Categories
SELANGOR

945 Meminda Dan Tukar Syarat Tanah Kilang Haram Berjaya

SHAH ALAM 20 NOV : Sebanyak 945 permohonan meminda dan tukar syarat nyata tanah berjaya di dalam program Pemutihan Kilang Haram Tanpa Kebenaran.

Manakala sejumlah 22 permohonan tidak berjaya di dalam permohonan itu.

Pihak Pejabat Daerah dan Tanah tidak memproses permohonan mengikut bilangan kilang sebalinya mengikut lot tanah.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Wah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Adun Kajang, Lee Kim Sin dalam sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) di sini hari ini.

Katanya, mengikut senarai bancian sejumlah 1,183 lot tanah masih belum membuat permohonan meminda dan tukar syarat nyata tanah daripada 2,250 lot.

Berdasarkan pecahan lot yang berjaya diputihkan mengikut daerah mencatatkan Petaling tertinggi dengan jumlah sebanyak 679 lot diikuti Hulu Langat sebanyak 152 lot.

Manakala 70 lot di Kuala Langat ; 23 lot di Klang ; 12 lot di Kuala Selangor ; 6 lot di Sabak Bernam ; dua lot di Hulu Selangor dan satu lot di Sepang.

Bagaimanapun Ean menambah terdapat beberapa masalah yang dihadapi dalam program terbabit antaranya pemilik tanah menghadapi masalah kemampuan kewangan untuk menjelaskan bayaran premium tambahan tukar syarat kegunaan tanah.

Selain itu, pemilik tanah sukar mendapatkan kemudahan pinjaman untuk menjelaskan premium tambahan disebabkan gagal memenuhi syarat kelayakan institusi kewangan dan hanya menggunakan sebahagian tanah sahaja bagi tujuan industri.