Categories
AGENDA NASIONAL

Statistik kemalangan libat pemandu lawan arus antara tumpuan sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Statistik kemalangan jalan raya melibatkan kesalahan pemanduan melawan arus serta langkah dilaksanakan kerajaan untuk membendungnya antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan Menteri yang akan diajukan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) kepada Menteri Pengangkutan.

Turut terkandung dalam sesi itu adalah soalan Anthony Loke Siew Fong (PH-Seremban) kepada Menteri Kewangan mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula dasar ekuiti untuk syarikat penghantar fret yang sedang beroperasi memandangkan syarat ekuiti sedia ada sukar untuk dilaksanakan.

Bagi sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, isu pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan dan Pekerja (Akta 446) susulan pengesanan kluster Covid-19 yang tinggi melibatkan sektor pembuatan dan pembinaan akan dibangkitkan Dr Ong Kian Ming (PH-Bangi) kepada Menteri Sumber Manusia.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Datuk Dr Xavier Jayakumar untuk Menteri Kesihatan berhubung langkah kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan pakar perubatan di hospital kerajaan, selain tindakan menyerap pakar perubatan kontrak ke jawatan tetap.

Turut dibangkitkan isu kemiskinan melibatkan Orang Asli dan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup mereka yang akan diajukan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Usai sesi itu, bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 dijangka dikemukakan Menteri Kewangan.

Persidangan Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri dan akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kanak-kanak jadi yatim akibat Covid-19 antara fokus Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Statistik kanak-kanak menjadi anak yatim disebabkan kehilangan ibu bapa yang meninggal dunia akibat Covid-19 merupakan antara isu bakal dikupas pada persidangan Parlimen hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang akan diajukan Hannah Yeoh (PH-Segambut) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Yeoh turut meminta kementerian itu menyatakan langkah yang diambil dalam penjagaan dan kebajikan kanak-kanak tersebut.

Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) pula akan meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan langkah proaktif diambil untuk membendung penyalahgunaan media sosial yang mencetuskan suasana kegusaran dalam kalangan orang ramai terutamanya berkaitan vaksin COVID-19.

Dalam sesi soal jawab lisan itu juga, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyatakan sejauh mana pemantauan aktiviti pembalakan di kawasan yang digazet sebagai hutan simpanan dan tindakan diambil terhadap kes pelanggaran.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini juga akan menyambung semula perbahasan Titah Diraja.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: ‘Kurung’ rakyat tidak lagi sesuai, buka sektor ekonomi perbaiki kehidupan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Langkah ‘mengurung’ rakyat tidak lagi sesuai dilaksana dalam berdepan penularan Covid-19 kerana memberi kesan termasuk kepada kesihatan mental, kata perdana menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembukaan sektor ekonomi dan sosial juga membolehkan rakyat memperbaiki kehidupan dengan kembali bekerja atau berniaga.

Menurutnya, antara pertimbangan berhubung keputusan itu termasuk mengambil kira pemberian vaksin yang kini meliputi 74.7 peratus golongan dewasa lengkap dua dos dan 91.6 peratus satu dos.

Namun jelasnya orang ramai perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat kerana vaksin tidak menjamin sepenuhnya daripada dijangkiti virus atau menjangkiti.

“Sebab itu pematuhan kendiri penting, kita lihat hari pertama (kelonggaran di Lembah Klang) tempat percutian penuh dengan ada tidak pakai pelitup muka.

“Maksudnya masa depan negara berdepan Covid-19 bergantung kepada diri sendiri, tidak boleh harap kepada vaksin semata-mata,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PAKATAN-Kulim Bandar Bharu), Ismail menjelaskan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibuat kerana beliau telah memegang jawatan itu sebelum ini.

“Pagoh (Muhyiddin) telah pun mempengerusikan mesyuarat MPN sejak diwujudkan, jadi sebab itu kita beri kepercayaan Pagoh untuk meneruskannya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong ketuai tepukan gemuruh hargai petugas hadapan, atlet negara

SHAH ALAM, 13 SEPT: Yang di-Pertuan Agong mengajak ahli Dewan Rakyat bangun dan memberikan tepukan gemuruh kepada semua petugas barisan hadapan dan sektor kritikal sebagai penghargaan atas kerja keras mereka memerangi Covid-19.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut meminta ahli parlimen menzahirkan penghargaan sama untuk atlet Paralimpik dan Olimpik negara yang mencipta kejayaan dalam temasya berprestij berkenaan.

