Categories
SELANGOR

Automotive Belt Jana Pertumbuhan di Hulu Selangor

SHAH ALAM 20 MAC : Beberapa kawasan sekitar Hulu Selangor seperti Serendah dan Kuala Kubu Baru telah mengalami pembangunan
komersil yang memberangsangkan hasil daripada pelan Kerajaan Selangor untuk membangunkan Automotive Belt di daerah itu.

Pelan Automotive Belt ini telah menyebabkan wujudnya transformasi pembangunan tanah dari tanah pertanian ke perbandaran.

Ini melahirkan pusat pertumbuhan baru seperti Bandar Baru Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Lembah Beringin dan Sungai Buaya.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim berkata kerajaan negeri sentiasa mempertingkatkan
insfrastruktur kawasan-kawasan perindustrian yang berpotensi bagi menggalakkan pertumbuhan sektor tersebut sekaligus
menarik minat pelabur.

“Sebagai rekod, pada tahun 2011, sebanyak RM 2.02 billion diperuntukkan untuk pembangunan sektor perindustrian ini.

“Peruntukkan ini ditambah lagi (RM 4.95 juta) untuk membesarkan kilang-kilang dan kursus-kursus kepada golongan belia,
penuntut di kolej dan universiti dalam bidang automotif, mekanikal dan kejuruteraan sebagai usaha menjana modal insan
dalam sektor ini,” jelas Teresa bagi menjawab soalan dari ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.

Selain merupakan pelengkap kepada Proton City di Tanjung Malim, lokasi ini menjadi tumpuan syarikat-syarikat pembuatan
barangan peralatan kenderaan yang merupakan vendor kepada Perodua, Nissan dan Proton.

Bagi mengalakkan lagi perkembangan dan pertumbuhan pesat sektor ini, Teresa berkata Kerajaan Negeri melalui SSIC Berhad
sedang giat mempromosikan kawasan-kawasan tersebut kepada pelabur yang berpotensi.

“Kerajaan negeri menggunakan beberapa pendekatan dalam membangunkan kawasan ini antaranya mewujudkan corak pembangunan
berpusat selain meningkatkan kelengkapan insfratruktur.”

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Sedia Selesaikan Kes 20 Tahun “Railway Lines”.

SHAH ALAM 19 MAC : Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad bersedia untuk turun menemui bekas penghuni ‘Railway Lines’ Sungai Buloh bagi mencari penyelesaian kepada kes mereka yang berlarutan hampir 20 tahun.

“Saya yang mengalas Exco Perumahan sentiasa bersedia untuk berjumpa dengan penduduk.

“Apa yang mereka tuntut itu adalah tanah dan sekirannya mereka ada cadangan ataupun alternatif lain sebagai gantian kepada lot tanah mereka itu, saya sentiasa bersedia untuk mendengar dan teliti perkara tersebut,” ujar Iskandar.

Beliau ditemui TVSelangor selepas sekumpulan bekas penduduk ?Railway Lines? atau Kampung Keretapi, Sungai Buloh berkumpul dilobi Ibu Pejabat Kerajaan Selangor di sini pagi tadi untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar.

Mereka menuntut pertolongan pentadbiran Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan kemelut perumahan mereka yang tidak dapat diselesaikan sejak pemerintahan Umno-BN.

Kes mereka bermula pada Januari 1992 apabila mereka diusir dari kampung itu oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) kerana tanah mereka akan digunakan untuk projek landasan berkembar KTM.

Seramai 299 keluarga ditawarkan lot tanah daripada Pejabat Tanah Daerah Gombak di Matang Pagar sebagai gantian bagi tapak rumah mereka.

Apa yang dikesalkan, setelah menunggu hampir 20 tahun, mereka masih tidak mendapat tanah-tanah lot yang dijanjikan.

Kumpulan itu telah mengambil beberapa langkah untuk menuntut hak tanah mereka seperti menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar era pemerintahan Umno-BN, selain menulis surat bantahan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Mereka juga telah berjumpa dengan Mantan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Velu.

Malangnya segala usaha tersebut tidak mendatangkan sebarang hasil.

Mereka juga telah mengambil tindakan mahkamah namun setelah 10 tahun kes ini dibicarakan, mahkamah telah membatalkan kes mereka pada 30 Mac 2011, atas alasan ?tiada balasan?.

“Semasa Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo, tanah penduduk diambil dan dijanjikan rumah kos rendah kepada mereka.

?Namun ianya tidak dilaksanakan dan penduduk membawa kerajaan negeri ke mahkamah dan mahkamah telah membuat keputusan.

