Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Medidata Sdn Bhd kongsi mesin jana kuasa mudah alih mesra alam

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Medidata Sdn Bhd mengambil inisiatif berkongsi penggunaan mesin jana kuasa mudah alih menggunakan teknologi hijau kepada pengguna di Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan Inovasi (SRIE) 2021.

Pakar produk Annis Nur Syahirah Suria berkata mesin jana kuasa, Ecoflow yang dibawa dari China itu hanya perlu dicaj menggunakan tiga kaedah iaitu solar, soket dinding dan kereta.

“Keistimewaan mesin jana kuasa ini ialah pengguna tidak menggunakan minyak seperti peralatan lain dan sekali gus menjaga kelestarian alam sekitar.

“Mesin jana kuasa ini mempunyai tiga jenis iaitu 288watt (wh), 576wh dan 1,260wh diperkenal pada tahun ini dan mudah digunakan sama ada untuk kegunaan harian atau aktiviti luar,”katanya kepada SelangorKini.

SRIE 2021 merupakan salah satu acara sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut Annis Nur Syahirah, daripada aspek perubatan pula syarikat tersebut juga menghasilkan produk balutan ortopedik sintetik iaitu peralatan untuk rawatan retak tanpa menggunakan simen.

“Inovasi baharu ini memudahkan rawatan retak iaitu hanya perlu merendamnya di dalam air sebelum dibalut pada anggota badan dan kebiasaannya digunakan di hospital swasta.

“Selain itu, kita juga menghasilkan produk pelitup muka yang mengikut spesifikasi American Society for Testing and Materials (ASTM),”katanya.

Khamis lalu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli merasmikan SIBS 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

DYTM Tuanku mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj merasmikan sidang kemuncak yang berlangsung sehingga 21 November secara hibrid dan fizikal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sidec raih penciptaan nilai cecah RM250 juta melalui pelbagai program pada 2021

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) telah mencapai kejayaan penting dengan penciptaan nilai mencecah RM250 juta dan memberi impak kepada 230,000 peserta melalui pelbagai program pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata ia juga telah memainkan peranan penting dalam mempercepat pendigitalan Selangor, terutamanya dalam kalangan peniaga e-dagang, syarikat pemula niaga, dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Kerajaan Negeri Selangor melalui SIDEC telah menganjurkan empat kempen E-Bazar sejak pandemik melanda iaitu E-Bazar Raya 2020, Jualan Mega E-Bazar 11.11, E-Bazar CNY 2021 dan E-Bazar Raya 2021,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2021 di sini, hari ini.

Yong berkata melalui pelaburan keseluruhan oleh Kerajaan Negeri berupa baucar bernilai RM7 juta, empat kempen itu telah menjana jualan langsung bernilai RM144.7 juta, mencipta kesan riak ekonomi sebanyak RM2.95 bilion kepada ekonomi negeri berkenaan.

Menurutnya sebanyak 294,119 penjual termasuk 74,837 peniaga baharu telah meraih manfaat daripada kempen itu.

Selain kempen E-Bazar, Yong berkata kerajaan negeri terus memajukan PKS dengan melancarkan Geran Sepadan Pendigitalan PKS Selangor pada April 2021 semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

“Daripada 1,500 PKS di Selangor yang memohon geran itu, sebanyak 1,048 PKS adalah layak.

“Sejumlah RM5 juta telah disalurkan untuk meliputi lima bidang pendigitalan, iaitu pengkomputeran awan, sistem e-bayaran, pengurusan sumber manusia dan gaji, pemasaran digital, dan sistem e-dagang,” katanya.

Yong menggalakkan semua PKS dan syarikat pemula niaga yang mahu meningkatkan perniagaan mereka untuk memberi tumpuan kepada Sasaran Neutral Karbon yang akan turut membantu mereka mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

SDEC 2021 dianjurkan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 (SIBS 2021) bermula 18 hingga 21 Nov.

