadah e-dagang manakala 2,000 lagi peniaga aktif sedia ada.

“Hasil langsung daripada sokongan RM1 juta berjaya menjana jualan sebanyak RM11.7 juta. Ini menandakan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 12 kali ganda,” katanya.

Beliau berkata jualan paling laris ialah barangan runcit dan haiwan peliharaan, telefon pintar dan gajet, bayi dan permainan, kesihatan dan kecantikan, fesyen muslimah serta kelengkapan rumah.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan rakyat bersedia mempraktik amalan digitalisasi dalam kehidupan selaras hasrat menjadikan Selangor Negeri Pintar 2025.

“Dengan prestasi sebaik ini, saya yakin strategi digitalisasi bakal menjadi penjana baharu ekonomi Negeri Selangor sekali gus membantu peniaga-peniaga tempatan yang terjejas dari segi perniagaan dan pendapatan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Kempen Selangor e-Bazar Raya bersama Shopee merupakan kerjasama julung kali antara Kerajaan Negeri dengan pengendali laman e-dagang terkemuka bagi membantu peniaga terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi kerjasama itu, Shopee memberi sokongan dalam bentuk alat pemasaran termasuk siaran langsung, Jualan Kilat Shocking Sale dan penghantaran percuma RM19 untuk penjual baharu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Shopee: Kerjasama pesta buku dalam talian buka potensi lebih besar

SHAH ALAM, 30 JUN: Laman e-dagang terkemuka, Shopee berharap penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 secara dalam talian membuka peluang lebih besar untuk bekerjasama dengan syarikat penerbitan lain di masa hadapan.

Pengarah urusan serantaunya berkata pihaknya berbesar hati menerima tawaran kolaborasi bersama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan Majlis Kebangsaan Buku Malaysia (MKBM) untuk menganjurkan pesta buku dalam talian buat julung kalinya.

“(Kolaborasi) ini bukan sahaja cara kami membantu dan menyumbang kepada sektor ekonomi di samping memenuhi keperluan pengguna tetapi kami turut serta dalam agenda nasional bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat,” kata Ian Ho ketika dihubungi SelangorKini.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 dalam talian sehingga 8 Julai hadapan  sebahagian kempen Jualan Pertengahan Tahun Shopee 7.7 dengan tawaran khas RM7 pembelian buku .

Beliau berkata pihaknya sedia maklum pelajar terpaksa meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian dan memerlukan bahan rujukan sesuai ketika belajar di rumah sepanjang tempoh membendung penularan Covid-19.

Ian menjelaskan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 dalam talian sehingga 8 Julai hadapan adalah sebahagian daripada kempen Jualan Pertengahan Tahun Shopee 7.7 dengan tawaran khas RM7 bagi pembelian buku kegemaran.

Selain itu, terdapat juga baucar Masa Terhad 50 peratus untuk membeli buku cerita, buku aktiviti, buku motivasi diri dan komik.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

E-bazar raya Selangor bersama Shopee bantu PKS, tawar insentif

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta dalam bentuk baucar potongan harga untuk program e-bazar raya Selangor dengan kerjasama pengendali e-dagang terkemuka, Shopee, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama itu menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro di Selangor memasarkan produk secara dalam talian selain menjana pendapatan ketika musim perayaan selepas terjejas akibat wabak Covid-19.

Beliau berkata Shopee akan turut menyalurkan lebih daripada sejuta pakej dan ditambah dengan RM12 juta diumumkan sebelum ini untuk membantu usahawan berkaitan yang menjual menerusi landasannya sekali gus menyaksikan e-bazar raya Selangor menawarkan insentif tiga kali ganda kepada pembeli.

“Program ini juga memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan keperluan sempena musim perayaaan Aidilfitri seperti kuih-muih, barangan kelengkapan rumah, pakaian dan sebagainya dengan pelbagai pilihan serta murah.

“…Shopee Malaysia kini mempunyai 800,000 penjual aktif. Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pihak swasta yang berwibawa dan efisien demi mencapai tujuan membantu perusahaan PKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata e-bazar ini akan berlangsung selama dua bulan bermula Mei hingga Jun depan dengan sasaran membantu 3,000 peniaga konvensional memiliki landasan e-dagang di samping 2,000 peniaga e-dagang sedia ada.

“Sepanjang program ini, Shopee akan menyediakan satu laman istimewa (microsite) untuk mempromosikan produk peniaga yang mengikutinya dengan menggunakan kaedah ‘livestream’, jualan mengejut (shocking sales), pemberian baucar dan penghantaran percuma bagi pembelian minimum RM19 dan ke atas,” katanya.

Peniaga yang berminat menyertai e-bazar raya Selangor bersama Shopee boleh mendaftar secara percuma di http://tiny.cc/selangorebazar

Categories
NASIONAL

Tiket Final Piala FA di Shopee bermula esok

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Penyokong pasukan Kedah dan Perak boleh mendapatkan tiket final Piala FA 2019 yang akan berlangsung pada 27 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, secara dalam talian di Shopee bermula esok.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Shopee menerusi kenyataan bersama berkata, pengguna baharu platform itu juga berpeluang menikmati diskaun sebanyak RM8 dengan memasukkan kod SHMFL1ST ketika pembelian.

“Dengan hampir 10,000 tiket dijual pada final Shopee Piala FA tahun lalu, MFL memiliki perancangan untuk mencapai pertumbuhan 50 peratus dalam jualan tiket dalam talian. Pada 2018, Shopee menjual lebih 30,000 tiket liga dan menjual 3,000 tiket Piala Malaysia dalam masa 1.5 minit.

“Susulan jualan tiket yang menggalakkan oleh Shopee pada 2018 dan 2019, ini membuktikan bahawa kadar penggunaan pasaran dalam talian semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia memandangkan semakin banyak orang membeli-belah dalam talian.

“Matlamat MFL dan Shopee adalah untuk menyediakan pengalaman membeli yang lancar kepada peminat dan memudahkan mereka untuk menyokong pasukan kegemaran mereka,” menurut kenyataan itu.

Juara empat kali Kedah mara ke final selepas mengetepikan Felda United berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan setelah terikat dengan agregat 3-3, manakala juara dua kali, Perak mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas juara bertahan, Pahang.

Sebanyak 80,000 keping tiket termasuk 2,000 untuk kanak-kanak dengan harga RM50 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, disediakan untuk aksi final tersebut.

Skuad Lang Merah dan skuad Seladang, masing-masing diperuntukkan 30,000 tiket dewasa dan 750 tiket untuk kanak-kanak, manakala selebihnya dijual secara dalam talian.

– BERNAMA