“Jadi, semenjak Pakatan Rakyat mengambil alih, Menteri Besar (Abdul Khalid) hanya bertindak diatas keputusan mahkamah tersebut.

?Perkembangan ini berakhir dimahkamah dan sekirannya penduduk ingin jumpa, saya sentiasa bersedia untuk mereka,”jelas Iskandar.

Categories
SELANGOR

Tiada Sekatan Hasan Ali Mengambil Bahagian Dalam DNS

SHAH ALAM, 19 MAC : Pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor tidak akan menyekat atau menghalang bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali daripada mengambil bahagian dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Dewan Annex, malah mengalu-alukan kedatangan beliau untuk berbahas.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) memberi kebebasan kepada bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu untuk berhujah dan mengutarakan pandangan di dalam dewan.

Malah jelasnya, sidang DNS adalah platform terbaik bagi wakil rakyat yang dipilih semasa pilihan raya untuk menyuarakan keperluan rakyat di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, situasi ini amat berbeza daripada sidang dewan sebelum ini semasa zaman pemerintahan Umno-Barisan Nasional (BN).

“Apabila rakyat memilih wakil itu, maknanya wakil tersebut berhak untuk menyuarakan pandangan atau keperluan rakyat. Tiada sekatan untuk dia (Hasan) berbahas.

“Bermula tahun 2008, DNS bersidang dengan mengambil kira supaya membolehkan semua ahli dewan termasuk dari BN, ahli bebas dan Pakatan Rakyat untuk menyatakan pendirian mereka.

“Itu sebab dewan kita bersidang sekurang-kurangnya lima hari atau lebih. Keadaan ini tidak berlaku semasa zaman pemerintahan Umno sebelum ini,” tegasnya.

Menurut Abdul Khalid, semua ahli dewan yang ingin membahas mengenai titah DYMM Sultan boleh mendapat peruntukan masa.

Bagaimanapun tegasnya, kesempatan yang diberikan ini haruslah digunakan dengan bijak dan tertib.

“Kesempatan ini mesti digunakan tetapi ahli dewan dinasihatkan untuk mengemukakn cadangan bernas dengan menumpukan kepada penyelesaian selain bersikap tertib.

Sidang dewan yang mulia ini bukanlah platform untuk mencipta satu drama mengata orang,” katanya.

ADUN Gombak Setia itu buat pertama kalinya hadir ke Sidang Dewan Undang Negeri Selangor sebagai ADUN bebas setelah digugurkan daripda jawatan exco kerajaan Selangor Januari lalu.

Hasan hilang jawatannya setelah dipecat sebagai ahli PAS.

Hasan ketika ditemui pemberita sejurus selepas Majlis Perasmian Pembukaan Sidang DNS Kali ke-12 hari ini menyatakan bahawa dirinya bersedia berdepan dengan barisan kepimpinan Pakatan.

“Saya tiada seberang masalah untuk semua ini, pemecatan saya dari ahli Pas dan disusuli dengan pelucutan Exco adalah secara yang penuh bermaruah, saya di pecat bukannya kerana rasuah ataupun perkara-perkara yang dilarang dalam Islam.

“Agaknya perjungan saya ini tidak secucuk dengan perjuangan DAP dan PKR, walau apa pun saya akan terus berjuang,”jelasnya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Akan Pelihara Tanah Rizab Melayu

SHAH ALAM 19 MAC: Kerajaan Selangor akan memastikan bahawa tanah rizab Melayu akan dijaga dan tidak dibangunkan sejajar dengan saranan Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri mempunyai pangkalan data tentang rizab melayu dan  sentiasa memantau supaya pembangunan tidak berlaku di kawasan-kawasan ini.

?Kerajaan negeri memang ambil perhatian dan pantau supaya kita buat secara tertib.

?GLC (syarikat berkaitan kerajaan) juga sangat penting untuk membantu kerajaan negeri dan mereka telah di ingatkan supaya jangan pakai rizab melayu,? Abdul Khalid berkata selepas upacara perasmian pembukaan Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Di dalam titah ucapannya, Sultan Selangor mengingatkan Kerajaan Negeri supaya memastikan pemilikan Tanah Rezab Melayu di Selangor tidak ditukarkan kepada individu atau syarikat bukan Melayu.

?Beta percaya Menteri Besar, Kerajaan Negeri Selangor dan semua kakitangan kerajaan yang terlibat dalam urusan tanah sentiasa berwasapada mempertahanakan Tanah Rizab Melayu dengan memastikan tidak ada yang bertukar status.?