Konvensyen hibrid selama dua hari itu menampilkan 45 penceramah yang akan membincangkan pelbagai tajuk seperti teknologi kewangan, pemasaran digital, dan pendigitalan PKS.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

700 peserta terlibat sidang bandar pintar, fokus ekonomi digital

SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 700 peserta dijangka terlibat menerusi Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2021 yang bakal berlangsung pada 19 hingga 21 November ini.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata penganjuran edisi keenam konvensyen digital terbesar itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan secara maya.

Agensi memaklumkan dengan tema Transformasi Digital Ke Arah Pemulihan Ekonomi, SDEC 2021 adalah acara tahunan di bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS).

“Konvensyen ini mengumpulkan pemain industri, ahli akademik, peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan individu dari pelbagai sektor untuk mendalami serta mengembangkan ekosistem pendigitalan sedia ada dan masa hadapan.

“Tiga aktiviti teras dipilih untuk mencerminkan tema tahun ini iaitu perbincangan panel selama dua hari dan Pitch@Selangor serta Liga Super Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Persidangan itu akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 20 November dan turut diserikan penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Menerusi persidangan itu, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim turut menandatangani memorandum persefahaman bersama CTDK Holdings dan Sidec Sdn Bhd sambil disaksikan Amirudin.

Selain itu, sebanyak 45 panelis berpengalaman turut ditampil bagi membincangkan pelbagai topik mengenai Fintech, Agritech, Travel Tech, pemasaran digital dan pendigitalan PKS.

Panelis terdiri daripada pemimpin terkemuka, pengasas dan pakar dalam industri antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Khadijah Iskandar dan Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Fabian Bigar.

Manakala, sebanyak 20 syarikat startup daripada tiga program pemecut terbaik di Selangor iaiatu Sidec, ScaleUp Malaysia dan Sunway iLabs akan bersaing untuk memenangi tiga tempat teratas dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000.

Mereka yang ingin membeli tiket berharga RM79 untuk tiga hari ke konvensyen berkenaan boleh berbuat demikian menerusi pautan https://www.ticket2u.com.my/sdec2021.

Layari http://www.sidec.com.my/sdec2021untuk maklumat lanjut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Pendigitalan bantu serap kesan ekonomi ketika pandemik

SHAH ALAM, 8 NOV: Inisiatif pendigitalan diperkasa Kerajaan Negeri antaranya memperluaskan pembayaran secara dalam talian berjaya mengurangkan kesan kepada ekonomi dan masyarakat ketika berdepan pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata proses diterajui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) membawa Selangor terus ke hadapan.

Dato’ Seri Amirudin Shari memberi contoh kutipan cukai di lima pejabat tanah dan daerah sehingga 89 peratus yang membantu mencapai kutipan hasil lebih RM800 juta pada tahun ini.

Menurutnya, inisiatif itu juga mengurangkan kesan ekonomi negeri yang mencatakan pertumbuhan negatif 5.3 peratus pada tahun lalu berbanding Malaysia dengan negatif 5.6 peratus.

“Beberapa penerokaan kita dalam pendigitalan, perkhidmatan dan e-panggilan berjaya menjadi penampan kepada krisis ekonomi yang turut datang dengan kesan kesihatan susulan pandemik Covid-19,” katanya majlis perhimpunan penjawat awam di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Pada Belanjawan 2021, Amirudin mengumumkan program pendigitalan dengan perbelanjaan RM369 juta melalui dana negeri dan anak syarikat (GLC).

Antaranya inisiatif dilaksanakan membabitkan Selangor Freelance yang menawarkan 5,000 peluang latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerjaan bebas digital sekali gus menjana pendapatan tambahan.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Sidec lancar Top ECM edisi keenam, hargai peniaga e-dagang

SHAH ALAM, 16 OKT: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melancar anugerah Malaysia Top E-Commerce Merchant (Top ECM) 2021 edisi keenam dengan sokongan Affin Bank Berhad sebagai penaja utama.

Agensi berkata cara yang dilancarkan secara maya oleh EXCO industri dan perdagangan Dato’ Teng Chang Khim bertujuan memberi penghargaan kepada peniaga e-dagang tempatan yang paling berjaya, kreatif dan inovatif.

