Categories
AGENDA NASIONAL

Kegiatan sijil vaksin palsu bawa mudarat, boleh jadi punca peningkatan kes

KOTA KINABALU, 13 JAN: Pihak berkuasa diminta terus menjalankan siasatan terperinci bagi membanteras kegiatan sindiket penipuan sijil vaksinasi COVID-19, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata penipuan membabitkan sijil vaksinasi itu merupakan perkara yang tidak boleh dimaafkan kerana ia akan memudarat serta mendedahkan orang ramai kepada pandemik COVID-19.

“Bagi saya, kita tidak akan kompromi penipuan sijil vaksinasi COVID-19… ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan saya gembira bila pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap individu tertentu.

“Namun siasatan mesti diteruskan kerana ketamakan mereka untuk mendapatkan keuntungan dan ambil kesempatan dalam musibah yang melanda dunia perlu ditangani dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Markas 5 Divisyen, Kem Lok Kawi di sini hari ini.

Hishammuddin juga berkata tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu itu boleh menyebabkan kes COVID-19 di negara ini meningkat.

“Mereka akan menjejaskan orang yang tidak berdosa… kita tahu sekarang ada varian yang lebih berbahaya iaitu Omicron dan kita tidak mahu kes COVID-19 kembali meningkat,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Siasatan tren tidak berhenti punca pelajar terkandas siap dalam dua minggu

KUALA KRAI, 10 JAN: Siasatan terperinci berhubung kejadian tren Shuttle Timuran No 51 tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, di Dabong awal pagi semalam yang mengakibatkan kira-kira 100 pelajar sekolah terkandas untuk ke sekolah, dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Zain Taha berkata panel siasatan KTMB akan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk daripada aspek teknikal, operasi dan corak perjalanan tren berkenaan.

“Jangkaan siasatan biasanya akan mengambil tempoh dua minggu sahaja kerana panel siasatan akan meneliti dengan lebih terperinci mengenai insiden terbabit.

“Apabila penilaian panel siasatan terhadap kes tersebut selesai, ia akan diserahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan sewajarnya dikenakan terhadap kakitangan yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Hentian Kuala Gris hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zain berkata empat kakitangan KTMB terlibat terdiri daripada pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket telah digantung tugas buat sementara waktu sehingga selesai siasatan kes.

“Kita juga akan memanggil beberapa lagi kakitangan sebagai saksi untuk melengkapkan kes siasatan. Pihak KTMB menganggap insiden ini sepatutnya tidak berlaku dan akan memastikan ia tidak akan berulang lagi,” katanya.

Semalam, media melaporkan kira-kira 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong tidak dapat mengikuti hari pertama persekolahan apabila tren yang menjadi pengangkutan utama mereka untuk ke sekolah tidak berhenti di stesen terbabit.

Jarak perjalanan menaiki kereta api dari Hentian Gris ke stesen Hentian Dabong mengambil masa kira-kira 15 minit.

Tinjauan Bernama di Hentian Kuala Gris pada pukul 6.30 pagi hari ini, mendapati rata-rata pelajar yang terkandas semalam, masih setia menggunakan perkhidmatan kereta api tersebut untuk ulang-alik dari sekolah.

Pelajar Tingkatan Lima, Nurul Fatin Alia Azman berkata kejadian semalam adalah pertama kali berlaku sepanjang beliau menggunakan perkhidmatan kereta api itu.

“Sudah lama saya menggunakan kereta api ini, iaitu sejak berusia 13 tahun lagi untuk ulang-alik dari sekolah dan saya akan tetap menggunakan pengangkutan ini kerana ia sangat selesa dan menjimatkan masa,” katanya.

Bagi pelajar Tingkatan Tiga, Nur Basyirah Darwisya Razali pula berharap insiden terbabit tidak akan berulang lagi kerana rata-rata pelajar dari Kampung Kuala Gris ini menggunakan perkhidmatan tersebut sebagai pengangkutan utama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas jika terlibat seludup warga asing

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Jabatan Imigresen tidak berkompromi dan melindungi pegawai dan anggotanya yang didapati bersekongkol dengan tekong atau orang tengah dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pegawai dan anggota yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas kerana terbabit dengan aktiviti menyalahi undang-undang itu.

“Imigresen sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan pegawai dan anggota tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan tiga pegawai Imigresen di Johor semalam yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis serta yakin siasatan yang adil dan profesional akan dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sentiasa mengadakan kursus, kempen serta program-program berkaitan antirasuah bagi memastikan integriti setiap pegawai dan anggota berada di tahap tertinggi.

“Sebagai jabatan yang bertanggungjawab mengawal pintu masuk negara dan menguruskan hal ehwal warga asing, setiap pegawai sentiasa dinasihatkan agar tidak sama sekali menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Semalam, polis menahan seorang pegawai kanan dan dua pegawai Imigresen berusia 30 hingga 48 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilapor berkata , sindiket berkenaan disyaki menyediakan perkhidmatan cap keluar masuk Jabatan Imigresen palsu untuk kegunaan warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Laksana siasatan profesional jika benar ada salah guna kuasa

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak seharusnya terburu-buru menukar posisi Menteri Besar sebelum pilihan raya parti itu.

Setiausaha Agung, Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan berpendapat adalah lebih baik jika PKR menunggu keputusan penuh pilihan raya parti seterusnya melantik calon jawatan itu melalui keputusan kongres atau proses lain.

Katanya, penukaran jawatan dan menyatakan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terbabit dalam korupsi, salah guna kuasa dan agen Umno boleh disimpulkan hanya sebagai isu perebutan kuasa.

PAKATAN RAKYAT“Ini adalah pandangan peribadi yang meminta menyatakan pandangan saya dan PSM dalam isu ini.

“Daripada tinjauan saya juga, ramai ahli parti yang memberikan hujah bahawa MB perlu ditukar, manakala ramai rakyat yang merasakan MB sudah menjalankan tugas dengan baik, maka ramai yang muak dengan isu ini.

“Oleh itu, Pakatan Rakyat (PR) juga perlu menanggung risiko sebagai parti yang membuat keputusan jika rakyat hilang kepercayaan terhadap mereka,” katanya melalui laman sosial Facebook.

Arulchelvan berkata, PSM juga berpendirian harus menggunakan kuasa rakyat bagi memastikan calon pilihan parti diterima semua pihak jika pihak istana tidak menerima cadangan calon MB.

arutchelvan-psm“Dalam isu ini, saya menyokong penuh kenyataan Dr Kua Kia Soong yang mahukan siasatan dijalankan secara profesional jika benar terdapat salah guna kuasa.

“Satu siasatan yang bebas dan adil harus dilaksanakan dan siasatan harus dikendalikan bukan oleh pihak parti kerana ia mungkin membabitkan ‘conflict of interest’,” katanya.

Mengulas lanjut dakwaan sesetengah pihak bahawa banyak isu tidak selesai di negeri itu, Arul berkata, ia bukan kesalahan peribadi Abdul Khalid tetapi Kerajaan Negeri.

Katanya, hal itu kerana Kerajaan Negeri tidak dapat berfungsi kerana krisis dalaman yang berlaku.

“Selagi krisis dalaman tidak diselesaikan, maka isu pentadbiran dan semuanya akan memberi impak,” katanya.

-NFN-