Lima Siber Cafe Haram di Serbu MPSJ

PUCHONG, 1 MAC : Dengan berselindung di sebalik cermin gelap dan tidak mempamerkan papan tanda perniagaan, ada kafe siber di kawasan ini yang bukan saja menyediakan perkhidmatan internet, malah turut menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Biarpun pernah diberi amaran oleh polis dan Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pengusaha premis terbabit tetap berdegil meneruskan aktiviti haram mereka.

Dalam operasi bersepadu bersama Unit D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan MPSJ di Pusat Perdagangan Kinrara di sini baru-baru ini, lima kafe siber di sekitar kawasan itu yang menjalankan aktiviti perjudian haram diserbu dan 100 set peralatan komputer disita.

Penolong Pengarah Penguatkuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd berkata, kesemua premis berkenaan disita mengikut Undang-Undang Kecil 3 Pusat Siber MPSJ 2007 iaitu menjalankan perniagaan kafe siber tanpa lesen.

“Kita berjaya menahan 12 orang pengunjung berusia antara 20 sehingga 40 tahun di mana dua daripada mereka merupakan warga asing. Selain itu, kita juga sempat menahan dua penjaga premis berkenaan yang merupakan warga tempatan dan asing berusia lingkungan 20-an.

Atas kesalahan itu, pengusaha boleh dikenakan denda maksimum RM1,000. Mereka akan didakwa di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Mengulas lanjut, Mazrul berkata, operasi itu diadakan bersama kekuatan lebih 30 pegawai penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan aduan orang ramai dan penduduk setempat.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu adalah bertujuan mengelakkan pengusaha pusat perjudian haram terus menjalankan aktiviti perjudian selain mengurangkan masalah gejala sosial dalam kalangan remaja dan kaki judi yang sering berkunjung ke premis perjudian haram.

Ditanya mengenai jumlah kos rampasan, menurutnya, setakat ini pihaknya masih belum mentafsirkan jumlah tersebut.

“Pihak polis dan penguatkuasa MPSJ akan terus giat menjalankan pemantauan bagi mengelakkan premis tersebut daripada beroperasi semula. Kita juga akan mengambil tindakan secara berkala dan komprehensif menangani isu berkenaan,” tegasnya.