“Pedagang yang mengambil bahagian dapat memanfaatkan peningkatan pengiktirafan dan berpeluang meningkatkan penamaan jenama mereka di dalam industri.

“Peserta tahun ini berpeluang untuk memenangi Online Sales Contest yang akan berlangsung dari 3 sehingga 16 November. Sebanyak 200 syarikat disasarkan untuk menyertai pertandingan tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Selain Online Sales Contest, Sidec berkata Livestream Contest akan dipertandingkan sebagai kategori baharu untuk menggalakkan peniaga tempatan memanfaatkan kaedah “live stream” untuk menjual produk.

Sementara itu, Chang Kim dalam ucapan pelancaran berkata banyak sektor didapati menghadapi pelbagai kesukaran disebabkan oleh pelbagai sekatan yang mengehadkan operasi perniagaan termasuk peniaga e-dagang.

“Bagaimanapun, saya gembira melihat ramai peniaga mengambil segala peluang sedia ada untuk terus memajukan perniagaan mereka dan kembali teguh melalui inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan
Negeri,” katanya.

Anugerah Malaysia Top E-Commerce Merchant mula diperkenalkan pada 2016 dengan penyertaan hanya seramai 60 peniaga e-dagang. Pada 2019, peserta yang disenarai pendek adalah peserta yang menerima 200 pesanan atau membuat jualan lebih daripada RM50,000 sebulan.

Manakala untuk peserta yang disenarai pendek pada 2020, kriteria mereka direndahkan kepada 100 pesanan atau memperoleh jualan sebanyak RM25,000 sebulan. Penurunan syarat kelayakan ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai peniaga kecil untuk sertai pertandingan ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima syarikat rintis menang keseluruhan RM50,000, terima peluang pelaburan

SHAH ALAM, 13 SEPT: Sebanyak lima syarikat tunas rintis terbaik berjaya membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000 pada hari demo Program Pemecut Selangor (SAP) kohort keempat semalam.

Syarikat eMLab, GFI Fintech, NexMind AI, Boss Boleh dan Farmy turut menerima Huawei Freebuds Pro serta peluang pelaburan dengan rakan strategik SAP meliputi RHL Ventures, AgroBank serta The Hive South East Asia.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata juri sukar menentukan syarikat layak berikutan 30 yang terpilih sangat kompetitif serta mahir dalam bidang masing-masing.

“Saya berharap semua syarikat tunas rintis terpilih akan memanfaatkan ilmu dan nasihat yang diberikan kepada mereka sepanjang program tiga bulan ini.

“Saya gembira melihat lebih banyak syarikat mengambil peluang mempamerkan idea dan penyelesaian mereka untuk diangkat agensi berkaitan,” kata Yong Kai Ping ketika berucap pada hari demo dan penganugerahan tersebut.

Acara kemuncak selepas tiga bulan latihan, bimbingan dan pembelajaran untuk 30 peserta SAP 2021 disempurnakan EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim.

Hari demo dinilai tujuh juri yang menyumbang 70 peratus skor penilaian manakala 30 peratus merangkumi prestasi dan kehadiran sepanjang program berlangsung.

Kai Ping turut berterima kasih kepada Affin Bank atas komitmen menyokong perusahaan kecil dan sederhana, syarikat tunas rintis serta inisiatif inovatif Sidec dalam menonjolkan Selangor sebagai hab digital Asia Tenggara.

SAP 2021 menerima 165 penyertaan berbanding 110 tahun lalu terdiri daripada pelbagai industri dengan memfokuskan lima tonggak utama iaitu teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar.

 

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Aplikasi syarikat pemula dibimbing Sidec mudahkan pendidikan secara maya

SHAH ALAM, 26 OGOS: Sebuah syarikat pemula bimbingan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) membangunkan aplikasi pendidikan yang setakat ini memanfaatkan lebih 10,000 pengguna.

Pengasas IX Ventura Tech Sdn Bhd Iliyas Jamil berkata SnappEd menyediakan platform secara percuma memudahkan guru dan murid memberi, menghantar serta menyemak kerja sekolah secara dalam talian.