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Akan Baiki Prasarana di Hulu Langat dan Lembah Jaya

SHAH ALAM, 19 MAC : Kerajaan Selangor telah memperuntukkan sejumlah dana bagi membaiki prasarana seperti jambatan dan jalanraya yang rosak di dalam banjir yang melanda beberapa kawasan di Hulu Langat dan Lembah Jaya kira-kira dua minggu lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerja-kerja baikpulih tersebut dijangka mengambil masa sebulan dan akan dimulakan dalam waktu terdekat melalui peruntukan geran Selangorku .

Beliau berkata, usaha membaikpulih itu akan dilakukan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang mempunyai kepakaran dari segi pembinaan dan khidmat teknikal.

“Kerajaan negeri akan meminta syarikat GLC yang memiliki kepakaran dari segi pembinaan untuk memberi khidmat teknikal dengan melukis pelan dan sebagainya bagi urusan baikpulih prasarana di kawasan itu selain turut meminta kerjasama daripada penduduk setempat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memantau pembinaan tersebut.

“Saya percaya dengan cara ini, semua pihak akan dapat memahami masalah hasil daripada perancangan bandar dan dengan itu masyarakat bersedia menerima cadangan supaya rizab sungai dapat diusahakan untuk mengelakkan banjir,” tegasnya.

Selain itu, menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri juga akan membina kolam takungan sebagai satu cara untuk mengurangkan masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan itu.

Beliau berkata, projek tersebut akan dikendalikan oleh dua Exco Selangor iaitu Rodziah Ismail dan Iskandar Abdul Samad.

“Kita akan terus memberikan sokongan kepada keluarga mangsa banjir dan telah meningkatkan wang tambahan supaya setiap keluarga menerima bantuan sejumlah RM1,000 sebagai kegunaan untuk menghadapi keadaan yang sukar ini,” katanya.

Dalam kejadian banjir yang berlaku pada 8 Mac lalu, lebih 700 mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat selepas hujan lebat yang berlarutan selama empat jam.

Categories
SELANGOR

Selangor Perlu Menjadi Kerajaan Pintar – Sultan Selangor

SHAH ALAM, 19 MAC : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Kerajaan Negeri Selangor menjadi sebuah kerajaan pintar atau ‘smart government’ yang mampu memenuhi amanah dan mandat rakyat dengan sebaik-baiknya untuk menghadapi cabaran mendatang.

Baginda bertitah, pentadbiran sesebuah kerajaan itu mestilah mampu menguruskan perubahan dengan cekap selain menggunakan cara kerja yang mengambil manfaat daripada teknologi, inovasi dan penemuan-penemuan terkini yang relevan dari seluruh dunia.

Titah baginda, kerajaan perlu membuka ruang supaya aktiviti ekonomi dapat digerakkan oleh individu dan syarikat tanpa melibatkan campur tangan berlebihan.

“Kerajaan sekadar bertanggungjawab memberi galakan, mengawal selia dan memastikan keadilan untuk semua. Matlamat perniagaan adalah meningkatkan keuntungan, justeru, kerajaan diberi mandat untuk memastikan proses mengejar keuntungan ini tidak mendatangkan mudarat, merosakkan alam sekitar atau menyusahkan rakyat. Kerajaan adalah benteng pelindung kepada rakyat melalui penggubalan dan kuatkuasa peraturan-peraturan yang perlu,” titah baginda.

Selain itu, baginda mahu  kerajaan negeri meneruskan usaha menarik pelaburan, sama ada domestik mahupun pelaburan asing bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat selain memberi galakan kepada usahawan serta syarikat yang memperkenalkan inovasi dan mengeluarkan produk-produk baru.

“Syarat dan prosedur harus dipermudah, proses dipercepat dan ketelusan diamalkan. Insentif dan kemudahan wajar diberikan kepada syarikat-syarikat yang mengutamakan pekerja tempatan, melaksanakan proses pemindahan teknologi dan serius dalam usaha meningkatkan kemahiran pekerja melalui skim latihan yang sistematik,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri Selangor Kali ke-12 di Dewan Annex, SUK di sini hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut bertitah supaya pentadbiran kerajaan negeri bertanggungjawab mengawal selia dengan amanah dan berhemah akan modal utama negeri ini, iaitu urusan tanah.

Titah baginda, kawasan-kawasan kepentingan umum seperti hutan simpan, kawasan tadahan air, rizab sungai dan sebagainya mesti dipertahankan dengan pencerobohan mesti dibanteras dan kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk projek-projek pembangunan di kawasan tersebut.

Justeru baginda berharap, kerajaan negeri mendapat kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat, badan-badan bukan kerajaan dan penduduk setempat untuk mengekalkan kawasan hijau dan  kawasan bersih.