“Saya menjemput semua berdiri dan berikan tepukan gemuruh kepada mereka,” titah baginda yang turut bersama bangun bersama memberikan tepukan.

Baginda bertitah demikian dalam Titah Ucapan Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam temasya Olimpik 2020 di Tokyo, Malaysia meraih satu perak menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki.

Atlet para negara pula cemerlang membawa tiga pingat emas dan dua perak dalam Sukan Paralimpik Tokyo.

Emas dimenangi Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20), Bonnie Bunyau Gustin (angkat berat) dan Cheah Liek Hou (badminton).

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong rasmi sidang pertama Parlimen pimpinan Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bakal membuka tirainya hari ini dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Dewan Rakyat.

Sidang Parlimen ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, sidang Dewan Rakyat hari ini akan tertumpu kepada Titah Diraja Al-Sultan Abdullah.

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Okt.

Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung mulai 4 hingga 26 Okt.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan, pelbagai inisiatif dijalankan antaranya pemasangan penapis udara ultra violet di dewan besar Parlimen serta penggunaan teknologi nano di pejabat bagi membunuh bakteria dan virus.

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut melaksanakan ujian saringan RT-PCR terhadap 1,801 individu terdiri daripada petugas Parlimen dan individu terlibat dalam persidangan itu pada 10 dan 11 Sept lepas.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan melalui hasil saringan yang dijalankan selama dua hari di Dewan Serbaguna Parlimen itu, seramai 26 individu didapati positif Covid-19 melibatkan seorang Senator dan 25 petugas Parlimen.

Selain itu, terdapat dua ahli parlimen dikesan positif hasil saringan di luar kompleks.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM sedia SOP khas lancarkan sidang Parlimen

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Parlimen Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyediakan beberapa tatacara operasi piawai (SOP) khas bagi memastikan kelancaran perjalanan sesi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang bermula esok, selain mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara SOP yang perlu dipatuhi semua individu yang akan memasuki Bangunan Parlimen adalah mereka yang telah menerima vaksinasi lengkap dan melebihi 14 hari dari tarikh dos terakhir, menjalani ujian saringan Covid-19 secara Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dalam masa tiga hari sebelum memasuki bangunan itu (kali pertama sahaja).

“Selain itu, sepanjang tempoh persidangan Parlimen berlangsung, semua hadirin yang hadir ke Bangunan Parlimen perlu menjalani ujian kendiri pengesanan jangkitan Covid-19 seperti yang ditetapkan oleh pihak Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata KKM turut menasihatkan agar semua individu yang akan hadir ke Parlimen dikehendaki untuk mematuhi SOP dan peraturan-peraturan sedia ada bagi memastikan mesyuarat dapat berjalan lancar, selamat serta penularan Covid-19 dapat dicegah di kawasan Parlimen.

Sementara itu beliau berkata seramai 26 daripada 1,801 individu yang menjalankan ujian saringan Covid-19 di Bangunan Parlimen pada 10 dan 11 Sept, dikenal pasti positif Covid-19 dan kes yang dilaporkan itu merupakan hasil ujian RT-PCR yang melibatkan seorang senator dan 25 kakitangan Parlimen.

Beliau berkata selain daripada itu, terdapat juga dua ahli parlimen dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan di luar bangunan itu dalam tempoh sama.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua individu positif telah lengkap vaksinasi dan 15 daripada mereka adalah kes disahkan Covid-19 sebelum ini iaitu di antara 27 Mei 2021 hingga 1 September 2021, manakala 13 individu pula baharu sahaja dikesan positif buat pertama kali semasa saringan 10 sehingga 11 September 2021.

“Dua kes mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi dengan nilai CT atau nilai kitaran ambang RT-PCR di antara 17.57 sehingga 20.58, dan 26 kes dengan nilai CT di antara 21.95 sehingga 38.23,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata ujian PCR “genotyping assay” yang dijalankan mendapati 18 sampel berkemungkinan besar adalah Varian Delta dan satu berkemungkinan besar adalah Varian Beta.