Menurutnya, idea menghasilkan platform itu bermula sejak 2018 dan menjadi kenyataan April lalu disebabkan keperluan mendesak apabila pembelajaran secara bersemuka tidak dapat diadakan susulan Covid-19.

“Menerusinya guru hanya perlu menghantar arahan ke platform boleh diakses murid yang kemudiannya menyiapkan kerja sekolah itu dan menghantar gambar kertas jawapan.

“Guru boleh menyemak di peranti dan buat pembetulan menggunakan pen stylus, kami masih tekankan menulis di kertas kerana mengikut sistem pendidikan negara serta melatih murid,” katanya ditemui SelangorKini hari ini.

Iliyas Jamil. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

SnappED boleh dimuat turun di Google Play Store dan App Store.

Sidec membimbing IX Ventura Tech menerusi Program Pemecut Selangor (SAP) 2021, iaitu inisiatif untuk melonjakkan perniagaan yang dibiayai Kerajaan Negeri.

Iliyas berkata setakat ini aplikasi berkenaan digunakan 10,600 pengguna di 26 sekolah di Perak, Perlis dan Sarawak yang majoritinya dimanfaatkan di luar bandar.

Jelasnya, program SAP 2021 diharapkan dapat meluaskan rangkaiannya membantu pendidikan digital di Selangor dan mengurangkan beban ibu bapa menyediakan kemudahan kerana hanya satu peranti diperlukan bagi sebuah keluarga.

“Sidec melatih kami mengharungi fasa seterusnya sebagai syarikat pemula seperti bagaimana membuat pembentangan dan meningkatkan kutipan.

“Di akhir program nanti, kami juga berpeluang membuat pembentangan mengenai aplikasi ini di hadapan potensi pelabur,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sidec: 90 syarikat berjaya bangun produk, tingkat aspek pengurusan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebanyak 90 syarikat pemula berjaya dipupuk menerusi Program Pemecut Selangor (SAP) sejak diperkenalkan pada 2018.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata pihaknya bukan sahaja menberi tumpuan menggilap syarikat tersebut dari aspek pembangunan produk tetapi juga pengurusan.

“Sebagai contoh syarikat berasaskan teknologi pertanian akan ditempatkan di agensi berkaitan untuk membantu melakukan ujian selanjutnya dan sekali gus memberi peluang sama ada produk diterima agensi dalam operasi mereka,” kata Yong Kai Ping.

Beliau berucap pada sidang media secara maya sempena pelancaran SAP 2021 melalui aplikasi Zoom hari ini yang dirasmikan EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim.

Katanya, daripada 90 syarikat tersebut, 43 peratus daripadanya telah menerima dana menerusi program berkenaan.

Sementara itu, sebanyak 30 syarikat pemula dipilih menyertai SAP 2021 yang terdiri daripada perniagaan berkaitan teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar.

Program ini dinilai panel hakim iaitu 70 peratus skor penilaian untuk peserta manakala 30 peratus lagi merangkumi prestasi dan kehadiran mereka sepanjang program berlangsung.

Lima syarikat terbaik berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan beberapa faedah tambahan lain.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Tauke kebaya raih jualan RM7.1 juta di sebalik pandemik

Foto HAFIZ OTHMAN

SHAH ALAM, 3 JUN: Tujuh tahun lalu, pasangan suami isteri Shafrizal Abd Ghani, 41 dan Intan Farhana Ahmadudin, 38, terpaksa menelan cacian pelanggan.

Gara-gara tidak sempat menyiapkan tempahan baju kurung dan kebaya untuk sambutan Aidilfitri, mereka tiada pilihan selain memulangkan wang pendahuluan keseluruhan kira-kira RM10,000.

Pun begitu, di sebalik kecaman, mereka menebalkan muka menghubungi setiap pelanggan untuk memohon maaf.

“Memang kecam tidak ingat punya. Kami hanya tebal muka waktu itu. Tapi kami balas reaksi semua pelanggan. Siap telefon mereka,” kata Shafrizal sambil mengenang detik sukar itu.

