Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

SIBS 2021 dapat sambutan hampir 10,000 pengunjung dalam dua hari

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Seramai 9,800 pengunjung hadir ke Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 dalam tempoh dua hari sejak kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris berkata pihaknya menyasarkan lebih 10,000 kehadiran pengunjung sepanjang empat hari SIBS 2021 berlangsung.

“Sasaran tahun ini rendah sedikit berbanding 2019 iaitu 30,000 pengunjung, namun kita tidak jangka dalam tempoh dua hari ini pengunjung mencecah 9,800.

“Oleh demikian, kita yakin sasaran pengunjung akan bertambah kira-kira 5,000 untuk tempoh dua hari hingga esok,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau berkata maklum balas pihaknya mendapati pempamer berpuas hati dengan SIBS 2021 berikutan ramai yang bertemu dengan pembeli berpotensi.

“Untuk masa hadapan, kita akan lakukan penambahbaikan dengan lebih banyak produk berbanding tahun ini yang terhad susulan pandemik Covid-19,” katanya.

SIBS 2021 berlangsung antara 18 hingga 21 November secara hibrid di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.