Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Terima suntikan vaksin tetapi parlimen tidak bersidang

AMPANG, 2 APRIL: Dato’ Seri Amirudin Shari hairan dengan tindakan kerajaan enggan membenarkan sidang Dewan Rakyat diadakan walaupun sebahagian besar ahli parlimen sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor itu berkata undang-udang dikuatkuasakan mempunyai unsur untuk menekan bagi mengelak kebebasan bersuara.

“Pakatan Harapan (PAKATAN) menggubal serta menolak berita palsu kerana kita anggap undang-undang tersebut membataskan suara rakyat.

“Tetapi atas nama penyakit, ingin selamatkan negara dan bebas dari Covid-19 buat balik undang-undang menekan yang tak mahu suara dibuka dan ditindas. Institusi penting seperti parlimen dihalang walaupun hampir semua sudah menerima vaksin,” katanya dalam program Temu Anwar di Hotel Flamingo di sini.

Beliau berkata situasi yang berlaku dalam negara hari ini sedang menuju kegelapan dan ia perlu dilawan serta diterangkan semula.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan tetap menegaskan persidangan parlimen hanya akan bermula selepas tempoh darurat tamat.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN jumpa Yang Dipertua Dewan Rakyat, bincang adakan sidang

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) hari ini mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Parlimen bagi membincangkan keperluan mengadakan sidang Dewan Rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya memaklumkan perkara itu selaras dengan kenyataan media Istana Negara tempoh hari bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

“Seusai pertemuan itu, Majlis Presiden PAKATAN mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hasil pertemuan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Majlis Presiden juga turut menyentuh beberapa isu mutakhir dan persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15, katanya.

Istana Negara menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Februari lepas memaklumkan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Rakyat hangat dengan usul undi tidak percaya, peruntukan Jasa

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Isu undi tidak percaya dan pengundian belah bahagian untuk beberapa kementerian sebelum peruntukan Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat jawatankuasa menghangatkan persidangan Dewan Rakyat, minggu ini.

Bertitik tolak daripada kemelut politik di Perak yang menyaksikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan pada 5 Disember, selepas tidak mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen pembangkang turut membangkitkan usul sama terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Rata-rata Ahli Parlimen pembangkang menjadikan situasi politik di Perak sebagai cubaan untuk menyegerakan pembentangan 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Perkara itu dibangkitkan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) sebelum sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 pada Selasa lepas, dan ia sekali lagi dibangkitkan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri semalam.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan ketika menjawab perkara itu, berkata walaupun usul itu telah tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat mengikut Peraturan Mesyuarat 26(1) dan 27(3), namun ia bukan merupakan sesuatu usul yang perlu disegerakan.

“Saya suka menjelaskan bahawa kita tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 14 dan 15. Peraturan Mesyuarat 15(1) dengan jelas menyatakan urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain memandangkan tidak ada langsung bentuk yang menggambarkan Yang Berhormat Pagoh hilang kepercayaan.

“Kerajaan berpandangan usul-usul ini merupakan satu usul yang melibatkan sesuatu yang tertentu dan kepentingan orang ramai, saya percaya dewan menganggap itu bukan satu perkara yang perlu disegerakan. Oleh sebab itu, usul-usul ini kekal di dalam Aturan Urusan Mesyuarat tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 14 dan 15,” jelas beliau.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pula meminta Ahli Parlimen merujuk sendiri amalan dan konvensyen Westminster yang diikuti oleh negara ini yang menyatakan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat sememangnya tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan usul undi tidak percaya itu kepada giliran pertama.

Persidangan dewan juga menyaksikan peruntukan Belanjawan 2021 bagi 11 kementerian yang dibahas dan digulung minggu ini lulus di peringkat jawatankuasa dengan empat daripadanya melalui undian belah bahagian, yang kesemuanya mendapat sokongan lebih 100 Ahli Parlimen.

Bermula Isnin, peruntukan bagi Kementerian Pengangkutan diluluskan selepas undi belah bahagian, yang menyaksikan 109 Ahli Parlimen menyokong, 94 tidak setuju dan 17 tidak hadir, manakala pada Selasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pula lulus dengan 109 Ahli Parlimen menyokong berbanding 96 yang tidak bersetuju dan 15 tidak hadir.

