SHAH ALAM, 16 FEB: Selangor merancang menganjurkan Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa pada September tahun ini bagi menghimpunkan pemain sukan dari seluruh dunia.
EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kertas cadangan berhubung penganjuran acara berprestij itu sedang disediakan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.
“Saya telah minta Pengarah Eksekutif MSN Selangor (Mohamad Nizam Marjugi) agar sediakan beberapa kertas cadangan untuk kita adakan acara peringkat dunia seumpama itu.
“Insya-Allah, kita juga akan berhubung rapat dengan persatuan berkaitan seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Konfederasi Badminton Asia (BAC) yang komited untuk membantu pelaksanaannya,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini malam tadi.
Mohd Khairuddin menambah program tersebut juga adalah kesinambungan daripada BATC yang berjaya dilaksanakan melalui kerjasama pihak terbabit.
“Maka dengan sokongan Kerajaan Negeri dan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari), kita mempunyai keyakinan penuh untuk beralih kepada acara yang lebih besar daripada ini (BATC),” katanya.
Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).