Categories
AGENDA

SIBS 2021: Teh hijau Fyllo daun kelapa sawit tarik perhatian pengunjung 

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Keunikan produk minuman teh hijau, Fyllo diperbuat menggunakan daun kelapa sawit menarik perhatian pengunjung ke gerai pameran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menawarkan kebaikan untuk kesihatan, teh hijau itu dihasilkan dengan kebaikan lima antioksidan dan 54 mineral yang memberi kebaikan untuk kesihatan, kata Pengarah Urusan Fyllo (M) Sdn Bhd.

“Antara kelebihan teh hijau daun kelapa sawit ini ialah membantu mencegah kanser, melindungi buah pinggang dan hati, meningkatkan daya ingatan dan melindungi sistem saraf.

“Selain itu, kebaikan teh hijau ini juga sesuai untuk individu yang menghidap gastrik kerana tiada kandungan tanin seperti dalam teh lain,” kata A.Tiruselvan kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau merupakan peserta skim ‘Zero to Hero’ Hijrah Selangor (HIJRAH) menyifatkan SIBS 2021 memberi ruang mengkomersialkan produknya ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Salah seorang pengunjung dari China telah menyatakan minat untuk membawa produk ini ke negaranya. Malah, menerusi program ini orang ramai juga mula mengenali teh hijau ini dan manfaatnya.

“Selain teh hijau, antara produk keluaran lain ialah sabun menggunakan daun kelapa sawit dan penyembur antioksidan yang sesuai untuk perlindungan kulit dan alahan,” katanya.

Semalam, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli merasmikan SIBS 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

DYTM Tuanku mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj merasmikan sidang kemuncak yang berlangsung sehingga 21 November secara hibrid dan fizikal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor beri tawaran terbaik kepada pelabur tembusi pasaran luar, Asean

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Selangor akan terus memberi tawaran terbaik kepada pelabur untuk menembusi pasaran luar Malaysia dan ke Asean.

EXCO Pelaburan Perdagangan dan Perindustrian berkata negeri itu sentiasa bersedia untuk menyokong perdagangan rentas sempadan dan kerjasama ekonomi.

“Itulah sebabnya Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) sangat penting.

“Visi kami adalah untuk membuka laluan dan peluang baharu kepada semua orang dengan niat yang jelas untuk membantu rantau Asean,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pelancaran SABC 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tambah Chang Khim, sebagai rakan pengasas utama Asean, Malaysia amat komited untuk merealisasikan visi itu.

“Sebagai negeri paling maju dari segi ekonomi di negara ini, Selangor akan terus melibatkan diri dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan, berpegang teguh kepada falsafah ‘kemakmuran bersama’.” katanya.

SABC 2021 bermula hari ini dengan tema “Melestarikan Pertumbuhan dalam Asean melalui Inovasi”.

Persidangan edisi ke-5 tahun ini diadakan menerusi siri webinar serta format secara hibrid.