Turut melalui undi belah bahagian ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (106 Ahli Parlimen menyokong; 96 tidak bersetuju; 18 tidak hadir) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (107 sokong; 100 tidak sokong; 13 tidak hadir).

Peruntukan belanjawan bagi tujuh kementerian iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Alam Sekitar dan Air; Kementerian Kesihatan; Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Sumber Manusia dilulus dengan undian suara majoriti.

Peruntukan belanjawan bagi lima kementerian lagi dijadual dibahas untuk kelulusan di peringkat jawatankuasa pada minggu terakhir persidangan bermula Isnin (14 Disember).

Turut menjadi perhatian pada minggu keenam ialah peruntukan bagi Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang menyaksikan usul pengurangan peruntukan bagi perluasan jabatan itu berjumlah RM45 juta daripada RM81.5 juta seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021, diluluskan di Dewan Rakyat.

Usul pindaan terhadap peruntukan berjumlah RM164,151,656,800 kepada RM164,106,656,800 dalam Fasal 2 Rang Undang-undang Perbekalan 2021 itu dicadang Timbalan Menteri Kewangan Datuk Abd Rahim Bakri sebelum giliran perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia semalam.

Dewan Rakyat bagaimanapun menolak usul memotong sepenuhnya peruntukan RM81.5 juta bagi perluasan Jasa dan RM4 juta bagi jabatan itu yang dibawa lima Ahli Parlimen pembangkang – Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya); Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran); Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai); Fuziah Salleh (PH-Kuantan); dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun).

Turut ditolak ialah usul pemotongan peruntukan bagi Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) berjumlah RM8.6 juta dalam Belanjawan 2021 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dikemukakan empat Ahli Parlimen pembangkang.

Usul itu dibuat oleh Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim); Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) serta Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dengan alasan antaranya peruntukan itu tidak mendesak dan bermotif politik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu infrastruktur, pengajian tinggi antara dibangkitkan Dewan Rakyat Hari ini

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Isu infrastruktur asas di kawasan luar bandar Sabah dan pendidikan melibatkan Institusi Pengajian Tinggi adalah antara perkara dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung dalam sesi soal jawab yang bakal diajukan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar mengenai status projek infrastruktur asas luar bandar di negeri itu khususnya projek jalan, bekalan api dan bekalan air.

Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pula mengajukan soalan kepada Menteri Pengajian Tinggi mengenai langkah proaktif pengurusan pentadbiran universiti awam menyediakan jadual kuliah secara dalam talian terutama kepada mahasiswa baharu bagi sesi Oktober lepas dan tindakan strategik bagi memastikan setiap mahasiswa tidak tercicir mengikuti silibus dan jurusan masing-masing.

Seterusnya, Noorita Sual (PH-Tenom) bertanya kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia tentang langkah yang telah dan sedang diambil kementerian untuk meningkatkan tahap sistem komunikasi dan capaian internet khususnya di daerah pedalaman di Sabah.

Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) pula meminta Menteri Kewangan memperincikan jumlah peruntukan, jumlah diluluskan, jumlah pemohon dan jumlah penerima bagi setiap skim, program dan dana di bawah program LAKSANA serta faktor sesetengah skim mendapat sambutan kurang memuaskan.

Persidangan dewan kemudian diteruskan dengan penggulungan perbahasan peringkat dasar bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 oleh kementerian-kementerian terlibat.

Setakat semalam, lapan kementerian telah menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan yang bermula pada Isnin.

Antara kementerian yang dijadual menggulung perbahasan hari ini ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember dengan sesi penggulungan Belanjawan 2021 peringkat dasar oleh menteri-menteri berkenaan bermula 9 November hingga 26 November.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Rakyat sentuh isu darurat Parlimen Gerik, DUN Bugaya hari ini

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Persoalan sama ada kerajaan bercadang menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat di Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya seperti yang dilakukan di Parlimen Batu Sapi, adalah antara isu akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri yang akan diajukan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) kepada Perdana Menteri, dan rasional sekiranya dilaksanakan serta kekangan hak demokrasi pengundi untuk kawasan terlibat.