Namun, bekas pengurus besar yang meninggalkan gaji besar untuk menceburi perniagaan menjadikan peristiwa tersebut sebagai pengajaran.

Terus mengorak langkah, mereka yang bermodal RM12,000 pada 2012 kini mampu menjana jualan RM7.1 juta sekalipun berdepan pandemik Covid-19.

Shafrizal Abd Ghani dan isteri Intan Farhana Ahmadudin memeriksa stok pakaian dan kualiti fabrik sebelum dijual kepada pelanggan

Malah, mereka tersenarai antara syarikat mencatat jualan dalam talian tertinggi oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Jenama Inhanna berjaya juga menembusi pasaran negara jiran antaranya Indonesia, Brunei dan Singapura.

Tiada pengalaman

Shafrizal dan Intan memulakan perniagaan di rumah menggunakan wang simpanan mereka, hanya cukup-cukup buat menampung pembelian stok awal dan kos promosi.

Ketika itu, mereka belum lagi membangunkan jenama Inhana sebaliknya membeli pakaian siap daripada pemborong.

Demi mengejar impian, Shafrizal mengorbankan jawatan di sebuah syarikat teknologi maklumat. Isterinya pula berhenti sebagai ejen insurans pada 2012.

Selepas setahun, berbekal sedikit keuntungan dan semarak keyakinan, mereka membina jenama sendiri.

“Masa inilah cabaran sebenar bermula sebab kami berdua tidak ada latar belakang dalam rekaan fesyen tetapi berbekal keyakinan terhadap cita rasa isteri yang bagus dalam fesyen, kami beranikan diri,” kata Shafrizal.

Seiring populariti jenama Inhanna yang kian berkembang, mereka meningkatkan pengeluaran dengan melantik syarikat pengeluar tekstil terkenal untuk menjahit kebaya rekaan mereka secara pukal. Kualiti lebih kemas dan cantik menepati piawaian.

Pada 2015, mereka bersama 10 kakitangan berpindah ke pejabat baharu yang lebih luas dan selesa. Mereka juga menambah produk dengan memperkenal baju kurung.

Berbanding sebelumnya, pemasaran tertumpu di laman sesawang sendiri, mereka turut meneroka pasaran melalui media sosial terutama Facebook secara serius. Hasilnya, permintaan melonjak tiga kali ganda. Saban tahun, jualan produk terus meningkat. Pada 2019, mereka mencatat jualan sebanyak RM6.3 juta.

Cabaran PKP

Mereka juga berjaya mengharungi cabaran gelombang pertama Covid-19, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) paling ketat pada Mac 2020.

“Sebelum Covid-19 menyerang kami sudah belanjakan RM2 juta sebagai persiapan kempen raya 2020 tetapi tiba-tiba wabak menyerang dan PKP.

“Siapa tidak cemas? Alhamdullilah kami tidak panik. Kami lancar strategi pemasaran untuk menggembirakan pelanggan dengan menggalakkan pelanggan tetap bergaya di pagi Syawal walau tidak beraya di kampung,” katanya.

Antara koleksi pakaian yang dijual di butik Inhana

Selain itu, sesuai dengan suasana ekonomi tidak menentu, Inhana turut memberi promosi istimewa kepada pelanggan mereka.

Walau awalnya sedikit suram tetapi jualan meningkat hingga RM7.1 juta pada 2020 berbanding RM6.3 juta pada 2019.

Shafrizal juga yakin sasaran jualan tahun ini berjumlah RM7.5 juta mampu dicapai. Setakat April, jualan raya mencatat RM1.5 juta.

Jenama Inhanna ada kira-kira 50 rekaan kebaya dan baju kurung dengan rekaan tersendiri tetapi tetap mengekalkan ciri-ciri tradisional.

Mereka turut memperkenal produk untuk lelaki, baju Melayu teluk belanga yang diberi nama Nusa.