“Penganjuran kempen kawasan hijau dan zon bersih di seluruh negeri, bertujuan memupuk kesedaran dan budaya cintakan kebersihan serta menjadikan Selangor negeri yang paling bersih di negara ini,” titah Tuanku.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang media berkata, kerajaan negeri menjunjung titah DYMM Sultan Selangor untuk menaikkan taraf pentadiran Selangor kepada pengurusan pintar menggunakan teknologi pengurusan komunikasi dan maklumat (ICT).

Beliau berkata, saranan DYMM Tuanku iaitu menggunakan dewan sebagai platform utama dalam perbincangan secara bernas dan beradab juga disambut baik oleh kerajaan Selangor.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Akan Terus Ambil Tindakan Keatas Pencuri Pasir

SHAH ALAM 19 MAC : Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata pihaknya telah menjalankan pemantauan dan tindakan keatas sindiket mencuri pasir di Sungai Kundor, Semenyih sejurus selepas menerima laporan berhubung perkara itu baru-baru ini.

Yaakob berkata, penduduk digesa untuk terus melaporkan sebarang aktiviti pencurian pasir yang terbaru agar tindakan susulan boleh diambil oleh pihak berkuasa.

“Kalau ada (kegiatan terbaru) laporkan,” Yaakob berkata demikian apabila ditanya tentang kecurian pasir yang masih berlaku di kawasan Sungai Kundor, Semenyih.

Sebelum ini, penduduk yang ditemui TVSelangor berkata, sindiket yang tidak bertanggungjawab itu terus menjalankan aktiviti haram itu walaupun mereka telah beberapa kali membuat aduan pada pihak berkuasa.

TVSelangor difahamkan aktiviti melombong pasir itu dijalankan pada waktu malam manakala hasil bumi itu dikeluarkan pada waktu siang bagi mengaburi mata penduduk dan pihak berkuasa.

Apa yang dikhuatirkan, keghairahan sindiket merompak hasil bumi ini akan merosakan fizikal sungai sekaligus mendatangkan kesan kepada alam sekitar dan penduduk setempat.

“Masa serbuan dijalankan, kalau didapati lokasi kecurian itu ada peralatan, kita akan menyita, kalau ia adalah tanah persendirian kita akan rampas tanah itu,” jelasnya.

Yaakob berkata, kerjasama baik penduduk melaporkan perkara ini kepada pihaknya amat dihargai dalam usaha mematahkan aktiviti haram itu.

“Terima kasih banyak kepada penduduk yang prihatin melaporkan perkara ini dan pihak kami sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan dan pendapat dalam memberkas sindiket ini.

“Ada kalanya kita yang diatas tidak nampak, tetapi mereka yang dibawah nampak, jadi kerjasama seperti ini adalah dipuji dan kita akan segera bertindak,” Yaakob berkata demikian ketika ditemui TVSelangor sejurus selepas Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor Kali ke-12 di sini hari ini.

Categories
SELANGOR

Sidang DUN 2012 Bermula 19 Mac

SHAH ALAM 9 FEB : Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor sesi 2012 akan bermula pada 19 Mac depan setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, antara isu yang akan diberi perhatian adalah keadaan kewangan negeri yang semakin meningkat termasuk program-program pembangunan yang bakal dilaksanakan untuk rakyat pada tahun ini.

“Menurut laporan Jabatan Kewangan Negeri Selangor, simpanan tunai kerajaan negeri bertambah lebih 26 peratus dan secara terkumpul melebihi RM1.9 bilion sehingga hujung 2011 berbanding kurang RM500 juta pada tahun 2007.

Penyata kewangan itu telah diserahkan kepada jabatan audit tetapi akan dikemaskini semula untuk mendapat pengesahan,” katanya.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut memaklumkan exco kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat sebagai usaha untuk melaksanakan pemberian Geran Selangorku bernilai RM300 juta yang telah diluluskan pada sidang DNS lalu.

“Pengagihan itu dibuat supaya proses pelaksanaan dapat dilakukan dengan cekap dan berkesan, sekaligus mengurangkan birokrasi dan tepat kepada matlamat iaitu terus sampai kepada rakyat.

Geran yang dibentangkan Belanjawan Selangor 2012 berasaskan dana sumbangan dividen daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan Selangor serta keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk dari Syarikat Talam Corporation.

Ia juga adalah hasil penstrukturan semula projek Canal City dan pengenalan polisi pemberi milikan tanah mengikut harga pasaran.

Antara program yang akan dilaksanakan melalui Geran Selangorku adalah pengenalan gaji minima, program memperkasakan wanita, program keusahawanan muda, pembinaan infrastruktur sukan, program sokongan pendidikan, program dari kebajikan kepada pekerjaan dan program jangkaan kehidupan bandar.