Pada sesi sama juga, Teo Nie Ching (PH-Kulai) meminta Menteri Pendidikan menyatakan keberkesanan TV Pendidikan, jumlah murid dan pelajar yang mengikuti program itu, serta sama ada kementerian mempunyai perancangan menambah masa siaran TV Pendidikan.

Selain itu, pada sesi soal jawab lisan, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini pembinaan tiga kapal induk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang akan digunakan bagi meningkatkan pengoperasian di perairan negara dalam usaha mencegah aktiviti pencerobohan bot nelayan asing.

Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) pula meminta penjelasan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai strategi dan hala tuju kementerian berkaitan import dan eksport negara bagi terus meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur dalam negara khususnya di Sabah.

Persidangan dewan kemudian diteruskan dengan penggulungan perbahasan peringkat dasar bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 oleh kementerian-kementerian terlibat.

Setakat semalam, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan.

Antara kementerian yang dijadual menggulung perbahasan hari ini ialah Kementerian Pertahanan; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Alam Sekitar dan Air; Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember dengan sesi penggulungan Belanjawan 2021 peringkat dasar oleh menteri-menteri berkenaan bermula 9 November hingga 26 November.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nasib penoreh getah, tapak binaan patuh SOP tumpuan Parlimen

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Langkah kerajaan bagi membantu menyelesaikan masalah pendapatan golongan penoreh getah dan jumlah tapak pembinaan di seluruh negara yang mematuhi dan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19, bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, isu berkenaan terkandung dalam sesi soal jawab lisan yang akan diajukan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berhubung usaha kementerian itu dalam mengatasi masalah pendapatan golongan penoreh getah yang berhadapan dengan isu harga komoditi itu yang tidak stabil sejak kebelakangan ini.

Jumlah tapak pembinaan yang mematuhi SOP Covid-19 pula akan dibangkitkan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang meminta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan jumlah terkini tapak pembinaan yang dibenarkan beroperasi kerana patuh SOP Covid-19 di seluruh negara dan berapa banyak tidak patuh SOP serta tidak dibenarkan beroperasi.

Daripada jumlah tersebut, berapa banyak pula yang terletak di Sarawak, soalnya.

Soalan Loke Siew Fook (PH-Seremban) pula meminta Perdana Menteri menyatakan apakah ulasan daripada pihak Peguam Negara terhadap keputusan kerajaan membatalkan kontrak projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) kepada syarikat Dhaya Maju LTAT dan implikasi perundangan yang bakal dihadapi.

Perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 kemudiannya akan mengambil tempat untuk hari ketiga.

Sidang Dewan bermula minggu ini, berlangsung hanya empat jam iaitu pada 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas – dibenar berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak COVID-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu Covid-19, tangguh pilihan raya antara ‘menu’ hari pertama Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Persidangan hari pertama Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini akan menjawab banyak persoalan mengenai Covid-19 dan usaha kerajaan dalam menanganinya, termasuk dalam hal berkenaan pilihan raya.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, hampir majoriti soalan dalam turutan awal pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan adalah berkenaan Covid-19.

Dalam isu pilihan raya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (UMNO-Padang Terap) mengenai sama ada kerajaan bercadang meminda Perlembagaan atau mewujudkan rang undang-undang khusus bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik.

Selain itu, Muhyiddin turut dijadual menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang ingin tahu sejauh mana impak ekonomi Covid-19 terhadap individu, isi rumah dan syarikat perniagaan, selain dasar dan langkah kerajaan dalam memacu ekonomi ke arah berdaya tahan.

Isu Covid-19 terus mendapat perhatian hari pertama dengan soalan daripada Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang mahu kepastian sama ada program atau kursus pembangunan keluarga dan masyarakat dapat dijalankan secara berterusan dalam keadaan wabak berkenaan.

Ia turut disentuh Ahli Parlimen yang mahu tahu impaknya terhadap belia dan penjaja kecil.

Sidang Dewan Rakyat hari ini juga akan menyaksikan bacaan kali pertama untuk Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 dan RUU Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020 akan dibentang.

Sementara itu, RUU Koperasi (Pindaan) 2020, RUU Racun (Pindaan) 2019 dan RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 akan dibentang untuk bacaan kali kedua.