Kini, mereka mempunyai 18 kakitangan dan menyewa empat lot kedai di Seksyen U5, Shah Alam. Mereka juga akan berpindah ke premis milik sendiri bernilai RM3.8 juta yang dijangka siap pada 2023.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raih jualan RM37 juta, lebih 100,000 sertai e-bazar raya

SHAH ALAM, 22 MEI: Seramai 118,271 peniaga menyertai Kempen e-Bazar Raya Selangor sejak 15 April lalu, kata Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Mengikut kenyataan, jualan terus mencatat RM37 juta setakat 10 Mei. Kempen itu diteruskan menerusi platform Shopee dan Lazada sehingga 29 Mei.

“Kempen e-bazar yang diadakan sejak dua tahun lalu banyak membantu usahawan yang terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami berharap kempen seumpama ini dapat diteruskan bagi membantu usahawan di Selangor mengadaptasi
teknologi digital,” kata kenyataan itu.

Sidec menggalakkan lebih ramai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mendaftar dan
mengembangkan perniagaan dalam situasi PKP 3.0

“Kita dapati bahawa e-dagang menjadi saluran jualan alternatif kepada peniaga mikro dan PKS.

Pada 7 April lalu, EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata tiga kempen e-dagang Kerajaan Negeri mencatatkan jualan langsung sebanyak RM79.7 juta dengan kesan ekonomi RM2.003 bilion.

Ia membabitkan Kempen e-Bazar Raya Selangor 2020, e-Bazar 11.11 Selangor dan Kempen e-Bazar Tahun Baharu Cina Selangor pada tahun ini.

Sebanyak 160,094 peniaga menyertai program itu dengan 52,748 daripadanya peniaga baharu.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB, Lazada bincang potensi pendigitalan

SHAH ALAM, 11 MEI: Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan secara dalam talian bersama Lazada Malaysia berhubung potensi industri pendigitalan.

Perbincangan itu melibatkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Pelaburan, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Magnus Ekbom.

“Perbincangan secara maya itu membincangkan potensi pelaburan digital di Selangor, memperluas sektor e-dagang dan mempromosi pendigitalan pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” maklum Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Facebook.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor memperuntuk RM5 juta bagi Geran Padanan Digital kepada PKS bagi pendigitalan perniagaan.

Perbincangan berkenaan dihoskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Yong Kai Ping.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKP: Tarikh mohon Geran Padanan Digital PKS dilanjut hingga 15 Jun

SHAH ALAM, 10 MEI: Tarikh tutup permohonan Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Selangor dilanjutkan sehingga 15 Jun ini.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menerusi kenyataan berkata lanjutan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di negeri ini.

“Kita terima maklum balas daripada peniaga bahawa PKP memberi kesan besar terhadap operasi perniagaan dan mereka memerlukan lebih masa untuk menyiapkan permohonan Geran Padanan Digitalisasi.

“Justeru, diharapkan agar lanjutan tarikh tutup permohonan geran ini dari 15 Mei kepada 15 Jun dapat membantu lebih banyak PKS memacu perniagaan mereka melalui jangkauan digitalisasi,” katanya.

Geran itu dilancarkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 April lalu untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sejak pendaftaran dibuka pada 15 April, inisiatif itu menerima sambutan memberangsangkan yang mana 200 permohonan diterima setakat 10 Mei.

Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (E-PoS) dan gerbang pembayaran.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi http://sidec.com.my/selangorsmegrant2021

Syarat-syarat kelayakan PKS:

– Berdaftar di bawah undang-undang berkaitan di Malaysia
– Syarikat sekurang-kurangnya 51 peratus dimiliki rakyat Malaysia
– Untuk PKS yang mempunyai alamat berdaftar di Selangor atau beroperasi di Selangor sahaja
– Sudah beroperasi sekurang-kurangnya setahun
– Harus mempunyai perolehan jualan tahunan sekurang-kurangnya RM300,000 dan tidak melebihi RM1 juta
– Terhad kepada satu permohonan bagi setiap PKS dan mereka dibenar memohon untuk tiga perkhidmatan digital dengan satu atau lebih pembekal perkhidmatan yang disahkan Sidec.