Katanya, bagi mengesahkan jenis varian ini, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) telah mula menjalankan penjujukan seluruh genom Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata antara langkah yang diambil bagi mengekang penularan virus itu di Bangunan Parlimen ialah individu yang kali pertama disahkan positif ini (13 kes) tidak dibenarkan hadir ke sidang Parlimen.

“Mereka telah diasingkan dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO). Siasatan dan penilaian risiko masih dijalankan untuk menentukan kaitan epidemiologi di antara satu sama lain serta mengenal pasti kontak rapat,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa individu yang pernah disahkan Covid-19 sebelum ini (15 kes), akan disiasat semula untuk menilai tahap kesihatan dan jangkitan semasa supaya tindakan lanjut dapat diambil.

“Tindakan ini penting bagi mengenal pasti dengan lebih lanjut status jangkitan mereka memandangkan terdapat di kalangan mereka yang masih mempunyai gejala ringan. Buat masa ini, mereka juga tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen sehingga diberi keputusan akhir penilaian Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Usul bahas, ungkai Ordinan Darurat dijadual September

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan akan membincangkan usul bagi perbahasan dan mengungkaikan Ordinan Darurat yang bakal dibawa dalam sidang Parlimen dijadual pada September ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbincangan berhubung perkara itu akan dibuat dalam mesyuarat jemaah menteri esok.

“Adalah dimaklumkan bahawa proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana disembah nasihat jemaah menteri pada 23 Julai tidak dapat disempurnakan.

“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ia diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan perkara berkenaan secara harmoni dan berperlembagaan.

Katanya, selaras dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen dijadualkan pada September ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat pembangkang dihalang masuki bangunan Parlimen

SHAH ALAM, 2 OGOS: Wakil-wakil rakyat dari semua parti pembangkang berarak ke bangunan Parlimen tetapi mereka dihalang daripada memasukinya.

Perarakan dari Dataran Merdeka diketuai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim jam 9.50 pagi sebagai bantahan terhadap penangguhan sidang Dewan Rakyat yang asalnya dijadual berlangsung hari ini.

Pelbagai kain rentang yang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dibawa sepanjang perarakan.

Sidang Dewan Rakyat dijadual membahaskan isu Ordinan Darurat seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong tetapi ditangguh atas alasan penularan Covid-19.

Dalam ucapannya, Anwar menyifatkan speaker Dewan Rakyat gagal menunaikan tanggungjawab apabila cuba melindungi Muhyiddin yang didakwa hilang keabsahan sebagai perdana menteri.

Selain Anwar, Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut memberi ucapan di dataran berkenaan.

Sepasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat membuat benteng di hadapan jalan bagi menghalang ahli parlimen menuju ke Parlimen.

Anwar mendakwa seramai 107 ahli parlimen menyertai perarakan berkenaan sebelum bersurai menjelang jam 11 pagi.

Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran kemudian membuat laporan polis di balai Dang Wangi berhubung sekatan itu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Hanya 11 kes, tiada alasan tangguh Parlimen minggu depan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajan tidak boleh menjadikan isu jangkitan Covid-19 sebagai alasan menutup atau menangguhkan sidang Parlimen pada Isnin ini.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hanya 11 kes positif dikesan di Parlimen selepas 1,183 individu disaring pada Khamis.

“Kadar positif adalah 0.9 peratus sedangkan nilai ambang yang disaran Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi menentukan saringan adalah lima peratus.

“Ini bermaksud tidak ada jumlah kes positif yang signifikan di Parlimen sepanjang minggu lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Kenyataan bersama itu dibuat Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Majlis juga mengingatkan pegawai Kementerian Kesihatan termasuk Dr Noor Hisham supaya tidak bersekongkol membuat helah bagi membolehkan kerajaan menghentikan sidang Parlimen.

“Kami juga memberi amaran keras kepada perdana menteri agar tidak memperalat agensi kerajaan dan kementerian untuk menutup Parlimen.

“Jika Parlimen ditutup dengan kadar kurang daripada satu peratus, berkemungkinan Parlimen tidak akan bersidang lagi kerana hakikatnya Covid-19 akan terus berada di dalam masyarakat,” menurut kenyataan.