Parlimen yang kembali bersidang hari ini turut melihat semua Ahli Parlimen dan petugas Parlimen dikehendaki mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah Covid-19 termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal di dalam dewan.

Kesemua mereka juga diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 yang dibuat di Bangunan Parlimen kira-kira seminggu sebelum sidang bermula.

Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah hutang, pendapatan negara antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Jumlah hutang dan anggaran pendapatan negara pada tahun ini antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan oleh Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) kepada Menteri Kewangan.

Lau turut bertanyakan apakah langkah yang diambil bagi memulihkan ekonomi serta meningkatkan hasil pendapatan negara susulan impak wabak Covid-19.

Datuk Zakaria Mohd Edris @ Tubau (Bersatu-Libaran) pula meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sejauh mana tahap pelaksanaan dasar penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang berkuat kuasa pada 1 Januari lepas.

Zakaria turut bertanyakan adakah kementerian bercadang memperluaskan pelaksanaan CRS itu ke sektor pengangkutan awam.

Sementara itu, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) akan mengajukan soalan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah diambil kementerian dalam memastikan kepuasan hati rakyat terhadap kualiti dan penerimaan perkhidmatan siaran TV Digital yang disediakan melalui MyFreeview.

Persoalan ekosistem cara hidup digital masyarakat Malaysia di luar bandar dan pedalaman yang tidak mendapat akses jalur lebar dan perkhidmatan 3G/4G memuaskan, turut dibangkitkan oleh Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keputusan penutupan sekolah di zon merah tumpuan Parlimen

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan penutupan sekolah di Zon Merah Covid-19 seperti Kuching, Sarawak adalah antara perkara bakal dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat, yang memasuki hari ke-13 hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan yang diajukan oleh Teo Nie Ching (PH-Kulai) kepada Menteri Pendidikan adalah antara tiga soalan yang dikemukakan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Sementara itu, Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) dijadual bertanyakan Perdana Menteri mengenai cadangan memperkenal undang-undang khas seperti Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016 di Singapura bagi menangani kes menghina mahkamah secara lebih efektif.

Dalam sesi soal jawab lisan pula, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dijangka mengajukan soalan kepada Perdana Menteri berkaitan sebab pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ditangguhkan serta sejauh mana permasalahan fiskal menjadi punca penangguhan itu.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat pada hari kedua minggu keempat ini akan menyambung perbahasan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong dengan tujuh kementerian dijadual menggulung perbahasan.

Pembentangan beberapa rang undang-undang bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 turut disenaraikan dalam urusan Aturan Mesyuarat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pergi kerja, hadir mesyuarat punca ibu bapa tertinggal anak dalam kereta

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Sebanyak enam kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta dilaporkan sejak 2018 hingga kini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata kebanyakan mangsa ditinggalkan ketika ibu bapa pergi kerja atau hadir mesyuarat sehingga terlupa anak mereka berada di dalam kereta.

“Pada tahun ini sebanyak dua kes dilaporkan, 2019 dan 2018 masing-masing dua kes. Walaupun, bilangan kes tidak menunjukkan jumlah yang besar, namun ia melibatkan nyawa anak kepada ibu bapa dan penjaganya.

“Memandangkan kes ini satu isu yang begitu besar dan betapa seriusnya insiden sebegini, kementerian mengambil langkah pencegahan advokasi dan intervensi,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang ingin tahu situasi semasa serta tindakan konklusif KPWKM dalam menangani kes kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan di dalam kereta secara tidak sengaja oleh ibu bapa mahupun penjaga.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata kerajaan telah meminda Akta Kanak-kanak 2001 pada 2016 dengan mengenakan hukuman lebih berat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak dengan memasukkan perkataan “atau bertindak secara cuai”.

“Tempoh hukuman maksimum penjara dinaikkkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun. Denda pula dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000… dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukum mandatori,” katanya sambil menambah perkhidmatan kaunseling turut diberikan kepada ibu bapa yang terkesan dengan kes seumpama itu.

Beliau berkata KPWKM sentiasa melaksanakan kerjasama dengan agensi berkaitan untuk menjalankan program kesedaran awam terhadap isu berkenaan, antaranya menerusi program Pendidikan Keselamatan Keluarga, Anak-anak (PEKA) dan kursus praperkahwinan iaitu SMARTSTART.

“Kementerian juga menerima maklum balas daripada masyarakat dan ibu bapa yang kemudiannya telah dibincangkan bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya.

“Antara (perbincangan itu) bayi tidak boleh diletakkan di kerusi belakang pemandu kerana ia merupakan titik buta dan meletakkan beg keperluan anak di tempat duduk hadapan bagi memberi peringatan kepada ibu bapa bahawa anak mereka berada di dalam kereta,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu kematian kanak-kanak akibat kecuaian ibu bapa tumpuan Parlimen

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Isu kematian bayi dan kanak-kanak yang meninggal dalam kereta akibat kecuaian ibu bapa mahupun penjaga merupakan antara perkara yang bakal dibangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-12 hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu berkenaan terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan oleh Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Rubiah ingin mengetahui tindakan konklusif kementerian untuk menangani tragedi seperti kes seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang maut, di Kuantan, Pahang, Februari lepas, selepas bapanya secara tidak sengaja meninggalkan mangsa di dalam kereta semasa keluar bekerja.

Sabri Azit (PAS-Jerai) pula dijadual bertanyakan Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah mengatasi masalah liputan internet di kawasan luar bandar berikutan talian komunikasi itu amat diperlukan ketika negara berhadapan pandemik Covid-19.

Teo Nie Ching (PH-Kulai) pula dijangka mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan mengenai jumlah murid berkeperluan khas, jumlah guru pendidikan khas dan rancangan untuk menambah bilangan guru pendidikan khas.

Sidang Dewan pada hari pertama minggu keempat ini juga akan menyambung perbahasan titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Selain itu, tumpuan juga dijangka terarah kepada pembentangan beberapa Rang Undang-Undang bagi bacaan kali kedua. Ini termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Parlimen: Program Subsidi Petrol tidak dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar bagi menggantikan mekanisme subsidi petrol semasa, yang diusulkan oleh kerajaan pada pembentangan Bajet 2019, tidak akan dilaksanakan, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata kementeriannya dan Kementerian Kewangan (MoF) telah bersetuju untuk tidak melaksanakan PSP.

Beliau berkata susulan daripada mesyuarat bersama pada 9 Julai lalu mengenai hala tuju PSP, pihak MoF akan menyediakan Memorandum Jemaah Menteri untuk memuktamadkan pendirian kerajaan berkaitan dengan PSP tersebut.

“Sebab-sebab untuk tidak melaksanakan adalah yang pertama, untuk mengelakkan salah faham dalam kalangan penduduk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana hanya penduduk Semenanjung Malaysia sahaja yang terlibat dengan subsidi ini.

“Dan (yang kedua adalah) untuk mengelakkan berlakunya jurang harga petrol yang tinggi di antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PH-Setiu) berhubung perancangan baharu kerajaan untuk subisidi minyak pada masa hadapan.

Pada 18 Disember 2019, Kabinet telah memutuskan bahawa pelaksanaan PSP yang dijadualkan bermula Januari 2020 tidak diteruskan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

Rosol berkata keputusan untuk tidak melaksanakan PSP adalah juga kerana untuk mengelakkan timbulnya keraguan dalam kalangan rakyat berkenaan ketelusan dalam pemberian subsidi itu.

Terdahulu, kerajaan pada 7 Oktober 2019 telah mengumumkan pelaksanaan PSP dengan sejumlah RM2.4 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan subsidi itu. Peruntukan yang disediakan menerusi Belanjawan 2020 tersebut dijangka akan memanfaatkan sejumlah lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40.

Dilaporkan, jumlah penggunaan petrol RON95 negara sekitar 14.4 bilion liter setahun, sekali gus bermakna jumlah subsidi ditanggung kerajaan untuk RON95 sahaja sebesar RM4.32 bilion setahun.

Harga siiling RON95 yang ditetapkan oleh MoF adalah pada paras RM2.08 seliter.

Hari ini, harga petrol RON95 bernilai RM1.68 seliter berbanding RM1.72 seliter, minggu lalu.

– BERNAMA