Khamis lalu sidang dewan ditangguhkan empat kali, antara alasannya adalah kes positif Covid-19 dikesan.

Berikutan itu semua yang ada di bangunan terbabit dihalang keluar dan diarah melakukan ujian saringan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr M: Sidang khas bukan seperti titah Raja-Raja Melayu, Agong

SHAH ALAM, 26 JULAI: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa sidang khas di Dewan Rakyat hari ini bukan sidang yang dititah Raja-Raja Melayu dan Yang diPertuan Agong.

Turut mencadangkan kertas putih dikeluarkan, Ahli parlimen Langkawi menyifatkan sidang itu hanya sesi majlis penerangan kerajaan, bukan perbincangan bagi mengatasi isu pandemik di negara ini.

“Lima hari kita akan dengar menteri jelaskan pelan mereka dan pelan ini sudah tentu tak berkesan. Kita perlu kepada perbahasan berkenaan dengan penderitaan rakyat.

“Penerangan tidak perlu diadakan melainkan dengan cara keluarkan kertas putih,”katanya dalam sidang khas Parlimen hari ini.

Tegas Dr Mahathir, tindakan itu jelas kerajaan tidak hirau titah supaya diadakan sidang Parlimen secepat mungkin sedangkan banyak nyawa telah hilang dan ramai rakyat tertekan akibat pandemik Covid-19.

“Ini yang dihadapi tiap hari, 200 orang akan meninggal. Sampai bila? sampai tunggu 1,000 mati baru kita nak bertindak nak bercakap berkenaan perkara untuk atasi masalah ini?

“Tetapi ini tidak ditumpukan dalam persidangan ini yang bukan sebenarnya sidang dewan Parlimen tapi ia adalah majlis penerangan,”katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Akur titah Agong, Parlimen bakal bersidang sebelum 1 Ogos

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mencadangkan kepada perdana menteri agar sidang khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Cadangan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin itu susulan majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

“Kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan telah menyatakan komitmen dan kesediaan penuh Parlimen Malaysia untuk mengadakan persidangan Parlimen seperti yang dititahkan oleh Baginda Tuanku,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Parlimen Malaysia hari ini.

Menurut kenyataan itu, pada majlis menghadap berkenaan, Al-Sultan Abdullah telah menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.

Majlis menghadap itu turut dihadiri timbalan-timbalan Yang Dipertua kedua-dua dewan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar dakwa ada usaha lengahkan sidang Parlimen

SHAH ALAM, 26 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ada usaha bagi melengahkan pembukaan sidang Parlimen berikutan kegagalan kerajaan menguruskan Covid-19.

Ketua pembangkang kesal kilang dan restoran boleh beroperasi, namun sidang Parlimen untuk membincangkan isu pandemik dalam negara tidak dibenarkan.

“Mengapa untuk mengadakan sidang Parlimen seolah-olah begitu payah dan sukar sedangkan kilang, restoran dan kini ada beberapa Dewan Undangan Negeri juga sudah mula beroperasi?

“Kita juga maklum bahawa ada usaha yang sistematik sedang digerakkan untuk menggunakan pejabat peguam negara dan pejabat speaker Parlimen bagi melengahkan sesi Parlimen di saat kerajaan ini terus gagal mengemudi negara saat wabak,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson menggesa perdana menteri dan peguam negara bersikap konsisten apabila memetik sebarang peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan.

Menurutnya, kenyataan peguam negara berlatarbelakangkan Agong dan Raja-Raja Melayu disifatkan sebagai melampau serta menghina Istana Negara sekali gus mengheret negara ke krisis perlembagaan.

“Perlembagaan menyatakan pengisytiharan darurat dan ordinan darurat mesti didebat serta diundi di Parlimen. Kegagalan PN (Perikatan Nasional) untuk menghormati Parlimen meletakkan Malaysia dalam zon bahaya krisis perlembagaan.

“Saya mengakui negara sedang berdepan kemelut dan ini bukan masa untuk bermain politik. Sekarang adalah masa untuk bersatu-padu dan merungkai serta merencana tindakan yang tuntas. Perlembagaan mesti dihormati, apatah lagi di saat krisis hari ini,” kata Anwar.